Wednesday, October 21, 2009

Aku Bukan Untukmu - 52

Izlan mengusap wajahnya dengan kedua telapak tangan usai salam akhir. Dia sendiri tidak tahu apa yang membelenggunya selama ini. Semakin dengan hari pernikahan kembarnya, semakin dia tidak keruan. Dia tahu berdosa dia menyintai orang yang bukan haknya. Berdosa kalau dia merancang untuk membatalkan pernikahan abang kembar sendiri. Dia juga mengerti perasaan Anizan yang teragut rasa bila di beritahu bakal dinikahkan. Izlan faham keadaan Anizan. Izham pula semakin gila untuk menjadikan Anizan miliknya.

“Kau jangan seksa dia Ham!” ujar Izlan, sewaktu dia melawat Anizan di hospital ketika kemalangan tragis yang berlaku kepada gadis itu.

“Kau jangan ingat aku tak tahu, yang kau selalu berhubungan dengan dia. Kau cuba alihkan perhatian dia kan?” Izham pula membentak.

Itulah sifat abang kembarnya yang paling dia tidak gemar. Suka menuduh. Suka membentak tidak tentu hala. Izham hanya tahu hak dia tetap menjadi hak dia tanpa memperdulikan hal orang lain. Tanpa mahu tahu apa yang membelenggu hati Anizan di kala dia kejar mengejar dengan Sofea. Tidak langsung memperdulikan apa bagaimana terhirisnya hati gadis itu.

Izlan tahu segala kisah antara mereka. Anizan juga yang menghantar email. Dia tahu gadis itu kesedihan. Dia juga tersentuh hati membaca email Anizan. Pada Anizan, hanya Izlan dan Asma tempatnya mengadu. Dia tidak dapat menyorokkan perasaan pilu bila dikhianati kekasih. Tidak salah Anizan mengadu. Tambahan pada Izlan, bakal adik iparnya.

“Tapi cara kau tu buat hati dia terseksa. Kau berhubungan balik dengan Sofea, kau biarkan dia tertanya-tanya apa jadi dengan hubungan kalian, betul sangat ke kasih sayang kau tu?” kali ini Izlan pula berhujah.

Izham fikir, dia peguam, hanya dia yang pandai berhujah? Izlan juga lulusan Undang-Undang. Cuma dia lebih ke arah muzik. Undang-undang padanya hanya untuk menetapkan kehidupan manusia. Bukan untuk kepuasan. Tapi muzik untuk diri sendiri. Dia lebih rela memilih muzik dari mempertikaikan yang hak atau batil. Dia tidak suka tugas peguam.

“Kenapa kau nak jadi pembela? Kemudian nak rampas Anizan dari aku. kau tu yang tak pernah sedar yang diri kau tu sakit jiwa. Hak orang yang kau nak, pergi lah cari hak kau sendiri Lan. Jangan asyik mengenang orang mati kemudian ambil jalan mudah. Ada perempuan di depan mata baru kau nak sambar!” tuduh Izham.

Izlan mencebik. Orang mati? Izham maksudkan arwah isterinya. Setiap kali bertelingkah, setiap kali itulah Izham akan mengeluarkan kata-kata yang mahu membuatkan Izlan sakit hati. Jika tidak perkataan sakit jiwa dan orang mati itu tidak mungkin wujud. Walau mereka kembar seiras namun benar kata orang, muka boleh jadi sama, tapi hati dan sifat itu akan berbeza. Sejak kecil mereka memang tidak pernah berbaik-baik. Ada sahaja yang tidak kena. Izham sentiasa merasakan setiap tindakannya betul. Bila ada yang tidak kena di mata Izlan, mulalah Izham mengeluarkan hujah-hujah untuk mengukuhkan tindakannya. Setiap kali itu juga Izlan akan mengalah. Tidak mahu memanjangkan kisah.

“Aku tak maksudkan itu! Aku kata jangan kau seksa Anizan dengan kelakuan kau tu!” Izlan sudah kurang sabar. Kesabaran manusia ada hadnya. Dia mula mencekak kolar baju Izham. Geram dengan tuduhan yang menekan perasaan.

“Hey, kenapa kau orang berdua ni? Orang lain yang sakit, kau orang nak bertekak pula,” Ummi pula turut campur. Dari tadi di perhatikan kedua beradik itu. Langsung tidak berubah. Perangai dari kecil dua-dua sama, panas baran.

“Lan, nanti kau tutup semua lampu ye. Aku nak balik dah ni,” sentuhan lembut di bahu membuatkan Izlan tersentak. Tok Siak baru sahaja memberi belakang menuruni anak tangga.

Izlan serba salah. Mahu pulang ke rumah tapi, bila mengenangkan nanti dia akan terserempak Anizan membuatkan hatinya berbelah bagi. Sudahlah pagi-pagi lagi dia sudah menunjukkan muka protesnya pada Anizan. Dia cuma mahu Anizan yakin dengan pilihannya. Tidak berbelah bagi sepertimana hatinya kini. Pergolakan antara Anizan, Izham dan Sofea memungkin hati gadis itu bakal terguris lagi. Dia tidak pasti sejauh mana tindakan yang akan Sofea lakukan untuk menyakitkan Anizan lagi.

Izlan melangkah keluar dari surau. Itulah tempatnya untuk ketenangan. Dia perlukan kekuatan untuk berhadapan dengan Anizan. Pernikahan gadis itu dan abangnya membuatkan dia terasa terikat sebal. Dia tidak rela Anizan diperlakukan sesuka hati oleh lelaki. Apalagi lelaki itu adalah darah dagingnya. Tidak pasti samada apa yang dirasakannya itu adalah cinta atau dia sekadar kasihankan Anizan.

Pertama kali melihat wajah Anizan, dia tahu ada sesuatu yang tidak enak akan berlaku. Dia tahu, gadis biasa seperti Anizan bukan citarasa Izham. Tetapi dalam diam dia harus terima kemungkinan Izham sudah beralih selera. Dalam masa yang sama dia juga takut jika Sofea memperlakukan sesuatu yang tidak elok.


*****************

Saat yang dinanti dalam debaran tiba jua. Sejak petang itu, Anizan seperti tidak sihat. Seram sejuk. Badannya sekejap panas sekejap sejuk. Sukar untuk dia menerima keadaan yang berlaku. Keluarga Asma pun datang petang itu untuk meraikan hari bahagia Anizan. Bahagiakah? Benarkah dia akan bahagia? Benarkah ini keputusannya? Dia langsung tidak memikirkan perkara ini. Segalanya dilakukan mengikut suara hati. Mengikut rentak Izham. Anizan cuma pasrah. Diri merelakan tetapi dalam perasaan memberontak tidak terluahkan. Entah kenapa dia menjadi sebegitu lemah. Dia tahu, dia tidak kuat menghadapi semua ini. Titis-titis airmata mulai berlinangan.
Inai yang merah di jemarinya direnung kejap. Mutiara jernih menitis di telapak tangan itu. Kenapa dia selemah ini untuk meneruskan kehidupan. Tidak dapat dibayangkan kehidupannya seperti apa selepas ini. Dia tidak sanggup mengenangkan. Cuma yang dia tahu, cintanya untuk Izham. Walaupun ada bisikan-bisikan yang terus menyuruhnya membuat keputusan yang bijak. Suara-suara itu bagaikan membelenggu diri. Bijakkah keputusannya untuk berkahwin? Mengapa dia tidak seperti Anizan yang dahulu. Yang membuat keputusan untuk diri sendiri bukan untuk menjaga air muka orang lain. Tapi benarkah keputusan ini sekadar untuk menjaga hati orang lain. Kenapa dia mesti menafikan yang dia melakukan semua ini hanya untuk Izham?
“Izham dah sampai… segak betul dia!” giat Asma yang menjadi pengapitnya. Dia cuma senyum tawar. Keliru dengan keputusan hidupnya ini.
Tidak lama kemudian tuan khadi masuk ke bilik di temani beberapa orang bertanyakan beberapa soalan lazim kepada Anizan. Segalanya dijawab tenang. Tanpa ada rasa gugup. Anizan menarik nafas. Dia cuba memujuk diri. Cuba menenangkan hati sendiri. Terus memberikan semangat untuk diri sendiri. Memujuk hati menyatakan ini keputusan yang terbaik untuk melunaskan cintanya. Anizan yakin ini penghujung cinta mereka. Dia sedar, ini pilihannya. Pilihan terbaik untuk hidup sampai bila dia harus menafikan. Jika Izham tidak menyintainya masakan dia begitu tegas untuk menikahi Anizan. Dia yakin ini bukti cinta mereka. Anizan rela.
Senafas sahaja Izham melafaskan akad. Memang terbukti cintanya kukuh. Anizan menadah doa sambil matanya bergenang linang dengan air jernih. Bersyukur dengan keutuhan cintanya terhadap Izham. Semoga cinta ini dirai hari ini dan selamanya.

**************
Izham merapati Anizan. Malam makin melabuhkan tirai. Sunyi sepi. Yang ada Cuma suara cengkerik dan unggas malam. Di kampong memang pelbagai bunyi boleh didengar. Tiada bunyi kenderaan atau bunyi ambulan seperti di Bandar. Anizan yang sedang duduk tegak di birai katil. Sukar untuk dipercayai apa yang terjadi. Sukar diduga apa perlakuan Izham nanti. Dia kini sah menjadi milik lelaki itu. Dan sudah tentu segala yang ada padanya halal bagi Izham. Terasa peluh dingin bagai memercik. Menggeletar seluruh tubuh. Sekelip mata sahaja semua perkara berlaku. Beberapa bulan lepas dia menyamar menjadi kekasih Izham dan penyamaran jadi kenyataan. Kini dia duduk di birai katil menanti arahan dari sang suami. Apa sahaja arahan perlu ditaati.
“Apesal ni? Tak boleh bergerak ke? Dah jadi patung?” Izham menolak bahu Anizan yang terkaku sendirian di katil. Sejak masuk bilik tadi, Anizan bagaikan tidak selesa. Pertama kali mereka duduk sebilik. Selalunya dalam bilik pejabat, tidak duduk dekat-dekat. Kalau dekat sikit pun Anizan akan menjauhkan sedikit badannya agar tidak terlalu rapat.
“Err, tak tahu nak buat apa…” jujur Anizan memberitahu. Izham ketawa galak.
“Dah malam, tidur la!” Izham ketawa lagi.
Sengaja mahu mempermainkan isterinya. Malam pertama dia sebilik dengan Anizan, pasti isterinya itu kekok sehinggakan tidak tahu berbuat apa-apa.
“Tidur ek? Ok la, saya nak tidur tau, selamat malam!” Anizan merenung jujur wajah Izham. Kemudian naik ke katil dan baring. Memang kekok. Tubuhnya gementar. Takut kalau-kalau ada perkara yang menakutkan berlaku.
“Ni apa tidur atas katil saya?” tiba-tiba Izham bersuara.
Automatik Anizan bangun. Sudahlah tubuhnya tidak keruan, gementar tidak tentu hala. Kali pertama sebilik dengan seorang lelaki garang. Siapa yang tidak gementar.
“Err, tak boleh ke?” seperti kerbau dicucuk hidung Anizan bangun dan duduk semula di birai katil.
“Tak boleh!”
“Saya kena tidur di mana?”
“Atas riba abang…” Izham menepuk peha.
Meminta Anizan meletakkan kepalanya di ribanya. Anizan menggeleng. Tidak biasa. Ada ke nak tidur atas riba sampai pagi?
“Tak lenguh ke?”
“Sayang punya pasal, biar patah peha abang, abang rela…” Izham mula menunjukkan muka gatal. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Kaku. Dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan ayat. Perlu sentuh di mana dahulu. Perlu mulakan gurauan seperti apa dahulu. Semua itu berlegar di fikirannya. Tetapi malam ini perlu direbut, supaya menjadi suatu memori sampai mati.
“Tak nak la… biar saya tidur di lantai!” Anizan menarik bantal.
Kemudian dia duduk di lantai kayu yang dihamparkan permaidani lembut itu. Sambil bersandar di tepi katil. Izham mula turun dari katil. Duduk di sebelah Anizan. Perlahan tangannya mengelus rambut isterinya itu. Tidak pasti tindakannya itu menyenangkan atau tidak.
“I love you…” ucap Izham. Ucapan itu jelas di telinga Anizan. Tangannya mula melurut ke pinggang.
“Kenapa shacking ni?” soal Izham lagi, bila dilihatnya isterinya itu bagai menggeletar.
“Awak pegang-pegang macam ni… seram tahu tak!” Anizan tidak dapat sembunyikan perasaan gementar itu. Takut campur berani berbaur.
“Kalau saya cium?”
Pantas tangan Anizan menutup mulut sendiri sambil geleng-geleng kepala. Izham ketawa panjang.
“Jangan ketawa kuat-kuat… nanti semua orang jaga!”
Anizan menepuk lembut suaminya. Sekali lagi Izham ketawa. Dia tahu kelurusan isterinya. Dia tahu betapa Anizan gementar menghadapi malam bersamanya. Silap-silap isterinya itu akan tidur duduk sepanjang malam. Semenjak mereka kenal, jarang sekali mereka bermesraan. Boleh dikatakan tidak pernah. Jika ada pun, Izham menarik tangan Anizan jika gadis itu merajuk. Hubungan mereka dibatasi agama. Anizan mahu selepas halal baru dia disentuh. Izham akur. Dia tahu ketulusan hati Anizan selama ini. Walau dia sendiri bagai tidak dapat menolak bisikan syaitan, namun Anizan selalu menyedarkannya.
“Ok kita tidur!” pantas Izham mencempung badan Anizan dan membaringkan isterinya di katil.

*************

“Bang, bangun, subuh!” Anizan mengejut sang suami sambil menepuk-nepuk kecil bahu Izham. Lelaki itu mengeliat malas. Sedap tidur agaknya. Atau keletihan dengan tanggungjawab semalam.
“Tak romantic betul kejut macam gitu!” komen Izham. Bila Anizan mengejutnya sambil menepuk-nepuk bahu.
“Cepat la, nanti subuh habis, awak belum mandi lagi,” rungut Anizan yang sudah berbalut kepalanya dengan tuala. Rambutnya masih basah.
“Ish, bukannya nak kejutkan awal. Dah la kejutkan orang main pukul-pukul bahu… lainkali, romantic la sikit, kejutkan abang, kiss-kiss pipi ke. Gosok2 perut ke…” Izham mengusik nakal. Dapat dilihat wajah isterinya berubah warna. Tahu sangat dia dengan Anizan, teramat malu jika diusik begitu.
Anizan geleng kepala. Nasib baik sudah jadi suami. Kalau tidak tak pasal-pasal kena baling dengan bantal. Mengada-ngada pula nak kiss-kiss. Kejutkan cara gitu lagi baik dari kejutkan dia sambil tempeleng muka. Anizan senyum nipis. Ada hati nak suruh orang gosok perut. Perut pun tak seksi.
“Yang, senyum-senyum sorang-sorang tu teringat pasal semalam ek?” usik Izham sambil mengambil tuala, bila dilihat Anizan tersenyum nipis.
“Hish!” pantas tangan Anizan membaling bantal kecil.
Geram dengan kelakuan Izham tidak habis-habis mahu memerlinya. Benar kata orang malam pertama itu malam yang panjang. Masih sempat bergurau senda walau malam kian larut. Bila melihat Izham ketawa geli hati. Dia malu sendiri. Dari semalam tubuhnya tidak hilang gementar. Semakin dipeluk Izham, semakin kuat badannya bergetar. Sejuk beserta takut. Tetapi dalam takut-takut ada beraninya. Kerana itu Izham menyindir. Anizan menggeleng kecil. Bila melihat Izham sudah hilang di balik pintu. Lega hatinya. Kalau tidak, tidak sudah-sudah lelaki itu mengusik.

Tuesday, August 4, 2009

Aku Bukan Untukmu- 51

Selesai berdoa Anizan menekup wajah dengan dua telapak tangannya. Dia hanya berharap agar tiada perkara buruk berlaku untuk dirinya. Dia memohon pada Tuhan agar dipermudahkan perjalanan hidupnya. Selesai berdoa, dia bangun melipat telekung dan sejadah. Kemudian beralih ke tingkap bilik. Dibukanya luas tingkap yang menghadap belakang rumah sewa mereka itu. Terserlah pemandangan malam yang ceria dengan lampu neon yang bercahaya di sana sini. Udara Kuala Lumpur memang kedekut angin. Tidak ada angin sepoi-sepoi bahasa menyapa. Yang ada cuma angin yang dijana dari kipas meja di tepi katilnya.

Anizan menarik kerusi di kaki katil. Menghadap komputernya. Skrin berukuran lima belas inci itu menjadi temannya. Dengan skrin itu dia berbual dengan Izlan. Hampir setiap malam sekarang. Dia membuka YM. Nama kurt_lanz tertera. Dia terus membuka window. Menyapa Izlan. Dulu dia tertanya kenapa Izlan meletakkan nama Kurt di hadapan namanya sendiri. Rupanya Izlan peminat setia mendiang Kurt Cobain vokalis kumpulan Nirvana.

e_jan85 - assalamualaikum
kurt_lanz - waalaikumussalam…
e_jan85 - Lan tunggu saya ke?
kurt_lanz - Tak lah, saya tengah surf nak jual gitar saya melalui ebay.
e_jan85 - Ham ajak saya nikah

Anizan mencapai botol air mineral yang sentiasa tersedia di tepi meja. Bekas berisi makanan ringan juga di capainya. Kemudian dia mengeluarkan snek Jacobs yang lazat. Mengunyahnya perlahan sambil menunggu jawapan dari Izlan. Lambat sungguh Izlan menjawab. Anizan membuka tutup botol, meneguk air mineral dengan perlahan. kebiasaannya begitu, apabila menghadap komputer, dia akan mengambil makanan ringan bersama air mineral. Jarang sekali dia minum minuman berkafein atau yang manis-manis. Matanya masih tidak lepas dari melihat skrin. Namun tiada jawapan dari Izlan.

e_jan85- Lan, awak ada lagi ke tak ni?
kurt_lanz- Ada, masih bernyawa…

Anizan tersenyum tawar membaca jawapan Izlan. ‘Masih bernyawa’ apa maksudnya, Anizan kurang mengerti.

e_jan85- Ham ajak saya nikah.

Sekali lagi ditaip ayat penyata itu.

kurt_lanz- Jadi?
e_jan85- Saya buntu!
kurt_lanz- Kenapa? Bukan ke itu impian setiap perempuan? Kahwin dengan insan yang dicintainya… atau awak tak cintakan Izham.
e_jan85- Lan, saya tak tahu bagaimana nak buktikan kasih sayang saya pada dia. Tapi semua ni terlalu cepat. Masalah dia dengan Sofea…
kurt_lanz- Ni lah masanya awak nak buktikan. Kahwin saja kalau awak sayang dia.

Ah, cakap memang senang. Kahwin. Tapi siapa hendak ambil tahu hal hati dan perasaannya yang seperti diperkotak katikkan oleh lelaki bernama Izham. Lelaki semua sama agaknya. Sama peel, sama perasaan. Tidak pernah mahu fikirkan perasaan orang. Tidak pernah mahu ambil tahu hal hati orang.

e_jan8- Awak setuju saya kahwin dengan abang awak?
kurt_lanz- Dah awak kekasih dia, kenapa saya tak setuju? Kenapa perlu saya membantah pula perkahwinan kalian.
e_jan85- Saya tahu, tapi hal Izham dengan Sofea tidak selesai lagi Lan. Saya takut jadi mangsa.
kurt_lanz- Saya tak akan benarkan awak jadi mangsa.
e_jan85- itu kata awak… Sofea tak boleh dijangka.
kurt_lanz- Kalau awak cinta kan Izham kenapa awak tak yakin? Kasih sayang ni kan di bina kerana keyakinan? Atau kasih awak dah beralih arah?

Susah benar untuk fahamkan Izlan. Kenapa dia perlu membangkang apa yang Anizan katakan. Bukankah dia selalunya membela? Bukankah izlan sering memberi kata nasihat yang akan membuatkan dia lega. Kenapa Izlan malam ini bagaikan tidak mahu beri ruang untuknya mengadu.

e_jan85- Memang saya sayangkan Izham dan saya akan terima dia.
kurt_lanz- Awak balik bernikah dengan dia sabtu ini kan?
e_jan85- Iye. Saya akan balik dengannya. Nikah dengannya. Awak ada kan?
kurt_lanz- Iye saya ada! Oklah, saya sudah mengantuk. Esok saya kena kerja dan kena temankan ummi ke sana ke mari untuk kelengkapan kalian bernikah.

Belum sempat Anizan membalas. Izlan sudah logout. Anizan hanya memandang ayat Izlan yang terakhir. Kenapa malam ini Izlan bagai tidak mahu melayan dia berbual. Kaku dan langsung tiada perasaan pada setiap ayatnya. Baru sahaja Anizan mahu menceritakan tentang halnya dan Izham. Marah sangatkah Izlan padanya bila dia menyatakan dia tidak bersedia untuk diperisterikan. Adakah bakal adik iparnya itu menyangka bahawa Anizan yang curang. Anizan semakin tidak faham. Terheret dengan perasaan dua beradik kembar.

*******

Subuh yang indah itu sudah bermula. Kokokan ayam jantan dari belakang rumah benar-benar mengejutkan seisi rumah. Anizan yang langsung tidak tidur sejak semalam. Matanya langsung tidak terlelap. Berkelip-kelip matanya memandang busana putih bersulam benang biru laut beserta tudung kepala dan net. Bagai tidak percaya malam esok dia akan diijabkabulkan. Dia memandang Asma yang pulas tidurnya. Mentang-mentang cuti bendera merah. Ayam berkokok pun dia buat tidak tahu.

Hati Anizan bergolak kencang. Dia menggigit-gigit kuku di ibu jarinya. Bagai tidak percaya langsung yang dia mengikut Izham pulang ke kampung. Bagai bermimpi yang dia bersetuju untuk bernikah dengan lelaki itu. Hatinya bagai merelakan walaupun akalnya kadangkala tidak mahu mengalah terhadap rayuan Izham. Namun Asma yang memberi sedikit keyakinan. Solat istikharah juga sudah dilakukan. Petunjuk yang didapatnya dalam mimpi selesai solat tahajud membuatkan dia yakin dengan pilihannya. Namun, hatinya bagaikan berkata-kata. Andai Sofea hadir lagi dalam hidup mereka. Andai Sofea mencari jalan memisahkan mereka. Apa yang perlu dilakukan. Apa yang harus dibuatnya. Itu yang paling ditakuti. Takut jika sudah sah dimiliki, kasih Izham beralih arah. Dia tidak sanggup menghadapi saat itu. Detik yang akan membuatkan dia sengsara.

“Aniz, bangun nak, dah subuh!” ketukan perlahan di daun pintu membuatkan lamunannya tersentak.

Suara Ummi mengejutkannya bangun amat perlahan. Sejak semalam ummi adalah orang yang paling gembira bila dia pulang ke kampong. Ummi mengucup pipinya bertalu-talu. Ummi juga masakkan makanan kegemarannya. Adakah dia perlu menyakiti hati wanita yang mulia itu dengan keputusannya enggan bernikah.

Izlan, susah dengan lelaki itu. Rumit. Hati bakal adik iparnya itu paling susah untuk diramal. Semalam setibanya di kampong, Izlan menyambut dingin kedatangannya. Langsung tidak seperti selalu. Tidak bercakap. Tidak hendak bergurau seperti kebiasaan mereka.

“Iye, ummi, saya dah bangun!” balasnya, pantas tangannya mengelap sisa airmata yang meleleh bila mengenangkan tindakan sendiri. Dia membuka daun pintu supaya ummi tidak menunggu lama.
“Dah subuh. Nanti lepas solat, turun minum ummi dah buat sarapan. Kemudian, ummi dah panggil kak Leha untuk inaikan tangan Aniz. Malam esok Aniz nak bernikah. Kenalah tangan tu bersalut inai,” terang Ummi satu persatu.

Inai? Mampus! Apa yang hendak dikatakan pada sekalian manusia di pejabat nanti. Adakah izham akan merahsiakan pernikahan mereka? Adakah Izham akan menafikan dia sebagai isteri seperti mana yang selalu ada di dalam novel-novel dan drama Melayu. Adakah layanan lelaki itu berubah? Ketakutan mula menyelubungi hatinya.

Mak… Abah…. Kalaulah kalian ada sekarang, tentu tiada siapa yang boleh membuat keputusan untuk Ijan. Kalaulah kalian berada di dunia ini lagi, sudah tentu nasib Ijan ditentukan oleh kalian. Mak Abah, berilah kekuatan pada anakanda mu ini…
Mutiara jernih mengiringi doanya terhadap kedua ibu bapanya. Rintihan demi rintihan untuk kekuatan. Dia sedar, tiada apa yang boleh menukar keputusan ini. Dia tidak mahu keluarga ini dimalukan oleh tindakannya. Dia tidak mahu hati ummi terguris andai dengan tiba-tiba dia melarikan diri.

“Jan, kau nangis ye?” Asma yang duduk di birai katil merenung sahabatnya itu.
“Takde lah….” Balasnya pendek.

Dia melipat telekung. Kemudian senyum tawar memandang Asma. Dia tidak mahu Asma mengesyaki sesuatu. Dia tidak mahu Asma tahu dia tidak rela dengan pernikahan ini. Bukan tidak rela kerana dipaksa. Tetapi dia masih belum bersedia. Kerana itu dia tidak mahu Asma menghebohkan perkara ini. Dia malu jika perkahwinan ini gagal. Tak tahu mana mahu disorokkan mukanya.
Asma bangun, memeluk Anizan erat.

“Walau apa pun terjadi pada kau, kau tetap kawan aku. datanglah pada aku kalau kau sedih, aku akan sediakan bahu ini untuk kau menangis!” kata-kata Asma membuatkan airmatanya tumpah lagi. Teresak-esak dia menahan tangis. Tidak mahu didengari orang lain.
“Aniz, Asma, mari turun sarapan!” sapa suara itu. Tanpa lengah mereka bangun. Masing-masing menyapu airmata di pipi. Kemudian senyum. Turun sama-sama menikmati sarapan.
“Jan, Izlan pun buleh tahan, buleh la aku berbiras dengan kau!” nakal Asma berbisik. Tergaris senyuman nipis dibibirnya.

Izlan yang sedang menyenduk mihun goreng di piring merenung mereka yang berbalas-balas bisikan. Kemudian tanpa rasa di wajah, dia tunduk semula menikmati sarapan.

“Aniz dah cuba baju tu? Sepadan tak? Kalau tidak, ummi nak suruh kak Leha betulkan,” ujar ummi. Tangannya menuang kopi O ke dalam cawan-cawan kosong di atas meja.
“Muat ummi, err… abang Izham mana?” soal Anizan tiba-tiba. Baru disedarinya kekasih hatinya tidak kelihatan. Mana pula perginya orang tua itu.
“Ummi suruh dia tidur rumah Wan Teh. Di sini rumah pengantin perempuan, nanti dia datang bersama rombongan dari rumah Wan Teh. Tengah hari nanti baru dia datang nak tolong apa yang patut. Ummi upah catering je, lagi pun bukan kenduri besar,” terang wanita separuh abad itu.
Anizan cuma mengangguk. Lesu. Tiada riak gembira di wajahnya. Tiada riak yang dia mahu ditabalkan sebagai permaisuri di sebelah raja sehari.
“Terima kasih sebab susah payah untuk saya ummi,” ucap Anizan, perlahan. Rasa berdosa kerana menipu diri.
“Sama-sama… Makan ye, ummi ada kerja sikit. Kejap lagi kak Leha datang,” ujar ummi sebelum dia bangun menuju ke belakang. Asma yang sudah minum mengangkat piring kotor ke singki.
“Awak tak gembira…” mendatar suara Izlan menegur Anizan yang juga mahu bangun mengekori Asma.
“Saya keliru!”
“Kenapa? Tentang Sofea? Cinta awak tak kuat kan?” Izlan seperti mengejeknya.

Cinta todak kuat? Bagaimana dia mahu buktikan cintanya begitu kuat pada abang lelaki di hadapannya. Sehingga dia menurut permintaan Izham untuk bernikah, dia masih dituduh tidak cinta dengan kuat. Tidak sayang sepenuh hati. Bukan dia tidak gembira. Dia juga bahagia bila Izham menyatakan untuk melamarnya sebagai isteri. Tetapi masanya tidak sesuai. Dia tidak bersedia. Hubungannya dengan Izham hampir retak oleh Sofea. Dan segalanya tidak dileraikan lagi. Izlan tidak tahu semua itu.

“Awak tak tahu sedalam mana cinta saya pada dia…” balas Anizan perlahan.
“Cinta awak beralihkan? Sebab itu awak tidak gembira…” Izlan masih dengan muka mengejek.

Cinta beralih. Sejak bila? Anizan tidak pernah mengalihkan cintanya pada yang lain. Hanya untuk Izham. Tapi kadangkala Izham memperlakukan dia seperti Anizan tiada berperasaan. Sebab itu dia mulai dingin. Tetapi cintanya tetap kukuh. Tidak berubah. Walau 100 Izham hadir dalam hidupnya tidak akan dapat mengubah cintanya pada Izham yang satu. Atau Izlan sudah salah anggapan. Izlan tersalah faham tentang hubungan mereka. Aduhai…

Tuesday, July 21, 2009

Aku Bukan Untukmu - 50

Dua bulan berlalu begitu sahaja. Tanpa ada perubahan terhadap hubungan mereka. Namun yang pasti hubungan Anizan dengan Fahril semakin terjalin rapat. Walaupun bagi Anizan ianya bukan hubungan perasaan. Cuma sebagai sahabat. Anizan sudah dua kali menghantar surat perletakan jawatan. Dua kali juga surat itu dipandang sepi oleh Izham. Anizan sendiri tidak faham untuk apa Izham menyimpan cintanya di hati. Sedangkan dalam masa yang sama, dia masih berhubungan dengan Sofea. Anizan keliru. Sudah terlalu derita dia menahan cinta dihatinya.
Anizan bagaikan sudah tidak perduli lagi apa yang melanda hati. Cukuplah segala apa yang dialaminya membuatkan dia terseksa menanggungnya. Segala apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Izham pula masih tidak putus mahu memujuknya. Walau pujukan itu kadangkala diselangi dengan sakit hati. Pagi dia memujuk Anizan tapi bila petang dia keluar pula dengan Sofea. Anizan sendiri tidak faham dengan pendirian Izham. Cepat benar dia berubah. Kalau ikutkan hati dia mahu berhenti terus dari bekerja di situ. Berhenti terus menyintai Izham.
“Aniz, awak dah siapkan minit mesyuarat yang saya minta semalam?” Izham bersuara. Anizan mengangguk. Di bukanya fail dan dikeluarkan sesalinan dokumen yang ditaipnya semalam.
“Cik Izham jangan lupa, tengah hari ni ada appointment dengan Mr. Pritam,” pesannya.
“Ok. Sabtu nanti awak pergi mana-mana tak?” soal anak muda itu. Anizan menggeleng. Bukan apa, malas mahu melayan sangat anak muda ini. Nanti hatinya sendiri yang terluka. Pedih luka yang dulu pun belum terubat.
“Saya nak bawa awak balik kampong,” mendatar sahaja suara Izham. Anizan hanya tersenyum nipis. Balik kampong, perkara itu sebenarnya mahu dijauhi. Tidak sanggup menipu diri sendiri. Memang dia teringin mahu balik ke kampong bertemu Umi dan Izlan. Tapi haruskah dia terus merasakan Izham itu miliknya. Kalau lelaki itu sejak akhir-akhir ini tidak lagi seserius dulu.
“Saya tak dapat la, ada hal!” Anizan beralasan.
“Tadi kata tak ada hal. Sekarang ada hal pulak. Awak ni marahkan saya ke?” suara Izham mula meninggi. Tengoklah tu, kalau dulu dia tidak setegang itu jika Anizan beralasan. Tapi sekarang bila ada yang dia tidak puas hati, selamba sahaja Anizan ditengkingnya. Kadangkala hati kecilnya terasa bila ditengking begitu.
“Buat apa saya nak marah Bos, saya ni pekerja je. Mana layak nak balik kampong dengan Bos!” Anizan menyindir.
“Lantak awak la, dah malas saya nak layan kerenah awak ni!” Izham menghempas meja.
Walau tidak sekuat mana, namun sudah cukup membuatkan seisi pejabat terkejut. Lelaki itu terus masuk ke biliknya sambil menghempas pintu. Anizan cuma tersenyum sinis. Tak nak layan sudah, bukan dia yang minta di layan. Dia sendiri tidak faham kedudukannya di hati Izham sekarang. Adakah dia masih lagi dikatakan sebagai kekasih atau Sofea sudah mula bertakhta semula. Lelaki, lelaki.. perempuan baginya seperti perhentian bas. Berhenti sekejap sebelum menunggu bas lain. Mungkin Izham menganggap dia cuma sementara.
“Jan, apa yang dia marah sangat tu?” Zaharah datang ke meja Anizan. Dalam pejabat itu Cuma Zaharah yang sudi berkongsi cerita dengan Anizan. Yang lain semua sekepala dengan Fizah. Di depan lain, di belakang cakap lain.
“Dia marah saya tak mahu ikut dia balik kampong,” terang Anizan, jujur.
“Tak paham akak, kejap dia nak kau, kejap lagi karang dia keluar juga dengan betina gedik tu. Kau boleh tahan Jan, kalau akak tak tahu le Jan…” Zaharah mengomel.
Sambil tangannya mengurut belakang Anizan. Memintanya bersabar. Sejak dia balik ke pejabat selepas cuti bersalin, macam-macam cerita yang didengarnya. Perubahan Anizan, pergaduhan Anizan dan Sofea, semua diceritakan Fizah. Tapi dia tidak mahu membuat andaian. Dia rasional. Zaharah mahu mendengar dari mulut Anizan. Dia tahu Anizan lebih jujur bercerita. Setelah mengetahui segala kisahnya, Zaharah lebih bersimpati dengan Anizan. Dia tahu sangat perangai Izham yang tidak tetap pendirian itu. Malah dulu sebelum Anizan menjadi setiausaha peguam muda itu, Izham kerap bercerita dengan Zaharah.
“Saya malas nak bertekak kak. Saya ikutkan saja takdir saya,” balas Anizan.
Dia masih boleh tersenyum lagi. Dia bukan seorang yang suka tangkap leleh. Bukan juga seorang yang cepat mahu mengalah. Tapi apa gunanya berebutkan lelaki. Tambah pula lelaki yang tak tetap hati seperti Izham. Hari ini kata sayang, esok boleh saja keluar dengan perempuan lain sesuka hati. Anizan pasrah, kalau Sofea menjadi pilihan Izham. Biarlah. Dia tidak mahu menyeksa hatinya untuk berfikir macam-macam.
“Aniz, masuk kejap!”
Tiba-tiba intercom berbunyi. Zaharah yang sedang menenangkan Anizan tersentak. Dia mencuit bahu Anizan, menyuruh gadis itu masuk bilik Izham. Entah apa yang lelaki itu mahukan. Rasanya minit mesyuarat itu sudah ditaipkan dengan betul. Dua tiga kali dia memeriksanya. Tanpa banyak soal, dia terus mengetuk pintu Izham. Kemudian menuju ke meja lelaki itu.
“Sabtu ni kita balik kampong ye. Saya nak selesaikan banyak perkara dengan awak,” ujarnya, serius.
“Cik Izham sudah selesaikan hal Cik Izham dengan Sofea? Selagi tak selesai, saya rasa lebih baik Cik Izham selesaikan dulu. Saya tak mahu jadi mangsa lagi. Cukupla, kaki tangan saya yang patah, saya tak mahu satu hari nanti nyawa saya melayang!” tegas Anizan. Memang dia seharusnya tidak menuduh begitu. Tetapi berat hatinya berkata kemalangan itu bagai dirancang. Perkara itu juga digembar gemburkan oleh orang-orang yang bekerja di bangunan yang sama.
“Sayang, abang nak kita nikah Sabtu ni!”
“What?”
“Ye, kita nikah Sabtu ni di kampong. Abang dah suruh Umi buat persiapan. Kita nikah dulu, untuk majlis bersanding kita buat persiapan nanti, dalam masa tiga bulan. Abang taknak kusut-kusutkan fikiran. Lagi lama nanti lagi banyak masalah!” panjang lebar Izham menerangkan rancangannya. Anizan benar-benar terperanjat. Sabtu ini hendak nikah. Mentang-mentang dia tidak punya sesiapa, senang saja lelaki di hadapannya membuat keputusan mendadak.
“Apa erti semua ni?” Anizan memang langsung tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Tiba-tiba sahaja lelaki itu mengajaknya bernikah. Sudah hilang akal kah lelaki dihadapannya? Sudah hilang pertimbangan kah dia.
“Abang rasa lepas kita nikah, abang lebih ambil berat tentang Aniz. Abang lebih fikirkan perasaan Aniz. Selagi itu tak berlaku, abang kusut…”
Izham sudah mula menggenggam tangan Anizan. Itu sahaja cara yang dia nampak untuk meyakinkan gadis di hadapannya. Dia terlalu sayangkan Anizan. Tidak mahu Anizan terlepas ke tangan orang lain. Sejak beberapa minggu ini, dia sering ternampak Anizan dikunjungi lelaki bernama Fahril. Entah siapa dia tidak mahu tahu. Tapi nampaknya Fahril itu menganggap Anizan istimewa.
“Awak tahu tak, awak mengusutkan fikiran saya? Takkan begini cara awak nak selesaikan masalah. Awak kahwin dengan saya tapi dalam masa yang sama, awak tak selesaikan masalah awak dengan Sofea. Kemudian awak heret saya untuk bernikah… awak dah gila ke Izham?” rintih Anizan tiba-tiba.
Mentang-mentang dia sebatang kara. Senang-senang lelaki ini mahu buat keputusan. Tidak langsung mahu bertanyakan persetujuannya. Tidak langsung mahu tahu apa yang terdetik dihatinya. Tiba-tiba dia mahu dinikahkan. Dengan orang yang membawa hatinya tetapi dalam masa yang sama mempunyai hubungan dengan orang yang memusuhinya. Apa yang perlu dia lakukan. Apa yang perlu dia jelaskan. Hati ini memang untuk lelaki itu. Tetapi bagaimana dia mahu terangkan betapa dia redha kalau Izham bukan miliknya.
“Anizan, boleh tak kalau awak tidak membantah rancangan saya?” bentak Izham.
Panas barannya naik semula. Ke tahap yang lebih maksima. Mukanya nampak merah. Nampak benar-benar kusut. Anizan tergamam. Namun dia perlu kuat untuk membela diri. Dia tidak mahu keputusannya nanti merosakkan diri sendiri. Dia tahu apa yang Sofea boleh lakukan jika hal ini berlaku. Dia tahu bagaimana tahap keegoaan anak Tan Sri itu untuk memiliki apa yang bukan miliknya.
“Awak merancang untuk saya? Awak tak berhak!” kali ini Anizan pula membalas bentakan itu. Biarlah Izham mahu marah. Biarlah dia berfikri dahulu sebelum mereka ada hubungan yang lebih jauh,. Dia tidak mahu kecewa. Perkahwinan bukan perkara main-main. Dia tidak rela mengahwini lelaki yang tidak tetap pendirian.
“Saya bagi awak masa dua hari untuk fikir. Sama ada awak mahu nikah dengan saya atau tidak beritahu saya. Sudah, awak boleh pergi,” Izham bagai putus asa memujuk Anizan. Dikibasnya tangannya menyuruh Anizan pergi.
Gadis itu mengetap bibir. Beginikah cara bakal suami menyuruh bakal isterinya pergi. Bagaimana kalau mereka sudah berkahwin. Bagaimana pula Izham melayannya jika tiba-tiba Sofea datang semula.
Anizan tidak mahu berfikir lagi. Keputusan Izham membuatkan dia serba tidak kena. Mahu diterima dia takut risiko terhadap dirinya sekaligus cinta izham terhadapnya. Benarkah lelaki itu jujur? Benarkah lelaki itu benar-benar ikhlas untuk memilikinya? Anizan keliru…

Monday, June 29, 2009

Aku Bukan Untukmu - 49

“Hai Anizan, awak dah sihat?” soalan itu membuatkan Anizan tersenyum manis. Semenjak kemalangan itu, dia semakin rapat dengan Fahril. Walaupun dia cuma menganggap Fahril cuma bekas teman sekolej, tetapi layanan Fahril itu semakin hari semakin dirasakan istimewa.
“Alhamdulillah, saya okey!”
“Ini untuk awak!” Fahril menghulurkan sebuah kotak kecil. Anizan mengerutkan dahi. Entah apa pula yang dia bawakan hari ini. Kelmarin dia membawa beberapa buah novel cinta untuk dibaca. Walaupun sebenarnya Anizan tidak minat untuk membaca novel-novel cinta. Tetapi untuk mengambil hati Fahril, dia menerimanya separuh hati.
“Apa pula ni, awak selalu bagi hadiah pada saya,” Anizan bagai sudah hilang kata-kata. Rimas juga sebenarnya dengan setiap hadiah yang diberikan.
“Buka lah!” Fahril merenungnya lagi. Senyumannya macam biasa, segaris tanpa makna. Anizan menjemputnya minum. Sejak tadi air nescafe yang dibuat Asma sudah semakin sejuk. Asma yang sememangnya akan meneman dia di depan televisyen setiap kali ada tetamu lelaki yang datang.
Anizan membuka kotak itu. Dia mengeluarkan MP3 yang dihadiahkan untuknya. Aduh, betapa Fahril ini sering mengelirukan. Untuk apa dia diberi hadiah-hadiah ini. Pasti ada sebab tertentu. Pasti juga Fahril punyai niat lain padanya.
“Saya tak boleh terima ni, awak ni baik sangatlah!” Anizan menggeleng kepala, memberikan semula kotak itu kepada lelaki di hadapannya. Fahril mengeluh. Kemudian dia meletakkan semula kotak itu ke riba Anizan.
“Saya tak mahu awak rasa sunyi, bila dengar lagu nanti awak tak bosan lagi!” ujar lelaki itu.
Anizan menghela nafas. Pendek namun mendalam. Dia tidak pasti apa hajat Fahril. Perkenalan rapat mereka hanya berlaku beberapa bulan lepas. Dia belum tahu hati budi lelaki itu. Dia takut nanti terhutang budi. Dirasakan lelaki itu mahukan sesuatu darinya. Mungkin mahukan sesuatu hubungan yang lebih dari persahabatan.
“Untung jadi orang sakit ni, setiap hari ada orang datang jenguk, bawa hadiah!” sindir Asma, sebaik sahaja Fahril pulang. Anizan cuma senyum.
Dia mengurut-urut kakinya yang bersimen separas lutut. Sejak pulang dari hospital, sejak itu Izham langsung tidak pernah mungkir melawatnya. Selepas dia keluar, umi Izham tidur di rumah sewa mereka beberapa hari untuk memastikan dia berkeadaan baik. Berbuih juga mulut orang tua itu memintanya pulang ke kampung untuk tinggal bersamanya sehingga sembuh. Betapa luhurnya hati Hajah Saniyah, namun tidak sampai hati dia mahu menyusahkan orang tua itu. Takut juga kalau-kalau segala yang berlaku akan diceritakan kepada Hajah Saniyah. Mulutnya bukan boleh tahan sangat. Kalau sudah berbual nanti takut pula dia menghamburkan kekesalannya terhadap Izham kepada uminya.
“Kau nak apa-apa? Aku nak sembahyang kejap, kalau nak apa-apa aku sediakan dulu!” Asma bersuara lagi sambil memicit-micit bahu temannya itu. Anizan geleng kepala. Dia terasa terharu dengan layanan Asma. Kawannya itu sanggup mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menjaga Anizan.
“Tak ada apa-apa, Asma, terima kasih sebab bantu aku selama ini!” titisan airmata itu bagaikan hujan turun. Dia sememangnya terharu dengan pengorbanan Asma. Temannya itu amat memahami.
“Dah le tu, kau ni asyik nangis je, aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau terkial-kial sorang-sorang!” pujuk Asma sambil ketawa kecil. Tubuhnya yang gempal itu terhinggut-hinggut.
“Cheh, kau ni kan, aku baru nak layan perasaan, kau gelak pulak!” Anizan tersenyum akhirnya. Dia memang bertuah dikurniakan kawan sebaik Asma. Sejak dulu juga, Asma yang sering bersamanya. Temannya di kala susah dan senang. Sejak dia mengenal alam dewasa, Asma juga yang menjadi kakak dan kadangkala menjadi seperti ibu, membebelkannya setiap masa.
“Aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau macam ni je… dah le tu, layan kau karang aku tak solat!” Asma menepuk bahu Anizan.
Dia kemudian terus menuju biliknya. Sejak tengah hari tadi dia meneman Anizan melayan tetamu yang datang. Lepas Izham, datang pula Fahril. Dia langsung tidak mengenali Fahril, tetapi sejak dua tiga kali lelaki itu datang, dia terasa lebih baik Anizan berkawan dengan Fahril daripada Izham yang langsung tak gentlemen. Tapi siapalah dia mahu memberi pandangan itu. Anizan sudah tentu tidak dapat melupakan Izham begitu sahaja. Dan mana mungkin Anizan menerima Fahril dalam sekejapan hubungan mereka.

Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Novel Kasih Aryssa

Ulasan ni ditaip oleh seorang staff di UKM, Anyss aku ambil dari blog dia http://annieyss.blogspot.com/

Sinopsis
Aryssa adalah anak tunggal. Dia merupakan seorang pelajar Kolej Perdana yang berperawakan ala tomboy. Dia menunggang motosikal suzuki, berperawakan seperti lelaki dengan berambut pendek, mengenakan cap terbalik dan sering berbaju T longgar. Dia mempunyai sahabat rapat sejak di sekolah rendah, iaitu Wani. Perawakannya seakan lelaki itu menyebabkan dia menjadi buruan Pengkid.

Dalam novel ini, Mardina Mohd Jamil telah menyatakan dengan jelas tentang pandangan Aryssa berkaitan pengkid. Sekalipun Aryssa berperawakan seperti lelaki, bergaul dengan rakan-rakan pengkid, namun dia masih lagi gadis Melayu yang berpegang teguh kepada agama dan budaya. Menghormati orang tua dan mengamalkan budaya Melayu. Perubahan penampilan, perawakan dan sikap Aryssa berpunca kekecewaannya terhadap Amir Hizam. Amir Hizam adalah kekasih hati Aryssa sejak zaman persekolahan. Dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada hari keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Akibat kemalangan tersebut, dia telah lumpuh. Sikap rendah diri Amir Hizam buatkan lelaki itu menghilangkan diri tanpa sebarang pesan. Aryssa sangat kecewa dengan sikap arjuna hatinya ini hingga dia bertekad untuk tidak lagi menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya. Apabila dia mengubah penampilannya seperti tomboy, dia beranggapan lelaki tidak akan berminat lagi untuk bercinta dengannya.

Aryssa bermusuh dengan seorang romeo di kolej tersebut, Fizal. Mereka tidak sebulu sejak pertama kali bersua. Asal sahaja bertembung, perang akan meletus hingga ada ketikanya melibatkan pertelingkahan fizikal. Aryssa bencikan Fizal kerana sifat romeo lelaki itu yang suka mengumpul koleksi perempuan, sedangkan Fizal tidak sukakan Aryssa kerana penampilan gadis itu yang menyerupai tomboy. Dia beranggapan, seorang perempuan perlu menjadi perempuan, bukannya cuba mengubah diri menjadi lelaki.

Aryssa yang marah dengan sifat romeo fizal, terutama setelah dia tinggalkan ramai gadis hanya kerana rupa paras, telah menyamar menjadi Syarina Wirdayu. Setiap malam Syarina Wirdayu akan menelefon Fizal pada jam 10 malam hingga Fizal tergila-gilakannya. Aryssa nekad untuk kecewakan lelaki itu sehingga akan diingati Fizal sepanjang hayatnya agar lelaki itu mengetahui bagaimana rasanya apabila dikecewakan. Namun, perlahan-lahan Aryssa kian menyukai Fizal. Begitu juga Fizal, walaupun dia tidak menyedari bahawa Syarina Wirdayu yang dirindui sepanjang masa itu adalah Aryssa.

Ketika Fizal mendapat kemalangan jalan raya, dia lebih merindui Syarina Wirdayu kerana dia mula menyedari tentang teman-teman sekelilingnya yang hanya baik terhadapnya ketika dia glamour, sihat dan popular. Sekalipun tidak pernah bersua muka dengan Syarina Wirdayu, namun Fizal sangat yakin dengan kata hatinya bahawa Syarina Wirdayu adalah gadis impiannya yang sempurna. Dia sering menceritakan tentang hubungannya dengan Syarina Wirdayu kepada Wani.

Walaupun Wani tidak sukakan Fizal asalnya, tetapi apabila lelaki itu mendapat kemalangan jalan raya dan kehilangan rakan-rakan, Wani mula kasihankan Fizal. Dia sering menemani Fizal di kolej dan banyak membantu Fizal menjalani aktiviti harian, termasuk melakukan fisioterapi. Keakraban yang mula terjalin buatkan Wani mula jatuh cinta dengan Fizal. Namun begitu, apabila Fizal sering menyebut-nyebut nama Syarina Wirdayu yang tidak pernah wujud itu, menyebabkan Wani sangat cemburu. Dia mula sedar yang Fizal tidak pernah menganggap dirinya seorang kekasih tetapi hanya seorang rakan sekolej sahaja.

Aryssa telah menjadi musuh utama Wani kini. Dia telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa setelah gadis itu enggan undur diri dari hidup Fizal. Walaupun Wani telah membocorkan rahsia tersebut, namun Fizal tetap mahu menerima Aryssa. Dia mula menyedari keistimewaan Aryssa semasa majlis kesyukuran yang dibuat di rumahnya, terutama apabila terpandangkan Aryssa yang berkebaya. Aryssa yang menderita sakit buah pinggang akhirnya meninggal dunia akibat komplikasi walaupun Amir Hizam (tenuk-hensem) telah dermakan buang pinggangnya.


Watak dan Perwatakan
Sebahagian daripada watak dan perwatakan dalam novelini adalah seperti berikut;

Aryssa
Aryssa adalah seorang gadis yang bersahaja. Dia merupakan anak tunggal dalm keluarga. Punya pendirian yang tetap. Ada wawasan diri. Ada nilai murni yang mantap dengan keislaman yang tinggi walaupun penampilan fizikalnya terlebih seperti seorang tomboy. Dia sangat menyayangi kedua ibu bapanya. Hormatkan orang tua.

Sangat setia dengan cinta pertamanya terhadap Amir Hizam. Kekecewaan terhadap cinta pertamanya membuatkan Aryssa mengubah perwatakan dari seorang yang lemah lembut dan feminin menjadi seorang tomboy yang kasar, melupakan perasaannya terhadap lelaki lain dan menunggu Amir Hizam kembali semula dalam hidupnya.

Aryssa telah menyamar sebagai Syarina Wirdayu semata-mata untuk memperdaya Fizal. Sekalipun Fizal adalah anak kepada rakan ibunya, tetapi sikap Fizal yang buaya darat itu buatkan Aryssa nekad untuk kenakan lelaki itu. Dia mahu Fizal tahu bagaimana perasaannya apabila dikecewakan. Aryssa nekad untuk membuatkan Fizal jatuh cinta kepadanya sebelum dia kecewakan lelaki itu kemudiannya. Namun, tanpa disedari, Aryssa akhirnya benar-benar jatuh cinta dengan Fizal sekalipun dia telah cuba untuk mengelaknya.

Walaupun Aryssa seorang yang berperawatak kasar, bergaul dengan lelaki dan pengkid, mengubah penampilannya seperti lelaki dan bermotosikal Yamaha, namun penulis novel ini telah memantapkan watak ini sebagai seorang muslimah yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni. Dia mempunyai akar dan arah tuju yang tersendiri, malah mengetahui dengan baik nilai-nilai moral, budaya dan agama. Al-qur’an dan hadis sentiasa menjadi pegangannya. Malah, dia telah berjaya menasihati watak Linda yang menyukai kaum sejenis (lesbian) dan membantu Danny yang dirogol.

Fizal
Fizal adalah anak sulung Mak cik Salina dan mempunyai seorang adik perempuan. Disebabkan dia berasal dari keluarga yang agak berada, berwajah sedikit macho dan sering menjadi rebutan gadis-gadis, Fizal dianggap buaya tembaga (romeo) di kolejnya. Dia mempunyai ramai gadis yang sudi menjadi kekasih hatinya sehinggakan dalam sehari dia bertukar pasangan beberapa kali. Walau pun begitu, apabila dia berjaya memikat Lydia, dia menjadi semakin bangga dengan pencapaiannya.

Fizal hanya berkawan dan rapat dengan gadis-gadis yang cantik sahaja. Apabila Suzana terlibat dalam kemalangan mengakibatkan wajahnya berparut, dia telah tinggalkan gadis itu kerana malu dilihat oleh rakan-rakannya. Sikap buayanya itu membuatkan Aryssa telah mempermainkannya.

Aryssa merupakan musuh ketat Fizal. Dia tidak boleh bertembung langsung dengan gadis tomboy itu. Setiap kali bertembung, pasti akan berlaku pertengkaran mulut. Adakalanya turut melibatkan kekasaran fizikal. Aryssa pernah menghentak kepalanya dengan topi keledar menyebabkan Fizal sangat meluat untuk bertembung dengannya. Bagi Fizal, kewujudan tomboy mewujudkan persaingan lelaki untuk merebut hati gadis. Baginya juga, adalah tidak wajar untuk seseorang mengubah takdir hidupnya yang telah ditentukan Allah sejak azadi lagi sebagai seorang perempuan.

Fizal telah menerima panggilan telefon daripada Syarina Wirdayu pada jam sepuluh setiap malam hingga dia akhirnya sangat merindukan gadis misteri itu. Syarina Wirdayu telah menjadi teman bual dan luahkan isi hatinya dalam semua hal. Ini lebih-lebih lagi apabila dia terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan terlantar di hospital selama dua minggu. Semasa terlantar inilah dia mula menyedari yang semua rakannya hanya mendampingi semasa dia senang sahaja. Apabila dia ditimpa musibah dia telah kehilangan semua rakannya. Pada masa ini kehadiran Syarina Wirdayu benar-benar telah menjadi penguat semangatnya.

Apabila dia kembali ke kolej semula, dia mula sendirian tanpa teman-teman. Wani kasihankannya dan mula menemani Fizal. Semua perasaan, rindu, pandangan dan pendapatnya terhadap Syarina Wirdayu telah diceritakan kepada Wani. Namun dia terkejut apabila Wani menjelaskan bahawa Syarina Wirdayu yang menjadi pujaannya itu adalah Aryssa.

Sekalipun dia tidak menyangka Syarina Wirdayu adalah Aryssa, namun Fizal tetap tidak berubah hati. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat keayuan dan sifat kewanitaan Aryssa yang terserlah semasa mengunjungi rumahnya pada hari diadakan majlis kesyukuran sempena dia kembali ke rumah selepas keluar hospital. Pada hari tersebut, dia nampak Aryssa sangat cantik berkebaya. Namun, kasihnya yang baru berputik kepada Aryssa tidak kesampaian. Gadis pujaannya itu telah meninggal dunia kerana menghadapi komplikasi akibat pembedahan buah pinggang.


Wani
Wani adalah seorang gadis yang lemah lembut, menjadi sahabat Aryssa sejak sekolah. dia meminati Zastri, pelajar popular dari kolej lain. Namun semua itu hanyalah dalam impiannya sahaja kerana pelajar romeo seperti itu tidak akan menyedari tentang kewujudan pelajar tidak popular seperti Wani.

Wani tidak sukakan Fizal kerana lelaki itu buaya darat yang mempunyai koleksi teman wanita yang ramai. Pelajar wanita yang tidak lagi disukainya akan ditinggalkan begitu sahaja. Apabila Aryssa mahu kenakan Fizal, Wani turut bersetuju. Namun selepas Fizal terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan kawan-kawannya, Wani mula mendekati dan berkawan rapat dengan Wani. Lama kelamaan, Wani mula sukakan Fizal.

Apabila Fizal sering ceritakan tentang Syarina Wirdayu kepadanya, Wani rasa sangat cemburu. Fizal terlalu mengagungkan Syarina Wirdayu menyebabkan Wani rasa sangat sakit hati. Dia akhirnya minta Aryssa hentikan lakonannya sebagai Syarina Wirdayu dan tidak mengganggu Fizal lagi. Namun, apabila Aryssa tidak mengikut kemahuannya, Wani telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa. Dia beranggapan Fizal akan membenci Arysssa apabila mengetahui pembohongannya itu. Namun, dia tersilap kerana Fizal tetap menerima Aryssa. Akhirnya dia sangat menyesal dengan perbuatannya dan kehilangan seorang sahabat baik.

Amir Hizam
Amir Hizam seorang pelajar terbaik semasa di sekolah. Dia juga aktif dalam bidang sukan. Dia berjaya menambat hati Aryssa. Pada hari diumumkan keputusan peperiksaan SPM, dia mendapat kemalangan jalan raya hingga membuatkan dia lumpuh. Sejak itu, dia mula rasa rendah diri dan menghilang tanpa khabar berita.

Dia telah menggunakan id sebagai tenuk_hensem semasa berbual dengan masengger di Yahoo Masengger. Dia sering menasihati Aryssa secara online setiap kali gadis itu menghadapi masalah tanpa disedari identitinya oleh Aryssa. Dia juga telah dermakan buah pinggangnya kepada Aryssa tanpa diketahui gadis itu walaupun pemindahan berkenaan tidak berjaya.



Apa yang best pasal novel “Kasih Aryssa”

Sekalipun novel ni taklah tebal sangat, kira boleh sudahkan pembacaan sekali harung saja, namun ada banyak perkara istimewa tentangnya yang boleh kita dapat. Antaranya;

i. Isu semasa, terkini, berlaku di sekitar hidup kita
Isunya biasa sahaja dan sering dialami oleh manusia biasa yang lain. Bukannya kisah orang-orang kaya, puteri raja atau manusia dari planet lain yang hanya ditemui dalam dongeng. Isunya tentang kasih sayang, tentang jiwa remaja, tentang pengkid, tentang mat romeo, tentang persahabatan.

Apa yang dipaparkan adalah apa yang sering berlaku di sekitar pembaca. Tentang jiwa remaja yang ingin dicintai. Tentang salahlaku remaja terjerumus ke lembah lesbian, pengkid, kebebasan tanpa perhatian keluarga juga. Apabila isu semasa yang dipaparkan, maka pembaca akan lebih mudah merasai kesannya.


ii. Bahasa yang mudah, bersahaja dan segar
Bahasa yang digunakan pula mudah, bersahaja dan segar. Ada masanya menggunakan istilah-istilah yang biasa digunakan golongan remaja kini. Walaupun ada masa terlihat dicampurkan dengan istilah-istilah bahasa Inggeris, namun pada masa yang sama memaparkan realiti masa kini di negara kita. Perbualan masyarakat kita pada hari ini tidak lagi menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya, tetapi telah bercampur dengan pelbagai bahasa, dialek, slanga dan kependekan tertentu.


iii. Gaya penulisan yang tersendiri
Gaya penulisan Mardina juga tersendiri. Tidak menerima pengaruh daripada mana-mana penulis lain. Setakat ini, gaya ini nampak santai sahaja. Mudah faham. Untuk menilai gaya penulisan hanya berdasarkan satu novel sahaja memang tidak memadai. Jadinya, kita kena tunggu Dina tulis novel lain lagi. Biarpun begitu, tidak bermakna Dina tidak boleh ubah stail menulis. Ubah dan sesuaikanlah dengan apa-apa gayapun tidak mengapa kerana nanti akhirnya akan terserlah juga gaya penulisan bagaimana menjadi hak milik Mardina Mohd Jamil ni kan?

Proses ini sama juga seperti menyanyi atau berlakon. Kalau setakat satu drama atau satu lagu sahaja, identiti seseorang penyanyi atau pelakun itu masih lagi tidak dapat ditentukan. Lama kelamaan nanti, keistimewaan Mardina Mohd Jamil ini akan terserlah juga. apa yang penting bagi penulis, teruskan menulis. Berilah tugas mengkritik dan mengkaji karyanya itu kepada pengkaji dan pengkritik.

iv. Pandai simpan suspen. Dah nak habis baru pembaca sedar Aryssa ada sakit buah pinggang.
Novel “Kasih Aryssa” telah digarap pengarangnya dengan teliti. Pembaca tidak dapat mengesan kelainan kepada Aryssa sehinggalah dia dimasukkan ke wad kerana sakit. Kebijaksanaan menggarap rahsia ini telah diutarakan penulis sama seperti bagaimana pandainya Aryssa pandai menyimpan rahsia daripada orang lain termasuk sahabat baiknya, Wani. Padahal, Wani adalah sahabat Aryssa sejak zaman persekolahan.

Aryssa juga pandai menyimpan rahsia dirinya yang menyamar sebagai Syarina Wirdayu daripada pengetahuan Fizal. Sekiranya Wani tidak membocorkan rahsia tersebut, Fizal tidak akan mengetahuinya. Jadinya, pembaca tertunggu-tunggu bagaimana rahsia penyamaran Aryssa akan terbongkar dan apa akan berlaku apabila Fizal mengetahuinya.


v. Watak yang mantap
Watak Aryssa, Fizal dan Wani telah dibina dengan mantap. Penulis telah membina watak-watak ini sebagai watak yang tetap ada paksinya, iaitu Islam, berbudaya Melayu yang menghormati orang tua dan mempunyai pendirian sendiri. Watak yang mantap membolehkan perjalanan cerita lebih menyakinkan. Pembaca dapat menggambarkan kesemua watak secara keseluruhan dan lebih hidup secara sendirian, bukannya digerakkan oleh penulis. Gambaran inilah yang memantapkan watak.

Watak Aryssa contohnya, walaupun digambarkan sebagai seorang perempuan yang bertingkahlaku seperti lelaki, namun pemikiran, budaya, cara hidup masih lagi berlandaskan Islam yang menolak hubungan sejenis. Baginya, perkara yang bertentangan dengan Islam perlu dihindari. Berdasarkan perwatakan dan pemikirannya yang sebegitu, memberi gambaran kepada pembaca yang watak ini mempunyai identiti yang tersendiri. Penulis tidak memaksa watak ini mengikut kehendak atau ideologi penulis sahaja tetapi membiarkan perwatakannya sebagai gambaran naluri, pemikiran dan jatidiri Aryssa. Umpamanya, Aryssa melayan mak cik Salina dengan baik kerana hormatkan orang tua, apalagi sahabat ibunya. Walaupun hakikatnya, dia tidak sukakan Fizal.


Apa yang tak best “Kasih Aryssa”

i. Tangkap leleh. Kau dah buat aku bazirkan air matalah, Dina. Benci betul!
Tak best kat sini bukannya bermaksud tak bagus, hanyalah buatkan naluri seorang pembaca rasa tersentuh. Bazirkan air mata aku je (sesekali cuci mata apa salahnya...hu hu hu). Sebenarnya, apabila seseorang penulis berjaya buatkan pembaca terikut-ikut emosi semasa membaca novel, ianya dalah sesuatu yang sangat baik. Sebabnya, itu menandakan novel berkenaan berkesan. Pembaca mampu merasai, menghayati setiap emosi yang ada. Kalau pembaca ketawa, maknanya perkara lucu yang dipaparkan itu berjaya mencuit rasa lucu pembaca. Bila pembaca menangis, maknanya pembaca turut bersedih dan simpati dengan situasi berkenaan. Ini menggambarkan penulis dah berjaya menawan hati pembaca.

Kalau situasi lucu yang penulis gambarkan dalam novel, tetapi pembaca tidak mampu tersenyumpun, maknanya penulis kurang berjaya. Apalagi kalau mood sedih yang ditulis tetapi pembaca ketawa gelihati. Maknannya memang penulis itu perlukan ilmu psikologi yang lebih mantap. Jadinya, apabila mood sedih yang Mardina Mohd Jamil lukiskan dalam novel “Kasih Aryssa” berjaya membuatkan pembaca menangis dan terharu, sudah pastilah memberi maksud yang sebahagian daripada novel ini telah berjaya menawan hati pembaca.

Kasihan air mata aku, telah dibazirkan...(hu hu hu)

ii. Bahasa: ada masa bahasa yang digunakan tergantung sifatnya.

Bahasa menjadi perantara yang sangat penting dalam sesebuah penulisan. Melalui bahasalah penulis mampu menterjemahkan perasaan, mengemukakan emosi, menyerlahkan pemikirannya. Kekuatan masej yang dikemukakan juga dapat dimengertikan melalui penggunaan bahasa. Tanpa penggunaan bahasa yang menarik, tepat dan pemilihan kata yang sesuai, sudah pasti akan berlaku kekeliruan. Sudah pasti juga tidak mampu menonjolkan agenda penulis dalam karya.

Sastera kreatif mempunyai mempunyai lesen yang besar dari sudut bahasa. Maknanya, penulis bebas mengolah bahasa mengikut citarasanya sendiri. Maknanya juga, penulis boleh tunggang terbalikkan bahasanya sesuka hati mengikut keperluan. walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bermakna penulis boleh menggunakan bahasa, ayat atau sengaja menonggang terbalikkan bahasa mengikut kehendak hatinya tanpa alasan yang kukuh. Paling-paling tidakpun bersandarkan gaya penulisan penulisnya. Namun, kalau sekiranya alasan “gaya penulisan” yang digunakan sebagai lesen kebebasan itu, sudah pasti pula berlaku keseragaman penulisan dari awal hingga akhir.

Rahman Shaari dalam dua novelnya, novel Burok dan (sebuah lagi aku dah lupa daaaaa) telah menggunakan terlalu banyak kesalahan ejaan, tanda baca, tatabahasa dan sebagainya berkaitan bahasa kerana memprotes tentang penggunaan bahasa yang salah dalam masyarakat Malaysia. Jadinya, itu adalah salah satu cara atau starategi Rahman Shaari kemukakan protes. Bermakna, semua kesalahan dan kesilapan yang disengajakan itu perlu diterima. Tidak salah. Namun, sekiranya penulis menulis tentang hal yang lain, tanpa tujuan berkaitan bahasa, atau tiada apa-apa maksud pun berkaitan bahasa, makanya...adalah terlebih baik elakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak sempurna dalam tulisan.

Mardina Mohd Jamil dalam “Kasih Aryssa” menggunakan ayat yang sempurna secara keseluruhannya. Menarik, mantap, indah dan ada masanya membuai perasaan. Namun begitu, ada waktu-waktunya penulis ini “terbabas” juga dengan bahasa yang tidak gratis. Sekalipun masih lagi tidak dianggap salah kerana karya sastera ada lesen kebebasan yang besar itu, namun, sedikit sebanyak agak mencacatkan. Sebabnya, ia berlaku di beberapa tempat sahaja. Pada bahagian-bahagian lain, tidak ditemui. Ini bermakna, semasa proses editing, penulis terlepas pandang hal seperti ini (Aku tahu Dina, kau memang kejar waktu untuk hantar pada masa tu, sebab itulah boleh terlepas pandang. Untuk novel akan datang, moga lebih hati-hati).

Contoh 1:
Kemudian menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi. Tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting. (hal. 51)

Cadangan:
Dia (mungkin juga boleh letak nama Aryssa) menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi, tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting.


Jika di internet, kadang-kadang dia keliru dengan nada yang harus dibaca. Sama ada apa yang ditaip itu berunsur marah atau sebaliknya. (ayat ni tak gramatis. Boleh diubahsuai dengan macam-macam cara)
Tetapi semenjak dia mengenali YM, orang yang sering membuatkannya ketawa adalah si tenuk_hensem. (hal 52)

Mungkin juga ada cara lain yang lagi baik dari cadangan ini.

Kalaupun penulisan kreatif ada lesen besar untuk “menyalahkan” bahasa, namun hakikatnya, apabila kita sering menggunakan perkataan atau bahasa yang salah, lama kelamaan perkara yang salah itu dianggap betul. Maknanya, untuk memartabatkan bahasa Melayu, penulis perlu gunakan bahasa yang betul. Secara tidak langsung penulis telah mendidik pembaca tentang penggunaan bahasa yang betul. Hal sebegini perlu ditanam dalam diri setiap penulis kerana mereka antara agen yang akan memartabatkan bahasa Melayu.


Anugerah Bintang
Novel “Kasih Aryssa” aku bagi 8 bintang daripada 10 bintang yang ada di langit. Sebagai novel sulung, pencapaiannya memang baik. Kira macam dah sempurnalah, walaupun masih boleh ditambah lagi mutunya di sana sini. Tahniah.


i. Tambah konflik, suspen,
Membaca novel sama seperti menonton telenovella. Semakin banyak konflik dicipta, semakin baik dan turun naik plotnya, semakin banyak jugalah suspen yang akan ditemui. Memandangkan “Kasih Aryssa” adalah novel pertama Mardina Mohd Jamil, sudah pastilah konflik, suspen, turun naik plotnya tidak sebanyak telenovella kat TV atau macam drama Spa Q.

Semasa tulis manuskripnya, penulis akan rasa dah tebal sangat dah (double spesing dan diprint sebelah halaman sahaja). Namun, selepas dicetak, barulah sedar itu belum begitu tebal. Jadinya, untuk novel akan datang, dah pasti Dina boleh agak berapa banyak halaman atau berapa tebal yang dia mahukan. Menambah halaman atau ketebalan novel bermakna menambah plot, cerita, konflik dan pengisian di dalamnya. Suspen demi suspen yang ada dalam novel buatkan pembaca tidak sabar untuk menyudahkan pembacaan, kemudiannya rasa puas dengan penyelesaian. Walau bagaimanapun, penulis juga perlu pandai menyembunyikan penyelesaian dan suspen itu. Ia seakan perang psikologi antara pembaca dan pengarang.

Pengarang perlu tahu mengagak apa yang pembaca fikirkan. Berdasarkan itu, penulis akan cuba lencongkan hal itu (apa yang pembaca agak agar tidak sama dengan tebakan pembaca) hingga buatkan pembaca terkejut kerana anggapannya tidak benar. Suspen sebegini memang digemari pembaca, namun pada masa yang sama menggugah pengarang. Cara sebegini biasanya ditemui dalam novel berbentuk penyiasatan. Peminat Ramlee Awang Murshid mesti lebih tahu tentang tektik ini. Hal ini akan menyebabkan pembaca rasa seronok. Pembaca tahu, penulis berkenaan sengaja bermain-main dengan pembaca.

ii. Isu-isu semasa
“Kasih Aryssa” memang dah kemukakan isu semasa yang terdapat di sekeliling kita pada masa ini. Syabas, inspektor Shahab!

Bila nak tambah konflik dan suspen, lebih banyak isu semasa dari persekitaran boleh disisipkan seperti PPSMI, pengangguran, ragut, rempit, dadah, GRO, buang bayi, pelacur kelas atasan, gejala sosial, penipuan siber, mangsa ah long, pengabaian warga tua, dan banyak lagilah. Semua benda itu pula boleh dilihat dari sisi positif dan negatif. Tidak semestinya apa yang ditulis itu perlu baru seratus peratus, boleh juga isu itu di perbaharui mengikut situasi semasa.

Kisah Si Tanggang umpamanya, bukan sahaja berlaku pada zaman dahulu. Dalam situasi yang berbeza, Tanggang wujud setiap masa. Anak lulusan universiti yang agung mencipta pelbagai penemuan atau menjadi jutawan pun ramai yang derhaka kepada ibu bapa. Bagaimana pula dengan sikap ibu bapa yang menuntut anak-anak menjadi Tanggang? Ataupun, apa perasaan dan trauma yang dihadapi oleh mangsa bencana seperti tsunami? Apa perasaan anak-anak yang terpaksa melihat sendiri kekejaman ahlong yang menyiksa keluarga mereka?

Terlalu banyak kan perkara yang boleh ditulis dalam dunia yang luas ini?

iii. Pelbagaikan emosi.
Mengapa filem Hindi lebih disukai untuk ditonton bermanding filem tamil? Filem Tamil lebih banyak paparkan realiti, jadi tarikan emosinya agak kurang berbanding filem Hindi yang lebih banyak memberi harapan, impian, dan menyimpan lebih banyak angan. Lebih banyak emosi di dalamnya.

Lebih banyak bauran emosi yang wujud dalam sesebuah novel akan dapat membuai lebih banyak perasaan dan harapan pembaca. Pembaca akan menangis, ketawa, dan tersenyum. Dalam novel yang sama pembaca turut rasa geram, sedih, sakit hati, lucu, dan sebagainya. Kepelbagaian emosi ini akan menyentuh hati pembaca.

Sekalipun sesebuah novel itu meletakkan kegembiraan pada klimaksnya, tidak bererti pengarang tidak boleh sisipkan kesedihan, putus asa, sakit hati, geram, benci dan dendam dalam novel yang sama. Semua perasaan itu akan menampakkan bahawa novel itu benar-benar hidup sebagaimana kehidupan seorang manusia yang berbaur emosinya juga. Ada masa kita menangis, ada masa yang lain kita ketawa. Kadang kala kita juga geram, benci, sakit hati dan kadang-kadang rindu juga. Berwarna warni kan hidup ni?

Mmmm panjang sangatlah pulak ulasan ni. Apapun, secara keseluruhannya, “Kasih Aryssa” yang ditulis Mardina Mohd Jamil memang novel yang mengagumkan. Tak percaya? Beli, kemudian baca. Aku memang percaya suatu hari nanti korang akan tertunggu-tunggu novel keduanya, kemudian novel barunya...kemudian novel barunya yang lain lagi. Dia memang penulis yang berbakat besar.

Hanya satu je pesan aku; tulislah sesuatu yang baik untuk kebaikan sahaja. Tiap apa yang kita tulis akan dapat sahamnya di akhirat. Jadi, niat kena betul. Moga-moga pengajaran baik dari apa yang kita tulis di dunia ini berikan saham yang baik untuk kita di kemudian hari.

Tuesday, June 2, 2009

Karya Sulong Dinakarya

Keluaran CESB... dapatkan di pasaran sekarang!
Ditinggal sepi sewaktu kasih mekar bersemi menyebabkan Aryssa tertunduk lesu. Terasa alam berhenti putar. Terasa bulan tiada terangnya. Bintang pun seakan tidak bersinar lagi. kejamnya pujaan hati membiarkan dia terus berharap, seolah-olah cinta iti tiada nilainya. Namun kasih Aryssa semakin menggunung tinggi hingga takkan dapat dicapai oleh insan lain yang bernama lelaki,. Pintu hati ditutup rapat sehingga tiada ruang utk yg lain bermukim namun takdir yang menyelinap masuk, takkan sesekali dapat dilingkari. di saat hati masih melawan rasa kasih yang terdampar sepi jiwa pula mendambakan sinar cinta yang semakin menghampiri. Aryssa pasrah. Kerana bagi Aryssa sekali dia mencintai, selamanya kekal dihati. Walaupun jauh di sudut hati, dia akur dengan ketentuan Ilahi.

Monday, May 25, 2009

Yang Kalut Di Fikiran-Akhir

“Wan, saya terpaksa pergi!”
Mazwin senyum nipis memandang wajah lelaki di hadapannya. Dia berat mahu meninggalkan tanah air. Tetapi dia terpaksa lakukan. Tempatnya dan Puteri bukan di sini. Mereka ada kehidupan di bumi Perth. Mazwin ada tanggungjawab di sana. Dia harus ke sana melunaskan tanggungjawabnya.
“Jaga diri baik-baik ye. Puteri jangan lupakan Papa, ye sayang!” pesannya.
Syahirwan tunduk memeluk satu-satu anaknya itu. Pelukan itu berbalas. Dikucupnya pipi anak kecil itu berkali-kali. Pertemuan mereka yang sekejap itu harus di penuhi dengan bukti kasih sayangnya. Dia tahu selama ini Mazwin masih meragui kesetiaannya. Dia juga faham Puteri sukar menerima kehadirannya dalam hidup mereka.
Puteri langsung memeluk Papanya. Satu-satunya papa yang ada di dunia. Sekarang tiada lagi daddy Rio. Hanya Papa yang cuba memberi kasih sayang.
“Papa, jangan nakal-nakal! Nanti kalau Mama mahu pulang ke Malaysia, Puteri mahu tinggal lama dengan papa!” esakan Puteri kedengaran.
Walau tidak sekuat esakan semasa mengiringi pemergian Rio. Tapi ternyata anak itu dilanda kesedihan lagi. Kematian Rio dan kehilangan Syahirwan dalam suatu masa terdekat amat memilukannya.
“Tidak sayang! Papa janji, Puteri dengan Mama saja di hati papa!”
Sebak dada Syahirwan kerana pesanan itu. Selama Mazwin di sini dia sudah memberi keyakinan untuk mereka hidup bersama semula. Tetapi wanita itu langsung tidak pernah memberi kesempatan. Walau sudah berkali dia berjanji, namun wanita itu tetap teguh dengan pendirian. Mungkin kecewa dengan sikapnya yang dulu atau Mazwin masih belum dapat menerima pemergian Rio.
“Wan, kalau ada jodoh, kita bersama! Kalau tiada, carilah gadis yang lebih baik dari saya. Saya redha!” ucap Mazwin sebelum dia mahu mengangkat begnya.
Hampir sebulan dia berada di bumi Malaysia. Sebulan itu juga dia melampiaskan rindu pada suasana tanah tumpah darahnya. Kini, dia harus meninggalkan tanah itu. Dia punya tanggungjawab di sana. Walau dia tahu, dia juga tidak kuat untuk mengharungi hidup di bumi orang tanpa Rio. Selama ini Rio juga menjadi kekuatannya.
“Saya tunggu Mazwin, InsyaAllah!” ucap Syahirwan dalam tegas.
Amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan Mazwin padanya. Terlalu payah untuk memujuk wanita itu menerimanya. Puteri sudah dapat menerimanya walau separuh hati. Namun Mazwin bagaikan sukar melupakan memori pahit yang dulu.
Hanya senyuman Syahirwan mengiringi mereka. Syahirwan melambai Puteri. Lambaian penuh makna. Dia akan cuba memenangi hati anak itu lagi. Cuba meleraikan kekalutan hati Mazwin. Dia tahu, tiada siapa lagi di hatinya selain Mazwin. Sejak dulu.

*************

“Kau lepaskan dia pergi Wan?” Zaharah merenung anaknya yang baru pulang. Anak itu mengangguk lemah.
Dia tahu semua itu mengundang rasa tidak senang ibunya. Bukan dia tidak mahu menahan Mazwin. Sudah hak Mazwin untuk meninggalkannya. Dia sudah mula dapat terima yang Mazwin bukan haknya lagi.
“Maafkan saya ma, saya tak mampu nak halang dia,” ujarnya lemah. Dia merenung wajah ibunya. Tanda mahu dimaafkan. Kucupan maaf itu singgah di belakang tangan ibunya.
“Kalau kau lemah macam ni, macam mana dia nak yakinkan diri dia yang kau masih perlukan dia?” Zaharah memberi bahas.
Dia mahukan Mazwin menjadi sebahagian keluarganya. Lagipun Mazwin membawa satu-satunya cucu yang mereka ada. Dia sayangkan Mazwin lebih dari anaknya. Kerana Syahirwan yang membuat onar dia juga merasakan kehilangan satu-satunya menantu perempuan yang disayangi.
“Mama, saya benarkan dia berfikir dulu sebelum menerima saya. Saya tahu saya banyak kelemahan, saya pun terseksa ma…” airmata sulungnya menitis. Sejak tadi dia menahan air mata. Semenjak Mazwin menyalaminya. Terasa kehangatan sentuhan bekas isterinya itu.
Dia tahu dia terasa sangat kehilangan wanita itu. Dia terseksa kerana diri sendiri. Kasih sayang mereka juga dia yang mulai dulu kemudian dia juga yang mengkhianatinya. Dia yang memulakan dendam. Namun dia tidak mampu untuk leraikan. Mazwin langsung tidak bersalah. Syahirwan yang harus dipersalahkan. Namun entah mengapa hati ego ini langsung tidak mahu mengalah. Menunduk untuk menginsafi diri sendiri. Bila Mazwin sudah pergi bagai segalanya berlegar semula di fikiran.
Syahirwan meraup wajahnya. Dia kian menginsafi diri sendiri. Cuma masanya sudah terlewat. Mungkin tiada lagi ruang untuk dirinya dalam hati Mazwin.
“Sudahlah Wan, hari dah nak masuk Asar, pergilah naik atas, solat, minta pada Allah bukakan pintu hati Mazwin…” Zaharah menepuk bahu anak itu. Anak itu sudah mengakui kekhilafannya. Syahirwan cuma akur. Dia bangun menuju biliknya. Memohon kepada Allah untuk memberi kekuatan dan mengembalikan wanita yang amat dikasihinya.
Dia keluar rumah sejak lepas Asar tadi untuk mencari tenang. Teringat tawa Puteri. Terngiang suara anak kecil itu memanggilnya Papa. Dia khilaf menyangka bukan-bukan terhadap Mazwin. Syahirwan menghela nafas. Kereta di parkir ke tepi jalan. Rumput di Padang Polo basah ditimpa hujan. Sejak pagi tadi hujan bagai mengiringi kepergian Mazwin dan Puteri. Hatinya juga dilanda hujan lebat. Cuma matanya bagaikan berat menitiskan. Sebal di dada bagaikan tidak tertahan.
Syahirwan keluar dari perut kereta. Kasut kulitnya mencecah ke lantai parkir yang basah. Suasana amat muram sekali. Sesekali air hujan menitis dari daun dan ranting bila di tiup angin. Syahirwan menyeka titisan air jernih itu. Dia berdiri tegak menghadap padang yang hijau dan basah.
Di sini tempat kenangannya bermula. Dan dia tahu ianya tidak akan berakhir di sini. Taman Polo menjadi diari rahsia percintaannya dan Mazwin. Betapa dahulunya dia yang tertewas dengan nafsu sendiri. Sanggup menduakan wanita yang mengasihinya.
Sekarang Syahirwan sedar. Kasih sayang yang berpundak di hatinya selama ini hanya untuk seorang wanita yang pernah dicemuhnya. Dia sedar wanita itu juga yang merelakan benihnya tersemadi menjadi zuriat yang tidak pernah dia kenalinya.
Titis hujan membasahi rambutnya. Dia mengirai rambutnya ke belakang. Berpeluk tubuh. Ada beberapa pasangan yang baru sampai melabuh duduk di bangku batu yang semakin kering.
Kalaulah Mazwin ada, pasti mereka sedang bergelak ketawa melihat gelagat Puteri bermain di gelanggang permainan. Alangkah indahnya kalau itu yang dapat dilakukan kini. Mempunyai Puteri dan Mazwin sekaligus melengkapkan hidupnya. Namun apa boleh dia lakukan. Takdirnya begitu. Dia harus mengikut kehendak takdir.
“Awak masih mahukan saya dalam hidup awak?” suara itu tiba-tiba hadir dari belakang. Syahirwan menoleh.
“Mazwin!” itu sahaja perkataan yang mampu diucapkan.
Dia terperanjat dengan kehadiran wanita itu. Kelihatan Mazwin berdiri tegak di belakangnya. Tersenyum manis dengan tudung bewarna krim. Dia akui, wanita itu sentiasa cantik di matanya.
“Saya masih di hati awak?” soal Mazwin lagi.
Saat itu Syahirwan mengangguk laju. Dia merapati Mazwin. Setitis airmatanya gugur di pipi. Dia memegang erat tangan wanita itu. Genggamannya di balas. Dia tidak bermimpi, doanya dimakbul Tuhan.
“Awin selamanya berada di hati abang!” ucapnya dalam bisikan.
Terima kasih Tuhan, kerana mendengar setiap rintihanku. Terima kasih Tuhan kerana menghadiahkan semula Mazwin dan zuriatku. Terima kasih Tuhan untuk segala yang kau takdirkan untukku. Aku berjanji tidak akan mempersiakan mereka lagi.
Di Taman Polo ini, cinta mereka bertaut semula. Pucuk kasihnya mekar di sini. Dan Taman Polo menjadi saksi cinta mereka lagi. Cinta yang akan di bawa ke Akhirat. Cinta untuk selamanya.