Monday, June 23, 2008

MmmBoopp… I MISS U!


Safwan Hanafi merenung kalendar di dinding, sambil menghitung hari untuk bertemu teman baiknya sewaktu zaman kanak-kanaknya, Asha Nadia. Sejak dia mengikut mama dan abahnya berpindah ke Perth dua belas tahun lalu, tiada khabar berita yang pernah didengar dari Asha Nadia. Cuma pada tahun pertama sahaja mereka berbalas e-mail, namun apabila masing-masing menginjak ke sekolah menengah, masing-masing sibuk dengan aktiviti seharian yang tidak memberikan ruang untuk mereka berbalas perutusan. Teringat-ingat kenangannya bersama gadis comel yang selalu bertocang dua. Mereka akan ke sekolah bersama dan Asha akan membonceng basikalnya. Dulu, Safwan Hanafi merupakan seorang kanak-kanak yang montel namun kerana kata-kata semangat dari Asha dia berubah sekarang, perubahan yang ingin dikongsi bersama Asha Nadia.
“Kalau Wan nak kurus, Wan kena kayuh basikal laju-laju… barulah lemak kat badan Wan tu pecah…!” itulah diantara kata-kata semangat dari Asha yang masih diingatinya. Sewaktu itu juga dia sering menjadi mangsa ejekan dan tiada siapa yang sudi untuk berkawan dengan budak gemuk sepertinya, kecuali Asha Nadia. “Hoi! Gemuk! Kalau kau nak main, kau masuk geng Atan… aku tak nak ambik kau masuk geng aku, nanti kalah!” kata-kata Tajul masih segar diingatannya.
“Apa pula masuk geng aku, tak mahulah! Kau tak payah mainlah Gemuk, biar aku tak cukup orang nak main janji kau jangan masuk geng aku, nanti kalah, kau tak kuat lari, lagipun badan kau gemuk senang je orang nak capai kau!” balas Atan pula, kawan-kawan yang lain, Fuad, Hashim, Cha’un dan yang lain-lain tu ketawa mengekek. Begitulah setiap kali dia mahu menyertai mereka bermain galah panjang. Di kala itu juga Asha datang dalam nada memujuk, “Wan… mari kita main masak-masak. Wan jadi ayah, Asha jadi mama, Tini dengan Shamsiah jadi anak-anak!” Saat itu terngiang tawa dan kata-kata ejekan Tajul, Cha’un, Fuad, Hashim dan Atan, selalunya Asha akan membelanya. Gadis kecil itu juga sering menjadi penemannya di kala dia perlukan seseorang untuk berbicara. Asha Nadia juga tempat dia meluahkan rasa di saat dia kecewa dengan dirinya, walaupun waktu itu umur mereka baru sebelas tahun, tapi dia dapat rasakan suatu hari nanti dia akan menjadi pelindung kepada Asha Nadia.
Macammana la rupa kau sekarang Asha? Sure cute giler macam dulu… kau tunggulah kedatangan jejaka macho yang bakal menawan hati kau ni!!!
Perjalanan dari KLIA ke daerah perkampungannya mengambil masa selama empat jam dirasakannya bagaikan bertahun, tak sabar menatap wajah comel Asha yang selama ini sering hadir dalam mimpi indah Safwan Hanafi. Selalunya dalam mimpi itu Asha akan datang bersama senyuman dan memegang sekuntum mawar merah yang dihadiahkannya… indahnya mimpi itu!!!
“Wan!!! Bangunlah, kita dah sampai ni! Ya Allah!!! Tidur sampai meleleh air liur basi?!!” jerit Maziah ke telinga anak bujang tunggalnya itu. Kelam-kabut Safwan menyeka air liurnya.
Mana ada air liur basi… mama ni saja je nak bagi aku malu! Nasib baik Asha tak ada di sini kalau tak mesti dia kata aku ni pengotor! Rungutnya dalam hati.
Safwan Hanafi terus keluar dari kereta pacuan empat roda kepunyaan Uncle Zain. Dia merenung banglo lama peninggalan arwah Atuk sebelah abah yang selama ini dijaga rapi oleh Uncle Zain, adik bongsu abah. Matanya kemudian pantas mencari gadis yang selama ini cuma hadir dalam mimpinya, namun tiada. Puas dia mencari kelibat gadis itu di celah-celah pokok bunga raya di sebelah rumah, lagipun rumah arwah atuk dan rumah Asha hanya bersebelahan dan cuma dipagari rimbunan pohon bunga raya. Dia meninjau lagi, mana tahu Asha sengaja menyorok nak buat kejutan padanya. Atau pun Asha tak tahu dia balik, itu barulah best… mesti Asha terkejut beruk tengok perubahan pada diri Safwan.
“Wan! Apa yang kau tinjau lagi tu? Cepatlah angkat beg ni… Asha tu tak lari ke mana punya!!!” seloroh Uncle Zain. Safwan cepat-cepat ke kereta semula, malu bila di tegur begitu. Uncle Zain ni tak sporting langsung…
“Uncle tahu, kau rindukan Asha kan? Relaxlah… Asha belum balik lagi, dia belajar kat USM, esok baru dia balik… Pak cik Ripin sekeluarga dah pergi jemput dia balik dari asrama…” ujar Uncle Zain sambil menepuk bahunya lembut.
“Eh! Mana ada uncle… Wan tak teringat pun Asha tu yang mana? Wan saja je tengok-tengok… lain betul kampung ni kan? Tak macam dulu… jalan depan rumah pak cik Ripin tu pun dah berturap tar…banyak perubahan ye…” balasnya sekadar menutup malu. Nasib baik aku pandai cover. Tapi mama pula tersenyum-senyum dengan Uncle Zain… boring!

Sudah dua hari dia berada di kampung. Aktivitinya cuma menolong mama membersihkan kawasan belakang rumah.
“Hei! Orang Australia, bila sampai? Baru balik dah bercucuk tanam?” jeritan Mak Cik Ros membuatkan kedua beranak itu mengalih pandangan.
“Ros! Ya Allah! Lamanya tak jumpa! Kemana kau semalam? Puas aku tunggu, tak ada teman nak berborak!” mereka berpelukan, kemesraan itu membuat Safwan mengambil kesempatan meninjau ke kawasan sebelah rumah itu, tapi hampa.
“Eh! Ini Safwan Hanafi yang tembam dulu tu? Wah! Handsome anak teruna ni sekarang! Dah habis belajar?” soalan mak Cik Ros dijawab dengan anggukan.
“Err… mak cik Ros, Asha mana? Dah lama Wan tak jumpa dia!” akhirnya dia bersuara, sememangnya dia tidak dapat menahan diri untuk bertanyakan orang yang dirinduinya selama dua belas tahun ini.
“Ada kat rumah… letih katanya, baru sampai dari Penang semalam… tidurlah tu jawabnya. Kalau nak jumpa dia pergi je ke rumah, jangan segan-segan. Korang berdua kan memang rapat dari dulu? Apa nak dimalukan! Pergilah!” suruh mak cik Ros sebelum wanita hampir separuh abad itu mengekori mamanya masuk ke rumah.
“Betul ke ni Mak cik Ros? Wan pergi ye!” tanyanya pada wanita itu, mummy Asha yang sporting itu mengibas tangannya menyuruh pergi. Dapat green light dari mummy dia lah! Aku nak buat surprise, sure dia terkejut giler…
Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah bercat warna biru awan itu. Suasana begitu sunyi, maklumlah, Asha pun sama sepertinya, tiada adik-beradik yang lain. Menurut mama, Asha pernah ada seorang abang, tetapi umurnya tak panjang, akibat demam panas abang Asha meninggal dunia pada usia tak sampai dua tahun.
Safwan melihat gambar yang menjadi perhiasan, bingkai-bingkai yang cantik itu dipenuhi gambar Asha Nadia semasa kecil, bergaya comel dengan tocang duanya. Matanya terpandang pada sekeping gambarnya dan Asha dirakam sewaktu mereka menyertai pertandingan kostum di tadika. Asha bagaikan sedang dipaksa tersenyum dalam kostum ala Cinderella sedangkan kelopak matanya bergenang, manakala Safwan segak bagai Hang Tuah dalam kostum pahlawan Melayu. Terimbas lagi kenangan ketika itu, bila Asha menangis kerana tidak dapat memakai kebaya untuk dipadankan dengan Safwan, tetapi sejak kecil Safwan memang pandai memujuk, dipujuknya Asha supaya memakai kostum Cinderella, akhirnya gadis kecil itu mengalah.
Safwan tersenyum melihat foto-foto kenangan itu, rajin mak cik Ros menyimpan gambarnya sewaktu kecil. Bermakna, kenangannya bersama Asha juga tidak dilupakan gadis itu. Dan selama ini pintu hatinya tidak pernah dibuka untuk gadis lain, kerana hanya Asha Nadia sahaja yang selalu menjadi peneman dalam mimpinya.
“Mami! Orang laparlah! Mami masak apa?” suara itu membuatkan Safwan Hanafi terkejut, kemudian mengalih pandangan ke arah suara itu.
Dia tidak dapat lagi melihat tuan punya suara tapi apa yang didengarnya ada gegaran kecil seperti orang menuruni anak tangga. Dia sengaja menunggu gadis itu turun. Bila sahaja gadis itu muncul, Safwan Hanafi terperanjat. Gadis itu juga terjerit kecil.
“Encik cari siapa?” tanya gadis itu. Safwan Hanafi yang masih tercengang, tidak berganjak dari situ, dahinya mulai berpeluh.
“Err…emmm…saya, Safwan Hanafi. Asha tak ingat pada saya? Wan!” ujarnya, kali ini bukan Asha yang terkejut tapi Safwan yang terperanjat melihat Asha yang masih dalam baju tidurnya kini sudah jauh berubah, dulu comel tapi sekarang… comel dan montel! Namun itu tidak membuatkan dia melarikan diri, bukan dia tak mahu lari tapi dia tak sempat nak lari. Lagipun kalau dia lari, lambat laun mereka tetap bertemu. Biarlah bagaimana pun rupa Asha sekarang, dia mahu menjalinkan persahabatan seperti dulu.
Bersahabat je… bukannya bercinta, kalau Asha yang ditunggunya itu cune giler macam Asha dalam mimpinya setiap malam, harus juga dia nak bercinta. Tapi Asha di depannya sekarang, badannya tiga kali ganda dari Asha dalam mimpinya… lebih baik dia jalan pelan-pelan, kalau lari terus takut orang perasan le pulak, kang kecik ati pula si montel ni!
“Err…Safwan? Ooo… Wan, budak yang montel dulu tu ye? Eh! Dah lain sekarang ni… awak diet ke? Macam mana awak diet, awak bagitaulah saya… teringin betul saya nak kurus!!!” ujar gadis montel itu dalam tawa, terhinggut-hinggut badannya ketawa, apa yang kelakar sangat entahlah!
Memang Safwan gembira dapat jumpa Asha Nadia, walaupun hatinya sedikit kecewa dengan penampilan Asha sekarang, ingatkan dulu nak jadikan awek, tapi bila melihat keadaan gadis itu, dia berubah fikiran.
Takkanlah aku nak dating dengan si gemuk ni, hie! Tobat… kalau kawan-kawan kat Perth dapat tahu ni, sure lima enam tahun aku dijadikan bahan lawak. Tambah pula, Camelia, Rizani dan beberapa awek Malaysia yang belajar di sana yang pernah aku reject dulu hanya kerana menunggu Asha, tak pasal-pasal aku kena kutuk seumur hidup.
“Asha, Wan balik dululah, nanti Asha datang rumah Wan. Wan nak habiskan kerja Wan, oh ye! Mak cik Ros ada kat rumah Wan… tengah berborak dengan mama. Okey, Wan chow dulu…” dengan senyum kambing dia berlalu. Takut juga, kalau-kalau awek tembam tu jatuh cinta padanya. Dia pun ada aura yang senang buat orang jatuh hati.
“Eh! Wan, tunggulah, kita borak-borak dulu. Dah lama kita tak jumpa, Wan tinggal kat Perth kan? Macam mana ye kat sana? Sure best kan? Ada salji tak?” Asha menghalang laluan Safwan yang sudah menuju ke pintu. Dia serba salah, waktu itu dia memaki diri sendiri yang teringin sangat nak jumpa Asha Nadia. Kalaulah dia tahu Asha Nadia yang comel dulu sudah bertukar menjadi montel, sumpah dia tidak mengharapkan apa-apa!
Asha menarik tangan Safwan dan mengajaknya duduk bersama di sofa. Mahu tak mahu Safwan menurut. Takut juga, kang tak pasal-pasal dia smack down aku, lagi parah! Kalau dia hempap, aku… mahu terus gol ni!!!! Kalau macam ni, lebih baik aku sambung Master kat Perth balik, jumpa balik kawan-kawan dan awek-awek yang pernah kena reject dulu, mana tahu, masih ada lagi ruang untuknya dicintai oleh gadis-gadis jelita di sana.


Malam ini mama nak buat majlis makan malam dan jemput keluarga Asha dan beberapa jiran yang berdekatan. Mama dan abah memang rapat dengan jiran-jiran di sini sejak dulu lagi, jadi majlis itu adalah untuk memberitahu kepulangan mereka ke tanah air selepas dua belas tahun. Macam-macam lauk yang mama masak, mak cik Ros pula masakkan nasi beriani, memang kelass, dah lama tak makan nasi beriani mak cik Ros. Memang patut badan Asha jadi macam tu, sure dia makan nasi beriani tiap-tiap hari ni…
“Wan dah jumpa Asha semalam?” tanya mak cik Ros, sambil tangannya ligat membuat itu ini. Safwan pula duduk di meja makan sambil mengupas buah-buahan untuk dihidangkan waktu makan malam nanti. Nasib baik si montel tu tak datang awal dengan mummy dia, kalau tak parah juga nak layan.
“Dah, tapi sempat jugalah berborak, tapi tak lama, nantilah, ada masa terluang Wan nak ajak dia berborak lama sikit!” balasnya, sekadar mengambil hati wanita itu. Bukan apa takkan nak kata, aku tak suka kat anak dia, sebab anak dia gemuk! Kesian mak cik Ros, dia dahlah baik hati. Asha pun baik hati juga tapi disebabkan, bodynya tu buat aku susah hati.
“Hemm… itulah cerita dia dari sana Ros, tak habis-habis dengan Asha, tiap-tiap tahun, dia beli present hari jadi Asha, katanya dia nak simpan dan bagi Asha bila balik sini… Wan dah bagi ke dua belas hadiah yang Wan simpan tu?” mama membuka rahsia.
Aisey! Mama ni pun satu, langsung tak boleh simpan rahsia, takkanlah aku nak bagi juga hadiah pada si montel tu… hie! Tak berbaloi langsung… “Belum!” balasnya pendek, dalam senyum kelat.

Selepas sahaja solat Maghrib, Safwan ke dapur lagi, menolong mamanya menyediakan makan malam, selepas sembahayang Isyak, tetamu akan datang. Terdengar suara mak cik Ros riuh, mengarahkan anak gadisnya menolong itu ini. Dahlah gemuk, pemalas pula lagi tu, semuanya mummy dia yang buat… macam tu nak jadi calon isteri aku? Malam sikit… bisiknya dalam hati.
Safwan terus memasuki ruang dapur, menolong apa yang perlu, matanya terpandangkan seorang gadis yang sedang menghiris daun bawang. Cantik juga gadis ni, pembantu rumah mak cik Ros kot. Yang dia tahu semasa kecil dulu, Mak cik Ros ni memang suka ambil budak perempuan dari kampung untuk dibuat pembantu rumah. Tapi tak pernahnya yang kekal.
Safwan memandang sekeliling, tapi si montel tiada di dapur. Balik kot, maklumlah time buat kerja… time makan nanti tahulah dia datang balik. Fuh! Nasib baik, budak gemuk tu tak ada… tak adalah sakit matanya melihat si gemuk tu! Kalau tidak masak aku nak melayan kerenahnya.
“Eh! Mak cik Ros, mana Asha? Tadi macam dengar mak cik cakap dengan Asha!” tanyanya, sekadar memulakan perbualan di dapur.
“Tu belakang kau tu siapa? Baru jumpa semalam dah tak kenal?” jawapan mama membuatkan Safwan menoleh ke belakang. Dia masih tidak nampak Asha di mana-mana tapi yang dia nampak cuma pembantu rumah mak cik Ros yang ayu berkurung ungu muda, budak tu tersenyum padanya, manis senyumannya dan membuatkan Safwan terpegun, hati lelakinya seakan bergetar melihatkan pembantu rumah mak cik Ros.
Isk! Takkanlah aku nak jatuh hati dengan minah ni. Tapi, apa salahnya… harta benda kan tak penting, yang penting kasih sayang yang abadi…
“Hai, Wan! Lama kita tak jumpa ye…” sapa pembantu rumah mak cik Ros.
“Eh! Macammana awak kenal saya?” Safwan merenung gadis itu kebodohan sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Aku ni mimpi ke, atau mata aku yang tak betul ni…
“La… ini Ashalah… takkanlah dah tak kenal Asha!” gadis itu merenungnya, hairan. Safwan menggaru kepala yang tak gatal.
“Kalau nak main-main pun janganlah waktu ni, baru semalam saya jumpa Asha, takkanlah baru sehari dah bertukar rupa?” Safwan masih tak percaya.
“Betullah! Takkanlah Asha nak tipu!” balas Asha yang kurus itu.
“Tapi semalam, Wan jumpa Asha, badan Asha gemuk! Macammana hari ni boleh kurus?” sekali lagi dia membuat pertanyaan bodohnya.
“Ooo… semalam yang Wan jumpa Syikin! Sepupu Asha, dia dah balik rumah dia pagi tadi…” ujarnya sambil ketawa gelihati, mungkin lucu melihat muka Safwan yang kebingungan.
Hah!? Selamat! Nasib baik sepupu dia… kalau tidak aku nak balik ke Perth balik, tapi tak jadilah sekarang, sebab Asha ni kuruslah pulak! Cune pulak tu! Takkan aku nak biarkan dia jatuh kat tangan orang lain!
Selepas makan malam, mereka duduk di atas buaian di hadapan rumah, banyak perkara yang dia mahu ceritakan pada Asha. Banyak benda yang dia mahu kongsikan bersama gadis itu. Malam itu juga dia hadiahkan kesemua hadiah yang disimpankan untuk Asha selama dua belas tahun dia di Perth.
“Terima kasih, Wan. Asha suka sangat semua hadiah ni. Asha pun suka dengan Wan, Wan masih mahu berkawan dengan Asha walaupun Wan ingat Syikin tu Asha. Asha suka orang macam Wan… ikhlas dan tak memilih rupa untuk berkawan!” kata-kata Asha membuatkan Safwan terdiam seketika.
“Buat apa Wan nak memilih kawan… dulu masa Wan gemuk tak ada sesiapa nak kawan dengan Wan kecuali Asha, jadi Wan akan terima siapa pun Asha, gemuk ke kurus ke… yang penting Asha sudi nak kawan dengan Wan!” balasnya. Walhal, dialah orang yang paling cerewet dalam memilih kawan. Kalau tak cantik ke, gemuk ke, jangan harap dapat berkawan dengan Safwan Hanafi. Tapi dia tidak pernah menghina atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan cuma, dia akan menjauhkan diri secara perlahan-lahan. Terdetik di hatinya rasa bersalah bila teringatkan sikapnya yang pandai berpura-pura.
“Asha, Wan nak Asha jadi teman hidup Wan. Dan itulah yang Wan sentiasa impikan selama ini, sudikah Asha terima Wan jadi teman hidup?” Safwan tidak sabar untuk meluahkan rasa hatinya. Dia tahu Asha tak akan menolak, takkan Asha akan menolak cinta lelaki sekacaknya!
“Asha dah bertunang…” sebaris jawapan Asha membuatkan Safwan bagaikan mahu mengalirkan air mata. Dua belas tahun dia menutup pintu hatinya untuk orang lain hanya kerana menunggu Asha Nadia. Tapi rupanya penantiannya sia-sia, Asha Nadia yang dipuja-pujanya bakal menjadi milik orang lain.
“Sampai hati Asha, Wan tunggu Asha dua belas tahun tau, bukannya sekejap. Wan sanggup terima siapa pun Asha, Wan tak sangka, penantian Wan ni hanya sia-sia… bertuah orang yang berjaya mengetuk pintu hati Asha tu? Siapa lelaki tu?” Asha tidak terus menjawab, gadis itu hanya membelek-belek cincin belah rotan di jari manisnya sambil tersenyum. Kelakuannya membuatkan hati Safwan terseksa.
Asha Nadia mengeluarkan sesuatu dari beg kecilnya, sekeping gambar dihulurkan kepada Safwan Hanafi, tangannya terasa menggigil menyambut huluran itu. Safwan menatap wajah tunang Asha di dalam gambar itu.
Mamat ni siapa? Macam kenal! Macammana Asha boleh terpikat dengan mamat boroi ni. Dahlah gemuk, pipi montel semacam je… Tapi macam kenallah! Siapa ye? Kawan-kawan masa sekolah rendah dulu kot! Sampai hati kau, Asha… aku terasa terhina kau tau tak? Aku yang sehandsome ni, kau tolak, kau pilih jantan boroi ni?
“Cutekan? Asha memang suka lelaki yang montel-montel gini… Eh! Dahlah, jangan tengok lama-lama, bagi sini balik!” pinta Asha Nadia. Safwan terasa hati bila Asha terus mengucup gambar yang baru dihulurkannya. Terasa kehandsomannya tercabar di gugat lelaki gemuk itu.
“Macam kenallah! Kawan kita masa sekolah dulu ye? Siapa ye? Atan? Tajul? Cha’un?” Dia masih mampu berpura-pura mahu mengenalinya, padahal dia langsung tidak peduli siapa lelaki itu. Yang pasti nanti dia akan memberitahu mama, dia mahu pulang ke Perth untuk melanjutkan pelajaran. Dia terlalu kecewa. Rasa bersalah dengan sikapnya datang bertimpa-timpa.
“Gambar sendiri pun tak kenal, Asha ‘gemuk’kan pakai komputer! Gambar tu Auntie Maz kirimkan pada Asha dua bulan lepas. Kelmarin, auntie dan uncle datang rumah sarungkan cincin ni untuk Asha, masa tu Wan keluar dengan Uncle Zain. Itulah, sibuk sangat kesana kemari, sampai tak tahu bila diri sendiri bertunang!” ujarnya dalam nada merajuk.
Betul ke ni? Betul ke apa yang aku dengar? Patutlah gambar tu macam kenal je, rupanya gambar aku yang dipergemukkan, sampai hati kau Asha. Abah, Mama dan uncle Zain ni memang la, saja nak kenakan aku… tuan punya diri pun tak diberitahu bila hari pertunangannya! Tak adil!
“Tapi, Asha ikhlas tak terima Wan? Walaupun Wan tak montel macam yang Asha mahukan tu?” tanya Safwan. Pelik juga minah ni, orang suka yang kurus-kurus, yang macho-macho, dia nak yang montel?
“Tak apa! Bila dah kahwin nanti Asha bagi Wan makan nasi beriani hari-hari, biar Wan montel macam dulu! Barulah cute!” jari runcing gadis itu pantas mencubit lembut pipi anak muda itu. Safwan Hanafi tersenyum sambil mengenggam erat jemari Asha Nadia, rindunya selama dua belas tahun terbalas jua…

TAMAT

4 comments:

Nursuzry said...

dulu x silap aku ada geng kite kat cesb buatkan cover utk cerpen ko ni kan....ko x simpan ker...klu x leh paste kat sini caver tu...

dina said...

ye la su... aku tak simpan... aku ingat cesb akan ok smpai bila2... aku rasa cover tu spidey yg buat la...

-Ain-Dak In- said...

eiii,,,
bes cte ni...

tp laki tu x ikhlas sgt ar,,

ape pon asha tu mmg baik...

LeaQistina said...

hoho.. lelaki itu adalah lelaki yang tidak sedar diri.. bangga nak mampus dengan kesempurnaan yang baru sahaja dimiliki.. sehinggakan sanggup menghina [wlupun dlm hati..] insan lain yang turut sama memiliki kelemahan yang sama dengannya..

ibarat kaduk naik junjung..

spatutnya lelaki mcm ni jgn diberi kebahagiaan yang mcm tu.. huiish..