Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 14

Setelah semuanya siap, dia melangkah keluar dengan keyakinan, walaupun hatinya sedikit gementar, maklumlah nak berlakon jadi kekasih Bos sendiri, bukannya senang. Dengan kasut tumit tinggi yang dibeli Izham, dia meninggalkan kawasan bilik air menuju ke kereta. Terus dia mengetuk cermin pintu di sebelah hadapan, bila dilihatnya Izham masih lagi tidur memeluk tubuh, culas untuk bangun, Anizan merengus. Tanpa menunggu Izham bangun, Anizan terus membuka pintu kereta itu.
- Nak mengelat le ni, tadi kata nak drive dari sini sampai ke kampungnya, silap gaya ni aku juga yang kena bawa sampai Malim Nawar, giler, 160km lagi, tak sanggup aku! Dia iyelah, sedap-sedap berdengkur, bila aku bawa laju, membebel macam mak nenek pula tu! Sikit-sikit nak potong gaji. Menyampah!
“Er… ye cik nak apa?” Izham tersentak bila matanya bagaikan terpaku bila dilihatnya seorang gadis cantik membuka pintu keretanya.
“Jangan nak mengelat! Kata nak drive dari sini sampai kampung, saya dah tak larat dah ni…” balas Anizan lantas tangan Izham ditariknya.
“Awak ni siapa? Tiba-tiba tarik saya ni, awak nak apa ni?” tanya Izham terpinga-pinga. Panik bila dilihatnya gadis cantik itu menariknya supaya keluar dari kereta, dia tidak pasti kenapa gadis itu berkelakuan begitu. Adakah gadis itu cuba merompaknya atau mencabulnya, dia keliru. Muka cantik, tapi nak jadi penjenayah pula, apa nak jadilah perempuan sekarang.
“Ewah, buat lawak hilang ingatan pula dia, cepatlah! Tak pun kita pergi makan dulu, saya pun dah lapar ni…” Anizan tidak memperdulikan Izham yang difikirnya sedang bergurau.
Aku tahulah muka aku dah jadi lain, mula la buat lawak tak kenal dengan aku! Hampeh punya Bos! Dah tu lawaknya tak kelakar langsung, kalau nak buat lawak buatlah muka lucu sikit, ini tak, serius macam aku ni orang tahanan pula!
“Ops! Nanti, nanti… awak ni siapa? Awak nak apa dari saya? Awak jangan main-main, saya report polis nanti, sebab awak cuba buat perkara sumbang terhadap saya!” tuduh Izham, mukanya berkerut.
Dia benar-benar tidak faham, kenapa gadis itu seperti mengenalinya, sedangkan dia sendiri tidak kenal langsung siapa gadis itu. Yang si Anizan ni satu hal, pergi mana lah agaknya, bersiap pun lama sangat. Kalau dah perempuan tu, tak kira le perangai macam jantan ke hapa ke, tapi bila bab bersolek mesti berjam-jam! Entah-entah dia tengah sedap-sedap pekena nasi lemak dengan teh tarik kat medan selera tu kot…
“Bos ni dah kenapa? Ini sayalah Anizan… ya Allah! Mamai lah tu… entah bila masa orang nak mencabul dia. Bos janji dengan saya Bos nak bawa dari Tapah ke Malim Nawar, sekarang saya tuntut janji, saya tak tahu Malim Nawar tu di mana?” terang Anizan satu persatu, bila dilihatnya Izham masih lagi berkeadaan seperti tadi, terpinga-pinga.
“A…Anizan? Biar betul ni, awak jangan nak menyamar! Mana awak kenal Anizan?” Izham terlopong, tidak percaya.
Tak mungkin Anizan, habis cantik pun si tomboy tu takkan berubah semua sekali, mesti ada iras-iras… tapi iyelah, selalunya dia pakai cap, tak perasan macam mana rupa rambutnya!
“Tak percaya pula? Ini IC saya, dahlah Bos malas saya nak layan, pekena teh tarik lagi bagus! Perut pun jadi lapar melayan lawak Bos tu… kalau Bos nak ikut, jomlah!” balasnya, bosan dengan perangai Izham.
Kalau iya pun nak buat-buat terkejut janganlah melampau sangat, takkanlah sampai tak kenal wajah macho aku ni…
Izham terdiam seketika mendengar kata-kata Anizan, macam manalah dia boleh tidak perasan suara Anizan yang serak ala-ala Sheryl Crow tu. Seperti kerbau dicucuk hidung, dia mengekori Anizan, dia mahu meminta maaf kerana tidak mengenali Anizan tadi, tapi gadis itu dengan lajunya berjalan meninggalkannya.

No comments: