Monday, May 25, 2009

Aku Bukan Untukmu - 47

“Darling, I sudah beritahu papa, you melamar I!” Sofea melintuk liukkan kepalanya ke bahu Izham. Dia harus segera meminta Izham berkahwin dengannya. Dia tidak nampak sesiapa lagi di hadapan mata. Cuma Izham yang pernah dicintai.
Dahulu ramai kawan-kawannya menganggap dia bodoh kerana sukakan pemuda kampungan seperti Izham. Dia tahu, Izham hanya anak seorang guru yang tinggal jauh di perkampungan di negeri Perak. Dia juga tahu penampilan Izham langsung tidak sepadan dengannya. Namun entah mengapa, sejak dulu lagi dia jatuh cinta pada lelaki itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan Izham. Dan sehingga kini dia akan pastikan Izham melutut di kakinya.
“I tak pernah melamar you!” balas Izham sambil bangun. Sofea tersentak. Benar apa yang dikatakan Fizah. Izham sudah termakan ubat guna-guna yang ditabur Anizan. Fizah juga yang memberitahunya, Anizan yang selalu menyediakan minuman untuk Izham. Mulanya dia mahu ketawa mendengar pengaduan Fizah. Namun kerani itu begitu jujur menunjukkan kain berbalut bewarna hitam yang dijumpanya di pantri sebagai bukti. Malah, botol air yang diisi Anizan di dalam peti ais pejabat juga tidak diminumnya.
Sedikit sebanyak Sofea termakan kata-kata Fizah. Walaupun agak tidak masuk akal. Tetapi bila melihat keadaan Izham yang keliru itu, membuktikan kata-kata Fizah bukan tuduhan kosong. Mungkin juga Anizan sudah menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan Izham.
“You tahu tak, yang you tu dah kena bomoh dengan perempuan bodoh tu?” Sofea menolak bahu Izham. Lelaki itu tiba-tiba ketawa. Gelihati dengan kenyataan Sofea. Perempuan yang sofisticated seperti Sofea masih boleh terpengaruh dengan omongan karut seperti itu. Izham tertawa gelihati.
“Tengok lah tu, I cakap you ketawa. Ingat kelakar ke? I nak bawa you pergi berubat!” Sofea memujuk Izham lagi.
Lengan lelaki itu diusapnya perlahan. Dia akan bertanya kepada kawan-kawan mamanya di mana boleh dicari bomoh yang mampu membuatkan Izham melupakan Anizan.


Anizan meletakkan kereta di tempat letak kereta. Kemudian dia berjalan menuju mesin tiket parking. Selepas membuat bayaran, dia mula meletakkan resit parking di cermin hadapan. Mentari bersinar-sinar memancarkan cahaya bewarna jingga. Pagi itu begitu cerah, secerah hatinya. Dia benar-benar lega. Mulai hari ini dia tidak perlu kelam kabut pulang untuk ke kelas. Tidak perlu lagi membawa baju untuk disalin.
Anizan berjalan menuju ke pejabat. Lenggangnya tertib. Blouse bewarna kuning air dipadankan dengan jaket dan seluar berona pastel polos menambahkan ketrampilannya. Sekarang dia sudah pandai mengenakan pakaian yang sesuai. Dia singgah di gerai yang berderetan di tepi jalan. Untuk membeli sarapan pagi. Kebiasaannya bersarapan pagi di pejabat, selalunya dengan Izham, tapi semenjak hubungan mereka langsung dingin ini, dia seringkali bersarapan sendirian.
“Kak, bagi nasi lemak sebungkus, letak sambal sotong ye!” pesannya pada kak Timah, penjual nasi lemak yang berbadan gempal itu. Di meja lipat kak Timah ada beberapa perempuan yang bekerja satu bangunan dengannya sedang bergossip.
“Dia tu la, bergaduh sakan dengan tunang bos sendiri. Nak merebut hak orang. Kalau lawa tak apa, ini dulu dah le tomboy, entah apa dia sihirkan cik Izham tu,” seorang dari perempuan itu mencebir bibir. Memandangnya dengan pandangan yang jelik.
“Tu le, dulu despatch, sekarang tiba-tiba jadi secretary… ni kalau tak bomoh Indonesia, mesti bomoh Siam ni!” seorang yang lain pula mengiyakan fitnah kawannya. Panas telinga Anizan bila menangkap perbualan mereka.
Dia terasa mahu menjawab. Terasa maruah dicabar. Tapi untuk apa dia melayan orang-orang yang bermulut hodoh yang suka memakan daging saudara sendiri. Untuk apa dia menepis fitnah yang terang-terangan itu semata-mata untuk menjaga kepentingan dia. Dia tahu siapa pembawa cerita itu. Biarlah, apa yang mereka mahu katakan. Asalkan dia sendiri tahu, dia tidak ada kena mengena dengan perbuatan khurafat. Dia bersih dari segala perbuatan syirik.
Sedang dia mengatur langkah menyeberang jalan, dengan tiba-tiba sebuah kereta memintasnya laju. Beg kerjanya melayang. Bungkusan nasi lemak tercampak ke tepi longkang. Tas tangannya terpelanting jatuh ke atas motorsikal yang diparking di tepi jalan. Anizan terkulai di tengah jalan dengan lumuran darah. Cahaya matahari yang bersinar semakin malap dari pandangannya. Suara-suara yang datang ke arahnya semakin perlahan. Semuanya tiba-tiba menjadi gelap gelita.


Izham berteleku menghadap Anizan yang masih tidak sedarkan diri. Sejak dapat tahu Anizan kemalangan dia terus bergegas ke hospital. Mujur ada saksi kejadian yang nampak dan membuat repot polis. Dia tahu, semua ini mesti ada hubung kait dengan Sofea. Dia menyesal sendiri. Dalam masa yang sama juga, dia menunggu Izlan dan Umi di kampung. Mereka perlu diberitahu. Anizan perlu sokongan keluarga.
“Sayang bangun la, saya ada di sebelah awak ni!” pujuk Izham, sambil tangannya mengusap lembut bahu Anizan. Sejak dimasukkan ke hospital pagi tadi, gadis itu langsung tidak sedarkan diri. Kakinya patah, luka diwajahnya dibalut. Tangannya juga mengalami nasib sama seperti kaki. Semua ini salahnya. Kalau bukan kerana dia yang mencetuskan amarah Sofea, Anizan pasti tidak di apa-apakan. Kalau dia menerima ajakan Sofea untuk bertunang, Anizan tidak akan menerima padah. Dia tahu puncanya dari perempuan ego itu.

1 comment:

oryzasativa said...

lembikla si Izham ni
tegasla sikit ngan sofea tu
terus terang jela pasal perasaan dia
adehh Izham ni
sian la kat Anizan
tak pasal2 dia kena tempias pompuan emo tak tentu pasal tu.