Sunday, February 22, 2009

Aku Bukan Untukmu - 38

“Assalamualaikum!” sapa suara itu.

Betul-betul ditelinga. Anizan menoleh kemudian tersenyum. Huluran bungkusan itu disambutnya.

“Kita makan sama ye!”permintaan itu membuatkan Anizan menggeleng kecil.
Dia tahu pada kala ini, semua staff tidak masuk lagi. Jam baru menunjukkan pukul 8:15 pagi. Izham juga yang memberikannya kunci untuk dia datang pejabat awal. Kebetulan hari ini tidak ada apa-apa kes di Mahkamah.

Anizan kemudian menuju ke pantri. Meletakkan dua bungkus nasi lemak di dalam pinggan. Kemudian membancuh nescafe panas dua mug. Dia sudah tahu sangat minuman kesukaan Izham, nescafe pekat, black, sweet & strong. Makanan kesukaan lelaki itu juga bagaikan sudah sebati dengannya.

Setiap pagi lelaki itu suka makan nasi lemak. Kalau tidak pun roti canai. Tidak suka hidangan American breakfast atau continental breakfast. Mc Donald lagilah di tolak mentah-mentah untuk makan tengah hari apa lagi sarapan. Izham benar-benar berselera Malaysia. Sama seperti Anizan. Kebetulan citarasa mereka serupa.

Aroma nescafe harum menerawang ke ruang pejabat. Dia menatang dulang ke bilik Izham. Sejak beberapa minggu ini hubungan mereka berjalan lancar. Dia sudah mula menerima hakikat yang lelaki itu menyintainya. Namun perhubungan itu harus dilakukan berhati-hati. Tidak mahu tersilap langkah. Dia lebih suka jika ikatan yang mereka berlandaskan keikhlasan. Bukan nafsu semata-mata.

“Sayang, awak cantik sangat hari ini,” puji Izham saat Anizan masuk.
Haruman dari wangian yang dipakai Anizan sesekali menenggelamkan bau nescafe. Dia suka haruman itu. Lembut sekali. Hari ini pula, gadisnya itu cantik sekali, memakai seluar coklat berjalur bersama blouse tangan panjang bewarna putih krim. Memang setiap hari dia merasakan Anizan cantik. Walau gadis itu cuma memakai baju kurung dari kain murah.

“Ah, awak tu, kalau saya pakai kain buruk pun awak kata cantik! Mata awak dah kena bomoh!” Anizan ketawa kecil.

Dia memang tahu sangat perangai Izham. Sentiasa mahu memuji. Sentiasa mahu mengambil hatinya. Jarang sekali lelaki itu marah-marah sekarang. Malah kalau dia buat silap, lelaki itu menegurnya dengan berhemah sekali. Walaupun ianya kadang-kadang agak merimaskan namun Anizan menerimanya.

“Bomoh siam ye!” kali ini Izham pula ketawa.

Anizan memang pandai bergurau. Kadang-kadang segala apa yang keluar dari bibir gadis itu semuanya boleh membuatkannya tersenyum sepanjang hari. Anizan tersenyum lagi. Kemudian membuka diari hitam di hadapannya. Sementara itu tangannya menghalakan nescafe panas ke bibir.

“Hari ini awak ada meeting di pejabat Tan Sri Kamil pukul 10 pagi. Kemudian ada lunch appointment dengan Encik Zakri, tentang kes pecah amanah tu, pukul satu. Pukul tiga pula, awak dengan Encik Hasrul kena jumpa Sarjan Khamis…” Anizan tunduk merenung semua yang tertulis di dalam diari Izham.

Segala macam temujanji dan mesyuarat adalah tanggungjawabnya untuk dicatit dan diberitahu kepada Izham. Izham mengangguk kecil. Nasi lemak di hadapannya sudah berkali-kali di sudu. Di sudunya sekali lagi dan dihalakan ke mulut Anizan.

“Saya ada tangan sendiri!” Anizan menolak.

Izham ketawa lagi. Itu yang disukakan tentang Anizan. Sentiasa tidak mahu perhatian lebih darinya. Anizan sangat berdikari. Segalanya mahu dibuat sendiri.

“Lunch appointment tu tak boleh batalkan ke? Saya nak lunch dengan awak hari ni. Dah seminggu saya tak dapat lunch dengan awak. Nak ajak awak dinner pun, setiap malam awak ada kelas!” ujar Izham.

Memang sudah lama mereka tidak makan tengah hari bersama. Dua minggu ini Izham amat sibuk. Setiap hari pergi ke Mahkamah. Dan kadang-kadang ke mahkamah luar daerah. Adakalanya lelaki itu tidak pulang ke pejabat.

“Tamak!” gumam Anizan tiba-tiba.

Izham mengangkat muka. Merenung wajah Anizan dengan penuh tandatanya. Tamak? Perkataan itu memang dia tidak faham.

“Kenapa pulak?” soalnya.

“Dah dapat breakfast sama, nak lunch sama pulak. Nanti bila dapat lunch sama nak dinner sama. Tamaklah tu. Kadang-kadang kita harus mendahulukan perkara yang penting. Saya ni belum lagi menjadi perkara penting dalam hidup awak. Jadi, dahulukan kerja awak!” tegas Anizan. Pandangannya memang sinis, tetapi amat bermakna.

“Siapa kata awak tak penting?” Izham sengaja mahu memancing reaksi gadis itu. Terkadang gadisnya itu lebih petah berkata-kata dalam mematahkan setiap hujahannya. Dia pasti menjadi peguam yang baik suatu masa nanti.

“Dalam hal peribadi pun saya tak penting sangat. Dalam hal pejabat, awak kena dahulukan kerja, saya ni bukan siapa-siapa okey! Saya bekerja untuk awak dan saya akan pastikan awak bekerja untuk syarikat. Nanti bila awak kahwin dengan saya, barulah saya ni punya kepentingan pada awak!”

“Oh! Ada hati nak kahwin dengan saya ye!” seloroh Izham. Saat itu wajah Anizan sudah merah merona. Malu sekali dengan kata-kata Izham itu.

“Erm, oklah. Kejap lagi staf lain sampai tak manis pula kalau dia nampak kita berdua-duaan begini,” balasnya.

Anizan terus mengemas. Dia menggumpalkan bungkusan nasi lemak dan mengangkat dulang ke pantri semula. Terasa hati juga dia dengan kata-kata Izham. Dia tahu lelaki itu bergurau. Tapi dia malu. Macam dia pula yang terhegeh-hegeh nak berkahwin dengan Izham. Kadang-kadang gurauan lelaki itu menyakitkan hati.

Izham tercengang melihat Anizan berlalu. Tahulah dia yang dia sudah membuatkan hati gadis itu tersentuh. Memang kata-katanya cuma gurauan. Tapi Anizan sukar menerima gurauan begitu. Hati Anizan sangat sensitif. Mungkin kerana dia kehilangan orang tersayang. Dan membuatkan hatinya senang terusik.

“Hai, Anizan, baru lepas sarapan dengan bos ke?” sapa Fizah. Tas tangannya di letakkan di meja. Dia kemudian mengekori Anizan ke pantri.
Anizan langsung tidak menjawab. Walaupun dia tahu Fizah sudah dapat mencium perhubungannya dengan Izham. Namun dia masih mahu menafikan. Tidak mahu makan sindiran Fizah setiap kali dia dimarah Izham. Mujur kak Zaharah sedang cuti bersalin. Kalau tidak pasti perkara itu lebih kecoh. Dulu mungkin kak Zaharah selalu menyebelahinya. Tapi kalau dia sudah tahu hubungan Anizan dengan Izham, masih mahukah Zaharah menyebelahi Anizan?

“Sejak jadi setiausaha Bos ni, kau dah menyombong dengan aku ye Ijan!” bentak Fizah.

Fizah bercekak pinggang. Merenung Anizan dengan wajah jelik. Memang dia cemburu dengan gadis itu. Dari seorang despatch tomboy yang kasar dan selalu kena marah tiba-tiba jadi setiausaha cantik yang disayangi.

Cantik? Tidaklah secantik mana, cuma gaya penampilan tu sudah bertukar. Pakai pakaian perempuan, berjalan lenggang lengguk. Berkasut tumit tinggi. Dan yang menjelikkan semua pakaian dan aksesori memang berjenama dan mahal. Haih! Kopak lah poket si Izham dibomohkan dek perempuan tomboy ni.

“Siapa yang menyombong ni?” satu suara datang dari pintu pantri. Izham menghantar mug kosong ke situ. Terdengar suara Fizah.
“Err, tak ada sesiapa!” Fizah terus keluar dari pantri.

Terkejut melihat majikannya terjengul di muka pintu. Anizan yang sedang membasuh pinggan dan mug menoleh. Kemudian tersenyum sumbing.

“Sayang merajuk ye!” Izham meletakkan mug di sinki.

Kemudian tangannya menjalar ke pinggang gadis itu. Anizan menggeleng. Kemudian meleraikan tangan Izham.

“Awak jangan buat macam ni, nanti Fizah nampak!” gumam Anizan. Takut dilihat Fizah kelakuan Izham itu. Apa pula yang akan disindirnya nanti.

“Sorry!” ucap Izham.

Sambil tangannya pantas mengelus jemari Anizan. Gadis itu memang tidak selesa diperlakukan begitu. Dia menarik tangannya.

“Mana ada saya merajuk!” nafinya perlahan.

Kemudian senyum nipis. Memang dia tidak merajuk. Tapi dia malu dengan kata-kata Izham tadi. Malu kerana dia seorang perempuan. Dia harus malu dengan kata-kata itu. Dia tidak mahu kelihatan seperti dia yang terhegeh-hegeh menghantar perasaan terhadap lelaki itu. Tidak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

1 comment:

keSENGALan teserlah.. said...

eeeii..
ske2..
da ader kemajuan nieh...hehee..