Monday, June 23, 2008

SEIKHLAS KASIH SEJUJUR SAYANG

- Hie! Geramnya dengan Aney yang bawa bas tu… aku lambat sikit je, takkan tak boleh tunggu! Alah, bukannya lama pun aku tertidur kat toilet tu tak sampai sepuluh minit pun, dah aku mengantuk sangat…
Darina menyorong basikal ke tepi tangga flat empat tingkat itu. Perasaan marah yang meluap-luap kerana ditinggalkan Aney, pemandu bas kilang itu semakin berkurang. Yang ada sekarang cuma perasaan mengantuk yang teramat sangat kerana baru pertama kali menghabiskan shif malam setelah seminggu dia bekerja di kilang elektronik itu. Mujurlah ada Jeyni, sahabat barunya yang sanggup meminjamkan basikal dan menumpangkan rumah sewanya sementara menunggu dia pulang dari overtime (O.T). Jeyni berjanji akan menghantarnya balik ke rumah bila dia balik dari O.T nanti.
Dia segera mengeluarkan segugus kunci yang diberikan Jeyni tadi dan mengenakan rantai kunci pada basikal Jeyni. Yang menggeramkannya mangga yang berkarat itu bagaikan susah untuk dibuka, berkali-kali dia cuba memusingkan anak kunci itu. Darina tidak henti merungut-rungut, sambil menyumpah-nyumpah kunci yang tidak mahu berfungsi itu.
“Hai! Buat apa tu?” tegur satu suara. Darina menoleh, seorang pemuda yang berpakaian kemas dan memegang topi keledar buruk sedang merenungnya. Dia tidak membalas teguran itu. Matanya yang lebam akibat tidak tidur semalaman itu hanya menjeling tajam.
- Dahlah aku kena tinggal dengan bas, kunci basikal ni pula buat hal, mata aku pula dah nak terpejam sangat ni… yang si mamat ni dok tersengih-sengih pula tengok aku! Apahal entah! Rungutnya sendirian.
Geram melihat pemuda yang sedari tadi berdiri sambil menghadiahkan senyuman kerang busuk kepadanya.
“Baru tinggal sini ke? Tak pernah nampak pun?” Lelaki itu masih tidak berganjak dari situ, masih seperti tadi, tersenyum ramah bagaikan mahu menghulurkan pertolongan. Darina langsung tidak memperdulikan lelaki itu, kunci itu masih dicubanya.
- Nasib baik basikal pinjam, kalau basikal sendiri dah lama aku campak dalam lombong jadi tukun! Aku ni pun satu, kunci yang buat hal basikal pula yang aku nak buang. Kang kalau tak dikunci, mahunya hilang basikal si Jeyni ni…
“Huh! Sombongnya!” ucap lelaki itu seakan sudah berputus asa.
“Dah tahu sombong kenapa nak tunggu lagi? Blahla…” balasnya dalam rungutan yang perlahan. Darina benar-benar bengang kali ini. Dia memang tak mahu melayani lelaki yang tidak dikenalinya. Tetapi kata-kata lelaki itu membuatkan hatinya berang.
- Itulah jantan, kalau tak dilayan dikatanya kita sombong, kalau kita layan nanti dikatanya kita gatal pula! Dah nampak aku tengah sibuk betulkan kunci ni bukannya nak tolong, time ni pula nak berkenalannya, ingat ini majlis suaikenal ke?
Dilihatnya lelaki itu sudah berada di atas motorsikalnya yang terletak berdekatan dengan basikal Jeyni. Darina tidak menoleh langsung walaupun lelaki yang sedang memanaskan enjin motor itu bagaikan sengaja mahu membakar hatinya dengan memulas minyak motornya sekuat hatinya. Asap yang keluar dari ekzos motorsikal itu betul-betul menghala ke arah muka Darina yang sedang terbongkok-bongkok membetulkan kunci pada mangga yang berkarat itu. Dia terbatuk kecil kerana terhidukan asap motor yang bewarna kelabu kehitaman.
- Kurang ajar betul mamat ni, ingat muka aku ni apa yang dia nak perasap-perasap? Dahlah motor tu buruk nak mampus… ada hati nak tekan minyak kuat-kuat konon, silap-silap karang tercabut ekzos motor tu baru tahu!!!
“Oi, orang sombong! Kunci awak tu tak betul itu pasallah tak boleh guna, cubalah kunci yang lain!” teriak lelaki itu sebelum motornya laju membelah pagi yang indah. Saat itu Darina merenung gugusan kunci di tangannya sambil tercari-cari kunci sebenar, kemudian cepat-cepat mengunci basikal itu dan pergi dari situ
- Alamak! Malunya aku, tak pasal-pasal dapat gelaran! Tak guna punya mamat selenga…


Semenjak peristiwa lucu itu Darina dan lelaki itu saling berkenalan, dalam masa yang singkat mereka bercinta. Lelaki yang bernama Shahizam itulah tempat dia mengadu segalanya kini. Boleh dikatakan setiap hari lelaki itu menghantar dan menjemputnya pulang dari kerja. Selalunya kalau Darina kerja pagi atau malam, waktu petang dihabiskan menemani Shahizam di gelanggang futsal. Shahizam gemar bermain futsal dengan kawan sekerjanya. Darina cuma menjadi tukang sorak di sebalik jaring.
“Shah, lagi seminggu nak dapat result. Rina takutlah! Rina takut lulus…” ujar Darina sambil menghulurkan tuala ‘Good Morning’ dan sebotol air. Shahizam yang baru sahaja duduk disebelahnya setelah penat bermain futsal hanya ketawa kecil.
“Apalah Rina ni, orang takut tak lulus, awak takut lulus pula!” Shah merenung ke dalam mata Darina, hati gadis itu berdebaran seketika. Sememangnya setiap kali lelaki itu merenungnya, jantungnya pasti berdegup kencang.
“Ye lah, kalau lulus, nanti Rina kena tinggalkan awak. Rina kena belajar lagi kat ‘U’ awak tak sedih ke? Kita tak dapat jumpa macam ni selalu tau! Rina akan rindu awak!” Darina tunduk merenung karpet hijau yang bertindak sebagai rumput tiruan di gelanggang itu.
“Rina, sekarang ni kan zaman IT. Kalau Rina jauh, Rina boleh call, sms ke, hantar e-mail ke, apa masalahnya?” ujar Shahizam, serius seperti selalu.
Shahizam masih seperti tadi bersahaja dan tenang. Kadang-kadang Darina sendiri tak tahu sama ada Shahizam benar-benar menyayanginya sebagai kekasih atau teman biasa. Darina langsung tidak menjawab. Dia rasakan kata-kata yang lahir dari mulut Shahizam hanya ucapan tanpa perasaan. Dia dapat rasakan Shahizam tidak menyayanginya sepenuh hati. Bukan sekali dua perasaan itu hadir dalam hatinya namun setiap kali memikirkan tentang anak muda itu perasaan tidak enak itu sering menjengah dan menggigit tangkai hati.
Ditambahkan pula ada desas-desus dari teman sekilangnya bahawa Shahizam sering memboncengkan gadis lain setiap hari. Tapi segala khabar angin itu ditelan sendirian tanpa bertanya hal sebenar. Dia tidak mahu kerana khabar berita yang tidak tahu asal usulnya itu akan melenyapkan hubungannya dengan lelaki yang dicintainya.
“Rina! Hello!” tersentak Darina bila lelaki itu mengibas tangan di hadapannya. Dia kemudian tersenyum sambil menarik tangan lelaki itu.
“Awak… awak sayangkan Rina tak?” pertanyaan itu sering dibalas senyuman dan anggukan. Namun payah untuk lelaki dihadapannya itu melafazkan ucapan keramat yang sering dinantikan.
“Awak tak pernah cakap awak sayangkan Rina, asyik-asyik Rina je yang cakap macam gitu, awak ni nak main-mainkan Rina ek?” sambungnya sedikit merajuk.
“Rina… sayang dan cinta saya dalam hati tak perlu diluahkan banyak kali… segala perhatian saya dah membuktikan saya sayang awak!” ucap Shahizam sambil tersenyum manis menayang lesung pipit di pipi kanannya. Senyuman itulah membuatkan Darina cair. Ayatnya juga membuatkan Darina tidak mampu bertanya lagi.
“Awak… saya nak tanya betul ke awak ada awek lain?” soal Darina setelah beberapa minit mereka berdiam diri. Shahizam tersenyum lagi. Jari telunjuk yang dihalakan gadis itu tepat ke wajahnya digigit perlahan.
“Auch! Awak, Rina tanya ni, betul ke awak selalu bawa awek naik motor?” soalan kedua itu membuatkan Shahizam ketawa. Tangan sasanya mencubit pipi gebu Darina. Gadis itu mula berang, ditepisnya tangan lelaki itu, sambil menarik muka.
“Mana ada lah sayang… Rina dengar le cakap kawan-kawan Rina yang jealous kat kita tu. Diorang tu jealous pasal Rina dapat saya… diorang tu dari dulu nak goda saya tapi saya tak layan!” jawapan Shahizam membuatkan Darina berfikir.
Ada benarnya kata-kata Shahizam. Malah semasa Darina memperkenalkan Shahizam kepada Jeyni, ada riak tidak senang pada wajah Jeyni. Begitu juga dengan Liza dan Suria, sejak mengetahui Darina bercinta dengan Shahizam, mulut Suria yang paling banyak bercerita tentang kebuayaan Shahizam. Namun Darina masih belum cukup bukti untuk mempercayai kata-kata mereka.
Dia harus yakin pada Shahizam. Kerana lelaki itulah yang paling dicintainya kini. Selama ini Darina tidak pernah menyintai mana-mana lelaki sebelum Shahizam. Segala kepercayaan dan kesetiaan akan diletakkan pada Shahizam.

**************

Keputusan STPM sudah keluar. Pagi-pagi lagi dia sudah membonceng motorsikal Shahizam untuk ke sekolah mengambil keputusan. Lelaki itu setia menantinya, malah hari itu juga Shahizam mengambil cuti semata-mata ingin menemaninya. Mama dan Abahnya tidak menghalang, kedua mereka sudah mengenali Shahizam.
Walau baru tiga bulan berkenalan, namun segala kepercayaan diletakkan pada anak muda itu untuk membawa anak gadis mereka. Paling menggembirakan bila Darina mendapat 5P dalam STPM, paling membanggakan kesemuanya lulus dengan cemerlang. Shahizam juga mengajarnya cara-cara mengisi borang ke IPT secara online.
“Rina nak ambik law…” rengeknya semasa mengisi borang di cyber café bersama Shahizam.
“Tak boleh! Tak sesuai… Rina tak pandai patahkan hujah orang! Rina ambil akaun takpun masscom, Rina cantik, boleh jadi pengacara TV…” balas Shahizam.
“Tak maulah… Rina nak jadi secretary lah kalau macam tu!” rajuknya menduga.
“Uiii… tu lagi bahaya… karang saya kenal tinggal pula, Rina asyik nak mengekor bontot bos!” sekali lagi Shahizam membantah.
“Rina cari la bos perempuan…” duganya sambil menjeling.
“Bos perempuan mestila cari secretary lelaki. Bos lelaki cari secretary perempuan, tak boleh! Tak boleh! Apa kata Rina ambil business?” cadang Shahizam.
“Errmmm… oklah!” saat mendengar jawapan itu pantas jari lelaki itu menekan kekunci meletakkan pengurusan perniagaan sebagai pilihan pertama.
Darina senyum simpul. Sejak mengenali Shahizam segala apa keputusan mereka lakukan bersama. Walau sekecil-kecil perbincangan, akan mereka jalinkan perasaan mereka untuk mendapat kata sepakat yang tidak mengecilkan hati sesiapa. Betapa dalamnya cintanya pada lelaki itu. Namun ukuran cintanya masih tidak dapat mengukur sejauh mana lingkaran sayang Shahizam kepadanya. Hatinya masih was-was. Jiwanya masih termakan kata-kata hasutan kawan-kawannya.
Tidak mungkin juga Liza atau Jeyni atau Suria cuba memfitnah Shahizam hanya kerana cemburu padanya. Tidak pernah pula dilihatnya riak cemburu itu di wajah mereka tatkala Shahizam menjemputnya pulang. Malah bukan sekali dua mereka keluar bersama, namun ada sahaja cerita tidak sedap di dengar dari mereka tentang lelaki kesayangannya itu.
“Kau ni Rina… kalau aku bagitau pun bukan kau nak percaya… aku ni dah banyak kali nampak dia bawak budak perempuan keluar masuk dari rumah bujang kat area rumah aku. Kadang-kadang sampai tengah malam dia lepak kat depan rumah bujang tu!” terjuih bibir Suria bergossip,
Liza dan Jeyni mengiyakan. Namun caranya bagaikan sengaja mahu menyakitkan hati Darina. Mihun goreng yang sepatutnya menjadi sarapannya pagi itu bagaikan susah untuk ditelan. Kelat dan keras.
“Kalau tak percaya Rina, kau ikut Suria balik rumah dia malam ni… Tiap-tiap malam la pak we kau tu mengangkut perempuan tu keluar… entah ke mana peeginya tengah malam baru balik!” giat Liza pula.
Akhirnya Darina setuju. Malam itu dia menelefon mama memberitahu yang dia menumpang rumah temannya malam itu kerana bekerja lebih masa. Pada Shahizam pula dia memberitahu yang Abah akan menjemputnya nanti. Operasi mereka bermula. Malam itu Darina dan Suria menjadi pengintip. Diintip setiap pergerakan budak perempuan yang dimaksudkan Suria. Bukanlah Darina mahu berkenalan dengan gadis itu.
Tetapi dia cuma mahu mengukur panjang mana kejujuran Shahizam pada cinta sucinya selama ini. Malam itu juga terbuka segala pekung lelaki yang dicintainya itu. Terkeluar segala kecurangan Shahizam. Dan yang pasti Darina tidak akan memaafkan Shahizam sampai bila-bila. Dia mahu terus menguburkan cintanya tanpa tanda. Dia pasrah, dia redha untuk melupakan Shahizam buat selamanya.

*************************

Sudah hampir dua tahun dia berada di sini, UiTM Shah Alam tempat dia menimba ilmu sekarang. Dia tidak bekerja dengan kilang elektronik lagi. Cintanya dulu juga sudah lama terkubur dimakan hari. Segala apa yang pernah ada kaitan dengan Shahizam sudah lama dilontar jauh dari hidupnya. Kini hatinya tenang, jiwanya girang. Namun dia masih belum terlintas membina cinta baru. Cinta itu benar-benar menyeksakan bila hati diserang kecewa.
“Hoi! Melamun lagi! Kata nak pegi Ko-op? Orang dah lama siap…” tepukan lembut singgah di bahu Darina.
Pantas dia menutup skrin laptopnya. Bimbang kalau-kalau Sarah terbaca apa yang ditaipnya. Laptop yang dihadiahkan oleh Abahnya itulah menjadi teman sejatinya selepas Sarah. Apa sahaja yang tersirat di hati akan di taip di dada diary elektroniknya itu.
“Err… dah siap ke? Kau kata nak solat dulu…” Darina merenung Sarah yang sudah mengikat tudung.
“Dah… tadi aku dok wirid lama-lama tu hang tak nampak ka? Ni kad kahwin kakak aku. Aku habaq kat dia, hang boleh solekkan dia masa dok nikah nanti, jadi hang kena la tidoq rumah aku… syoknya dapat bawak hang balik kampung,” penghabisan ayat itu berselang tawa kecil. Darina membeliakkan matanya yang sememangnya besar galak.
“What? Kau ni kan sengaja tau. Manalah aku reti nak solek menyolek ni, muka sendiri pun tak bersolek…” ujar Darina. Ingin saja dia mencubit pipi tembam Sarah, teman sebiliknya semenjak dua semester lalu. Gadis chubby itu cuma tertawa.
Sememangnya semenjak Sarah menjadi teman sebiliknya, gadis yang berasal dari Sungai Petani itulah yang menjadi tempatnya bercerita, mengadu dan bergurau. Sarah sebaya dengannya, namun Sarah lewat setahun menjejakkan kaki ke sini. Katanya dia datang dari keluarga susah, dia perlu bekerja sambil belajar untuk mencapai cita-citanya. Darina begitu terharu mendengar setiap cerita Sarah. Gadis itu rajin bercerita tentang keluarganya.

***************

Bas Express terus meluncur laju meninggalkan Lebuhraya Utara-Selatan. Hujan renyai-renyai pada pagi itu langsung tidak menganggu perjalanan. Persimpangan tol Sungai Petani sudah ditinggalkan jauh. Sesampai sahaja di stesen bas express Sungai Petani, Darina mengejutkan Sarah. Masing-masing mengangkat beg menuju ke pintu bas.
Sebaik sahaja melintas jalan yang berlopak sana sini sebuah kereta Toyota Vios bewarna hitam berkilat berhenti betul-betul di hadapan mereka. Air dari lopak itu terpercik kepada mereka berdua. Darina terperanjat, tiba-tiba sahaja dia melenting memarahi pemandu kereta itu.
“Oi! Ni pasal apa? Mentang-mentang bawak kereta, sampai tak nampak orang yang jalan kaki!” bentak Darina, geram sungguh melihat lelaki berjambang penuh yang memakai kaca mata hitam. Lelaki itu langsung tidak merenung ke arah mereka. Sarah menepuk bahu temannya itu, meminta Darina bersabar. Sarah terus menuju ke arah boot kereta tersebut dan membukanya kemudian beg pakaian mereka sudah selamat di masukkan ke dalam boot.
“Itu abang akulah!” bisik Sarah bila melihat Darina mengerutkan dahi. Darina tercengang. Tidak disangkanya dia sedang memarahi abang Sarah. Malunya dia kerana tiba-tiba memarahi abang Sarah yang kelihatan begitu tua sekali. Mungkin abangnya itu sudah layak di panggil pak cik, kerana menurut Sarah adik beradiknya ada tiga belas orang dan dia anak ke sembilan.
“Abang cha! Mak habaq abang cha nak pi market… pi la dulu… cek bawak kawan cek pi makan sat…” ujar Sarah pada lelaki berjambang yang kelihatan garang itu. Lelaki itu mengangguk dan terus meneruskan perjalanannya.
“Abang kau garang ye Sarah, tu abang yang sulung ye? Aisey, aku tersilap le tadi…” Darina serba-salah. Puas dia meminta Sarah memberitahu abangnya yang dia minta maaf.
“Dak aih! Dia memang cam gitu… sejak duduk kat kampung dua tahun lepas tu jadi macam tu…” terjuih bibir Sarah bercerita.
Menurutnya sejak abangnya pulang ke kampung dari bekerja di Ipoh dua tahun lepas. Emaknya memberitahu bahawa abangnya itu terlalu kecewa ditinggalkan gadis yang dicintainya sehingga membuatkan keadaan abangnya bagai tidak terurus. Puas emaknya memujuknya untuk meminangkan gadis lain untuk Abang Cha.
Namun Abang Cha tetap membeku, dia masih mahu menunggu gadis yang meninggalkannya secara tiba-tiba. Puas dia menelefon, namun telefonnya sudah ditamatkan perkhidmatan. Bila dia ke rumah keluarga gadis itu, ibubapa gadis itu meminta Abangnya melupakan gadis itu. Kata mereka Abangnya tidak layak berkasih dengan anak mereka yang berpelajaran tinggi. Akhirnya dengan hati yang luluh Abangnya bagaikan sudah tidak bersemangat untuk hidup. Dia pulang ke kampung mengusahakan tanah keluarga yang berekar-ekar.
“La, sampai macam tu ye Sarah, teruknya perempuan tu? Kejam betul, sampai sanggup buat abang kau macam tu,” Darina menggeleng kepala setelah mendengar cerita Sarah. Kasihan dengan Abang Cha nya itu, jadi mangsa keadaan.
Kenapalah perempuan itu sanggup meninggalkan abangnya. Jika dia ditakdirkan jadi kekasih, pasti Darina akan menjadi kekasih yang paling setia. Saat itu juga hatinya tersayat pilu bila terkenangkan kenangan cintanya yang melukakan.
Sesampai sahaja mereka di perkarangan rumah kampung yang dikelilingi sawah padi itu, mereka di sambut ramah oleh adik-beradik Sarah. Ibu Sarah yang riuh mulutnya juga menyambut Darina dengan mesra. Cuma Abang Cha sahaja yang tidak berapa mesra sejak dari tadi. Lelaki berjambang lebat itu juga adakalanya menakutkan Darina, dia terasa yang bebola mata di sebalik kaca mata hitam itu merenungnya dengan tajam.

Pagi itu dia bangun awal, lepas sahaja solat dia sudah ke luar meninjau kalau-kalau ada yang boleh ditolongnya. Datang ke tempat orang mestilah pandai menyesuaikan diri, bak kata orang tua-tua masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak. Mulutnya ramah bertanya itu ini walaupun dia agak kekok dan kurang memahami loghat yang digunakan namun Darina tetap mencuba memahaminya.
“Rina, hang ambik nyoq tu bak mai, biaq kami peghah… kami dah tua nak bangkit payah…” pinta seorang makcik yang separuh umur.
Darina cuma menurut, dulang yang kosong di bawa ke tempat Abang Cha mengukur kelapa. Dia menyenduk kelapa parut itu dengan teliti. Terasa-rasa bebola mata tajam Abang Cha merenungnya. Namun debaran ketakutan itu disimpannya.
“Ni, ambik yang dalam besen ni…” suara itu membuatkannya terpempan seketika. Darina mengangkat muka direnungnya lelaki di sebelahnya yang masih menghulurkan besen merah berisi kelapa parut. Hampir terlepas dulang di tangannya bila terpandangkan wajah Abang Cha yang sudah tidak berjambang lagi.
“Kenapa?” Sarah yang baru sahaja sampai di situ merenung Darina. Hairan melihat temannya itu bagaikan terkelu bila terpandangkan wajah Abangnya yang baru sahaja bercukur setelah dileteri emak Subuh tadi.
“Hensem sangat ke abang aku sampai mulut kau ternganga ni?” Sarah menyiku pinggang Darina untuk menyedarkan temannya itu. Pantas dulang di tangan Darina dihulurkan kepada Sarah. Saat itu juga dia lari menuju bilik. Sarah terkebil-kebil bila melihat Abang Cha pula mengekori Darina dari belakang.

***********************

“Apa salah Shah?” sepotong ayat yang menyebabkan airmata Darina mengalir laju. Bila teringatkan cerita Sarah, barulah dia tahu selama ini Shahizam masih menyimpan cintanya di hati.
Darina mengetap bibir, menahan airmata supaya tidak lagi mengalir. Jawapan untuk soalan Shahizam memang tiada. Kerana dia meninggalkan lelaki itu hanya kerana salah sangka. Baru disedarinya perempuan yang dikutuknya dihadapan Sarah adalah dirinya sendiri.
“Maafkan Rina!” ucapnya sepatah. Tidak sanggup lagi dia menahan sebak di dadanya. Dia tidak mahu ‘drama’ itu disedari oleh semua yang berada di rumah itu. Tidak mahu merosakkan majlis orang.
“Tapi sejujurnya Rina nak tahu, siap perempuan tu? Perempuan yang selalu membonceng motor awak?” sambung Darina inginkan kepastian.
Shahizam melepaskan keluhan berat kemudian dia tersenyum, tangannya pantas menggenggam erat jemari Darina.
“Perempuan itu akan jadi milik orang lain hari ni!” perlahan suara Shahizam memberitahu. Darina lantas tersedar terus mengesat mata yang basah. Jarinya yang tergenggam erat itu dileraikan segera. Malu kalau Sarah nampak dia berdua-duaan dengan abangnya. Walau suria pagi masih belum muncul.
“Maksud awak, kak Salia?” soal Darina. Terasa bagai darah panas menyimbah mukanya bila Shahizam mengangguk. Tanpa pernah disangkanya, selama ini dia cemburukan Shahizam memboncengkan Salia, kakak Sarah yang bakal berkahwin.
“Ada lagi ke ruang untuk saya?” soal Shahizam dalam sinis.
Sudah lama dia mengetahui tentang Darina. Sejak kali pertama Sarah pulang sebagai mahasiswi dia selalu terlihat wajah Darina di dalam setiap gambar yang ditunjukkan Sarah kepada mereka sekeluarga. Dia menyimpan impian untuk bertemu gadis itu semula. Dia tahu Darina salah faham tentangnya.
Mula-mula selepas Darina meninggalkannya dia kecewa, teramat kecewa. Sehingga dia sangup meninggalkan segala kenangan mereka untuk melupakan gadis itu. Namun selepas terlihatkan susuk tubuh Darina di hadapan mata, jiwanya segar semula. Rasa cintanya mekar tiba-tiba.
“Saya sentiasa kosongkan ruang hati saya untuk orang yang sepatutnya…” balasnya dalam senyum yang manis.
Dia tidak perduli lagi dia di mana. Namun Darina pasti hatinya masih lagi untuk Shahizam walau sudah lama dia cuba melupakan.
“Saya sayang awak!” ucap Shahizam. Saat itu airmata Darina jatuh berderai. Akhirnya ucapan keramat itu keluar dari bibir lelaki itu, lelaki yang ditakdirkan untuknya.

TAMAT

2 comments:

LeaQistina said...

uiks.. ending dia mcm leh panjangkan lagi je kak dina.. aduh.. best..

-Ain-Dak In- said...

btol kate lea tu,,
ending dia tu ptt dipanjangkan lg..
huhuhuhu.
baru lagi bes,,,