Friday, March 13, 2009

Sahabat Cinta

Dia menongkat dagu. Membilang waktu. Sudah hampir setengah jam dia menyepak angin. Dalam masa itu juga dia galak membaling batu ke longkang. Kalaulah pekerja bandaraya nampak dia baling batu dalam longkang, mahu mereka hambat dengan batang cangkul. Nafas dihela panjang. Mengeluh sedikit. Telefon bimbit diketuk-ketuk di dahi. Sudah tidak keruan. Tangannya pantas menekan semula nombor-nombor tadi.

“Hello! Jas, kau ambil aku ke tak ni?” rengusnya.

Kalau tak nak ambil cakaplah taknak, jangan biarkan aku ternanti-nanti. Ini tidak bila call kata ‘on the way’. Dari tadi ‘on the way’ takkan tak sampai-sampai.

“Kejaplah mangkuk! Aku nak hantar Ayu balik rumah jap!” mendengar itu Dalila menekan off pada handphonenya.

Hampeh betul Jas, tadi tak cakap nak kena hantar Ayu. Kalau tahu, baik naik cab. Ni dah serba salah nak tunggu ke tidak ni. Sudahlah di sini susah nak dapatkan kenderaan awam. Yang ada pun cuma cab, itupun kena call dulu. Bas pula jangan harap la. Kebanyakan pelajar di sini tinggal di asrama atau rumah sewa berdekatan kalau ada yang tinggal di luar pun, masing-masing punya kenderaan sendiri. Dalila menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia menendang-nendang tiang bus stop. Tak guna ada bas stop di sini, sedangkan bas tak lalu. Sedang fikir-fikir itu, sebuah motorsikal warna Magenta berhenti di hadapannya.

“Hah! Cepatlah, apa lagi terhegeh-hegeh tu!” Jas menghulur helmet.

“Poyo, kata lambat!” Mahu sahaja dia menghentak helmet ke muka Jas. Selalu main-mainkan dia.

“Habis Ayu balik naik apa?” soalnya. Dia tahu sudah masanya Ayu balik dari kerja.

“Bas banyak!” Jas ketawa.

Dalila menggeleng kepala. Jas memang macam tu. Selalu dulukan dia. Sejak mereka rapat, Jas lah kawan baiknya. Kawan tempat meluah segala perkara hidup. Tempat pelepas amarah, kalau dia marahkan orang, Jas orang yang menjadi punchbag dia. Tapi takdelah dia tumbuk ke belasah ke lelaki tu. Jas jadi pendengar amarah dia pada orang lain la.

“Gila kau! Kang awek kau merajuk aku tak campur!” Dalila angkat tangan, macam askar komunis nak surrender dengan askar Melayu.

“Jangan banyak cakap boleh? Macam mak nenek la kau ni!” Jas menolak bahu Dalila yang masih tak membonceng motornya.

“Yelah…”

Motor Yamaha 125 bewarna Magenta itu meluncur membelah jalan. Jas memang handal dalam bab bawa motor. Pernah bercita-cita nak masuk cup prix, tapi awek kesayangannya, Ayu tak bagi. Pernah juga kerana terlalu laju dia kemalangan. Hampir meragut nyawanya.

“Lila, kita pegi makan yek. Aku lapar lah!” jerit Jas dari depan. Dalila menjawab ‘orite’ sambil menjerit juga.

Sampai di warung Sejati di TKK, mereka duduk berhadap. Nasi goring ayam dan the ais di pesan. Dua-dua punya selera yang sama. Mereka sudah seperti adik beradik. Sudah sebati berdua.

“Kau kenapa? Murung je dua tiga hari ni, ada problem kat kolej? Ada orang kacau kau? Siapa? Nanti aku belasah dia…” Jas merenung wajah Dalila.

Itulah satu-satunya kawan perempuan yang dia ada. Yang paling rapat. Sejak berada di awal sekolah menengah dia mengenali Dalila. Semasa Papanya baru saja bertukar ke daerah itu. Mereka menyewa rumah sebaris rumah Dalila. Masa itu gadis itu baru darjah enam. Mereka senang bermain bersama. Main badminton, main layang-layang dan selalu ke padang permainan bersama. Mereka sering di gossipkan. Sehingga kini, ramai yang fikir mereka pasangan kekasih. Padahal, tidak lebih dari seorang sahabat.

“Mana ada orang kacau. Aku bengang, mamat yang aku usha aritu tu, dah ada awek la!” Dalila menyedut the ais di gelasnya. Terasa lega anak tekak.

“Siapa? Budak yang pakai kereta kancil tu?” Jas mengagak.

Dia tahu sangat pasal lelaki yang selalu diceritakan oleh Dalila. Boleh dikatakan setiap hari telinganya diasak tentang budak lelaki itu. Boleh tahan juga la budak Iwan tu.

“Yela, budak Iwan tu le. Dah ada awek la. Awek dia cune melecune tu. Frust betul aku!” Dalila menarik muka. Jas ketawa.

“Dah la tu, cari je orang lain. Kau cune jugak apa…” Jas mengusap ubun-ubun Dalila. Seperti seorang abang sedang memujuk adik perempuannya.

“Mana boleh, itu first sight love aku la! Tak boleh-tak boleh, aku kena rebut jugak!” Dalila mengetap bibir.

Memang dia suka sangat pada Iwan. Sejak pertama kali mereka bertemu dalam program PLKN. Tak sangka pula, kemudiannya selepas beberapa bulan, mereka berada di kolej yang sama. Sangat kebetulan.

“First sight love kepala hangguk kau… hidung pun berhingus lagi, nak bercinta. Belajar dulu. Tak ke mana Iwan tu!” pujuk Jas. Nak tergelak dengar kata-kata Dalila. Kadang-kadang apa yang keluar dari bibir gadis itu amat melucukan.

“Tak ke mana apanya, dia dah ada awek lain. Jas, kenapa impian untuk bahagia tu selalunya tak dapat jadi milik aku?” lirih suara Dalila.

Jas merenung wajah sayu temannya itu. Dia tahu sangat, Dalila kecewa dengan hidupnya. Dalila mangsa perceraian. Ayah dan ibunya berpisah sejak dia kecil. Abangnya di bawa ibu, kakaknya pula di bawa ayah. Hanya dia yang tinggal bersama nenek dan datuknya. Dia tandus kasih sayang keluarga sempurna, walaupun datuk dan neneknya tidak pernah mungkir memberi perhatian terhadap Dalila.

“Ish kau ni, aku kan ada! Kalau suatu hari nanti takde orang nak kat kau, aku ada di sisi kau!” balas Jas.

“Gila kau, mau aku bercekau dengan kak Ayu tiap-tiap hari! Lagipun, taknak la aku dengan kau! Busuk! Malas mandi!” saat itu Dalila ketawa.

Jas senyum senang. Bukan susah nak bagi suasana ceria semula. Bukan susah nak kembalikan senyum di wajah Dalila. Sedikit lawak bodoh saja sudah mampu membuatkan gadis itu mengukir senyum manis.



******************



“Mana awak pergi? Semalam saya tunggu awak, tak sampai-sampai! Janji nak ambil saya!” bentak Ayu.

Geram dengan sikap Jasman yang langsung endah tak endah terhadapnya. Sejak mereka bercinta, macam dia seorang saja yang mengambil berat tentang hubungan mereka. Walhal Jasman seperti langsung tak kisah.

“Ambil Lila, kesian dia. Takde transport. Lagipun atuk dia pegi Penang, ada urusan. Awak nak mengamuk ni apehal? Kawasan kolej Lila tu susah nak dapat bas dgn cab. Dekat office awak kan senang je dapat bas!” panjang lebar Jasman menerangkan. Ini yang malas nak jumpa perempuan seorang ni. Dua puluh empat jam mahu membentak. Mengarah itu dan ini.

“Balik-balik Lila, balik-balik Lila. Kalau awak dah suka sangat pada dia, awak couple je dengan dia. Jangan cari saya lagi,” rajuk Ayu.

Dia langsung berpaling. Tidak mahu bertemu muka dengan Jasman. Sakit hati bila nama budak itu juga yang keluar dari bibir merah Jasman. Semasa mula-mula berkenalan dengan Jasman dua tahun dulu, lelaki itu sudah maklumkan padanya tentang Dalila. Pada awal perkenalan mereka, dia juga menyenangi Lila. Namun setelah beberapa bulan, Jasman selalu melebihkan Lila darinya. Hati mana yang tidak marah. Dua tahun percintaan mereka berjalan penuh dengan ranjau. Ranjau yang ditabur Lila. Menyakitkan.

“Lila tu macam adik saya! Saya kena jaga dia, nenek dan datuknya pun mengharapkan saya menjaga Dalila. Awak jangan salahkan dia! Saya kenal dia lebih dulu dari saya kenal awak!” Jasman masih mempertahankan Dalila.

Kasih sayangnya terhadap Dalila yang mendorongnya. Dia jadi berang kalau Ayu terus-terusan menuduh Dalila menjadi perosak hubungan mereka. Sedangkan semasa mula-mula berkenalan dulu, Jasman sudah maklumkan tentang Dalila pada Ayu. Segalanya tentang hubungan Dalila dengannya sudah diterangkan satu persatu. Dan Ayu juga yang sanggup menerima.

“Adik konon. Adik apa kalau berkepit dua puluh empat jam tujuh hari? Cakap saja yang saya ni cuma tempat singgah awak saja Jas. Sebab Dalila tak terima cinta awak!” tempelak Ayu lagi.

Sabar pun ada hadnya. Kalau sudah asyik nama budak itu saja yang keluar dari mulut Jasman, apa yang perlu di tunggu lagi. Lagipun Ayu sudah muak dengan cerita rakan sepejabat yang selalu nampak Jasman memboncengkan Dalila. Siap bertepuk tampar atas motor. Sudah terang lagi bersuluh.

Jasman tidak mahu bertekak lagi. Dia sudah bosan dengan kelakuan Ayu. Dia terus menuju parking motorsikal. Meninggalkan Ayu yang masih berasap kepala akibat marah. Tadi Jasman ingat mahu mengajak Ayu menonton wayang. Mahu keluar meluahkan rindunya. Namun gadis itu mula mencari fasal. Mula keluarkan nama Dalila sebagai serangga perosak. Dia memang sayangkan Ayu, tapi dia harus melebihkan Dalila. Dalila sebahagian hidupnya. Darah Dalila juga sedang mengalir dalam tubuhnya. Semasa dia kemalangan tiga tahun dulu, Dalila yang menjadi penyambung nyawanya. Tanpa darah dari gadis itu tak mungkin Jasman boleh bertahan. Dalila juga yang menemaninya setiap ketika semasa dia koma. Padahal semasa itu Dalila masih berada di Tingkatan Enam. Kenangan dulu terimbas lagi.



“Jas, bangunlah Jas… Kalau kau tak ada siapa nak temankan aku main PS2, main badminton? Siapa nak jemput aku balik dari tuition? Jas, aku takde kawan lain. Kau je kawan aku. Bangunla Jas. Janganlah tidur lagi. Kau asyik tidur je! Nanti badan kau gemuk! Bangunlah Jas!”

Dalila menggosok-gosok lengan Jasman. Rayuannya menyuruh Jasman bangun disulam airmata. Sedih melihat keadaan Jasman. Pulang sahaja dari sekolah kakinya pasti melangkah ke hospital. Datuk dan nenek juga tidak dapat menghalang. Datuk dan nenek tahu tentang mereka. Bila saja dapat tahu Jasman mengalami kemalangan jalanraya, malam itu juga Dalila, datuk dan nenek bertunggu tangga di hospital. Mama dan Papa Jasman juga sama. Malam itu juga Jasman memerlukan darah. Papa Jasman tidak boleh menderma darah, kerana berpenyakit. Darah mamanya pula tidak sama kumpulan. Dalila yang menyedari kumpulan darahnya sama dengan Jasman, terus menghulur bantuan. Sejak malam itu darah Dalila mengalir dalam tubuh lelaki itu.

“Jas, kalau kau tak mahu bangun. Aku tak mahu melawat kau esok. Aku tak mahu tengok muka kau lagi. Kau sengaja nak tidur lama-lama. Kau dah jemu nak lepak dengan aku kan? Kau dah muak tengok muka jelita aku kan? Sebab itu kau tak mahu bangun!”

Dalila masih seperti tadi. Sendunya tidak kering. Mutiara jernih terus menerus menitik. Lila sebak melihat keadaan Jasman. Sudah lima hari Jasman terlantar. Doktor hanya berjanji lelaki itu akan sedar dalam masa dua tiga hari. Namun, Jasman masih kaku, tidak bergerak.

“Lila, sabar sayang, dua tiga hari nanti Jas sedar. Lila jangan buat macam ni, Aunty yang sedih!” Aunty Maryam, mama Jasman meramas bahu Dalila. Sejak dari semalam dia memujuk gadis itu. Sejak dari semalam juga Dalila tidak berganjak dari sisi katil Jasman. Kasihan melihat keadaan Dalila.



“Jas, petang ni temankan aku pergi MPH. Aku nak cari novel baru!” pinta Dalila. Jasman yang sedang memasang PS2 menoleh.

“Bulan lepas baru je aku belikan novel, bulan ni nak beli lagi?” soal Jasman.

“Novel baru penulis kesayangan aku dah keluar. Boleh la Jas… Nanti aku belanja kau ABC!” pujuk Dalila. Dia tahu sangat perangai Jasman, senang dipujuk.

“Yelah!” Dengan tidak banyak soal, Jasman mengiyakan sahaja.

Dia kemudian menumpukan pada game Tekken. Joy stick yang satu lagi dihulurkan kepada Dalila. Dalila mengambilnya. Hari ini Jasman seperti tiada mood untuk bermain PS2. Masa Dalila sampai tadi, lelaki itu nampak murung. Aunty Maryam pula datang dengan semangkuk keropok ikan dan sekotak besar jus oren Peel Fresh.

“Lila, dinner sini ye, aunty nak masak best. Tengah hari tadi aunty tak sempat masak. Malam ni Jas ajak Ayu sekali ye!” seraya itu juga Aunty Maryam menyinggul bahu Jasman.

Lelaki itu hanya mengangguk. Melihat keadaan itu Aunty Maryam mengangkat kening memandang Dalila, isyarat ‘kenapa’. Dalila menjungkit bahu sambil membalas dengan isyarat ‘tak tahu’.

“Kau kenapa Jas? Monyok je, kau sakit ye? Kau tak suka aku datang?” Dalila menarik-narik hujung lengan baju T Jasman. Lelaki itu tidak menoleh. Selalunya jika bermain PS2 bersama Dalila hujung-hujung minggu begini, lelaki itu sentiasa ceria.

“Aku gaduh dengan Ayu!” terang Jasman pendek.

“Sebab aku?” soal Dalila. Sememangnya semenjak dua menjak ini dia akui, Ayu selalu memandang jelek padanya.

“Dia salah faham tentang kita,” lirih suara Jasman.

“Dia jealous la tu, aku yang salah! Selalu menyendeng pada kau!” Dalila mula tunduk. Mood untuk bermain PS2 jatuh merudum.

“Aku dah cuba buat yang terbaik nak tunjukkan aku sayang dia,” balas Jasman.

Kali ini dia pula tidak punya mood untuk melawan Dalila. Akhirnya kedua-duanya mengadap TV tanpa memegang joystick.

“Tak pe la, kau jangan selalu sangat jumpa aku. Aku tak nak hubungan kau orang hancur!”

Dalila rela mengundur diri. Walaupun hatinya berat menyatakan yang dia tidak boleh hidup tanpa Jasman. Jasman abang yang terbaik.

“Kau tak rasa ke, kalau aku couple dengan orang lain pun perkara yang sama akan berlaku?” saat itu Jasman menoleh ke arah Dalila. Gadis itu juga menoleh serentak dengannya.

“Mungkin!”

“Aku taknak fikir lagi!”

“So?”

“Kita couple!”

“What?”

“Itu lebih baik daripada orang lain yang akan sakit hati!”

“Macam mana kau boleh ada perasaan begitu pada aku?”

“Tak salahkan?”

“Itu memang salah!” saat itu Dalila bingkas.

Terus menuju ke pintu. Panggilan Jasman langsung tidak diendahkan. Dia berlari pulang ke rumah. Marah dengan kata-kata Jasman. Tidak sangka selama ini Jasman menaruh hati padanya. Dia selalu mengharapkan Jasman menjadi abang terbaik untuk melindungi dia. Tapi Jasman menyimpan perasaan lain.



Malam itu beriya-iya Aunty Maryam menjemputnya dari rumah. Kebetulan nenek juga tiada, menghadiri kenduri tahlil seorang temannya. Mahu tidak mahu dia mengikut Aunty Maryam. Setiba di rumah Aunty Maryam, Jasman baru tiba bersama Ayu. Mereka nampak mesra. Dalila malas mahu menegur Jasman. Peristiwa siang tadi membuatkan dia tidak ada mood untuk beramah mesra dengan lelaki itu. Dia terus menuju dapur. Menolong Aunty Maryam menyiapkan dinner. Aunty Maryam memang pandai masak. Sesekali terbau kek coklat moist Aunty Maryam yang menyelerakan.

“Aunty, Lila nak kek coklat!” pinta Dalila.

“Jangan bagi Mama, nanti Lila gemuk!” Jasman cuba melawak.

Tapi lawaknya tidak berjaya membuat Dalila ketawa seperti selalu. Dalila mengetap bibir. Entah kenapa, kata-kata Jasman membuatkan hatinya sakit. Gemuk konon. Memang aku nak gemuk, biar kau tak suka pada aku. Pergi pada Ayu kau yang kurus jelita tu… Syoh!



Malam itu suasana di meja makan sunyi sepi. Tidak macam kebiasaan kalau Dalila dan Jasman makan bersama, pasti ada perkara gamat yang membuatkan Aunty Maryam dan Uncle Zain ketawa. Tapi malam ini, Jasman asyik melayan Ayu. Dalila pula asyik menguis-nguis nasi di pinggan. Macam kekok saja suasana itu.



“Lila gaduh dengan Jas ye!” Aunty Maryam meneka. Dalila yang sedang mengelap pinggan mangkuk menggeleng.

“Selalunya Lila joint diorang berbual…” Uncle Zain pula menyampuk. Dia merenung anak gadis itu. Dia suka Dalila lebih dari Ayu. Tapi tak pasti kenapa Jasman lebih suka Ayu. Atau kerana Dalila yang tidak suka Jasman.

“Lila tak ada mood!”

“Lila jealous?” Aunty Maryam meneka lagi.

“Tak la, Jas tu abang Lila, buat apa Lila nak jealous!” tegas Dalila. Uncle Zain ketawa. Dia mengusap kepala Dalila.

“Kalau Jas buat bukan-bukan pada Lila, Lila repot pada Uncle. Tahulah macam mana Uncle nak ajar!” kata-kata Uncle Zain, membuatkan Dalila terharu. Kalaulah Mama dan Ayahnya yang mengambil berat tentang dia seperti mana mereka ini. Pasti dia bahagia. Pasti dia tidak murung jika Jasman menyakitkan hatinya.



Dia berbaring dengan mukanya menengadah ke siling. Merenung siling tanpa makna. Teringat kata-kata Jasman siang kelmarin. Di selang seli dengan gurauan Aunty Maryam dan Uncle Zain malam kelmarin. Ketiga-tiga wajah penting itu berlegar fikiran. Sudah dua hari dia tidak bertegur dengan Jasman. Dua hari juga dia ke kolej dengan nenek. Mujur nenek tidak sibuk dan terima alasan dia untuk tidak menumpang Jasman. Tiba-tiba teringat Mama dan Ayahnya. Teringat Tini dan Amin. Kenapa mama lebih sayangkan Amin, dan Ayah lebih manjakan Tini. Sedangkan dia anak paling bongsu. Dia perlukan kasih sayang yang lebih. Amin dan Tini dah besar masa Mama dan Ayah berpisah. Amin darjah empat, Tini darjah dua. Dalila masa tu baru umur lima tahun. Kenapalah dia susah nak dapat kebahagiaan. Dia cuma mengharapkan Jasman menjadi abangnya. Tetapi lelaki itu pula punya perasaan lain. Tadi semasa di rumah Jasman, dia benar-benar kekok. Segala apa yang dibuat dihadapan lelaki itu terasa lain. Bila Jasman asyik melayan Ayu, perasaan lain pula menerjah. Cemburu kah dia? Salahkah Jasman menyintai dia? Ah, Jasman tak kata dia cintakan Lila. Cuma dia kata “Kita couple”. Tapi apa maksud dia? Sedang dia berfikir telefon di sisi katil berbunyi. Dalila mengangkat telefon itu. Jasman?



“Hello! Lila, aku tak boleh tidur! Aku datang sana?” Suara Jasman menerjah telinga.

“Aku nak tidur!” Dalila mengelak. Kalau boleh dia tidak mahu bertemu Jasman.

“Kenapa lampu bilik kau terpasang?” soalan itu membuatkan Dalila tersentak. Dia terus menuju tingkap. Kelihatan Jasman sedang melambai-lambai dengan bungkusan Dunkin Donut. Jasman memang pandai memujuk.

“Aku minta maaf!” pinta Jasman.

“Aku pun nak minta maaf!” ucap Dalila, sambil tangannya membuka kotak Dunkin Donut. Saat itu tangannya ditepuk lembut.

“Jangan makan dulu, dengar apa aku nak cakap!” Jasman menarik kotak donut ke tepi meja.

“Apa?” Dalila merenung Jasman, pandangan maut.

“Aku rindu kat kau. Dua hari dah kita tak bercakap macam biasa!” Jasman merenung muka Dalila, tepat.

“Aku pun rindukan kau, dahla kau janji nak bawak aku pegi MPH, tapi tak pergi!” Dalila menjulingkan mata.

“Aku sayangkan kau!” ucap Jasman.

“Aku pun sayangkan kau!” Dalila membalas.

“Aku tak nak kau tunggu Iwan lagi!”

“Aku pun tak nak-” kemudian tersedar, “Eh! Mana boleh!”

“Kenapa kau tak nak cakap, aku pun taknak kau tunggu Ayu?”

Bila Jasman melihat Dalila menarik muka, cepat-cepat dia mengangkat tangan sambil berkata “Okey, aku gurau!”

Dalila senyum. Dia tahu Jasman bergurau kalau tidak bergurau pun dia tak kisah, janji Jasman jangan mengungkit pasal “kita couple”.

“Aku dah boleh makan?” Dalila mengangkat kotak donut. Tak sabar nak mengunyah donut yang masih panas dan lembut itu.

“Kita couple?”

“Jangan jumpa aku lagi!”

Dalila bingkas menuju pintu. Secepat itu juga tangan Jasman menarik lengan pyjama Dalila.

“Aku melawak la!”

Jasman mengambil donut bersira gula halus yang berintikan jem strawberry kegemaran Dalila. Kemudian menghulurkan pada gadis itu. Saat itu juga nenek muncul di muka pintu.

“Dah baik balik?” nenek dengan selamba duduk di sebelah Jasman, kemudian mengambil seketul donut.

Bibir tuanya mengukir senyum. Cinta budak-budak. Malu-malu kucing. Dia tahu sangat dengan kerenah Dalila. Bukannya gadis itu tak sukakan Jasman. Tapi gadis itu malu untuk meluahkan. Padahal dua hari tak jumpa Jasman, dia bagai tidak keruan. Makan tak mahu, asyik memerap dalam bilik. Tapi masih mahu sorok perasaan.

“Jas tahu tak, ada orang tu dua hari tak kenyang makan!” Nenek bocorkan rahsia.

Jasman merenung Dalila. Senyum-senyum. Kemudian mengiyakan kata-kata nenek.

“Dia rindukan Jas ye nek?” soal Jas. Melihat Dalila sudah mahu masuk rumah semula. Malu lah tu.

“Itu Jas kena tanya dia la. Rindu ke tak. Eh, nenek ambil dua donut ni. Korang bincang-bincang la, masing-masing dah besar, Lila pun dah layak kahwin!” Nenek memberi ruang.

Kemudian mengenyit mata pada cucu kesayangannya itu. Dalila mencebik. Geram dengan nenek. Tapi mana dia boleh membantah cakap nenek. Memang nenek berkenan sangat kalau Jasman jadi cucu menantu dia. Setiap hari juga nenek beri tahu begitu.

“So, macam mana?” soal Jasman sebaik sahaja nenek masuk.

“Taknak! Mana kau nak campak Ayu?” soal Dalila.

Orang lelaki memang senang nak melafaz cinta. Tak perlu rujukan. Kalau perempuan tak menerima mereka seperti memaksa. Kejam.

“Aku dan Ayu dah putus. Keputusan aku untuk kau seorang!” jawapan Jasman membuatkan Dalila ternganga.

Putus? Sebab seorang ‘adik’ macam aku dia putus? Jasman kejam. Tapi betul ke dia tak suka pada Jasman. Suka bermakna cinta ke? Aduss, betul-betul sudah keliru ni.

“Aku tak boleh terima kau!” dalila tunduk. Kenapalah, susah sangat mulut ni nak cakap yang dia juga sukakan Jasman. Kenapa dia mesti nak nafikan perasaan itu.

“Aku tunggu sampai kau boleh!” Jasman buat muka tak kisah.

“Kita kawan je dulu!” ucapan itu membuatkan Jasman ketawa.

“Selama ni kita tak kawan ke? Macam ni ke gadis berusia 21 tahun bercakap?” Jasman ketawa lagi. Hingga meleleh airmata. Melampau betul.

“Jas, kalau kau bukan jodoh aku, kau terima tak?” soalan itu membuatkan Jasman tersedak. Kuih donut itu bagai tersangkut di tekak. Cepat-cepat Dalila masuk rumah untuk mengambil air. Dia kemudian datang bersama sekotak susu coklat dan dua biji gelas.

“Kau ni teruklah, aku dah nak putus nyawa baru dapat air! Dahla tetamu datang kena bawak bekal sendiri!” Jasman merungut sambil meneguk susu coklat.

“Kalau kau bukan jodoh aku, kau redha tak?” soal Dalila lagi, bertambah serious.

“Lila, ajal, jodoh dan pertemuan tu di tangan Tuhan. Kita Cuma boleh merancang!” lirih suara Jasman. Dia tahu gadis itu berat hati. Dia nampak cinta Dalila di matanya. Namun, Dalila tidak mahu cepat melafazkan. Gadis itu pernah kecewa dalam hidup. Dan kerana itu, dia mahu pastikan hidup mendatangnya sempurna. Jasman faham.

“Aku sayang kau!” Dalila mengucapnya perlahan.

“Aku pun!”

Ucapan yang bersaksikan bulan dan bintang serta seketul donut.


p/s:- Ini idea spontan yang entah datang dari mana

4 comments:

Cutiesgurl said...

so sweet..best citer nie...suka2...:D

Sulela said...

Pergghhh...idea spontan pon boleh hasilkan cerita yang menarik...hehehe

LeaQistina said...

salam kak dina, citer yg menarik but ada beberapa kesalahan ejaan yg perlu diberikan perhatian.

goreng, chocolate moist n beberapa perkataan lg.

semoga terus berjaya =)

Lea nak ABU.. huhu..

dina said...

terima kasih semua kerana membaca, secebis kisah spontan yang hadir dlm minda bila teringatkan seorang sahabat.... hehhee... to lea, nanti sis betulkan mana yg typo-error tu ye syg!