Wednesday, January 14, 2009

Aku Bukan Untukmu - 32

Selepas muazin melaungkan azan subuh tadi dia sudah bangun. Kakinya sudah sembuh. Walau tidak seratus peratus. Namun dia sudah mampu menolong umi di dapur dan halaman siang semalam. Izham tidak jadi balik hari ini, katanya ada hal yang tidak dapat dielakkan. Mungkin lagi dua hari baru dia akan balik. Anizan sudah tidak kisah. Walau pada mulanya agak sebak bila mendengarnya. Namun dia harus terima. Lagipun Hajah Saniyah melayannya baik.
Terdengar suara umi mengalunkan ayat suci al-Quran. Dia terasa ingin menangis. Terlihat dalam dirinya yang selalu terlupakan untuk membaca kalimah-kalimah suci Allah. Solatnya juga sering terbolos. Tidak pernah cukup lima waktu. Alhamdulillah, semenjak tinggal di rumah ini membuatkan dia sayang untuk meninggalkan solat. Banyak hikmahnya dia tinggal di sini.
Dia tersentak bila mendengar derapan kaki menaiki tangga. Mungkin Izlan sudah pulang dari surau. Anizan kemudian menjenguk dapur. Melihat kalau-kalau umi sudah memulakan kerja dapur. Ternyata wanita itu sudah mula memasak sarapan.
“Kaki dah okey?” soal Izlan. Anizan mengangguk. Dia terasa malu dihadapan lelaki itu. Dia tahu lelaki itu asyik memerhatikannya. Atau dia yang selalu perasan.
“Awak tak kerja ke?” soalnya pula. Sekadar mahu berbalas soal. Bimbang dikatakan sombong nanti.
“Kedai sendiri, hari ini saya cuti. Kalau awak nak jalan-jalan boleh saya bawakan. Tak lama lagi awak nak balik KL. Izham pun tak sempat nak bawa awak jalan-jalan!” panjang lebar pula pelawaan lelaki itu. Anizan agak terkejut dengan ajakan itu. Tapi memang sangat merugikan kalau ke tempat orang tetapi tidak melawat atau berjalan-jalan.
“Nanti la, saya tanya umi dulu. Tak elok pula kalau kita jalan berdua aje kan?” ucapnya menunjuk sopan.
Memang tidak manis kalau pergi berdua. Tapi dalam hatinya alangkah bahagianya dapat pergi berdua. Anizan menguntum senyum. Tidak pernah menyangka lelaki itu akan mempelawa ke mana-mana. Kalau Izham tahu, pasti dia cemburu. Sedangkan berlaga pandangan pun membuatkan wajah majikannya itu beriak iri. Inikan pula kalau dia tahu Izlan mahu membawa bakal isterinya keluar. Pasti dia marah.
- Biar dia marah. Siapa suruh tinggalkan aku lama-lama? Siapa suruh dia tinggalkan aku seorang. Sedangkan dia di sana. Mana tahu entah-entah dia berjumpa semula dengan Sofea, sebab itu dia tak mahu balik.
Anizan menelan liur. Sofea? Adakah dia juga cemburu? Entah mengapa terasa merajuk benar hatinya bila Izham memberitahu dia tidak jadi pulang. Mula terbayang di mata Izham bertemu Sofea. Bergurau, dan berpelukan. Semua itu terbayang tiba-tiba. Tidak diminta. Keliru. Tidak mungkin dia cemburu. Tidak mungkin dia jatuh cinta dengan Izham. Cinta tidak akan datang dalam hanya beberapa hari. Dia tidak percaya.

Tidak sangka umi benarkan dia mengikut Izlan. Umi sendiri tidak mahu ikut. Dia sudah tidak betah untuk berjalan-jalan. Lututnya selalu sengal-sengal. Puas Anizan memujuk.
“Nanti kalau umi sakit lutut malam nanti, saya picitkan,” pujuk Anizan lagi. Sudah bermacam cara dia memujuk Hajah Saniyah tetapi wanita itu masih menggeleng kepala. Malu juga dia mahu berjalan-jalan dengan Izlan.
“Isk, tak apa, Aniz pergi je dengan Izlan. Lagipun kesian kat Aniz, datang sini sejak hari pertama dah sakit kaki. Aniz pergi dengan Lan, dia boleh bawa jalan-jalan. Umi tak larat. Kau orang muda lagi. Umi ni dah tua, dah puas pun jalan-jalan,” terang Hajah Saniyah dalam senyuman.
Dia tahu anak gadis itu ikhlas memujuknya. Dia juga faham kehendak anak gadis itu untuk keluar. Dia percaya juga pada Izlan. Anak itu tidak akan mengapa-apakan bakal kakak iparnya.
“Umi memang begitu Aniz, susah nak diajak berjalan,” pendek saja Izlan bersuara.
“Lan, jaga Aniz baik2!” pesan umi. Semasa mereka bersalaman. Izlan hanya tersenyum.
Selepas sarapan tadi mereka mula bertolak. Anizan tidak tahu ke mana arahnya. Yang pasti dia hanya mengikut. Izlan yang membawa ke sana sini.
Destinasi pertama mereka ke Muzium Kapal Korek. Pertama kali dalam hidupnya melihat Kapal Korek. Besar tak terkata. Baru dia tahu fungsi-fungsi kapal korek. Itu pun Izlan yang jadi tukang cerita. Kagum juga dia dengan lelaki itu yang tahu serba serbi tentang perkara yang ada dalam negeri kelahiranya. Macam kelakar pula, melawat muzium. Macam budak sekolah. Buat lawatan sambil belajar. Dia ketawa sendiri. Tetapi memang dia kagum dengan satu-satunya kapal korek bijih timah yang masih wujud di Malaysia. Selepas penat bergambar Izlan mengajaknya ke tempat lain.
“Awak kata hari tu awak keje dispatch ye!” soal Izlan tiba-tiba. Nampak sangat dia masih tertanya-tanya apa pekerjaan sebenar Anizan.
“Iye! Saya kerja dispatch di pejabat abang awak. Kenapa?” Anizan menoleh. Memang kalau dilihat dari gayanya yang terkini, macam tidak masuk akal dengan jawatan yang disandangnya itu. Anizan tersenyum sendiri.
“Naik motorsikal?” soal Izlan lagi.
-Aduh, apahal mamat ni soalan macam polis. Tentulah naik motorsikal takkan aku deliver surat naik jet pejuang kot.
“Tak, naik basikal! Abang awak sediakan basikal untuk saya hantar surat!” guraunya ketawa kecil.
“Oh ye ke! Naik basikal rupanya. Saya ingat naik motorsikal…” perlahan suara Izlan. Anizan tercengang seketika. – Takkan dia percaya cakap aku? Biar benar mamat ni. Lurusnya!
“Awak percaya?” soalnya pula kehairanan.
“Dah awak cakap macam tu, saya percaya la. Ada lojiknya juga kalau hantar surat naik basikal kan. Lagipun tengok gaya awak ni, takkan awak minah rempit kot?” katanya tanpa reaksi.
“Hello! Tak semestinya kalau naik motorsikal tu minah or mat rempit!” Anizan cuba mempertahankan diri. Tidak layak Izlan memberi tohmahan begitu kepadanya.
“Sorry, saya bergurau!” pohonnya.
-Bergurau? Tak nampak pun mukanya macam bergurau. Betapa lainnya sikap lelaki ini dengan kembarnya. Izlan nampak sangat tidak mesra. Bergurau tapi tidak ketawa. Bergurau apa kalau tak kelakar.
“Oh, bergurau ye. Ok!” Hati Anizan ketawa pada masa itu. Kelakar. Ye, lelaki disebelahnya sedang bergurau tanpa perasaan. Lelaki ini ada masalah.

3 comments:

fisha said...

x sbr bk tgu n3 br

keSENGALan teserlah.. said...

hahhaa...
anizan n izham da ader chenta dlm hati..tp tkot nk ngaku..
isk2...
nk lgi,,,
besh..

LeaQistina said...

owh.. lelaki disebelahnya ini sedang bergurau tanpa perasaan. Lelaki ini bermasalah..

wahaha.. kelakarnya ayat yg last ni.. hurm.. mcm dh ada bunga2 cinta di dalam hati anis je.. huhu.. xmo anis dengan izlan..

akak.. xsabar nak tau pe reaksi si izham ble tau anis keluar dgn izlan.. hehe.. mesti biru muka.. huhu...