Monday, May 25, 2009

Aku Bukan Untukmu - 48

Asma meletakkan sepiring kuih keria yang baru sahaja digorengnya tadi. Sejak Izham datang tadi, Anizan hanya membisu. Sepatah lelaki itu menyoal sepatah juga dia menjawab. Asma yang duduk di dapur hanya menggeleng kepala melihat sepasang manusia yang sedang cuba menyelesaikan masalah. Dia kenal sangat dengan Anizan yang susah mahu dipujuk jika hatinya terluka. Selama ini pun, Anizan tidak pernah bercinta, jadi kelukaan yang dia rasakan itu mungkin berkudis lagi.
Lagipun padan dengan muka si Izham. Kalau nak sangat dengan Sofea itu, terus terang sahaja. Tidak payah hendak melukakan hati orang lain. Anizan bukannya tidak waras, malah dia juga sanggup untuk melepaskan Izham. Itu kata Anizan, tapi bila melihat keadaan kawannya itu, Asma mengerti yang Anizan memang terlalu cintakan Izham, cuma marahnya saja masih berbaki. Sudahlah kemalangan tempoh hari hampir meragut nyawanya, namun Izham masih tidak serik dengan kejadian itu. Masih mahu menyebelahi Sofea.
“Aku masuk dulu ye, kau orang berdua berbincanglah apa yang patut, jangan gaduh!” Asma merenung kedua-duanya. Seorang keras hati seorang lagi keras kepala. Sama sahaja perangai mereka.
Anizan cuma mengangguk. Kalau diikutkan hati dia memang tidak mahu bersemuka dengan Izham begini. Tapi kerana Asma sudah membuka pintu dan menjemput Izham masuk, dia terpaksa terima kedatangan yang tidak diundang itu. Dia tidak mahu penjelasan yang tidak jelas. Dia tidak mahu hatinya kecewa lagi. Walaupun dalam hatinya masih belum ada lelaki lain menjadi pneghuni selepas Izham.
“Aniz, saya tahu awak marah saya, tapi takkan kita tak boleh berbaik macam dulu? Saya sayangkan awak. Saya tahu saya tersilap, tapi saya janji saya takkan layan Sofea lagi!” Izham terus merenung wajah itu.
Wajah yang membuatkan dirinya sukar melelapkan mata semenjak dia sendiri mengecewakan gadis itu. Wajah itu terus dingin. Tidak langsung memberi reaksi yang menyenangkan hatinya. Yang boleh membuatkan tidurnya lena malam ini. Izham mengerti itu semua salahnya. Dia yang memulakan dan dia patut mengakhirinya.
“Saya minta maaf, saya bukan terlalu kejam untuk melukakan hati orang. Tapi saya tersilap perhitungan, kasih sayang saya tetap untuk awak. Sofea sudah lama mati dalam hati saya!” sambungnya lagi.
Tiada juga reaksi dari Anizan. Hati gadis itu terlalu keras. Sekeras batu kerikil. Bukan keras keras kerak nasi. Sudah lama dia cuba memujuk namun, Anizan tetap sedingin salju. Di pejabat juga hubungan mereka sejuk sekali. Tidak sehangat dulu. Tidak semesra dulu. Segalanya berpunca dari Sofea. Ah, berpunca dari dia sendiri sebenarnya. Terlalu menjaga hati gadis bongkak itu. Sedangkan dia sendiri sudah selesai membayar segala hutang piutang Tan Sri Kamil. Tidak perlu lagi dia takut dengan ugutan perempuan bernama Sofea.
Tapi keselamatan Anizan yang paling dia bimbangkan. Takut-takut Sofea melakukan perkara yang tidak-tidak lagi. Kemalangan tempoh hari dia tidak ada bukti untuk mengatakan Sofea yang melakukannya. Anak gadis Tan Sri Kamil itu memang terkenal dengan sikap pentingkan diri sendiri. Malah sanggup menyeksa orang lain untuk kepentingan dirinya. Namun Izham terpaksa akur dengan keputusan polis, bila polis mengatakan ini kes langgar lari. Lagi pula, tiada yang berani tampil menjadi saksi kejadian.
“Itu saja ke yang awak nak cakap?” soal Anizan tiba-tiba. Izham mengangkat muka. Gembira mendengar suara gadis itu. Anizan masih sudi untuk berbual. Masih sudi mendengar ucapan maaf darinya. Itu yang dia harapkan.
“Banyak benda saya nak cakap, dah awak diam saja, saya cakapla pelan-pelan,” Izham senyum-senyum. Namun wajah Anizan langsung tiada reaksi. Izham mula menunduk semula.
“Awak, saya ni perempuan biasa saja. Kalau awak tinggalkan saya pun, awak tak rugi apa-apa. Lainlah Sofea, dia tu macam bidadari, keluarga dia pula lombong emas. Saya ni anak yatim piatu saja, dan saya langsung tak kisah kalau awak pilih Sofea. Sebab saya sedar siapa diri saya, ada tidak menambah, tak ada tidak meluak!” Anizan bersuara lagi. Sangat sinis. Namun, Izham mendengar dengan teliti. Dia tahu dia salah. Dia tahu Anizan perlukan masa untuk memujuk hati yang tersentap dengan perbuatannya.
“Jangan cakap macam tu, saya perlukan awak-” belum sempat Izham menghabiskan ayat, Anizan menyambung.
“Saya tak cari cinta tu, ianya datang sendiri itu pun setelah saya pujuk dengan kata-kata dan harapan awak. Saya tidak pernah rasa untuk menyintai awak hanya kerana awak ada segala-galanya. Saya tidak pernah mahu tahu berapa dalam cinta awak pada saya, sebab saya tidak ukur semua itu. Tapi saya cuma nak awak tahu, hati saya bukan untuk dipermainkan!” tegas Anizan.
Ada sendu di hujung kata. Dia sedih. Sangat pilu untuk menerangkan semua itu. Dia tidak mahu hatinya bertambah remuk. Sudahlah dia menerima tohmahan orang lain yang menganggapnya perempuan sihir yang menyihirkan Izham untuk melutut padanya. Semua gara-gara mulut Fizah. Dia telan semua itu sendirian. Tanpa meminta Izham untuk menemaninya menelan pahit setiap fitnah itu. Dia redha bila Sofea memaki hamunnya.
“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak permainkan hati Aniz, saya ikhlas, tapi saya tersepit!” Mata Izham menyapu seluruh wajah gadis itu. Jelas basah birai mata Anizan.
“Izham, saya tak tahu apa yang awak perlu buktikan kejujuran cinta awak. Tapi tolong selesaikan semua masalah awak dengan Sofea,” pinta Anizan.
Dia tidak mahu lagi terbelenggu dengan perasaan Izham yang berbelah bagi. Tidak mahu Izham berasa susah hati untuk terus memilih dia kerana simpati. Cinta tidak perlu bersatu. Andai ditakdirkan Izham bukan miliknya, dia pasrah. Redha dengan ketentuan Allah. Cinta memerlukan pengorbanan. Dia rela mengundur diri jika itu yang dikatakan pengorbanan.
“Saya… sayang awak Aniz! Sepenuh hati saya, percayalah!” rayu Izham. Airmata buat pertama kalinya menitis di birai mata. Tidak pernah dia mahu menangis kerana seorang perempuan. tidak pernah juga dia merayu kerana sebuah cinta. Dia benar-benar sayangkan Anizan. Tidak tergambar melalui kata-kata. Tapi kesilapan demi kesilapan yang berlaku membuatkan dia tersepit dengan kata-kata.

7 comments:

LeaQistina said...

ah! izham sendiri yang tidak pernah bertegas dengan cintanya... terlalu menunduk pada sofea dan akhirnya anizan yang menjadi mangsa.

Lelaki seharusnya lebih bijak dan matang dalam setiap perbuatannya. Memang benar, ada orang mengatakan bahawa kebanyakkan marah kita dilepaskan kepada orang yang tersayang tetapi berbaloikah?

Untuk apa tangisan dan sesalan tu Izham sekiranya tangisan dan sesalan itu tidak diiringi dengan usaha untuk memperbaiki keadaan. Hanya manis dibibir tapi hakikatnya sekiranya sofea membuat onar sekali lagi, Anizan tetap yang menanggung segalanya.

Huhu... dh lama tak membebel kat sini... hehe... thanx kak dina.. tp lea makin geram.. huhu

endless love said...

adoii izham ni makin rumitkan keadaan la.
selesaikan la masalah ngan sofea dulu.suka sangat lari dari masalah.
tak pasal2 orang lain kene tempiasnya.kesian anizan terluka hatinya.
lelaki cam izham ni macam takde pendirian.tak tegas langsung..adoii

keSENGALan teserlah.. said...

sokong kak lea...
izham nieh lembik sgt..
dye ader kuase sbgi laki,,
gunekan la tok protect anizan dri si sofea tuh..
dye ader duet,,
upah la orang jge aniz ker..
huhuu..
xpon terangkan pde bapak si sofea tuh hal yg sebenar..
geramnyeeeeee...
kesian kat aniz..
aniz jd mngse sofea nieh..
izham,,plis la tegas sket tok kebahagiaan korang gak..
huhu..
smbung2..

dina said...

huhuhu.... pembaca2ku dah emosional...

Lieza said...

huhuh... jgn lupe.. izham wat mcm tu sbb dia terlalu sygkan izan.. sofea kan bleh wat ape saje kat nizan tu..izham cume penakutt jer,,,

huhuhu... cepat la post ntri baru,,, x sabo nihh

::cHeeSeCaKe:: said...

erm..xtau nk salahkn sape..salahkn sofea kot..selfish..! izham wat cmtu xnk ade ape2 jd kt anizam..tp izham lupe, dlm mse yg same..die da skitkn ati anizan..

bg sy,xperlula izham nk jge keselamatan sofea smpai snggup lukakn ati anizan.. sofea tu xkn berubah walaupon izham jd tunang die..huhu..nak lg!! jgn lame2 sgt tau..!

alreinsy said...

geramnya kat izham... nape la tunduk jer dgn sofea tuh... jd hangin bila baca... suka2 hati buat kt org mcm tuh... pdn muka bila anizan buat cam tuh... suka sgt... kalau akau la, hancur dah muka dia tuh... kasi hantuk kt dinding sket... baru tau langit ni tinggi rendahnya... kalau dia ugut nk apa2 kan kt anizan, ugut balik simbah asid kt muka dia yg "lawa" sgt tuh... sure takutnya... takut jd pompuan bodoh mcm dia selalu ckpkn tuh... mmg geram betul... pandai la penulis dpt buat saya bygkn in realiti... best2... keep up yor good work