Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 3

Izham menyandar di bangku kulit yang empuk. Fikirannya bercelaru, mana nak fikirkan pasal hal kerja yang tak habis-habis. Mana nak fikirkan tentang Sofea yang tidak habis-habis merajuk. Sekarang uminya pula, bising menyuruhnya kahwin. Dah lah tu siap nak pinangkan si Zamira, anak Pak Lang Ipin untuknya. Semalam umminya telefon lagi, bertanya samada dia setuju atau tidak. Puas diterangkan pada umi tentang kerjayanya yang baru bermula itu. Lagipun umurnya baru sahaja nak masuk dua puluh lapan tahun. Firma guamannya juga baru beroperasi tidak sampai setahun.
“Umi, bukan Ham tak mahu kahwin, tapi bagi Ham masa, Mi. Ham baru je buka company sendiri. Banyak lagi benda lain yang Ham nak kena fikirkan, Mi.” katanya lembut, memujuk Hajah Saniyah.
“Tak payah banyak fikir. Minggu depan ummi nak merisik si Mira. Kalau Ham ada calon, bawa balik kampung. Kalau tidak, ummi pinangkan Amira untuk kau. Mira tu tak ada cacat celanya, budaknya baik, lawa, hormat orang tua, sopan-santun. Yang penting pandai masak, kau kan suka makan daging masak kicap yang Mira masak? Apa yang kau nak lagi? Cuma dia tu belajar tak tinggi mana je. Lagipun Izham, kalau perempuan belajar tinggi sangat, dia jadi besar diri, lepas tu mulalah asyik nak memerintah suami.” Hajjah Saniyah tidak mahu mengalah. Memang dia berkenankan Zamira anak bongsu kepada abang sepupunya, Arifin. Budak itu tak sekolah tinggi, setakat SPM sahaja, dan sekarang menolong ayahnya menjaga kedai runcit.
“Ummi, kan Ham dah kata, Ham ada calon sendiri. Sekarang ni dia sibuk, tak boleh nak ikut Ham balik kampung. Nanti Ham ambil cuti Ham bawa dia balik kampung, ye ummi? Ummi tak payah pergi rumah pak lang. Kalau ummi nak juga bermenantukan Zamira, umi pinangkan untuk Izlan, boleh juga dia lupakan arwah Aisar,” balas Izham, lembut. Dia memang tak pernah lagi meninggikan suaranya pada ibunya itu.
“Kau pun tahu Izlan tu macam mana? Sejak kematian Aisar, dia langsung tak bersemangat. Dah jenuh umi berubatkannya, nafsunya pada perempuan dah tak ada, semangatnya dah dibawa arwah si Aisar agaknya. Umi kadangkala kecewa dengan sikapnya, Ham!” luah emaknya, sayu dan haru.
Izlan, adik lelaki kembarnya itu, memang berubah sejak kematian isterinya, Aisar. Sejak itu juga Izlan lebih gemar menyendiri. Hidupnya hanya dikelilingi muzik. Dan tanpa muzik, Izlan akan hidup dalam sunyi dan kebingungan.
“Izham! Umi tak kira, umi bagi tempoh sampai hujung bulan ni… kalau tak ada umi pinangkan Zamira untuk kau. Itu keputusan umi!” tegas Hajjah Saniyah tiba-tiba. Izham pun pelik dengan emaknya. Sekejap kendur suaranya, sekejap tegas dan garang, namun belum sempat Izham membalas apa-apa, emaknya terus meletak telefon.
Izham melepaskan keluhan berat. Kali ini uminya tidak mahu langsung mendengar kata-katanya. Keputusan umi sudah muktamad. Dia harus memujuk Sofea segera, tapi dia tahu sangat dengan Sofea yang tidak sukakan suasana kampung.
Pernah dulu mereka menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan di satu perkampungan Melayu di Melaka, kebetulan pula masa itu baru sahaja lepas hujan dan kawasan kampung itu berlopak di sana-sini. Bila sahaja sampai ke majlis kenduri, Sofea langsung tak mahu keluar dari kereta, katanya takut kasut jenama Prada yang baru dibelinya, rosak, alasan yang langsung tak masuk akal. Puas juga Izham memujuk, gadis Bandar itu tetap berdegil. Mahu tidak mahu, Izham pergi seorang diri berjumpa kawannya untuk memberi hadiah perkahwinan. Selepas mengucapkan selamat pengantin baru, dia terus berlalu membawa Sofea pulang semula ke Kuala Lumpur.
Sampai hari ini dia masih menjadi bahan sindiran kawan-kawan yang hadir di majlis itu. Apa nak buat, kalau dia tahu perkara itu nak jadi, pasti dia datang seorang, tak hingin dia berteman.
Bagaimana dia nak bawa anak gadis Tan Sri Kamil tu balik ke kampungnya. Jenuh pula maknya nak sediakan jambatan dari jalan besar ke tangga rumah, maklum sajalah, rumah orang tuanya rumah kampung, halaman rumahnya selalu pula berlopak bila tiba musim hujan, pasti Sofea tidak mahu mengotorkan kasut mahalnya. Tapi kalau dipujuk, mungkin dia akan menurut juga. Dia tahu Sofea sayangkannya, kalau tidak takkan dia sanggup buat apa saja untuk Izham. Sampaikan untuk membuka firma ini pun Sofea memujuk bapanya, Tan Sri Kamil meminjamkan modal kepada Izham.
Dia pun tak bercadang untuk membuka firma sendiri, sebelum ini dia cuma bekerja dengan sebuah firma guaman yang agak kecil. Tan Sri Kamil tu memang baik hati orangnya, dia meminjamkan modal tanpa meminta bunga, kalau Izham tidak bayar pun dia tak kisah. Cuma anak gadisnya itu yang membuatkan Izham serba salah, rajuknya melampau-lampau. Kadangkala di sendiri tak faham dengan Sofea, kononnya social sangat, sepuluh tahun tinggal di luar negara, tapi cemburunya mengalahkan apa je.
Hampir dua minggu Sofea merajuk, puncanya kerana Izham keluar makan dengan seorang client perempuan, Datin Hartini, yang mahu menggunakan khidmatnya untuk urusan jual beli rumah. Kebetulan, mak Datin tu datang seorang, sebab Dato’ Kahar ada mesyuarat di luar daerah. Datin Hartini tu memang muda, maklumlah, isteri ketiga, selepas dua isteri terdahulu Dato’ Kahar meninggal dunia. Apalagi cemburunya si Sofea, bila dia ternampak pula Izham bukakan pintu kereta untuk Datin muda bergaya itu. Mulalah dia menuduh si Izham macam-macam. Dituduhnya Izham ada affair dengan datin tu, siap dihantarnya MMS, gambar Izham buka pintu kereta untuk Datin Hartini. Bagi Izham dan sesiapa yang waras, apa yang dibuatnya itu tak salah, lainlah kalau tolong bukakan kain ke bukakan baju ke, itu salahlah!
Mereka bertengkar, tapi pada Izham, bukanlah berperang besar, cuma Sofea yang salah faham. Puas Izham meminta maaf dan terangkan perkara sebenar, tapi anak dara Tan Sri Kamil ni satu hal, habis diungkitnya hal bapanya menolong Izham membuka firma itu. Panaslah telinganya, apa lagi nasib baik tak makan penamparlah jawabnya! Lepas je kena tengking terus dia tak mahu jawab panggilan Izham.
Tapi takkanlah dia nak datang ke rumah Sofea dan menyembah perempuan tu supaya mendengar penjelasannya lagi, no way! Dia dah minta maaf pun dah cukup bagus, di sebabkan terhutang budi dengan Tan Sri Kamil yang baik hati tulah, dia masih boleh bertahan dengan Sofea, kalau ikutkan hati, dah lama ditinggalkan perempuan sombong itu.

4 comments:

fadxiora said...

kalau akulah, aku dah bagi si sofea tu pakai kasut jenama 'pasar malam' so, tak delah dia nak mengada2 tak mau turun ^_^

Komen aku:- still tak de komen lagi ^_^ tp bila aku baca macam kau yg bercerita dengan aku

dina said...

adakah cara penyampaian aku tak berkesan fad? aku mahu perbaikinya lagi... terima kasih!

atiqah sohaimi said...

mengada-ngada...aku pki kasut coach jln time ujan x heran punnn...siap kene simbah ngan air lgi...hampeh kete tuhhh...huh!

irish said...

cite ni dah semakin menarik...