Wednesday, November 12, 2008

Aku Bukan Untukmu - 26

Anizan memeluk tubuh sambil bahunya menjongket sedikit merasai kedinginan malam di muka pintu. Matanya sukar dikatup. Dia nampak sesusuk tubuh yang bagaikan tidak merasa kedinginan malam. Untuk kali ini dia mengenali tubuh itu. Walau dia tahu Izham dan Izlan bagaikan bayangan masing-masing. Langsung tidak punya perbezaan. Dia mendekati buaian besi yang tidak beralun itu dengan kakinya yang agak terhencot.
“Belum tidur lagi?” soalnya. –Bodohnya soalan aku. Memang la belum tidur kalau tidak takkan terconggok kat sini.
Anizan merenung lelaki itu dalam remang cahaya lampu jalan. Lelaki itu bagai melakukan sesuatu dengan tangannya. Menyapu pipi yang tertitip daunan pohon pelam barangkali.
“Eh! Anis. Kaki awak dah okey?” soal lelaki itu. Soalan itu dibalas anggukan.
- Lelaki ini menangis? Aku nampak ada basah di pipinya.
“Terkenang kisah lama?” pertanyaan itu membuatkan dia mengutuk diri sendiri.
-Bodohnya kau tanya soalan bodoh itu Jan. Bukan aku tak tahu dia sudah kematian isteri. Kenapa soalan kurang cerdik itu juga yang keluar.
“Erm… kadang-kadang bila kita keseorangan kita berfikir sendiri, siapakah jodoh kita. Kenapa kita ditakdirkan berpisah. Apa salah kita pada Tuhan…” Izlan menjawab tenang.
“Tapi yang berlalu tetap akan berlalu. Segalanya ada hikmah, Tuhan menjadikan semua itu bersebab!” Anizan menyambung.
-Eceh, sejak bila pula aku pandai berpujangga.
“Benar. Tapi tak salah kalau kita mengenang semula takdir yang pergi. Bukan menangisi, tapi kenangan yang indah itu untuk dijadikan pedoman hidup. Supaya kita belajar dari kesilapan lalu!” kata-kata luahan Izlan membuatkan Anizan terpaku. Lelaki ini pandai berpujangga. Pandai membina ayat. Dia bagai terpesona seketika. Manisnya lelaki ini berbicara.
“Anizan pernah bercinta?” soalan Izlan membuatkan dia tercengang. Soalan maut buatnya.
-Tak adakah soalan lain yang boleh keluar dari bibir bertahi lalat itu? Oh ye, perbezaan antara Izlan dan Izham. Izlan punya tahi lalat manis di bibirnya. Dan muka Izlan lebih manis kala tersenyum berbanding Izham.
“Tak!” jawabnya ringkas dan padat.
“Kenapa awak ikut saja cakap bos awak?” soalannya kali ini seumpama perangkap.
“Sebab dia bos saya!” tegasnya dalam hati yang gugup. Bimbang kalau airmukanya mencerminkan kegugupan itu, Anizan berpaling kearah lain.
“Awak sanggup menurut jika ianya bakal menyakitkan hati seorang yang dipanggil ibu hanya kerana duit?” kali ini agak keras sedikit bibir bertahi lalat itu mengaju soalan.
Anizan terpempan seketika. Memang itu yang difikirkan. Tapi dia terpaksa. Dia perlukan wang untuk belajar untuk meneruskan hidupnya. Dia tidak punya sesiapa. Dia cuma ada cita-cita. Mulutnya bagai terkunci dengan soalan sekaligus tempelakan dari Izlan. Dia terasa bersalah yang amat sangat. Bila seorang ibu yang baik itu menggosok kakinya yang membengkak. Dalam masa yang sama dia menipu si ibu. Alangkah kejamnya dia.
“Awak lebih kurang sama dengan teman wanita Izham. Sampah!” bentak lelaki itu. Anizan tidak melawan. Dia menerima tuduhan itu, sampah. Memang dia harus berasa begitu sampah.

3 comments:

Unknown said...

salam, dina... dah habis ke e-novel ni?

dina said...

belum lagi la sayang... nanti aku update ye...

LeaQistina said...

salam kak dina..

best la citer ni.. akak sambung lagi ek.. cumanya nama amira n zamira masih banyak lagi yg tak bertukar.. pape pun.. citer ni sy suka..

teruskanlah anis dengan bos dia.. jgn dihancurkan hati dan harapan si ibu tua.. tak berkat hidup nnti.. xpun buat si anis jd anak angkat ummi.. huhu.. gigit jari jelah bos..

apa pun.. smbg lg ek.. tahniah.. best..