Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 21

Soalan Izlan dibiarkan tidak berjawab. Dia harus pergi dari situ, dia malu menghadap wajah Izlan yang juga setampan Izham kerana dia takut rahsia yang disimpan bersama Izham dibongkar oleh kembar Izham itu. Anizan terus terkocoh memanjat tangga. Tidak sempat dia sampai ke atas, kakinya terseradung di bendul dan saat itu Anizan tidak dapat mengimbangi badannya lalu. Buk! Terguling di atas anak tangga. Izlan yang melihat kejadian itu tanpa lengah terus bangun mendapatkan gadis itu. Sebelum Anizan terjatuh ke lantai, Izlan sempat menyambar badan gadis itu dan sekelip mata gadis itu berada di dalam rangkulannya. Izlan panik bila melihat dahi Anizan berdarah, mungkin kerana terhantuk pada bucu anak tangga. Izlan terus mendukung Anizan ke atas sofa di ruang rehat tingkat bawah rumah kayu itu.
“To…long saya… sakit!” rintih Anizan bila dia terasa sakit yang teramat di bahagian kepala.
Dia memegang dahinya yang tidak berhenti mengalirkan darah, kakinya juga terasa berdenyut kuat, mungkin terseliuh kerana terlanggar tangga tadi. Saat itu juga dia ternampak Izlan datang membawa kotak kecemasan. Tanpa berlengah Izlan terus memberikan pertolongan kecemasan kepada Anizan. Darah yang masih mengalir di dahi Anizan dihentikan segera.
“Kenapa ni Lan? Apa dah jadi ni?” jerit umi bila sahaja dia terlihat Izlan menyapu darah di dahi Anizan. Muka umi pucat, Izham yang baru sahaja masuk ke rumah juga terkejut melihat keadaan Anizan.
“Anis… Anis ni kenapa? Apa dah jadi ni Lan? Kenapa jadi macam ni?” soal Izham bertalu-talu sambil merenung adik kembarnya.
“Sa… saya jatuh tangga!” ujar Anizan, masih lagi menahan denyutan kesakitan di kepalanya.
Izlan yang sedang merawatnya cuma tersenyum nipis. Sebenarnya dia memang mahu ketawa bila melihat gadis itu berkelakuan aneh bila melihatnya.
“Dia ternampak hantu raya… itu yang lari lintang pukang tu!” Izlan merenung Hajah Saniyah. Raut wajahnya masih seperti tadi, selamba dan beriak agak serius. Saat itu berderai tawa Izham bila mendengar perkataan hantu raya yang keluar dari mulut Izlan. Uminya menyiku perut Izham, dengan wajah marah.
“Hish, bukannya dia nak menolong, diketawakannya lagi! Angkat Anis tu, kita bawa ke klinik, jadi apa-apa pada anak orang, apa kau nak jawab pada mak bapa dia!” arah Hajjah Saniyah.
Hatinya cukup kasihan melihat anak gadis itu masih menyeringai kesakitan. Luka di dahinya juga agak serius.
“Mak bapa dia dah tak ada mi…” suara Izham perlahan sebelum mengangkat Anizan bila Izlan sudah membalut luka di dahi gadis itu. Hati Hajjah Saniyah tersayat pilu mendengar kata-kata Izham. Kasihan budak ni, yatim piatu rupanya.
“Cepatlah Ham… Lan, buka pintu kereta tu cepat!” arah Hajjah Saniyah lagi. Tidak betah melihat tamu seorang ini mengerang kesakitan sejak tadi. Dia bertambah panik bila dilihatnya pergelangan kaki Anizan sudah mula membengkak dan bertukar warna biru.

No comments: