Wednesday, January 27, 2010

Aku Bukan Untukmu - 53

Bulan madu yang panjang memang impian setiap pasangan yang baru berkahwin. Namun bagi Anizan cukuplah bulan madu dalam sebuah bilik di sebuah rumah kampong yang damai. Semua itu sudah cukup membahagiakan bersama pasangan pilihan. Tidak ada yang menggembirakan selain dari kebahagiaan dan kasih sayang yang diberikan oleh Izham dan umi. Izlan? Sejak dia dan Izham diijabkabul, Izlan bagai mengelak diri darinya. Anizan tidak faham langsung apa yang tersirat di hati adik iparnya. Benar selama ini sebelum Izham benar-benar membuktikan kasih sayang, pada Izlan tempat dia mengadu segala kekusutan di fikiran. Tapi ianya tidak lebih dari seorang kawan. Silap dia kerana mengganggap Izlan juga hanya mahu berkawan. Tetapi sebalik sebenarnya dia tidak tahu.
“Sayang, jom pergi pasar. Abang nak rasa masakan Aniz!” Izham menepuk lembut bahu isterinya.
Masak? Mana aku reti masak. Alamak, kenapa selama ni aku tak belajar dengan Asma. Selalunya Asma yang masak. Aku tahu makan saja. Anizan mengetap bibir. Mana pernah dia memasak. Dapur di rumah sewa itu berasap hanya pada hujung minggu, itupun kalau hujung minggu itu Asma ada. Kalau tidak ada, dapur memang tak berasap. Dia biasa makan di luar. Masak mi segera dia pandailah.
“Awak suka makan apa?” soal Anizan. Tidak mahu menunjukkan sangat yang dia jahil dalam bidang masakan. Mana dia pernah belajar. Tidak pula dia terfikir yang dia harus kena memasak bila menjadi isteri.
“Sambal ikan keli, cencaru belah belakang, rebung masak lemak, sambal tempoyak, ulam petai… hmmm, bestkan?” Izham menelan liur.
Bila teringatkan semua makanan itu kecur air liurnya. Selama ini kalau mahu makanan yang dia gemari dia mencari di restoran-restoran masakan Melayu. Hilang juga rindunya dengan masakan umi. Selama ini juga tiada yang boleh menandingi masakan umi. Kini, bila beristeri, Izham berharap Anizan dapat memenuhi seleranya.
Anizan mengerutkan dahi. Mana dia tahu masak masakan yang disebut Izham. Sedangkan dia jangan kata nak masak ikan, siang ikan pun dia tidak pernah. Kalau buka ikan pernah la, buka ikan sardin. Itu dia tahulah. Selera Izham ni selera orang kampong. Setakat goreng ayam segera ke, buat masakan bodoh-bodoh bak kata Asma tu, boleh la, itu pun dia selalu nampak Asma yang masak. Asma memang pandai reka-reka masakan. Sosej bersos lada hitamla. Bebola ayam sos tiram la, tak pernah pula Asma masak lemak ke, cencaru belah belakang ke. Macam mana ni. Mesti Izham mengharapkan masakan terbaik dari si isteri. Anizan mula berpeluh.
“Kenapa ni? Berpeluh semacam?” soal Izham bila dilihatnya wajah Anizan tidak keruan. Memang senang mahu tahu jika Anizan mengelabah atau tidak keruan. Dahinya berpeluh tiba-tiba.
“Saya…saya… ~” teragak-agak Anizan hendak memberitahu..
“Saya apa?” jerkah Izham tiba-tiba. Kemudian ketawa.
Anizan yang mendengar jerkahan itu terperanjat. Macam mana lah dia boleh berkahwin dengan lelaki tiga suku ini. Tiba-tiba sahaja nak jerkah orang. Kalau orang didepannya ada sakit jantung, dah jalan agaknya.
“Awak ni, suka buat macam ni tau. Nasib baik saya tak ada sakit jantung!” Anizan mengurut dada.
“Habis tu,dah tergagap-gagap nak cakap. Cuba awak buangkan rasa takut pada abang. Abangkan suami sayang?” Izham menghabiskan sisa tawanya. Lucu melihat wajah Anizan. Sejak Anizan mula bekerja sehingga menjadi isterinya kini, dia gemar mengusiknya.
“Saya tak pandai memasak…” terang Anizan, jujur.
“Tak pandai masak? Kenapa tak belajar?” soal Izham. Matanya bulat memandang Anizan. Bagaikan sedang marah.
“Saya tak ada emak, macam mana nak belajar?” Tiba-tiba hati Anizan sayu. Memang itu alasan yang terlintas difikirannya. Dia tidak punya emak. Dia tidak dapat belajar bagaimana mahu menjadi isteri yang baik kepada suaminya. Tidak ada yang berpesan kepadanya. Tidak pernah ada yang mengajarnya cara melayan suami. Tiada suara ibu yang menasihatinya bagaimana untuk menjaga hati suami.
“Sayang, janganlah sedih. Abang gurau saja! Ok, takpe, jom ajak umi pergi pasar, nanti belajar dari umi macam mana nak masak makanan kegemaran abang ye…” pujuk Izham.
Hati Anizan terasa lapang bila dipujuk begitu. Tambah kalau Izham mula menyentuh jarinya. Dia terasa bahagia. Gembira bila ada yang menyayangi dirinya. Terasa masih ada tempat untuk dia mengadu. Dalam diam dia berterima kasih kepada Tuhan, mengucap syukur kepadaNya kerana menemukan dia dengan Izham


Anizan menjijit beg plastic ke dapur. Kemudian merenung semua barangan yang dibeli. Selera suaminya ini macam harimau. Ikan keli, ikan cencaru, rebung, pisang abu, tembikai susu, petai dan jering tidak terkecuali. Dari dalam kereta Izham suruh dia belajar memasak semua makanan itu dari umi.
Plastik yang berisi ikan keli diletakkan ke dalam sinki. Sekali lagi dia merenung ikan keli itu. Tidak tahu bagaimana mahu menyiang ikan keli hidup.
“Aniz tengok apa?” soal Hajah Saniyah bila dilihatnya menantunya itu seperti kebingungan merenung ke dalam sinki. Dia menjenguk ke sinki.
“Takda apa umi, Aniz tengok ikan keli ni hidup lagi, macam mana nak matikan dia?” terang Anizan jujur.
“La, kenapa tak suruh saja penjual tu siang? Ni mesti Izham punya kerja ni!” Hajjah Saniyah menggeleng kepala. Tahu sangat dia perangai Izham yang tidak sudah-sudah mahu mengenakan Anizan. Sudah jadi isteri pun diusik sebegini.
“Boleh ke umi? Tadi abang kata tak boleh, nanti ikan ni busuk!” Anizan garu kepala.
“Aniz pergi ambil garam kasar dalam cabinet tu, nanti umi ‘matikan’ ikan ni. Izham ni memang sengaja nak cari pasal,” rungut ummi.
Anizan terus menuju cabinet dapur mencari garam kasar. ‘Membunuh’ menggunakan garam memang tidak terjangkau di fikirannya. Dia ingat umi akan mengetuk ikan itu sebelum menyiangnya.
Selepas beberapa ketika, ikan keli sudah selamat disiang. Nasib baik umi yang siangkan. Cantik saja ikan keli yang telah dikelar diagram kunyitkan untuk digoreng. Kemudian umi menyuruh Anizan mengambil mesin pengisar untuk mengisar cili kering.
“Umi, jangan pakai blender, pakai lesung ye mi, suruh je Aniz tu yang tumbuk!” pinta Izham. Anizan menjeling.
Menyampah mendengar arahan Izham. Kalau tinggal berdua bukan main manja mengalahkan anak kucing. Bila uminya ada, mula nak tunjuk kuasa. Macam dia sorang je layak beri arahan. Anizan mengetap bibir. Sepanjang masa dipasar tadi, dia makan hati dengan Izham. Ada sahaja yang dia mahu komen. Mulutnya macam mulut murai tercabut ekor, tak berhenti mengomel. Mujur umi memainkan peranan sebagai ibu. Agaknya dah lebam lengan Izham terkena cubitan umminya.
“Karang umi cili mulut tu. Dari tadi tak habis-habis nak mengenakan Anizan. Jangan layan sangat Izham ni, mulut dia memang tak makan saman!” Hajah Saniyah menghalakan cili merah ke arah Izham.
Geram bila melihat anak itu semakin menjadi-jadi mengusik isterinya. Sebelum ke pasar tadi pula, dia dengar jerkahan kasar Izham kepada Anizan. Bergegas dia nak naik ke atas,nak tahu apa yang berlaku. Takut kalau-kalau Izham dan Anizan bergaduh, baru berapa hari rumah tangga terbina. Baru berapa tapak dia menaiki anak tangga, terdengar suara Izham ketawa. Dia senyum sendiri, Izham memang nakal. Mengusik memang kerja nombor satu.
“Umi manjakan la dia sangat. Nanti balik KL kalau dia tak reti masak gulai lemak rebung, Ham kahwin lagi satu!” ugut Izham.
Anizan merenung tajam ke arah suaminya yang sedang ketawakannya. Kalau hendak kahwin dengan orang pandai masak kenapa pilih aku? Pergilah kahwin dengan anak tauke restoren ke. Tidak pun calon yang mak dia pilihkan dulu, apa namanya, Mira? Sejak beberapa hari disini dia sudah kenal siapa Mira, calon yang umi mahu halakan pada Izham, sehingga menyeret Anizan ke sini. Cantik orangnya, lemah lembut. Gadis kampong yang pandai dalam serba serbi. Dari hal memasak, menjahit, mengemas. Memang sempurna. Tapi lelaki itu yang menolak. Bila dapat isteri tidak pandai memasak pandai pula merungut.
“Dulu umi suruh kahwin dengan orang pandai masak, tak mahu!” rungut Anizan membalas kata-kata Izham. Marah juga dengan ayat yang keluar dari bibir suaminya itu. Baru tak pandai masak dah nak kahwin lain.
“Eh! Melawan pula! Cepat tumbuk cili tu!” arah Izham.
Mati la aku macam ni, di rumah kena perintah. Di pejabat sudah tentu diperintahkan aku ni macam khadam. Tidak dapat dibayangkan jika mereka berdua di rumah sendiri. Mahu Anizan makan hati tinggal bersama lelaki ini. Tapi apa boleh buat, Izham sudah menjadi suaminya yang sah. Mahu tidak mahu, dia mesti melayani suami sebaiknya.
Satu persatu Hajah Saniyah mengajar Anizan memasak. Cara menumbuk cili, bahan-bahan masakan, cara menggulai, semua diajar dengan teliti. Dia tidak mahu Anizan jadi mangsa sindiran Izham. Tahu sangat perangai anak lelaki sulungnya itu. Kalau ada yang dia tidak puas hati, kenyang la orang makan sindirannya. Lagipun Anizan tidak punya sesiapa lagi untuk mengajarnya membuat kerja dapur.


Makan tengah hari sudah terhidang. Ikan keli masak sambal, rebung masak lemak, sambal tempoyak, ulam-ulaman dan cencaru belah belakang terhidang sempurna. Bau rebung masak lemak menusuk hidung. Anizan sendiri tidak pernah makan rebung dan ikan keli. Ikan cencaru dia sudah biasa. Di asrama nama panggilan bagi ikan itu ikan jaket. Kerana di asrama, kulit yang keras pada badan ikan, langsung tidak dibuang. Tapi hari ini, umi sudah mengajarnya cara membuang jaket tersebut. Memang payah. Jari jemarinya juga pedih tertusukkan duri ikan. Anizan cekalkan hati, tidak mahu mengadu, walaupun hujung jarinya tadi terhiris pisau. Dia takut untuk memberitahu umi. Paling takut kalau Izham tahu, mahu sampai mati Izham menyindirnya.
“Abang! Umi panggil turun, makan!” Anizan menepuk bahu Izham.
Tengoklah tu, orang bertungkus lumus di dapur, dia sedap-sedap tidur di atas ni. Orang dah tahan airmata pasal jari jemari luka-luka, dia elok saja terbongkang atas sofa. Tak patut betul.
“Hmm, dah masak?” soal Izham, mamai.
“Dah la, saya nak salin baju kejap, dah bau tempoyak!” Anizan lekas bangun. Sebenarnya dia mahu mencari minyak gamat. Luka terhiris pisau tadi tidak dirawat lagi.
“Muka pucat ni kenapa?” soal Izham.
“Tak ada apa-apa,” elak Anizan.
“Tu jari tu kenapa?” Izham memuncung kearah jari telunjuk yang berdarah. Cepat Anizan menyurukkan jarinya sambil menggeleng.
“Abang nampak darah kat jari tu, mari sini abang tengok!” pinta Izham.
Takut-takut Anizan menghulurkan jarinya. Darah masih menitis. Mujur lepas siang ikan cencaru umi yang menggorengnya. Kemudian dia langsung disuruh umi memanggil Izham.
“Sikit je!” lirih suara Anizan.
Padahal sakit bukan kepalang, besar juga luka itu. Pisau di rumah umi ini tajam sangat. Terhiris sedikit pun sudah menyebabkan luka yang besar.
“Sikit Aniz cakap? Besar lukanya ni…” Izham terus bangun mencari kotak kecemasan.
Tidak sangka Anizan cedera semasa memasak. Bukan dia tidak kasihan melihat isterinya, tapi sudah dia bergurau cara begitu. Entah-entah kerana menyiang ikan keli jari Anizan luka. Padahal bukan dia tidak tahu penjual ikan itu boleh sahaja menyiangkan ikan tersebut untuk pelanggan. Tetapi dia sengaja mahu Anizan belajar. Dia mahu Anizan menjadi isteri yang sempurna untuknya. Kerana setelah memilih Anizan dia tidak mahu lagi dibelenggu wanita lain terutama Sofea. Dia akan pastikan kasih sayangnya kepada Anizan tidak berubah. Dia sayangkan wanita itu. Teramat sayang.
Kelam kabut diambilnya first aid kit dari bilik Izlan. Kemudian mengeluarkan iodine dan kapas. Luka di jari Anizan dibalut dengan kain kapas.
“Melampau la awak ni! Lukanya kecil, tapi balutan macam jari ni patah tiga!” Anizan menutup mulut menahan ketawa. Risau juga kalau tawanya pecah tiba-tiba. Izham ini bukan boleh dijangka, kalau dia hendak marah, dengan tiba-tiba boleh berubah watak.
“Jangan gerak-gerak boleh tak? Takpe, jari luka ni sebab abang la ni, paksa-paksa Aniz buat kerjakan?” Izham melekapkan pita selofan di balutan itu.
Menyesal pula suruh Anizan lakukan semua untuk memuaskan hatinya. Bukan dia tidak mahu menolong tapi kadangkala dia dapat melihat keegoaan dalam diri Anizan. Sukar bagi Anizan untuk membuka mulut meminta pertolongan. Dia akan cuba menyelesaikan masalahnya sendiri, walaupun kadang-kadang menyebabkan dirinya derita. Kerana kekerasan hati Anizan itu juga membuatkan Izham tertawan.

7 comments:

Mama Delima said...

Lamanye nak tunggu n3 br ni..apa2 pun cite ni mmg best..nak smbgnnye..

LeaQistina said...

salam kak dina,

entri kali ni sangat menarik... tersentuh je rasa hati esp bab izham komen2 fsl anizan xreti masak.. huhu... sayu je bila anizan ckp dulu mak suruh kawen dengan org pandai masak xnak.. huhu.. but lea mengharapkan izham bg respon pada ayt tu.. apa pun.. best! rindu dengan karya kak dina.. :D

epy elina said...

hohoho...
mmg btul best crta niii...
brbaloi tngu...
smbung2x...

Hafia Hana said...

hahahah..

sgt sweet

+_*

alreinsy said...

hahaha... sweetnya... rindunya smbgn citer ni... thanks sbb dah lepas rindu... nk smbgnnya...

fazliana said...

waaaaaaa
finally ada jgak
smb0ngn dya..best2

khasyikelvin_ said...

lomentik
bulan madu di kampong sendiri.

p/s: ouh tiada pengalaman itu lagi.
kah kah kah!