Tuesday, February 9, 2010

Aku Bukan Untukmu - 54

Dua minggu mereka bercuti di kampong. Hari ini mereka pulang ke rumah teres dua tingkat milik Izham. Sememangnya sudah lama dia membeli rumah itu. selama ini dia tinggal bersama Hasrul. Tetapi bila dia menyatakan hasratnya untuk menikahi Anizan, Hasrul dengan relanya menyewa rumah lain. Selama dua minggu bercuti juga, Hasrul yang menjaga baik syarikat mereka.
“Cantik tak rumah abang?” soal Izham sambil merenung wajah suci Anizan.
“Cantik sangat, pandai la abang hias rumah ni!” puji Anizan.
Anizan mengagumi hiasan rumah itu. tidak sangka-sangka Izham dan Hasrul berbakat dalam hiasan dalaman. Segala susunan perabot, warna dinding dan hiasan-hiasan lain seperti Astana Idaman dari Eric Leong. Rumah bujang dia dan Asma dulu pun tidak secantik ini. Rumah mereka sangat ringkas. Di ruang tamu cuma ada TV 14inci yang mereka beli secara kongsi di atas meja kecil, dua biji bantal besar untuk mereka duduk, baring dan ‘berperang’ pukul bantal. Dan sebuah meja lipat dengan 4 kerusi plastic. Itu pun sudah terlalu syurga buat Anizan dan Asma.
Bila melihat segala kelengkapan yang berada di dalam rumah Izham membuatkan Anizan terasa kecil. Betapa dia dahulunya susah payah untuk hidup dan sekarang boleh menikmati perkara yang lebih baik bila bersuami.
“Semua ni Sofea yang hias,” beritahu Izham lancar tanpa sedar.
Mendengar nama Sofea, Anizan menghela nafas. Dia sedar, dia tidak patut cemburu. Dia sudah menjadi isteri Izham dan Izham berjanji tidak mahu lagi berhubung dengan perempuan itu. tetapi bila bibir Izham menyebut nama Sofea, hatinya bagaikan terhiris dengan belati. Pedih.
Memang sebelum ini dia menerima apasahaja yang Sofea lakukan. Sehingga dia hampir hilang nyawa. Tetapi dia cekal kerana cintanya benar. Bukan dibuat-buat. Izham cinta pertama dan dia mahukan lelaki itu menjadi cinta terakhirnya.
“Sorry, sayang! Abang tak bermaksud nak menyakitkan hati Aniz. Abang terlepas!” Izham menarik tangan Anizan.
Tiba-tiba pula tersebut nama Sofea. Walaupun memang semua hiasan ini hasil idea Sofea, sepatutnya dia tidak memberitahu Anizan. Tidak patut. Sepatutnya dia lebih menjaga hati isterinya. Sebelum ini Anizan terlalu banyak menanggung keperitan hidup. Kemudian hadir dalam hidupnya dan ditentang Sofea. Perempuan itu umpama musuh ketat hubungan mereka.
“Tak apa la bang, memang dia yang buat kan… tak salah pun awak beritahu saya!” balas Anizan, mendatar.
Menyembunyikan perasaannya yang terluka. Dia benar-benar berasa kecil hati. Tetapi dia harus memendamnya. Walau dia sudah memiliki Izham, namun tidak semestinya dia harus padamkan segala kenangan lelaki itu. Anizan terpaksa akur dengan ketentuan jika sudah di tentukan yang dia cuma sandaran sementara.
“Apa kata, kalau kita ubah semua hiasan ni ikut citarasa Aniz. Abang tahu, isteri abang lebih arif dalam bab menghiaskan? Walaupun bab memasak agak kureng…” gurau Izham.
Dalam masa nak memujuk itu sempat lagi dia mengenakan Anizan. Entah kenapa kali ini bila Anizan buat muka merajuk, hatinya tidak tentu hala. Libang libu. Dia tidak betah membiarkan gadis itu merajuk tanpa dipujuk. Kasih sayangnya sepenuhnya untuk Anizan. Dan dia mahu menghabiskan hari-harinya dengan gadis itu.
“Macam ni pun ok apa? Tak payah penat-penat!” ucap Anizan dalam senyum manis. Tidak mahu Izham berasa bersalah. Dia juga tidak mahu Izham menganggapnya terlalu banyak ragam. Sehingga tidak boleh bertolak ansur. Lagi pun Izham suaminya dan rumah ini milik mereka, tidak ada kena mengena dengan Sofea. Tidak ada langsung ada hubungan dengan gadis kaki panjang itu.
Setakat hiasan sebegini apa sangatlah kan. Anizan menyedapkan hati sendiri. Dia kemudian naik ke kamar mereka. Dibukanya pintu kamar, menerpa bau haruman lemon dari kamar tersebut. Anizan senyum sendiri, romantic juga Izham ni. Bilik itu cantik. Katil saiz permaisuri tersergam. Ukiran di kepala katil mengagumkan. Pasti mahal. Perabot itu seperti baru sahaja dibeli. Langsir yang menghalang cahaya menorobos juga warna sedondon.
“Ini abang yang hias, cantik tak?” ujar Izham tiba-tiba.
Anizan cuma tersenyum, membalas soalan itu. Izham mengambil remote pendingin hawa. Kemudian menekannya. Udara dari pendingin hawa itu terus menyelinap ke segenap ruang bilik. Segar dengan bauan citrus. Kemudian terus ke jendela, menarik langsir seluas-luasnya. Pemandangan menghadap ke arah padang permainan sangat menerujakan. Tasik kebiruan yang terletak di tengah-tengah taman itu tampak menyegarkan. Anizan suka suasana itu.
“Setiap pagi, abang akan jogging di situ… dari dapur, Aniz boleh nampak abang jogging di keliling tasik,” beritahu Izham.
Dulu, semasa bersama Sofea, gadis itu akan datang untuk berjoging bersama. Kalau dia ada kerja di luar kawasan, waktu petang mereka selalu beriadah bersama di taman tasik itu.
“Eh, saya kena tengok dari dapur j eke? Tak boleh ikut?” Anizan mengerutkan dahi.
“Iyela, Aniz tengok dari dapur sambil buatkan sarapan, kemudian kita boleh sarapan sama-sama menghadap taman tu,” balas Izham dalam gurauan.
Dia memang mahukan Anizan menjadi suri hidupnya. Memasak, mengemas dan menjaga makan minumnya setiap hari. Tidak mahu Anizan bekerja. Dia mahu Anizan tinggal di rumah menunggunya pulang.
“Aniz, tak perlu kerja lagi. Aniz tunggu saja abang balik!” suara Izham tiba-tiba.
“Awak tak pernah cakap perkara ini sebelum ni!” Anizan bagai terkejut mendengar kata-kata itu.
Tidak dibenarkan bekerja adalah perkara yang tidak pernah akan berlaku dalam hidupnya. Untuk apa dia bertungkus lumus menghabiskan duit dan masa belajar untuk menjadi seorang yang berjaya. Untuk apa dia mahukan segulung ijazah kalau dia hanya disuruh menjaga rumah tangga.
“Abang tak mahu Aniz susah payah bekerja, abang boleh tanggung,” tegas Izham.
Anizan menunduk, takut untuk bersuara apalagi untuk bertentang mata dengan lelaki yang kini bergelar suami. Perlukah dia membantah. Ikatan mereka masih terlalu baru untuk dileraikan. Takkan kerana perkara ini sampai mahu meleraikan ikatan yang terjalin. Dalam masa yang sama dia tidak mahu mengalah. Dia harus tegas dalam keputusan sepertimana Izham tegas dengan pendiriannya.
“Saya belajar untuk menjadi seorang yang bekerjaya. Saya mendidik diri saya untuk menjadi berjaya, takkan saya nak lepaskan semua itu,” lirih suara Anizan.
“Belajar tak semestinya bekerja. Suri rumah tangga berpendidikan tinggi kan berlainan dari yang tiada pendidikan. Pendidikan tinggi tu perlu untuk menjadi lebih bijak menerajui rumah tangga, untuk mendidik anak-anak,” pendirian Izham ternyata berbeza sekali dengan Anizan walaupun kata-kata itu ada kebenarannya.
“Tapi, itu impian saya dari dulu! Saya tidak ada apa-apa lagi melainkan impian. Dan kalau saya tidak realisasikannya, ianya memang mengecewakan,” tungkas Anizan.
Impian dia mahu berjaya dalam kerjaya sebagai seorang peguam. Mahu membuktikan pada dunia bahawa anak yatim piatu ini boleh mencipta dan merialisasikan impian dengan semangat dan sokongan dalam diri.
“Boleh tak jangan degil cakap saya. Saya suami awak, jangan bantah apa yang saya cakap. Saya tahu apa yang terbaik untuk awak! Untuk kita!” tegas Izham dengan suara tinggi.
Anizan terdiam, bila Izham terus keluar dan menutup pintu. Anizan bungkam. Tergamam melihat perlakuan suaminya. Lelaki itu tidak pernah berubah. Tetap mahu menjadi dictator yang terus menerus memaksa Anizan makan hati. Anizan tidak dapat menggambarkan apa kesudahan mereka. Jika Izham terus dengan pendirian kunonya. Kenapa perlu dia mengikut kehendak suami, jika suaminya tidak pernah mahu memahami kehendaknya. Alasan yang akan keluar hanya kerana dia suami.seorang isteri harus mengikut telunjuk suami tanpa soal. Mesti. Itukah yang termaktub dalam undang-undang suami isteri? Jika isteri tidak mengikut kehendak suami, maka nusyuz. Bukankah isteri juga punya hak untuk menentukan kehidupan yang lebih berguna untuk keluarga. Isteri juga punya hak untuk kepuasan diri. Dia mana pula letaknya rasional seorang suami bagi menentukan hak kehidupan seorang isteri.
Ada airmata menitis mengiringi hatinya yang pilu. Sayu sekali bila mengenangkan dirinya kini. Anizan sudah putus harapan. Kata-kata Izham mengundang kekesalan yang maha hebat. Inikah harga yang harus dibayar untuk dia melaksanakan sebuah cinta?