Wednesday, November 19, 2008

NANTIKAN PANGGILAN CINTAKU

Kartini berlari laju meninggalkan perhentian bas, hari ini dia benar-benar sudah lewat. Dia terlambat bangun, semuanya gara-gara dia lewat tidur kerana menolong Firdaus menyiapkan projek Sains yang akan dihantar hari ini. Lagipun si Firdaus tu dah janji nak kenalkan aku pada Syaqil, pelajar baru dalam kelasnya yang handsome tu yang juga menjadi kegilaan pelajar perempuan di sekolah mereka sejak hari pertama dia belajar di sekolah itu. Kerana budak itu juga Kartini sanggup bersengkang mata menyiapkan projek Sains kepunyaan Firdaus dan si Firdaus pula janji nak datang rumahnya esok untuk mengambil taman dalam balang yang dibuatnya itu.
Balang kaca itu dihias indah dengan pokok-pokok renek yang bewarna-warni yang diambilnya di hadapan rumah, kemudian dia membentuk sekeping plastik kecil untuk dijadikan kolam dan diletaknya air dan batu-batu kecil tak cukup dengan kolam dia tambah pula replica jambatan yang diperbuat dari anak mancis. Dia sanggup buat semua tu bukan apa, yang paling utama memang sebab Syaqil, tapi selebihnya dia memang selalu menolong Firdaus, mereka berkawan baik dan berjiran semenjak kecil, tambah pula rumah mereka cuma bersebelahan, keluarga mereka juga rapat. Dia dan Firdaus sendiri tak pernah bergaduh teruk, setakat kutuk-mengutuk tu biasalah. Firdaus ni anak manja maklumlah anak bongsu, apa saja yang disuruh tak reti nak buat sendiri, balik-balik Kartini juga yang dipanggilnya untuk menolong.
Tapi yang dia bengang sekarang ni, bila bangun saja pagi tadi dilihatnya balang itu sudah tiada di atas meja, semasa dia bergegas memakai kasut mama memberitahu, balang itu sudah diambil Firdaus subuh-subuh lagi…
Tak guna, apalah salahnya kalau dia kejutkan aku dulu sebelum ambil benda tu? Dahlah tak ucap terima kasih, terus je ambil macam pencuri, aku tahulah benda tu dia yang punya, tapi yang buatnya aku… penat-penat aku bersengkang mata, lepas tu tak dapat nak tengok hasilnya, memang hampeh pelegeh betul budak Firdaus ni…
Kartini terus berlari mengejar pintu pagar sekolah yang hampir ditutup oleh pengawas sekolah. “Tunggu la oi! Aku dah nak sampai ni!” jeritnya kepada Fitriana, pengawas yang terkenal dengan sikap berlagak tak tentu halanya dan juga gadis pujaan kawan baiknya, Firdaus.
Tak tahulah kenapa Firdaus gilakan sangat si Fitriana ni, nak kata lawa tu tak lah sangat cuma budak perasan ni suka bangga diri kerana datuk sebelah mak dia orang putih, tu yang hidung tinggi semacam tu, ingat orang heran sangatlah kat dia tu. Sikit pun aku tak heran!
“Siapa suruh kau datang lambat? Kau ingat ini sekolah bapa kau ke?” tempelak Fitriana sebaik sahaja Kartini tiba di hadapan pintu pagar sekolah. Amboi! Sedapnya, main bapak-bapak pula dia…
“Habis kau ingat ini abah kau punya sekolah yang kau suka-suka nak buka tutup pagar ni?” balas Kartini, geram. Direnungnya gadis pujaan Firdaus itu dengan pandangan tajam. Memang dia menyampah tengok si Fitriana itu. Perasanlah kononnya dia yang paling cune kat sekolah ni dah tu pegang pula jawatan pengawas, mulalah nak tunjuk besar kepala macam satu sekolah ni dia nak conquer. Lepas tu kerjanya menyibuk dua puluh empat jam macam sekolah ni abah dia yang punya. Dengan orang lain bolehlah, dengan Kartini pun boleh gak…boleh blah!
“Dah lah lambat, melawan pula tu. Dengan name tag tak pakai, pakai stoking belang-belang, pengikat rambut warna pink, kejap lagi ikut aku jumpa Puan Zaharah!” tegas Fitriana.
“Ak enna, kecoh betullah kau ni. Yang nak belajar, nak jadi pandai aku, bukannya barang-barang yang takde kena mengena ni, faham?” Kartini tidak memperdulikan arahan pengawas itu, dia terus berlalu sambil menolak bahu Fitriana. Aku tak tahulah macammana si Firdaus boleh tergoda pada pompuan giler ni!
“Kartini!!!” jerit Fitriana, pengawal tak bergaji sekolah itu. Kartini langsung tidak memperdulikan jeritan Fitriana, dia terus menuju ke kelasnya. Nasib baik kelas masih belum bermula, dia masuk ke kelas dan mulai duduk bersama kumpulan kawan-kawannya.
“Apasal lambat Kat? Jalan jam ke?” gurau Mazura, salah seorang teman baiknya.
“Bukan jalan jem. Pepagi lagi dah jumpa pompuan giler tukang jaga pagar sekolah tu… Sial betul hari ni. Balik nanti terpaksalah aku mandi bawah jambatan, kalau tak sial dia tu melekat 44 hari!” rungut Kartini. Mereka yang berada di situ sudah maklum siapa yang dimaksudkan Kartini.
“Kat…apasal you mau mandi dekat jamban? Rumah awak tak ada bilik air ke?” sampuk Jenny dengan muka serius, satu-satunya amoi dalam group mereka. Amoi sorang ni memang dua puluh empat jam muka serious tapi blur.
“Bukan jamban la Aso! Jam-ba-tan… you know, bridge? London Bridge is falling down, falling down! Hie! Aso ni aku ketuk kang…biul!” balasnya dengan nada geram bercampur lucu. Si Jenny tu cuma mengangguk dan menggaru-garu kepalanya.
“Kat, kau tengok tu siapa di luar? Jejaka Idaman Malaya ada kat luar tu!” cuitan Sabrina membuatkan mata Kartini membulat mencari jejaka yang dimaksudkan. Bila sahaja dia memandang keluar, Kartini ternampak Firdaus yang terjenguk-jenguk mencarinya dari luar tingkap kelas. Ni budak hampeh ni nak kena dengan aku, nanti kau!!!
“Hoi! Tak guna kau! Kau terus je ambil benda tu sampai tak tunggu aku bangun ye! Kau memang hampeh le Firdaus!” tiba-tiba sahaja Kartini bangun dan menyergah Firdaus dengan kasar sambil tangannya menumbuk bahu lelaki itu, kuat. Memang dia tengah bengang sebab Firdaus juga dia datang lambat! Lelaki itu mengurut dada, kononnya terkejut dengan sergahan Kartini.
“Aduh!!! Ala, Kat! Sorrylah… aku takut terlupa, tu yang awal-awal aku datang ambil tu! Masa tu kau baik punya berdengkur macam enjin motorbot! Tak sampai hati aku nak kejutkan! Kat, kau tak sembahyang subuh ye!?” kutuk Firdaus, Kartini mengetap bibir.
Firdaus ketawa berdekah-dekah dan Syaqil di sebelahnya cuma tersenyum meleret. Kartini mula bengang lagi dengan kata-kata Firdaus, mukanya merah menyala. Cilakak punya Firdaus, dia drop my water face depan bakal pakwe aku ni?
“Aku cutilah! Dah lah malas aku nak layan kau! Bikin malu je… Blahla kau!” bentak Kartini dia terus masuk semula ke kelas.
“Kat janganlah merajuk! Sabtu ni, kitorang nak ajak kau keluar, si Syaqil ni ajak kita main bowling kat Ampang Point!” Firdaus terus menarik tangan Kartini. Biar betul si Syaqil ni ajak aku sekali, ni mesti Firdaus dah rekemen aku kat Syaqil ni. Isk! Nyesal pula maki kawan tu pepagi buta ni!
“Betul ke ni Syaq?” Ewah! Cara aku tanya tu macam aweq dia pula! Tapi mamat ni macam tak ada mulut, dia cuma angguk je sambil tersenyum, dan senyumannya pasti membuatkan Kartini tak mampu untuk tidur malam…
“Hey! Betullah takkan aku nak tipu kau! Yang kau tetiba jadi perempuan sopan ni apahal? Buang tebiat?” kata-kata Firdaus membuatkan Kartini bengang lagi. Hampeh punya Firaun, dia drop my water face sekali lagi?
“Aku ni memang dah dilahirkan sebagai gadis sopan apa? Cover la aku sikit!” bisik Kartini sambil tangannya menarik baju Firdaus, tanda amaran untuk cover dia. Firdaus telan liur, takut juga dengan Kartini ni, pernah juga dia kena penumbuk sulung gadis itu, sakitnya Tuhan yang tahu, maklumlah Kartini pemegang tali pinggang hitam taekwando, tak boleh main-main dengan dia!
“Kalau kau setuju kita jumpa Sabtu ni kat Ampang Point kul 4:00! Okey kitorang chow dulu!” ajak Syaqil dan kemudian berlalu bersama Firdaus, Kartini cuma merenungnya sambil tangannya tak lepas melambai ke arah Syaqil.

**********

Hari Sabtu tiba jua, itulah saat yang paling dinanti-nantikan oleh Kartini untuk bersama-sama orang tersayang… chewah! Kartini memakai jeans separas lutut bersama baby ‘T’, Kartini memang tergolong dalam golongan awek yang cute, wajahnya keanak-anakan, tambah comel lagi bila dia mengikat rambutnya yang separas bahu itu.
Sampai sahaja di Ampang Point, dia nampak Syaqil memeluk Fitriana dari belakang sambil mengajar musuh ketatnya itu melontar bola. Kartini mengetap bibir, geram bercampur meluat!
Si Firdaus ni memang sengaja nak bikin panas ni. Dia bukan tak tahu yang aku menyampah sangat tengok muka Fitriana tu… diajaknya juga pompuan giler tu! Kesian Firdaus, niat hati nak ajak awek pujaan rupanya awek pujaan bermesra dengan jejaka pujaan aku! Cilakak!
“Hoi! Sorang je, mana yang lain,? Aik! Punctual nampak, ngam-ngam pukul 4:00?” perli Firdaus yang baru terkial-kial memakai kasut bowling, Kartini cuma membalas dengan senyum kambing.
“Tak de, diorang ada projek lain. Firdaus, kau kan tahu aku meluat plus menyampah dengan pompuan idaman kau tu. Apasal kau ajak dia?” bisik Kartini pada Firdaus.
“Sorryla Kat… bukan aku tapi Syaqil yang ajak Fitriana ke sini, tak sangka pula rupanya Syaqil pun ada hati pada Fitriana,” ujar Firdaus, suaranya mendatar, bagaikan kecewa dengan perkara itu.
“Ak enna, mulalah nak jiwang karat tu… kalau kau betul-betul nakkan dia, bersaing le dengan Syaqil tu, bukannya menyerah kalah! Tak gentlemen le kau ni, Firdaus!” Walaupun Kartini memang meluat dengan pompuan giler tu, tapi dia tak sanggup tengok kawan baiknya terkecewa.
“Tak kisahlah, Kat! Lagipun, kau pun tak suka pada dia… takkanlah aku nak couple dengan orang yang tidak disukai oleh kawan baik aku sendiri. Jadi aku korbankan perasaan aku demi sahabat aku!” ujar Firdaus sambil memegang bahu Kartini, dan kerana kata-kata Firdaus yang bagaikan dilanda kecewa itu, Kartini jadi terharu dan kasihan. Tak sangka Firdaus yang selalunya ceria dan bersahaja itu rupa-rupanya sanggup memendam perasaan hanya kerana seorang sahabat seperti Kartini.
“I’m sorry, Firdaus! Ala, tak kisahlah, lagipun muka sehandsome kau ni, ramai awek berkenan malah lebih cune dari pompuan giler tu!” pujuk Kartini sambil tangannya menepuk pipi Firdaus mesra, lantas membuatkan pemuda itu tersenyum.
“Kau tak sudi jadi awek aku?” pertanyaan bersahaja dari Firdaus membuatkan Kartini terdiam.
Jadi awek Firdaus? Biar benar mamat ni! Selama ini tak pernah pula aku fikirkan, mungkin kerana kami terlalu rapat sehingga tak ada perasaan cinta dalam hati masing-masing. Yang aku tahu, jantung aku hanya bergetar bila terlihat wajah Syaqil, dan selama ini tidak pernah ada getaran seperti itu tatkala aku menatap wajah Firdaus. Kalau dia jatuh cinta pada aku pun, tak apa, kenalah aku kena belajar anggap dia pak we aku le… Eh! Mana boleh! Aku suka kat Syaqil tapi kalau Syaqil lebih berminat pada Fitriana? Macam mana dengan aku?
Bengang betul Kartini bila si Syaqil tak henti-henti berbual dengan Fitriana, si Firdaus pun joint the club, tinggal Kartini terkonteng-konteng sorang, tapi dia perasan juga yang Syaqil asyik merenungnya. Si Fitriana tu pula bukan main lagi, tergedik-gedik kat Syaqil… kesian dia tengok Firdaus, tapi mamat tu memang hati kering, dia boleh buat muka selamber je! Menyampah betul aku tengok pompuan giler tu, kalau aku tahu aku tak berpeluang langsung berbual dengan Syaqil seperti yang selalu aku harap-harapkan, mati hidup balik pun aku tak akan datang ke sini. Menyesal betul!

Sepanjang hari ini Kartini memikirkan tentang kata-kata Firdaus semalam. Dia masih bergolek di atas katil, bila hari minggu begini, itulah kerjanya, tidur, bangun, makan!
“Hoi! Bangunlah, anak dara apa ni, matahari dah meninggi tak reti-reti nak bangun lagi?” sergah Firdaus yang sudah terjengul di muka pintu. Mamat ni betullah! Main redah je… buatnya aku tengah berkeadaan lucah tak ke parah! Aku pun satu, pintu bilik tak pernah berkunci.
“Kau ni… tetiba je masuk apahal? Buatnya aku tengah tak pakai baju…hah! Kan tercabul kehormatan aku?” Kartini pantas membaling bantal ke arah Firdaus, lelaki itu dengan selamba terus sahaja duduk di bangku meja tulisnya.
“Eleh! Kalau kau tak pakai apa-apa pun belum tentu aku ada selera! Bangunlah, siap cepat, aku nak ajak kau keluar tolong pilihkan hadiah yang aku nak beli,” kala itu Firdaus menarik tangan Kartini yang masih berpijama.
“Untuk siapa?” tanya Kartini sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.
“Itu kau tak perlu tahu… yang penting, kau pilih, aku beli! Yang aku tahu aku nak bagi hadiah untuk seseorang sempena Birthday dia. Sesuatu yang special yang akan buatkan dia jatuh cinta pada si pemberinya….” Kata-kata itu membuatkan Kartini bungkam.
Biar betul Firdaus ni, takkanlah dah tangkap cintan kat aku kot? Sebab, setahu aku hari jadi aku bulan ni iaitu dua minggu lagi. Hadiah tu sure untuk aku punyalah.
Mereka keluar ke Suria KLCC dan Firdaus membeli hadiah yang dipilihnya, sepasang anting-anting perak bertatahkan kristal bewarna biru, mahal juga tapi cantik sangat! Lepas tu mereka berjalan-jalan di Taman Suria KLCC, tak semena-mena Firdaus mengenggam tangannya erat, macam mengenggam tangan kekasih pula. Segalanya membuatkan fikiran Kartini melayang, mengenangkan selama ini mereka tidak pernah begitu, kalau keluar berdua pun, tak pernah pula Firdaus memegang tangannya. Dan biasanya Firdaus akan sentiasa mencari peluang untuk mengenakannya semasa berbual tapi hari ni cara perbualannya jadi lain…dia lebih sopan dan berkelakuan matang. Tapi tak pula Kartini terasa nak bertanya tentang perubahan itu.


*********


Hari lahir Kartini sudah tiba, malam itu dia menyambut hari lahirnya di café kepunyaan mamanya sebagaimana setiap tahun. Malam itu Kartini memakai tube bersama blouse jarang yang dipadankan dengan skirt potongan A separas lutut, wajahnya disolek nipis dan membuatkan wajah keanak-anakannya kelihatan lebih dewasa. Biasanya Kartini akan menjemput teman-teman rapatnya, dan selebihnya kawan-kawan Firdaus, yang sememangnya diberi peluang menjemput siapa saja rakannya begitu juga sebaliknya kalau majlis itu adalah majlis Firdaus, Kartini boleh mengundang siapa sahaja yang dia suka. Lagipun, satu sekolah tahu Firdaus dan Kartini berkawan baik sehingga jika ada sesiapa yang menganggu Kartini, orang itu tak akan terlepas dari menerima balasannya dari Firdaus, begitulah juga sebaliknya.
Tapi sejak akhir-akhir ini Kartini jadi takut kehilangan seorang sahabat baik, bila Firdaus bagaikan menaruh hati terhadapnya, walaupun Firdaus tidak pernah meluahkan dengan kata-kata, tapi Kartini dapat rasakan Firdaus mula menyintainya. Pada Kartini pula, dia tidak pernah menyimpan perasaan pada lelaki itu, malah hatinya terlalu kukuh untuk Syaqil, namun dia terkeliru dengan perasaannya, cintanya pada Syaqil dan kasihannya pada Firdaus, mana satu yang harus dipilih?
“Kau cantik sangat malam ni, Kat!” Firdaus membisikkan pujian padanya. Memang dia tahu, Firdaus akan mengeluarkan kata-kata romantik hari ni dan akan menghadiahkan anting-anting yang dibelinya tempoh hari, tapi sungguh dia tak dapat menerima Firdaus sebagai kekasih, maafkan aku Firdaus, hati aku hanya untuk Syaqil!
Tapi dia masih tak sanggup untuk melukakan hati sahabat baiknya itu, Kartini tak mahu Firdaus kecewa lagi… Semasa tetamu menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ Kartini nampak Syaqil tiba bersama Fitriana, hatinya dilanda cemburu. Mahu sahaja dia membalas dendam dan menerima Firdaus andai lelaki itu berterus terang.
Saat Kartini memotong kek harijadinya Syaqil datang merapatinya dan berbisik, sambil tangannya mengelus lembut jemari Kartini.
“Happy Birthday, sweet seventeen!” ucapnya, romantis sekali. Sungguh, kala itu hati Kartini bagai berbunga-bunga mendengar ungkapan Syaqil walaupun hatinya sudah dibulatkan untuk menerima Firdaus. Saat itu juga direnungnya Firdaus yang berdiri merenungnya dari satu sudut bersama tetamu yang lain, dia tahu Firdaus nampak Syaqil memegang tangannya.
Ah! Mungkinkah Firdaus cemburu? Maafkan aku Firdaus! Berkatalah sesuatu Firdaus andai kau benar-benar cintakan aku, akan aku lupa kan lelaki ini yang menyakitkan hati ku bersama pompuan giler tu!
Tapi Firdaus tidak berganjak dari situ, malah dia macam merestui hubungan Kartini dengan Syaqil. Ah! Lelaki itu terlalu suka memendam rasa, dia sanggup mengorbankan hati dan perasaannya demi kebahagiaan orang lain. Kartini terasa terharu, sangat terharu dengan perlakuan Firdaus. Apabila ramai tetamu sudah mula meninggalkan majlis, mereka mengambil kesempatan berdua-duaan di sudut café.
“Kat, Syaq rasa Syaq suka pada Kat! Sudi tak Kat jadi teman istimewa Syaq?” ungkap Syaqil dan ungkapan itu membuatkan Kartini merenungnya dengan muka berkerut.
“Suka? Jangan nak tipulah, selama ni… Syaq kan suka Fitriana, kenapa? Tak cukup seorang ke atau kau memang playboy?” bentak Kartini.
Bukan dia tak suka lelaki itu, tapi sikap kepura-puraan lelaki itu membuatkannya meluat. Kartini masih lagi mahu menunggu hadiah dari Firdaus, tetapi lelaki itu bagaikan tidak mengendahkannya sewaktu majlis berlangsung dan lelaki itu bagaikan intim pula dengan Fitriana.
Syaqil cuma tersenyum mendengar bentakan Kartini, lalu dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan menghulurkan kepada Kartini. Kartini teragak-agak untuk menerimanya tapi kemudian dia membuka kotak kecil pemberian Syaqil dan dikeluarkannya hadiah itu yang berupa, sepasang anting-anting perak yang bertatahkan kristal biru.
Ini hadiah yang aku pilih dengan… Chis! Tak guna punya Firdaus, dia kenakan aku le ni, nasib baik aku tak mulakan kata-kata… kalau tidak buat malu jer!
“Suka tak? Syaq minta Firdaus yang belikan, sebab Firdaus kan kawan baik Kat, so dia je yang tahu citarasa Kat! Syaq tak reti nak beli barang-barang pompuan ni! I love you, Kat!” ucap Syaqil lagi.
“Fitriana?” tanya Kartini.
Takkanlah nak madukan aku dengan Fitriana? Hie! Tak nak aku, dahlah datang majlis aku tak dijemput muka tak malu!!!
“Fitriana tu kan awek Firdaus. Dia minta Syaq introduce dia kat Fitriana, kebetulan Fitriana tu adik ipar kakak Syaq, so kitorang memang mesra, macam Kat dengan Firdaus la.” terang Syaqil sambil panjang muncungnya dihalakan pada merpati dua sejoli tu.
Amboi, seronoknya diorang lepak berdua sambil si Fitriana tu suap-suapkan kek kat mulut Firdaus. Hie! Geramnya aku pada si Firdaus, penipu! Nasib baik aku tak feeling maut kat dia kalau tak tentu dia ingat aku giler, tapi perlakuan dia tu buat aku confuse, entah-entah dia memang syok kat aku?! Tapi serius aku cakap, aku betul-betul suka kat Syaqil dan impian aku jadi kenyataan bila dia juga suka kat aku!!! Fitriana, walaupun kau couple dengan kawan baik aku, tak bermakna aku suka nak berbaik dengan kau! Firdaus ni pun satu, bagitahulah awal-awal yang Syaqil pun ada hati kat aku… Saja nak buat surprise le tu! Terima kasih Firdaus, sebab satukan aku dengan Syaqil! Bisiknya dalam hati. Ini adalah hadiah hari lahir yang paling bermakna dalam hidup Kartini!

************
Firdaus merenung Kartini dari jauh, gadis itu asyik tertawa bersama teman lelaki barunya, Syaqil.
Ketawalah Kat, ketawalah kau puas-puas… Aku memang suka kat kau, tapi kau yang tak pernah bagi respond baik pada aku, tapi tak pe… masa kita panjang lagi!
Memang dia mengambil keputusan untuk menjadikan Fitriana teman istimewa tapi untuk sementara kerana singgahsana hatinya sudah ada Kartini duduk bertakhta. Firdaus mengalah sekarang kerana tahu Kartini betul-betul menyukai Syaqil dan untuk memberi peluang Kartini mendapat apa yang dimahunya.
Alah! Biasalah hero kenalah kalah dulu, eleh! Lagipun belum tentu si Syaqil tu jadi suami dia, sekarang mereka berkawan cuma mengikut kehendak hati masing-masing untuk merasa cinta zaman persekolahan ni, puppy love!!!
Lambat lagi untuk memikirkan tentang masa depan, mereka baru sahaja menjangkau usia tujuh belas tahun, banyak lagi masa nak tackle Kartini… aku dah awal-awal sound kat mama Kartini, tiada siapa yang akan aku jadikan suri hidup melainkan Kartini Rahmat. Kau tunggulah panggilan cinta dari aku Kat…

TAMAT

3 comments:

norul'ainmatsom said...

sempoi,,,,,
ending dia kureng bes lar..
huhuhuhu...

tp jalan cita dah ok..
(lagak mcm novelis plak)

hahahaha.............

dina said...

time kasih sebab komen... hehehe... itu je idea yg dapat untuk ending... maaf la kalau kurang berkesan.
tapi untuk pengetahuan, cerpen ini telah disiarkan Majalah Remaja dan telah dibukukan dalam 25 Cerpen Best Remaja...

ain ada gaya jadi novelis apa...

tni said...

ok jer, best plk jalan cite mcm ni, x de la last sekali dpt kt hero jer. kan kan