Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 17

“Oh, ini ke rupanya bidadari yang di sorok Izham tu? Punyalah payah nak kenal, sampai kena ugut baru nak bawa balik!” ramah wanita itu berbicara.
“Mak cik apa khabar?” tanyanya, bila dirasakan dia sudah dapat sesuaikan diri dengan wanita itu. Ternyata wanita itu tidaklah seperti yang digambarkannya sebelum ini.
“Baik! Panggil Umi je, anak-anak di sini semuanya panggil begitu…” Umi terus memeluk bahunya, seperti begitu menyenangi kehadiran Anizan.
Sungguh, apabila wanita itu memeluknya, terasa hangat pelukan seorang ibu, maka hilang segala kegemuruhannya sebentar tadi.
“Jom naik, umi dah masak sedap-sedap nak sambut, siapa ye namanya?”
“Anis, Mi… nama sebenarnya Anizan! Amboi! Dah jumpa mak abang sampai lupa nak angkat beg ni, dah lah begnya berlambak, ni nak tinggal seminggu ke nak pindah terus? Katil dan tilam semua tak bawa sekali?” gurau Izham, bila dilihatnya Anizan dan umminya langsung tidak memperdulikannya.
“Tinggal terus pun tak apa, janji dah sah! Eh! Kau angkatlah beg tu, Anis ni kan tetamu? Kau tu tuan rumah, selaku tuan rumah kena layan tetamu baik-baik. Belum jadi isteri sudah nak membuli, kalau dah jadi isteri nanti, habis anak orang kau kerjakan…” riuh mulut Hajjah Saniyah memberi nasihat kepada anak bujangnya.
Anizan yang mendengarnya terus tersenyum meleret, lalu dia mengenyit nakal ke arah Izham, kemudian tangannya melambai Izham yang terkial-kial dengan beg-beg di tangannya.
Tak guna punya Anizan, aku bagi chance dia kenakan aku balik. Tak pe, nasib baik kau jadi girlfriend aku hari ni, kalau kau jadi dispatch, baru tahu nak terketar-ketar bila tengok kelibat aku.
Tapi Izham tidak dapat menafikan ketika pertama kali melihat Anizan di dalam pakaian perempuan dadanya terasa lapang. Bila melihat senyuman terukir di bibir gadis itu, hatinya menjadi tenang. Entah mengapa dia tiba-tiba suka pada gadis itu itu, bukan kerana kecantikannya tapi sifat kewanitaannya yang sebelum ini tersorok dari lagak jantan gadis itu.
Ternyata walau sekasar mana Anizan selama ini, tidak menghilangkan sifat kelembutan yang semulajadi yang lahir dari dalam dirinya sendiri. Ataupun dia sendiri tertipu dengan lakonan sandiwara gadis itu, Izham sendiri tidak pasti. Yang dia tahu kini hatinya bagaikan ingin mengenali dan memiliki Anizan.
Anizan sudah pun memasuki rumah kayu bertingkat dua itu. Hajjah Saniyah sudah hilang menuju dapur, sementara itu riuh mulutnya bercerita tentang anak-anaknya. Wanita itu pada pandangannya teramat baik hati, tapi kasihan ibu sebaik ini tertipu oleh anaknya sendiri. Dalam diam Anizan mulai benci dengan sikap Izham, sanggup menipu ibunya sendiri semata-mata untuk kepentingan peribadi.
Lagipun apa salahnya dengan pilihan ibu, selalunya gadis pilihan ibu itu lebih tepat untuk dijadikan teman hidup. Bukankah mereka terlebih dahulu makan garam, maka mereka juga tahu menilai baik buruknya seseorang itu, lagipun mana mungkin mereka tak mahu hidup anak mereka bahagia…
Sekilas itu Anizan menoleh ke arah Izham yang masih lagi terkial-kial mengangkat beg di tangannya.
Padan muka! Selalunya bila di pejabat, kau buli aku macam tak cukup hari… sekarang aku nak merasa membuli kau pula! Siaplah kau, Bos!

No comments: