Sunday, November 23, 2008

Aku Bukan Untukmu - 15

Anizan memesan teh tarik bersama nasi lemak berlauk sambal sotong. Aroma dari nasi lemak itu membuatkan Izham lapar tiba-tiba. Dia terus duduk di hadapan Anizan. Ditatapnya wajah gadis itu penuh kehairanan. Tidak disangka wajah yang tersorok selama ini rupanya begitu jelita dan membuatkannya hampir jatuh cinta.
“Anis, ambilkan abang tisu kejap…” pinta Izham, lembut dan bersahaja. Anizan ternganga mendengarnya.
“Apa Bos ni? Panggil saya Ijan la…” bisiknya walaupun tiada siapa di sekeliling mereka, tapi sememangnya Anizan malu bila dipanggil begitu.
“Takkanlah depan mak saya, saya nak panggil awak, Ijan? Kenalah panggil nama panggilan yang manja sikit… Anis tu kan ke manja! Dan saya nak Anis panggil saya, abang! Faham?”
Anizan terdiam, betul juga kata Izham, takkanlah nak panggil Izham Bos, mana ada orang yang panggil kekasihnya, Bos? Tapi panggilan Abang tu, macam berat sikit… panggil nama kan dah cukup!
“Beratlah Bos, panggil nama je tak boleh ke?”
“Tak boleh! Ini arahan, kena ikut kalau tidak saya tinggalkan awak di sini!” Izham masih tidak berhenti membuat arahan.
Dia ingat ini pejabat kot, suka hati dia je… Tapi takkan sampai nak tinggalkan aku di sini, dahlah tengah-tengah highway ni, mampus nak berjalan ke mana pun aku tak tahu.
“Tapi kalau Bos nak tinggalkan saya, tinggalkan di jalan keluar di Plaza Tol, senang sikit saya cari teksi!” dengan muka penuh kasihan Anizan membalas kata-kata Izham. Hampir terhambur ketawa Izham dengan jawapan lurus bendul Anizan.
“Janganlah macam ni, Anis panggil je saya, Abang, bukan susah sangat pun, sekarang cuba…” pujuk Izham, matanya merenung tepat ke anak mata Anizan. Anizan tunduk, terasa malu bertentangan mata dengan pemuda itu. Jantungnya tadi berdegup perlahan seperti biasa, sekarang bertukar rentak agak laju bila Izham merenungnya begitu.
“Aaa…bbb…bun!” Anizan memejamkan mata, seperti terlalu payah untuk memanggil perkataan itu.
“Abanglah!”
“Awak je lah!”
“Tak boleh! Abang!”
“Awak!”
“Okey! Kalau Anis panggil awak, abang potong gaji!”
Sikit-sikit ugut! Sikit-sikit potong gaji!
“Potonglah! Kalau macam ni punya susah, saya tak mahu berlakon!” ugut Anizan pula.
“Okaylah! Awak pun awaklah!” akhirnya, Izham mengalah.
“Nanti bila sampai rumah abang, Anis kenalah berlakon kononnya Anis ni mesra dengan abang. Kalau abang pegang tangan nanti jangan menjerit pula ye!” sambung Izham, dia mengalih matanya ke arah lain, mungkin gadis itu tidak selesa dengan renungannya.
“Tak, saya tak jerit tapi saya report polis sebab awak cuba mencabul saya…” sindir Anizan.
Sindiran itu membuatkan Izham tersenyum simpul, malu juga dia dengan gelagatnya tadi, tapi memang betul dia tak kenal gadis itu semasa mula berjumpa tadi. Selesai bersarapan mereka berdua beriringan menuju kereta. Saat itu juga Anizan terpaksa menyimpan rasa kekoknya bila berjalan bersama begitu, tambah pula, sesekali jari-jemari Izham seakan sengaja menyentuh jarinya.
“Anis, awak cantik sangat hari ni!” bisikan Izham membuatkan Anizan tersipu malu. Sejak itu juga mata Izham yang nakal seringkali mengerling Anizan, dia mulai rasa tidak selesa.
“Apa ni. Janganlah tengok saya macam tu. Kalau macam ni saya tak nak berlakonlah!” ugut Anizan.
Memang renungan Izham menggetarkan jantungnya, dia tak mahu terus digoda begitu. Aku betul-betul jatuh cinta pada kau karang, baru padan muka kau dapat awek dispatch…
“Janganlah macam ni, saya pun tengah berlakon juga ni. Bila kita berlakon, bukan sahaja gerak anggota badan dan mimik muka saja kita kena buat, cara renungan dan body language lebih penting untuk lakonan yang mantap!” Kata-kata Izham mengingatkannya pada pesanan Asma, ‘kalau dah kau kena jadi kekasih Bos kau, jadi kau kena renung dia dalam kasih sayang, tak boleh kau renung dia macam sekarang ni tau…’ Betul juga tu, tapi takkanlah aku nak renung dia macam mana nak renung kekasih sendiri kang dikatanya aku syok sendiri karang, baru iye! Lagipun aku mana pernah ada kekasih… Aku ni manalah reti nak buat renungan manja macam yang Asma kata tu… Anizan mengeluh, tak tahu bagaimana ianya akan bermula dan berakhirnya kisah lakonan mereka.

No comments: