Wednesday, July 9, 2008

Secebis Cinta Iman Zulaikha

Ponnn…Ponnn… dia membunyikan ‘hon’nya, nyaring dan membingitkan. Kesemua budak yang berada di hadapannya, ke tepi memberi laluan. Tapi seorang budak lelaki masih lagi berada di tengah jalan, langsung tidak memperdulikan ‘hon’nya berbunyi. Dia menukar bunyi lain, Pinnn…. Pinnn…. Namun budak lelaki itu tidak langsung mahu memberi laluan kepada basikalnya.
“Hoi! Kau ni pekak ke? Tak dengar ke aku hon banyak kali? Ketepilah, aku nak lalu ni!” teriaknya dari jauh.
Budak lelaki itu menoleh dengan muka yang sangat skema. Kemudian budak lelaki itu merenungnya tanpa perasaan. Dia tetap berjalan tanpa memperdulikan teriakan Iman.
“Dah la pekak, bisu pula tu!” basikalnya terus meluncur laju dan tanpa sengaja dia terlanggarkan budak lelaki skema itu.
Budak itu terjatuh dalam lopak. Bajunya yang putih sudah bersalut lumpur. Iman terus tidak menoleh lagi, basikal lerunnya yang meluncur laju membelah denai yang berlopak dek hujan. Dia langsung tidak memperdulikan budak lelaki yang terjatuh di lopak.
“Kesian awak… mari saya tolong!” Nani menghulur tangan kepada budak lelaki itu, dan tangannya bersambut.
“Iman tu memang macam tu, kasar, dia suka kalau orang panggil dia Iman Brutal! Awak budak baru kat sini ye… nama awak siapa?” Nani masih seperti tadi cuba beramah mesra.
“Aidil!” jawab budak itu pendek dan perlahan, namun suaranya masih boleh di dengar.
“Oh! Awaklah cucu Wan Tijah dengan Tok Utih ye… Saya mengaji dengan Tok Utih masa sekolah rendah dulu… awak yang duduk kat luar negara tu ye. Macam mana rasanya duduk dekat negara orang ye?” Nani memulakan bicara.
Walaupun dia janggal untuk berbual dengan lelaki yang berwajah seakan mat saleh ini, namun jiwa mudanya bergelora mahu berkenalan. Sudah seminggu dia mendengar cerita tentang lelaki di hadapannya. Namun dia tahu lelaki itu yang sekelas dengan Iman Brutal amat berat untuk mengeluarkan suaranya.
“Biasa je…” ucapnya pendek.
Langsung tiada riak seperti mahu bercerita lanjut dengan Nani. Dia cuma memandang kasutnya yang sudah bertukar warna. Mahu sahaja dia menempik budak separuh lelaki yang dipanggil Iman Brutal tu. Namun teringatkan seorang pelajar lelaki yang telah botak kepalanya akibat dari perbuatan Iman Brutal pada hari pertama persekolahannya di sini, Aidil terpaksa membatalkan niatnya.
Nani merengus perlahan. Dia tidak kisah kalau Aidil tidak menjawab soalannya. Yang pastinya esok pasti kawan-kawannya akan bertanya tentang mereka, bila dia dilihat berjalan beriringan begini. Bukan Nani tidak tahu sejak seminggu lalu ramai pelajar perempuan yang teringin untuk berbual dengan Aidil. Namun, dia memang sentiasa bertuah kerana hari ini dapat berjalan beriringan. Nani tersenyum sendiri.
“Assalamualaikum!” suara ala-ala manja dikeluarkannya untuk menarik perhatian Wan Tijah yang sedang mengangkat pakaian di jemuran.
Wanita tua berkaca mata itu menjawab sambil tersenyum. Sejak habis sekolah rendah, budak itu memang tak pernah lagi datang ke rumahnya. Entah kenapa beberapa hari semenjak baju Aidil berlumpur setiap petang budak perempuan itu menghantar kuih-muih. Kadangkala cekodok pisang hangus pun dititipnya sendiri ke rumah Wan Tijah.
“Hah, Nani! Kuih apa arini?” Tok Utih yang sedang duduk berehat di atas pangkin bawah pokok mangga menegurnya.
“Err… kuih buah melaka la tok… mak suruh hantar!” jawabnya sambil meninjau-ninjau kalau-kalau Aidil muncul di pintu rumah.
Tangannya kemas memegang piring kuih buah melaka yang dibuatnya tadi. Bukan emaknya yang membuat kuih. Dia yang jenuh menguli tepung dan memarut kelapa untuk membuat kuih buah melaka itu. Emaknya sudah dua hari ke rumah kakaknya yang baru bersalin.
“Aidil takde… keluar ambik angin katanya!” ujar Wan Tijah sebaik sahaja mengangkat bakul kain dan duduk di pangkin tempat tok utih bersandar.
“Errr… takde lah uwan… ni kuih ni, mak suruh hantar!” dengan senyuman malu-malu dia menghulur piring.
Wan Tijah menyambutnya, kopi yang memang tersedia untuk Tok Utih bagaikan tahu akan kedatangan tamu itu dituangnya ke cawan. Enak juga duduk bersantai petang hari sambil meneguk kopi dan menikmati kuih buah melaka. Tok Utih mencapai sebiji buah melaka. Kuih yang dibawa anak dara Lebai Sidin itu terus disuapnya ke mulut. Apabila buah melaka tanpa warna itu mendarat di mulutnya, dahinya berkerut.
Wan Tijah tersenyum sumbing melihat muka Tok Utih berkerut. Bukannya dia tak tahu Nani sengaja datang untuk menatap wajah cucu orang putih kesayangan mereka. Sampai sanggup buat sendiri kuih-kuih yang dihantarnya. Alamatnya, buah melaka tak bewarna, tak berinti jadi hidangan.
Tiga hari lepas dihantarnya cekodok pisang hangus, kelmarin kuih tepung talam sekeras batu, elok sahaja si Aidil berselera melihat tepung talam itu mati tiba-tiba seleranya. Akibatnya terpaksa Wan Tijah membuat tepung talam pagi esoknya sebagai sarapan. Tapi semalam sedap sedikit kuihnya, dibelinya lima keping di gerai Hasnah kemudian di letaknya dalam piring. Cantik-cantik di susunnya di piring sebelum menghantar ke rumah Tok Utih. Wan Tijah senyum melihat Nani, sambil menggeleng kepala. ‘Kalau iya pun nak memikat cucu aku belajar la masak dulu…’ desis hatinya.
Pppiiinnnnn… Pppinnnnn! Hon motosikal buruk Iman berbunyi nyaring membuatkan Nani tersentak. Tiba-tiba sahaja terasa darah menyimbah muka, bila dilihatnya Aidil membonceng kapcai buruk Iman. Wan Tijah menggeleng kepala sambil tersenyum, bagaikan tidak marah melihat Aidil dan Iman sama-sama menaiki motorsikal.
“Dari mana kamu ni Man?” soal Tok Utih, juga tidak marah langsung.
“Dari baruh, Tok… Aidil nak tengok Abang Seli naikkan ikan! Ni Abang Seli kirim!” Iman menghulur beberapa ekor ikan talapia dan keli kepada Wan Tijah.
Kemudian dia terus menuju pili mencuci tangan. Aidil yang duduk di sebelah Tok Utih. Iman yang baru lepas mencuci tangan terus menyambar kuih buah melaka dari piring sebelum sempat Tok Utih memberitahunya bahawa kuih itu dibawa Nani.
“Erk! Eiii… tak sedap! Tawar! Keras cam batu! Dah tu takde inti…” pantas kuih berbentuk bebola kecil itu dilemparkan pada ayam.
Iman tahu kuih itu bukan dibuat oleh Wan Tijah. Sejak tadi Aidil bercerita padanya tentang Nani yang sering menghantar kuih yang tidak berasa ke rumah Tok Utih.
“Ish! Kau ni, Man… rezeki tu… buat apa dibuang?” Wan Tijah pantas mencubit peha anak gadis yang sering berpakaian lelaki itu.
“Rezeki apa ni Wan… ayam pun tak sudi makan! Ni bukan nak bagi orang makan wan, ni nak bagi orang mati tercekik!” ujar Iman sambil menjeling Nani.
Dalam hatinya ketawa bagai nak rak kerana Nani berusaha memikat Aidil. Bukan dia tidak tahu semenjak anak orang putih celup itu bertukar sekolah boleh dikatakan separuh anak-anak gadis kampung ni yang berhias cantik bila keluar rumah. Ada yang sudah pandai memakai lipstik ketika ke sekolah. Kuat betul aura si Aidil. Tapi cuma dia yang tidak tergoda lagi dengan aura jejaka separuh Melayu separuh Inggeris itu.
“Err… wan… Nani nak balik dulula…” pintanya sopan.
Walaupun hatinya masih mahu lagi duduk di situ sambil menatap wajah handsome jejaka idaman, namun kata-kata pedas dari Iman membuatnya terasa mahu berundur seketika. Berundur dari rumah Tok Utih bukannya berundur dari hati Aidil.
“Elok la kau balik… nanti terbakar lak telinga!” sindir Iman lagi sambil ketawa. Dia pun sudah mula mencapai handle motorsikal nya untuk pulang.
“Dil, Nani balik dulu!” beritahunya sambil merenung wajah Aidil dengan gaya yang amat manja.
Lelaki itu cuma mengangguk tersenyum. Entah kenapa dia jarang sekali hendak mengeluarkan suaranya. Padahal kalau dengan Iman atau kawan lelakinya yang lain bukan main lagi Aidil bergelak ketawa. Mungkin Aidil seorang yang teramat pemalu dengan perempuan.
Tapi Iman… Ah! Iman tak boleh diistilahkan sebagai perempuan. Bukan saja tengok pada pakaiannya, tengok kelakuannya, naik basikal macam ribut naik motor macam naik jet pejuang. Suka hati je dia nak langgar lopak ke, langgar tunggul ke. Nani tidak mengerti kenapa godaannya langsung tidak berhasil. Dia perlukan penjelasan, dia tidak mahu diketawakan oleh teman-teman sekelasnya.
“Nani, aku tengok makin lama, Aidil makin rapat dengan Iman. Aku dengar Iman dah pandai pakai bedak sekarang, dah tu rambut pun dibiarkan panjang, tak macam dulu!” beritahu Mimah, temannya yang agak rapat.
Hampir tersembur kuah laksa utara yang sedang enak dihirupnya. Benarkah kata-kata Mimah. Tetapi mahukah di Aidil itu dengan Iman? Budak tomboy yang kasar dan jelak di pandangan mata Nani.
“Huh! Mana ada lah Mimah. Mata kau tu juling agaknya. Takkan la si Aidil tu nak kat Iman. Aidil tu dah lama pilih aku, aku selalu dating dengan Aidil kat rumah nenek dia. Aku tahulah!” Nani menafikan kata-kata Mimah walau dalam hati bagai susah nak menyangkalnya.
Memang dia sudah nampak kelainan pada Iman. Sejak tujuh bulan Aidil di sini, jarang melihat Iman di denda. Rambut Iman juga sudah mencecah bahu. Malah dalam kelas pelajaran Bahasa Inggeris yang menjadi kelemahan Iman sekarang sudah menjadi pelajaran yang diminati budak tomboy itu. ‘Tak boleh jadi ni… aku mesti buat sesuatu!’ getus hati kecilnya.

**************

Iman tidak tahu apa yang melanda dalam hatinya. Sejak beberapa bulan lepas, dia sudah tidak selasak dan setangkas dulu. Kalau dulu dia tanpa segan memanjat pokok rambutan sambil bergayut dari dahan ke dahan. Namun semenjak beberapa bulan ini, pokok rambutan itu bagai musuh utama. Walau buahnya lebat melambai kedatangannya.

Ketangkasan Iman juga sudah terbatas tidak lagi seperti dulu. Merambu ke sana ke mari dengan motor kapcai ayahnya. Iman sudah jarang di temui di kolam Abang Seli. Iman juga sudah tidah bisa menunggang motor seperti Jet Pejuang. Mungkin kerana dia semakin dewasa. Usia 17 tahun membuatkannya semakin matang.

"Iman!" jerit Aidil. Iman tersentak dari lamunan. Pantas diletaknya pen di tangan. Diari ditutup rapat kemudian di letakkan di dalam laci.
"Oi! Kenapa?" jawabnya sambil melompat dari katil dan melaung melalui tingkap biliknya.
"Kata hari ni nak pergi main futsal!" Aidil bercekak pinggang.
"Futsal? Kejap-kejap aku tukar baju!"

Sememangnya semenjak tok ketua membuat gelanggang futsal di kampung itu. Aktiviti Iman bertukar. Dia selalu menemani Aidil bermain futsal. Tidak boleh tidak hampir setiap petang mereka bersama. Sedikit sebanyak hati remajanya terpikat dengan anak muda itu. Adakah itu Cinta?

*******

"Kenapa sejak akhir-akhir ni aku tengok kau dah lain?" soalan dari bibir Aidil membuatkan jantung Iman terasa mahu tercabut. Betapa Aidil juga perasan dengan perubahan dia.Bermakna apa yang terjadi padanya disedari Aidil.
"Apa yang lain? Sama aje..." gugup dia menyoal semula kepada Aidil. Ah! Takkan la aku nak mengaku aku suka pada dia. Habis la kemachoan aku selama ini. Tapi aku ni perempuan, bukannya lelaki. Tak payah nak control macho.
“Kau dah tak macam dulu…” suara Aidil mendatar. Iman menundukkan kepalanya. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan anak muda itu. Entah mengapa jantungnya berdegup laju saat pandangan mereka bertaut.
“Aku… aku suka kau yang dulu, Man. Yang selalu lepak dengan aku tanpa perasaan lain terhadap aku!” sambung Aidil lagi.
Perasaan lain terhadap dia? Hish! Mamat ni perasan la tu. Perasaan apa? Cinta? Takkan aku boleh jatuh cinta secepat ini. Ah! Tapi mungkin juga. Takkan aku nak mengaku…. Tak mungkin!
“Sapa kata aku ada perasaan pada kau? Kau ingat aku ni macam Nani? Asal namanya lelaki nak sapu bersih! Sorry la Aidil, aku takde perasaan apa-apa pun pada kau. Kau jangan nak perasanlah!” Tempelak Iman tiba-tiba. Dia malu sebenarnya bila Aidil perasan dengan perubahan yang berlaku pada dirinya. Perasaannya.
“Aku tak maksud-”
“Kalau dah kau cakap begitu, bermakna memang kau bermaksud lah! Sudahla Aidil. Aku tahu lah aku ni kasar dulu, tapi aku jadi lemah lembut ni bukan sebab kau… Jangan haraplah!” pantas Iman membalas. Dia tidak mahu Aidil menyamakannya dengan gadis-gadis lain. Dia juga punya maruah.
“Iman… aku-” belum sempat Aidil berkata apa-apa, Iman terus berlari meninggalkannya. Aidil menggaru kepala yang tidak gatal. Pelik dengan tingkah Iman sejak akhir-akhir ini. Cakap sikit nak merajuk, cakap sikit nak merajuk, rungutnya. Itu yang dikatakan tiada perasaan? Aidil semakin tidak faham.

************

“Psstt… Nani, Aidil dengan Iman bergaduh. Diorang tak pergi sekolah sama-sama dah sekarang!” Mimah wakil ketua gossip sekolah mencuit Nani. Termuncung-muncung bibirnya bercerita tentang Iman dan Aidil.
“Aku dah tahu!” selamba sahaja Nani memjawab. Dua tiga orang kawannya terlopong memandangnya.
“Mana kau tahu?” soal mereka hampir serentak.
“Kau orang tak nampak ke perubahan kat budak pengkid tu? Dah le pengkid ada hati nak mengorat Aidil. Kau orang ingat Aidil tu nak ke bercinta dengan makhluk dua alam?” soal Nani sambil memintal-mintal hujung rambutnya. Dia sengaja menguatkan suara kerana saat sampai ke kelas tadi dia nampak Iman berada di situ. Saat itu juga ada sesusuk tubuh singgah di meja mereka yang sedang bergosip.
“Sapa makhluk dua alam?” bentak suara itu. Nani menjeling ke arah suara itu. Kelihatan Iman dengan wajah berkerut merenungnya.
“Hai, takkan tak kenal siapa yang dua alam?” perli Nani lagi.
“Kau nak tak kalau aku buat kau sampai cium lantai?” soal Iman sambil jari telunjuknya tepat dituding ke arah Nani. Iman memang sudah lama menahan rasa dengan perangai Nani yang mengada-ngada itu. Bukan sekali dua Nani menyakitkan hatinya. Malah acapkali mereka bertemu pasti ada sahaja bunga pertengkaran.
“Iman! Sudahlah, takkan kau nak jadi samseng kat sini!” Aidil yang baru sahaja meletak beg sekolah menarik lengan temannya itu bila dilihatnya keadaan semakin tegang.
“Kau diam Aidil. Aku memang samseng pun! So, kau tak payah lagi nak kawan dengan aku!” bentak Iman tidak ketahuan. Kakinya pantas menyepak kasar bangku yang di duduki Nani.
“Aidil.. tolong saya! Saya takut!” rengek Nani cuba meraih lengan Aidil. Lelaki itu mengerling sambil mengerut dahi. Kemudian dia terus mencari Iman yang sudah hilang dari situ. Aidil sendiri tidak faham kelakuan Iman sekarang. Iman sudah tidak lagi seperti dulu, itu yang dia tahu. Iman sekarang asyik merajuk.
Puas dia mencari Iman. Dia menghala ke belakang kantin sekolah, dimana terletaknya kolam ikan, tempat budak-budak perempuan selalu melepak. Dan yang pasti di situ juga tempat yang paling dibenci Iman. Kata Iman, orang yang jiwang karat sahaja yang suka duduk di tempat terpencil begitu. Melayan perasaan.
“Iman!” panggilan Aidil tidak berjawab.
“Pergilah kau… aku ni kan samseng, tak layak kawan dengan kau!” jawab Iman. Lagak dan gayanya memang tahu dia merajuk.
“Kalau aku kata kau dah berubah kau tak percaya! Sekarang tengok, kau dah pandai melayan perasaan, dan dah pandai… menangis?” Aidil merenung tepat ke mata Iman. Dapat dilihatnya bagai ada air jernih yang baru diseka.
“Mana ada aku menangis!” nafinya dengan suara kasar tapi perlahan.
“Kau tak payah nak tipu aku lah! Iman, aku rindu pada kau!” Aidil tiba-tiba bersuara perlahan. Mendayu pada pendengaran Iman.
“Rindu?”
“Iyelah, aku rindu pada Iman yang dulu, yang selalu merempit dengan aku. Yang selalu main futsal dengan aku…. Iman yang dulu. Iman Brutal!” ucap Aidil. Iman menoleh. Ah! Aidil tidak menganggapnya sesiapa. Aidil cuma menganggapnya sebagai rakan sekelas, sekampung. Kenapa dia yang tiba-tiba rasa Aidil menyakiti hatinya. Iman keliru.

Iman bingkas meninggalkan Aidil termangu sendirian. Stupid! getusnya dalam hati. Siapa yang stupid? Aku ke Aidil? soalnya pula. Dalam hati juga. Ah! Memang bodoh bila mengenangkan. Iman menoleh Aidil. Lelaki itu terpinga. Merenungnya dengan kerutan di dahi. Kesian mamat tu. Tak tahu apa-apa. Hormon aku yang tak stabil kot! bentaknya dalam hati.

"Pada kau aku samsengkan?" soal Iman. Aidil serba salah. Mahu menggeleng atau mengangguk?
"Maksud aku-" Aidil teragak-agak.
"Sudah la Dil... aku tahu, aku bukan siapa-siapa pada kau!" Iman menempelak pula. Tapi tidak kasar.
"Aku suka Iman yang dulu. Aku tak suka Iman yang sudah bertukar jadi jiwang karat macam ni," Aidil menunduk. Itu yang mahu dimaksudkan. Iman yang dulu. Yang brutal. Yang kasar.
"Oh aku samseng jiwang karat? Nani? Lemah lembut?" ada nada irihati.
"Kau jealous dengan Nani?" soal Aidil pula.

Semakin dia keliru dengan Iman sekarang. Mana mungkin Iman cemburu dengan Nani. Iman dan Nani lain. Berbeza. Sangat berbeza. Iman lebih berterus terang, yakin dengan diri. Nani selalu prejudice. Selalu rasa orang lain tak se'hot' dia. Nani perasan. Iman tidak.

Iman terdiam mendengar perkataan jealous. Sorry bro! I'm not your type! Aidil yang ajar dia cakap macam tu. Aidil banyak mengajarnya tentang bahasa Inggeris yang agak cool.

"Mana ada aku jealous!" Iman membentak.

Dua-dua diam.

"Iman, walau siapa pun kau. Aku tetap suka kan kau. Sumpah!" Aidil mengangkat tangan kanan, tanda bersumpah.
"Tapi aku tak secantik Nani..." mendatar suara gadis tomboy itu.
"Ada aku kisah kau cantik ke tak? Kau ingat lelaki hanya pentingkan kecantikan untuk menyintai? Aku suka cara kau, gaya kau... kau memang sweet walau ganas sket!" Aidil senyum merenung sahabat itu. Dia tahu apa yang Iman fikirkan. Puppy Love. Dia juga rasa apa yang Iman rasa. Umur semuda mereka sudah tahu menafsir hati. Dia juga tidak pernah keruan kalau tidak berjumpa Iman walau sehari.

Walau ramai yang kata dia tidak layak berdampingan dengan Iman. Kerana Iman macam jantan. Kasar. Brutal. Pemarah. Selekeh. Pada Aidil, Iman tetap comel.

"Aku sweet? Poyo!" dengan pujian yang sedikit sahaja membuatkan Iman tersenyum semula. Senang. Aidil merenung Iman. Itulah teman yang dia inginkan sejak dulu.
"Aku sayang pada kau!" bisik Aidil perlahan terus ke telinga gadis brutal itu. Jiwang karat.
"Cheh!" Iman menafi dalam hati. Tapi hatinya kembang berbunga. Ada rasa yang sukar ditafsirkan.
"Kau tak perlu berubah untuk menyintai aku!" sekali lagi Aidil keluarkan ayat jiwang karat. Iman jelir lidah.
"Betul ke?" soal Iman. Penuh makna. Aidil mengangguk.
"Tak perlu kau simpan rambut panjang. Tak cool langsung!" Aidil kenyit mata.

Iman senyum lagi. Bibirnya sudah tidak mampu menahan sengihan. Dia rasa mahu senyum sepanjang hayat. Biar bagaimana fizikalnya, tapi Aidil menyintainya. Ianya amat mengerikan. Jauh di sudut hati, Iman mengaku. Dia juga menyintai Aidil.


Tamat

13 comments:

fadxiora said...

dinaaaaaaaa!!
ko suruh aku baca kan kan... hah sekarang ko wat cepat2 cite ni...
huhuhu
best gila...
sambung cepat2

dina said...

aku dah sambung tapi belum paste kat sini... hehehehe... saja nak seksa ko...

fadxiora said...

huhu... saje nak wat aku terseksa menanggung rindu... apa kene lak dgn aku ni emo semacam -->tepuk dahi dina

dina said...

aduss... apesal dahi aku lak--->errr kat sini pun nak ot (sepak fad)

fadxiora said...

dina bila nak menyambungnye... terseksa jantung hati paru-paru usus buah pinggang aku huhu

♥Pu3ImaŊeisyÆ♥ said...

Tahniah dina. Satu coretan yang baik dan bagus sekali. Cara penyampaian gaya selamba yang ko garap buat orang suka untuk terus membaca tambahan lagi dengan unsur lawak selamba. Aku tersenyum sorang baca cerpen ni. Ha macam kata Fad, bila ko nak sambung... potong stim betullah. Aku nak gak tahu si mamat saleh celup tu betul ke tak ada hati ngan Iman... dan betul ke hati perempuan Iman mula berperasaan... cepatlah dian sambung....

dina said...

@fad - makan le panadol extend...

@pu3imanisya - TQ pu3... kau juga idola aku untuk terus berkarya.


aku dah sambung n kisah ini sudah tamat.

♥Pu3ImaŊeisyÆ♥ said...

Peh! Tabik spring ngan ko Dina… toing… toing… toing…. Cerpen ni memang best… Cuma kalau ko panjangkan sikit before ending rasanya mungkin akan jadi lebih best. Katalah tengah si Aidil tu try pujuk Iman, datang pulak si Nani perasan tu… so adalah sikit adegan sindir menyindir… hampir gaklah Si Nani tu nak rasa penampar sulung Iman. Than Aidil jadi jaksa pendamai… dalam pada tu Aidil secara tak sengaja decleare walaupun Iman tu kasar dan brutal, tapi dia tetap baik. Tak sewenangnya sakitkan hati orang dengan kata-kata atau perlakuan. So termalulah si Nani kerena dia ingat selama ini usaha dia untuk memikat Aidil secara tunjuk konon dia tu pompuan tak jalan. Aidil boh layan jer. Manakala Iman pulak terkezut beruk sebab tak sangka mamat saleh celup tu suka pompuan yang brutal macam dia… hahahahaha

Apa pun Dina.. Syabas sekali lagi… karya ko memang bagus… I love and enjoy it….

dina said...

@ pu3- huhuhuu... aku terharu dgn komen dan cadangan kau... penulis hebat macam kau mengkomen karya picisan aku... bertuahnya aku! (terharu)... nanti kalau aku jumpa kau, aku akan peluk kau erat2...

♥Pu3ImaŊeisyÆ♥ said...

Correction My Friend... Ayat ko yang ni perlu ko perbaiki... hahahaha

@ pu3- huhuhuu... aku terharu dgn komen dan cadangan kau... penulis hebat macam kau mengkomen karya picisan aku... bertuahnya aku! (terharu)...

Aku bukan penulis hebatlah... aku masih belajar untuk jadi seorang penulis yang boleh diterima karyanya oleh semua orang. Aku tak hebat Dina... ada yang lebih hebat dan bagus dari aku. Kita sama-sama berkongsi ilmu... menegur untuk kebaikan bersama. Apapun aku bukan nak bodek ko, tapi cara garapan ko memang bagus. Punya stail tersendiri dan bukan copycat dari orang lain... Good job. Teruskan berusaha... aku tetap sokong ko....

dina said...

Kau tetap seorang yg hebat padaku... aku harap kau akan sudi membaca semua karya2 picisan aku yg tak seberapa ini... TQ

-Ain-Dak In- said...

apesal lar semua karya akk bes2..
hahahaha...

nati wat bayk2 cte camni,,
sempoi dan COOL..
hahahaha,,,,,,,,

dina said...

time kasih jadi pembaca,
InsyaAllah, kerana kalian, nanti akak akan cuba buat cerpen yang terbaik buat tatapan kalian.