Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 18

“Ham, beg Anis tu kau letak dalam bilik kau, umi dah kemaskan bilik tu untuk Anis…” arah Hajjah Saniyah. Izham menghadiahkan senyuman nakalnya pada Anizan bila mendengar ibunya berkata begitu.
- Eh! Biar benar orang tua ni, takkan aku nak tidur sebilik dengan Bos? Dah lah dari tadi mata dan tangannya tu kena penyakit gatal, kang tak pasal-pasal aku kena cabul!
“Hah! Jangan nak menggatal, umi suruh Anis tidur di bilik Ham. Tapi Ham tidur di luar,” tegas Hajah Saniyah serentak itu juga wajah Izham berubah serta merta.
“Umi ni teruklah, pentingkan orang lain dari Ham! Takkan Ham nak tidur luar, kan bilik ummi ada? Suruhlah Anis tidur di bilik ummi…” rengek Izham, dari rengekan itu Anizan dapat lihat yang anak muda itu sebenarnya anak manja emak.
“Takkanlah Anis nak tidur dengan ummi… kalau kau tak mahu tidur luar, kau tidur di bilik Izlan!” ujar Hajjah Saniyah lagi.
“Ham sanggup lagi tidur di dapur ni dari tidur dalam bilik Izlan tu, ummi…” jawab Izham.
Tidur dalam bilik Izlan, serupalah dengan tak tidur. Adik lelakinya itu sukakan muzik, jadi bila nak tidur pun dia akan membuka hi-finya dan kadangkala dia akan memetik gitar mengikut irama lagu yang dimainkan. Kalau suara sedap tak apalah, ni sumbang-mambang. Yang pastinya dia dan Izlan tidak pernah sebulu. Malah sejak dari kecil ada sahaja yang membuatkan mereka bermasam muka.
“Mana anak umi yang lain?” Anizan yang sedari tadi mendengar kedua beranak itu berbual, mula bersuara.
“Yang tinggal dengan ummi cuma Izlan. Dia buka kedai di Ipoh, kedai muzik, Izman pula belajar di USM, Penang, ada cuti dia baliklah. Kalau kau nak tahu Anis, ummi ni macam tinggal sorang, kalau ada si Izlan, bukannya dia tahu nak berborak yang ditahunya muzik dua puluh empat jam. Kalau balik pula yang di Penang tu, lagilah serupa je macam si Izham ni, bukannya tahu nak lekat di rumah… Ini mujur ada kau, kalau tak letak aje beg, dah lesap entah kemana…” celoteh Hajjah Saniyah membuatkan Izham menarik muka.
Anizan bagaikan mahu ketawa melihat gelagat Izham, begitu berbeza dengan sikapnya di pejabat. Kalau depan staff bukan main lagi dia punya garang, tapi rupanya Bosnya itu seorang yang bersifat keanakan, terlalu manja dengan ibunya. Semakin dia mengenali lelaki itu, Anizan semakin menyenanginya, dia sudah tidak lagi berasa kekok walaupun baru beberapa jam dia di situ. Ibu Izham teramat baik sehinggakan kerana kebaikan itu, Anizan terasa bersalah. Asma, berdosanya aku menipu ibu tua ni…
“Ham, tunjukkan Anis bilik dia… biar dia berehat, ummi nak pergi rumah toksu, hantar lauk.” tanpa menoleh ke arah mereka Hajjah Saniyah bersuara, tangannya pantas membuat sesuatu.
Anizan cuma akur dengan apa yang disuruh, dia kemudian mengekori Izham ke biliknya. Memang dia sudah terlalu penat, memandu jauh hampir dua jam di dalam kereta membuatkan pinggangnya terasa sengal. Anizan sempat mengintai kelibat Hajjah Saniyah yang sudah berlalu meninggalkan rumah.
“Eh! Bos tak rasa berdosa ke menipu mak Bos yang baik tu?” tanya Anizan setelah dia pasti, Hajjah Saniyah tiada lagi di situ. Izham terdiam, dia merenung gadis di hadapannya dengan wajah serius.
“Bos saya tanya ni!” tangannya menarik lengan baju Izham.
“Selagi Anis panggil saya Bos, saya tak mahu jawab apa saja pertanyaan Anis! Tadi dah janjikan?” sekali lagi senyuman nakal terukir di bibir pemuda itu.
“Okeylah! Awak tak rasa berdosa ke menipu mak awak yang baik tu? Hah! Jawablah cepat!” tanya Anizan dengan nada suara yang manja sengaja dibuat-buat.
“Macam tulah, hari tu rasa berdosa juga, tapi sekarang tak. Sebab abang rasa bertuah pula, kalau abang tak buat plan ni, abang tak tahu selama ini dispatch yang selalu abang marah rupanya seorang bidadari…” pujian Izham yang melambung itu membuatkan Anizan mencebik.
“Orang lelaki macam tu lah! Kalau tak cantik dicemuh, dikata… bila dah cantik dipuji melambung. Nampak sangat lelaki nak memilih pasangan nak pilih yang ada rupa, bukannya nak ukur baik hati budinya,” tempelak Anizan, sememangnya pendapatnya itu tidak dapat disangkal Izham.
Memang selama ini dia memilih kecantikan sebagai asset penting untuk menjadi teman hidupnya. Tapi Amira juga cantik, malah lebih cantik kalau dibandingkan dengan Sofea, Zamira tidak perlu mengenakan sebarang kosmetik di wajahnya, tidak seperti Sofea yang kalau tidak mengenakan alat solek, rupanya saling tak tumpah macam mayat, pucat lesi! Anizan juga seperti Zamira, cantik dan menawan, tapi kecantikan Anizan yang selama ini tersorok dalam sifatnya yang ala-ala kelelakian terserlah dan ianya membuatkan gadis itu lebih menarik.
Izham dapat rasakan ada sesuatu yang terjadi pada jantungnya setiap kali melihat wajah Anizan sejak gadis itu berubah watak. Dan kerana itu juga dia merasakan dia tidak menipu ibunya, mungkin Anizan adalah calon yang sesuai untuknya, walaupun terlalu cepat dia menilai gadis itu, walhal baru beberapa jam sahaja dia melihat perubahan Anizan, tapi padanya mungkin setiap yang terjadi ini ada hikmah disebaliknya.

No comments: