Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 2

Izham melihat jam di dinding. Hari ini dia tidak ada kes di mahkamah, cuma ada satu kes di Bangi, itupun dia minta Hasrul yang pergi untuk mendapatkan tarikh baru. Jam di dinding sudah melangkau lebih dari angka sepuluh. Dia lalu keluar dari biliknya, melihat tempat Anizan yang masih lagi kosong. Surat-surat yang tersusun di atas rak suratnya menimbun tidak dihantar lagi. Dokumen-dokumen yang sepatutnya difailkan di Mahkamah pada hari ini juga masih tersusun rapi di atas meja.
Lambat lagi budak ni, macam mana kerja-kerja di pejabat ni tak sangkut, asyik datang lewat je. Masuk kali ni dah berapa kali lambat walhal baru je masuk bulan ketiga dia kerja di sini. Ini tak boleh jadi ni, masa datang minta kerja dulu, bukan main lagi dia punya cakap. Semua boleh on the spot, minggu pertama kerja bukan main awal, sampai menunggu orang bukakan pintu pejabat. Bila dah lama sikit, mula nak naik ekor, banyak alasan. Bukan apa tu semua tu nak cari jalan kena marahlah tu. Aku ni kalau boleh tak mahu marah-marah.
Sebelum si Anizan ni datang, siapa pun tak pernah kena marah. Tapi sejak budak tomboy ni masuk kerja, panas je hati dengan perangai budak seorang ni. Tapi kadang-kadang suka juga aku mengusik budak yang suka mengelabah ni, bila aku jerkah sikit, dia mulalah tergagap-gagap bila bercakap, lucu betul. Mukanya pula tu, jangan ceritalah pucatnya mengalahkan nampak hantu. Ke muka aku ni yang macam hantu kalau marah.
“Fizah, kalau Anizan datang, suruh dia masuk bilik saya!” habis sahaja kata-kata Izham, Anizan terjengul di muka pintu, mempamerkan senyuman bersalahnya tu.
“Selamat pagi, bos! Ampun Bos, tayar pancit lagi la bos… Minta ampun banyak-banyak bos! Saya janji tak buat lagi…” pohonnya sambil tertunduk-tunduk macam orang Jepun.
Perlakuannya membuatkan Hafizah tertawa lucu. Izham pula cuba menahan diri dari ketawa. Dia mahu kelihatan serius. Takut nanti pekerjanya itu terlalu manja dengan senyuman dan tawanya. Tidak boleh di beri muka sangat, nanti dia pijak kepala.
- Kalau setakat pijak, ada ampun sikit buatnya di henyaknya kepala aku, lagi parah!
“Masuk bilik saya sekarang!” arahnya tegas dan keras.
Wajahnya langsung tiada riak senyuman. Masam mencuka, dijegilnya mata ke arah Anizan. Langsung gadis ala-ala tomboy itu kecut perut. Dengan rasa serba salah dia masuk. Dia tahu kali ni silap-silap dia kena buang kerja.
Mana tidaknya, Cik Izham ni bukannya boleh dibuat main-main, sikit-sikit nak menengking, sikit-sikit nak menjerkah. Pantang tersilap sikit, mulalah terjegil-jegil biji matanya marah. Tapi yang hairannya dengan aku je dia jadi macam tu dengan staf lain aku tengok elok je. Cakap pun lembut-lembut, mungkin sebab aku ni tak serupa perempuan kot, sebab tu la dia bedal aku cukup-cukup.
Tengoklah mukanya tu masam mencuka macam apa lagi, agaknya masa mak dia mengandungkan dia ni, terlebih makan mangga muda kot. Itu pasallah mukanya macam tu, harap muka je handsome, tapi kalau dah tak reti nak senyum, terus hilang handsome…
“Awak tahu pukul berapa sekarang?” tengking Izham. Suaranya yang kuat itu membuatkan Anizan mulai berpeluh.
“10:20 pagi bos! Minta maaf bos, tayar motor saya pancit,” jawabnya, cuba mengawal suaranya yang sudah mulai terketar-ketar.
“Berapa puluh kali motor awak nak pancit~”
“Err…betul bos! Kali ni betul-betul pancit bos~”
“Kali ni betul-betul? Habis tu sebelum ni awak menipulah ye?” bentak Izham. Anizan rasa serba tidak kena, dah tersilap cakap pula. Bilik yang berhawa dingin itu dirasanya panas berbahang.
“Err… sebelum ni pun betul bos, tayar motor saya tu dah lama tak berganti. Itu yang selalu pancitnya tu… Bos, kalau bos nak potong gaji saya potonglah, tapi tolong jangan berhentikan saya bos, saya janji dapat gaji ni saya ganti tayar motor saya, dua-dua sekali… minta maaf bos!” rayunya.
Dengan lelaki ini kena merayu sikit, bos lah katakan! Kalau kita humbling sure dia pertimbangkan. Tapi kalau ikutkan hati, bila dia menengking tu, mahu je aku jerkah dia balik. Baru dia tahu siapa Anizan Taufiq.
“Masa mula awak minta kerja dulu, bukan main awak janji macam-macam dengan saya. Datang awallah, buat kerja cepat dan cekaplah lah, tapi baru tiga bulan awak kerja kat sini, dah mula buat perangai. Macam mana bangsa kita nak maju kalau masih ada orang yang suka cipta pelbagai alasan macam awak ni, Anizan? Dulu awak kata awak mampu buat kerja yang biasanya dibuat orang lelaki. Saya bagi awak peluang buktikan, tapi awak buat perangai macam ni. Macam mana saya nak percayakan awak? Awak ingat senang ke nak cari kerja sekarang? Lebih dari 120,000 graduan masih menganggur awak tahu tak? Kiranya awak paling bertuah sebab saya ambil awak bekerja tau, walaupun kelulusan awak cuma SPM aje,” bebelan bos muda itu didengarnya.
Izham menelan liur, sengaja dia mahu bercakap panjang dengan Anizan. Walaupun dia tahu budak itu tidak akan mendengar langsung segala nasihatnya.
“Sepatutnya awak bersyukur. Bila dah ada kerja ni, kerja betul-betul. Jangan datang lambat. Awakkan tahu, kalau awak tak ada, kerja kat ofis ni banyak terbengkalai. Bila terbengkalai, saya rugi, company pun rugi. Bila dah rugi, saya tak boleh naikkan gaji awak, tak boleh nak bagi bonus, akhirnya awak sendiri yang rugi!” sambung Izham lagi.
- Mak oi! Panjang lebar lagi ceramah mamat ni, sampai mengantuk aku dengar. Kenapalah dia jadi lawyer, kalau dia jadi Pensyarah lagi baik, tentu student dia dapat high point bila exam.
“Saya maafkan awak kali ni. Tapi kalau lagi sekali awak lambat macam ni, saya tak mahu fikir panjang, saya pecat awak terus. Nah duit ni, tukar tayar motor awak hari ni juga… lepas ni saya tak mahu dengar apa-apa alasan,” sambung lelaki itu lagi, suaranya sudah mengendur sedikit.
Marahnya semakin reda. Malas dia nak meneruskan nasihatnya, bila dilihatnya budak itu sudah mulai menguap. Dihulurnya dua keping note lima puluh ringgit pada budak tomboy di hadapannya itu.
“Terima kasih banyak-banyak Bos. Saya janji hari ni kali terakhir saya lambat. Terima kasih Bos, baik hati bos, sedekahkan saya duit tengah-tengah bulan ni~”
“Awak ingat saya ni welfare ke nak sedekah-sedekah? Itu tolak gaji awak bulan depan, saya bagi advance! Dah pergi buat kerja awak!” tengking Bos handsome itu lagi.
Cepat-cepat Anizan keluar, tak mahu lagi dia menghadap muka majikannya yang tak pernah mahu senyum dengannya dan yang penting tak mahu dengar syarahan panjang lebarnya itu. Keluar saja dari bilik ‘neraka’ tu, Hafizah merenungnya. Suka hatilah tu dengar aku kena marah, busy body!
“Ijan, semua surat ni by hand tau, urgent!” Hafizah menghulurkan beberapa keping sampul surat bewarna coklat.
“Kau ni pantang tengok muka aku, asal tengok muka aku, suruh hantar surat… dah tu sikit-sikit urgent! Bagilah aku bernafas sikit, dahlah pagi nan indah aku hari ni dah spoil, kau tambahkan pula…” rungut Ijan, dia berpura-pura menarik muka masam.
“Habis tu, dah kerja kau tu dispatch, takkan aku pula nak pergi hantar surat! Dia yang kena marah, orang pula dimarahnya sama. Lain kali kalau tak mahu hantar surat, mintalah kerja kerani ke, doktor ke, tukang sapu ke…” rungut Hafizah sambil mengetap bibir.
- Iye tak iye juga, dah memang kerja aku, saja je nak melawak dengan si Fizah ni. Bukan apa lepas kena marah tadi kalau buat joke barulah ceria sikit.
Ijan mengambil semua dokumen yang perlu dihantarnya lalu memasukkan ke dalam beg galasnya. Dia perlu keluar segera, kalau Cik Izham nampak dia masih di pejabat, pasti lelaki itu menyambung lagi ceramah perdananya, dia tak sanggup untuk mendengarnya lagi.
“Ijan, nak keluar dah ke? Balik nanti belikan akak cendol ye dik…” pesan Zaharah. Terboyot-boyot wanita itu membawa perut datang kepada Anizan untuk menyerahkan duit.
“Tak pe la kak, pakai duit saya dulu. Saya balik nanti, akak bayarlah!” dengan Zaharah dia tidak pernah berkira. Walaupun adakalanya dia terlupa membayar makanan yang dipesan. Tapi dengan Fizah dia tidak pernah offer macam tu, bukan apa, langsung tak pernah berbayar balik. Kalau di tanya pun buat sakit hati je…
Lagipun Zaharah ni mengandung sulung, macam-macam benda dia teringin nak makan, seleranya pun sentiasa ada, sebab itu selalunya bila Ijan balik ke pejabat, tak pernah bertangan kosong, pasti ada makanan untuk Zaharah. Suka sangatlah kawan tu, dapat makan free. Tapi Zaharah ni memang baik, kadang tu bila tengok Ijan tak balik ke pejabat waktu makan tengahhari, dia telefon bertanyakan Ijan sudah makan ke belum. Kalau katakan belum, dia selalu minta Fizah belikan nasi goreng takpun nasi campur di warung depan pejabat mereka tu untuk Anizan. Itu yang Anizan tidak mahu berkira sanagt dengan Zaharah.
“Jan, alang-alang kau beli cendol kak Zah, belikan goreng pisang untuk aku sekali ye!” pesan Fizah pula.
“Yelah tu, semalam punya apam balik pun kau tak bayar lagi. Hari ni dah pesan goreng pisang pulak,” rungutnya.
Kalau sekali dua takpelah buat perangai macam tu, ini dah hari-hari, tauke balak pun jual lori!
“Eleh, berkira! Apam balik semalam kan kau belanja? Sesekali buat amal jariah kat aku ni, apa salahnya,” Fizah tak mahu kalah.
“Kau ingat aku ni welfare ke asyik kena buat amal jariah~” belum sempat Anizan menghabiskan kata-kata, dia terpandang Cik Izham yang sudah berdiri depan pintu biliknya, merenung tajam ke arahnya. Anizan terkedu, kerana kata-katanya tadi ditiru dari ayat lelaki itu, siap dengan gayanya sekali. Tanpa menoleh lagi dia terus menuju pintu keluar, meninggalkan Zaharah dan Fizah terpinga-pinga.

2 comments:

fadxiora said...

baru baca sampai sini...

tak tahu nak komen apa tapi setakat ni okey je :D

ps:-bila aku baca novel ni teringat lak kat entry 'APA PERLU AKU BUAT' kat blog semanis senyuman kau tu hehehe...

dina said...

makaceh fad