Sunday, February 22, 2009

Aku Bukan Untukmu - 37

“Saya bukan minta awak beli saya!” tegas Anizan.

Tidak sangka, dengan cara itu Izham mahu membeli cintanya. Dia bukannya gadis yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Memang dia terima tawaran Izham untuk menjadi kekasih palsu. Bayarannya juga dia ambil. Untuk membiayai pengajian. Dan dia buat kerja itu bukan semata-mata kerana dia kelabu mata. Dan sekarang Izham mengganggapnya begitu. Menganggap yang Anizan boleh dibeli cintanya jika dia belikan sebuah kereta. Jijik sungguh cara Izham.

“Sayang salah faham!”

Izham menghela nafas. Cara ini salah, cara itu salah. Apa lagi yang mahu dia buktikan untuk memberitahu kasih sayangnya yang suci murni. Izham menekan pelipis. Pening dengan tingkah Anizan. Dia tahu kelihatan agak melampau kerana membelikan gadis itu kereta, tetapi dia buat begitu bukan kerana dia fikir Anizan metarialistik. Dia bimbangkan keselamatan gadis itu. Itu saja. Dia tidak mahu gadis itu menunggang motorsikal, boleh mengundang bahaya.

“Salah faham? Memang saya terima tawaran lima ribu tu untuk jadi kekasih palsu awak. Tapi tak bermakna saya ni pengikis… jangan anggap saya begitu!” lirih suaranya memberitahu.

Sedih bila mengingatkan lelaki yang menyatakan sayang dan cinta kepadanya menganggap dia perempuan pisau cukur. Sudah cukup sindiran rakan sepejabat menyatakan dia membomohkan Izham. Kalau mereka tahu tentang pembelian kereta ini, sudah pasti dia kenyang dengan sindiran tajam mereka setiap hari. Lelaki memang menyakitkan hati.

“Abang risaukan keselamatan awak. Itu je, bukan abang sangka awak materialistik. Abang tak pernah beranggapan begitu!” Izham menggaru-garu keningnya yang tidak gatal. Tidak tahu bagaimana mahu memberitahu gadis itu.
Cara halus sudah, cara beli barang sudah, takkan nak buat cara kasar. Naik bangunan enam belas tingkat dan ugut untuk terjun, semata-mata nak membuktikan cinta dan kasih sayangnya, begitu? Atau ambil kapak belahlah dada? Aduh memang payah mahu yakinkan Anizan. Segala usahanya gagal. Nyatakan cara romantik sudah. Berterus terang pun sudah. Takkan tak nampak lagi kejujuran aku?

“Encik Izham… kalau awak nak tunjukkan kasih sayang awak, tak semestinya dengan membeli kereta… lebih baik awak je yang jemput dan ambil saya setiap hari!” Anizan merenung tepat ke mata lelaki itu. Hah! Ini baru di namakan risaukan keselamatan. Pergi diambil pulang dijemput.

“Tapi kalau saya ke Mahkamah macam mana? Saya kena pergi awal pagi!” kali ini Izham pula bercekak pinggang sambil merenung tepat ke anak mata Anizan. Ketara kebudak-budakan cara mereka. Namun mereka tidak perduli lagi.

“Okey, kalau macam tu begini saja, awak bayarkan deposit, bulanannya saya bayar sendiri!” tegas Anizan, membalas kata-kata Izham.

“Habis, awak ingat saya nak bayarkan installment? Tolong sikit! Memang saya nak bayar deposit pun!” Izham tersenyum sinis.
Sambil matanya mengerling Anizan. Kala itu dapat dilihatnya Anizan menarik muka. Aduh! Comel sungguh kalau Anizan menarik muka empat belas begitu. Macam kanak-kanak umur empat tahun merajuk.

-Ceh! Aku mati-mati ingat dia nak bayar cash kereta yang nak dibeli nanti. Kalau aku tahu, payah aku nak bertekak membela diri. Gumamnya sendirian. Geram dengan kelakuan Izham yang keterlaluan.

“Hah, tu cakap sorang-sorang tu mengata abang le tu!” sergah Izham. Terkejut bukan kepalang lagi Anizan dengan sergahan itu.

Dia terus menuju ke barisan kereta yang dipamerkan. Malas mahu melayan lelaki itu. Makin di layan makin menjadi-jadi. Pada masa yang sama seorang jurujual berskirt singkat datang ke arah Izham. Menunjukkan beberapa kereta. Izham pula sibuk melayani jurujual yang seksi menggoda. Anizan buat tidak perduli. Sedangkan hatinya kini bagai dicengkam sesuatu. Dia pun tidak tahu apakah perasaan itu.

*******************

“Wah! Memang betul kau dapat durian runtuh!” Asma terlopong melihat Anizan pulang berkereta.
Tidak sangka rezeki kawannya itu teramat murah. Bermula saat Anizan pulang bersama majikan kacaknya itu, Asma sudah dapat lihat perubahan pada kawannya itu. Apatah lagi, masa Anizan menyalami Izham, siap tunduk cium tangan. Takkanlah, dah sampai rumah pun nak berlakonkan. Agak-agakla jugakkan. Namun, sehingga sekarang Anizan langsung tidak buka mulut untuk bercerita tentang hal itu. Bila di tanya ada sahaja topik yang dialihkan.

“Aku beli dengan duit akulah! Kereta terpakai!” tutur Anizan. Sambil menekan alarm kereta Wira Aeroback 1.6 nya itu.

“Kau kata, kau nak bayar duit kolej lumpsum! Kan lagi dua semester je…” Asma merenung ke dalam kereta.

Kagum dengan kusyen yang disalut sarung kulit bewarna hitam. Hebat benar rasanya bila kawannya yang dulu hanya punya motorsikal kapcai, sekarang sudah mampu bekereta.

“Izham akan bayarkan yuran kolej untuk aku!” ujarnya, sambil membuka kasut.

Memang pada mulanya Izham mahu membayar wang pendahuluan untuk kereta itu. Namun kerana dia menolak dan mahu menggunakan wang hadiah yang Izham berikan. Itu pun puas juga dia memujuk.
Akhirnya Izham setuju, bila dia juga setuju untuk menerima wang Izham untuk pembayaran kolej.

Semasa pulang petang tadi dia sempat menukar dulu pakaiannya di kolej. Tak mahu Asma terkena sakit jantung bila nampak dia pulang ke rumah dengan berbaju kurung sutera dan berkasut tumit tinggi. Semasa di kolej juga mujur tiada siapa yang perasan dengan kedatangannya yang memakai baju kurung. Sepantas kilat juga dia menyelinap masuk ke tandas untuk menukar baju. Hari ini juga hari pertama dia lewat.

Kalau selalunya, dia menunggang kapcainya, namun kerana hari ini dia sudah mula berkereta, dia terpaksa bersama-sama menghadapi masalah orang Kuala Lumpur.

No comments: