Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 24

“Tergamak kau tipu umi. Lepas tu kau pergunakan budak perempuan tu! Manusia apalah kau ni?” bentakan yang bernada bisikan itu betul-betul bagaikan tamparan di wajahnya. Izham yang sedang bersantai di atas buaian di halaman menoleh ke arah suara itu. Lelaki seirasnya sedang berdiri tegap merenungnya dalam kegelapan malam yang hanya disirami remang cahaya lampu jalan.
“Aku bukan sengaja nak menipu. Dah umi suruh aku kawin dengan Zamira, siapa yang mahu? Kalau kau nak sangat dengan si Zamira tu, kau cakaplah pada umi. Ini tidak orang yang tak mahu nak disorongkan budak perempuan kampung tu!” rengus Izham.
“Apa kurangnya Zamira berbanding dengan perempuan yang suka pakai baju tak cukup kain tu? Aku rasa seribu kali Zamira tu lebih baik dari perempuan yang kau puja sangat tu!” sinis sahaja Izlan membahasakan teman wanitanya, Sofea. Memang adik kembarnya itu tidak pernah sukakan Sofea. Mereka pernah bertemu beberapa kali setiap kali Izlan ke Kuala Lumpur. Setiap kali itu juga Izlan meluahkan rasa bencinya pada gadis itu.
“Aku dengan Sofea dah tak ada apa-apa!” Izham tunduk, kadangkala dia terkenangkan gadis yang pernah menawan hatinya itu. Dia tahu dia amat merindui gadis itu, namun bila teringatkan segala kecurangan gadis itu, amarahnya mencengkam.
“Habis tu, kau nak mainkan perasaan Anis tu pula? Kau tahu tak apa akibatnya? Memang mulanya dia berlakon buatnya dia mula bagi harapan pada kau macam mana? Bukan aku tak tahu taste kau tu. Mesti dia akan kecewa, lebih-lebih lagi umi, bila ditahunya Anis juga berlakon untuk menipunya. Kau tak pernah terfikir~”
“Lan! Aku tak akan kahwin dengan Zamira dan kalau kau tak mahu umi kecewa, kau kahwin dengan Zamira dan selesai masalah! Ini tidak, kau asyik lagi memuja orang mati! Aisar dah lama mati, Lan. Sudah lebih dua tahun! Dan kau yang terlebih dahulu mengecewakan umi!” bentakan Izham membuatkan Izlan terdiam. Kenangan dua tahun lalu menjelma lagi. Menggigit-gigit fikirannya untuk mengingati semula. Jika Izham tidak menyebut nama Aisar, pasti dia tidak diragut rasa sebegitu, sedih, pilu dan rindu membelit jiwanya.

No comments: