Tuesday, July 21, 2009

Aku Bukan Untukmu - 50

Dua bulan berlalu begitu sahaja. Tanpa ada perubahan terhadap hubungan mereka. Namun yang pasti hubungan Anizan dengan Fahril semakin terjalin rapat. Walaupun bagi Anizan ianya bukan hubungan perasaan. Cuma sebagai sahabat. Anizan sudah dua kali menghantar surat perletakan jawatan. Dua kali juga surat itu dipandang sepi oleh Izham. Anizan sendiri tidak faham untuk apa Izham menyimpan cintanya di hati. Sedangkan dalam masa yang sama, dia masih berhubungan dengan Sofea. Anizan keliru. Sudah terlalu derita dia menahan cinta dihatinya.
Anizan bagaikan sudah tidak perduli lagi apa yang melanda hati. Cukuplah segala apa yang dialaminya membuatkan dia terseksa menanggungnya. Segala apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Izham pula masih tidak putus mahu memujuknya. Walau pujukan itu kadangkala diselangi dengan sakit hati. Pagi dia memujuk Anizan tapi bila petang dia keluar pula dengan Sofea. Anizan sendiri tidak faham dengan pendirian Izham. Cepat benar dia berubah. Kalau ikutkan hati dia mahu berhenti terus dari bekerja di situ. Berhenti terus menyintai Izham.
“Aniz, awak dah siapkan minit mesyuarat yang saya minta semalam?” Izham bersuara. Anizan mengangguk. Di bukanya fail dan dikeluarkan sesalinan dokumen yang ditaipnya semalam.
“Cik Izham jangan lupa, tengah hari ni ada appointment dengan Mr. Pritam,” pesannya.
“Ok. Sabtu nanti awak pergi mana-mana tak?” soal anak muda itu. Anizan menggeleng. Bukan apa, malas mahu melayan sangat anak muda ini. Nanti hatinya sendiri yang terluka. Pedih luka yang dulu pun belum terubat.
“Saya nak bawa awak balik kampong,” mendatar sahaja suara Izham. Anizan hanya tersenyum nipis. Balik kampong, perkara itu sebenarnya mahu dijauhi. Tidak sanggup menipu diri sendiri. Memang dia teringin mahu balik ke kampong bertemu Umi dan Izlan. Tapi haruskah dia terus merasakan Izham itu miliknya. Kalau lelaki itu sejak akhir-akhir ini tidak lagi seserius dulu.
“Saya tak dapat la, ada hal!” Anizan beralasan.
“Tadi kata tak ada hal. Sekarang ada hal pulak. Awak ni marahkan saya ke?” suara Izham mula meninggi. Tengoklah tu, kalau dulu dia tidak setegang itu jika Anizan beralasan. Tapi sekarang bila ada yang dia tidak puas hati, selamba sahaja Anizan ditengkingnya. Kadangkala hati kecilnya terasa bila ditengking begitu.
“Buat apa saya nak marah Bos, saya ni pekerja je. Mana layak nak balik kampong dengan Bos!” Anizan menyindir.
“Lantak awak la, dah malas saya nak layan kerenah awak ni!” Izham menghempas meja.
Walau tidak sekuat mana, namun sudah cukup membuatkan seisi pejabat terkejut. Lelaki itu terus masuk ke biliknya sambil menghempas pintu. Anizan cuma tersenyum sinis. Tak nak layan sudah, bukan dia yang minta di layan. Dia sendiri tidak faham kedudukannya di hati Izham sekarang. Adakah dia masih lagi dikatakan sebagai kekasih atau Sofea sudah mula bertakhta semula. Lelaki, lelaki.. perempuan baginya seperti perhentian bas. Berhenti sekejap sebelum menunggu bas lain. Mungkin Izham menganggap dia cuma sementara.
“Jan, apa yang dia marah sangat tu?” Zaharah datang ke meja Anizan. Dalam pejabat itu Cuma Zaharah yang sudi berkongsi cerita dengan Anizan. Yang lain semua sekepala dengan Fizah. Di depan lain, di belakang cakap lain.
“Dia marah saya tak mahu ikut dia balik kampong,” terang Anizan, jujur.
“Tak paham akak, kejap dia nak kau, kejap lagi karang dia keluar juga dengan betina gedik tu. Kau boleh tahan Jan, kalau akak tak tahu le Jan…” Zaharah mengomel.
Sambil tangannya mengurut belakang Anizan. Memintanya bersabar. Sejak dia balik ke pejabat selepas cuti bersalin, macam-macam cerita yang didengarnya. Perubahan Anizan, pergaduhan Anizan dan Sofea, semua diceritakan Fizah. Tapi dia tidak mahu membuat andaian. Dia rasional. Zaharah mahu mendengar dari mulut Anizan. Dia tahu Anizan lebih jujur bercerita. Setelah mengetahui segala kisahnya, Zaharah lebih bersimpati dengan Anizan. Dia tahu sangat perangai Izham yang tidak tetap pendirian itu. Malah dulu sebelum Anizan menjadi setiausaha peguam muda itu, Izham kerap bercerita dengan Zaharah.
“Saya malas nak bertekak kak. Saya ikutkan saja takdir saya,” balas Anizan.
Dia masih boleh tersenyum lagi. Dia bukan seorang yang suka tangkap leleh. Bukan juga seorang yang cepat mahu mengalah. Tapi apa gunanya berebutkan lelaki. Tambah pula lelaki yang tak tetap hati seperti Izham. Hari ini kata sayang, esok boleh saja keluar dengan perempuan lain sesuka hati. Anizan pasrah, kalau Sofea menjadi pilihan Izham. Biarlah. Dia tidak mahu menyeksa hatinya untuk berfikir macam-macam.
“Aniz, masuk kejap!”
Tiba-tiba intercom berbunyi. Zaharah yang sedang menenangkan Anizan tersentak. Dia mencuit bahu Anizan, menyuruh gadis itu masuk bilik Izham. Entah apa yang lelaki itu mahukan. Rasanya minit mesyuarat itu sudah ditaipkan dengan betul. Dua tiga kali dia memeriksanya. Tanpa banyak soal, dia terus mengetuk pintu Izham. Kemudian menuju ke meja lelaki itu.
“Sabtu ni kita balik kampong ye. Saya nak selesaikan banyak perkara dengan awak,” ujarnya, serius.
“Cik Izham sudah selesaikan hal Cik Izham dengan Sofea? Selagi tak selesai, saya rasa lebih baik Cik Izham selesaikan dulu. Saya tak mahu jadi mangsa lagi. Cukupla, kaki tangan saya yang patah, saya tak mahu satu hari nanti nyawa saya melayang!” tegas Anizan. Memang dia seharusnya tidak menuduh begitu. Tetapi berat hatinya berkata kemalangan itu bagai dirancang. Perkara itu juga digembar gemburkan oleh orang-orang yang bekerja di bangunan yang sama.
“Sayang, abang nak kita nikah Sabtu ni!”
“What?”
“Ye, kita nikah Sabtu ni di kampong. Abang dah suruh Umi buat persiapan. Kita nikah dulu, untuk majlis bersanding kita buat persiapan nanti, dalam masa tiga bulan. Abang taknak kusut-kusutkan fikiran. Lagi lama nanti lagi banyak masalah!” panjang lebar Izham menerangkan rancangannya. Anizan benar-benar terperanjat. Sabtu ini hendak nikah. Mentang-mentang dia tidak punya sesiapa, senang saja lelaki di hadapannya membuat keputusan mendadak.
“Apa erti semua ni?” Anizan memang langsung tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Tiba-tiba sahaja lelaki itu mengajaknya bernikah. Sudah hilang akal kah lelaki dihadapannya? Sudah hilang pertimbangan kah dia.
“Abang rasa lepas kita nikah, abang lebih ambil berat tentang Aniz. Abang lebih fikirkan perasaan Aniz. Selagi itu tak berlaku, abang kusut…”
Izham sudah mula menggenggam tangan Anizan. Itu sahaja cara yang dia nampak untuk meyakinkan gadis di hadapannya. Dia terlalu sayangkan Anizan. Tidak mahu Anizan terlepas ke tangan orang lain. Sejak beberapa minggu ini, dia sering ternampak Anizan dikunjungi lelaki bernama Fahril. Entah siapa dia tidak mahu tahu. Tapi nampaknya Fahril itu menganggap Anizan istimewa.
“Awak tahu tak, awak mengusutkan fikiran saya? Takkan begini cara awak nak selesaikan masalah. Awak kahwin dengan saya tapi dalam masa yang sama, awak tak selesaikan masalah awak dengan Sofea. Kemudian awak heret saya untuk bernikah… awak dah gila ke Izham?” rintih Anizan tiba-tiba.
Mentang-mentang dia sebatang kara. Senang-senang lelaki ini mahu buat keputusan. Tidak langsung mahu bertanyakan persetujuannya. Tidak langsung mahu tahu apa yang terdetik dihatinya. Tiba-tiba dia mahu dinikahkan. Dengan orang yang membawa hatinya tetapi dalam masa yang sama mempunyai hubungan dengan orang yang memusuhinya. Apa yang perlu dia lakukan. Apa yang perlu dia jelaskan. Hati ini memang untuk lelaki itu. Tetapi bagaimana dia mahu terangkan betapa dia redha kalau Izham bukan miliknya.
“Anizan, boleh tak kalau awak tidak membantah rancangan saya?” bentak Izham.
Panas barannya naik semula. Ke tahap yang lebih maksima. Mukanya nampak merah. Nampak benar-benar kusut. Anizan tergamam. Namun dia perlu kuat untuk membela diri. Dia tidak mahu keputusannya nanti merosakkan diri sendiri. Dia tahu apa yang Sofea boleh lakukan jika hal ini berlaku. Dia tahu bagaimana tahap keegoaan anak Tan Sri itu untuk memiliki apa yang bukan miliknya.
“Awak merancang untuk saya? Awak tak berhak!” kali ini Anizan pula membalas bentakan itu. Biarlah Izham mahu marah. Biarlah dia berfikri dahulu sebelum mereka ada hubungan yang lebih jauh,. Dia tidak mahu kecewa. Perkahwinan bukan perkara main-main. Dia tidak rela mengahwini lelaki yang tidak tetap pendirian.
“Saya bagi awak masa dua hari untuk fikir. Sama ada awak mahu nikah dengan saya atau tidak beritahu saya. Sudah, awak boleh pergi,” Izham bagai putus asa memujuk Anizan. Dikibasnya tangannya menyuruh Anizan pergi.
Gadis itu mengetap bibir. Beginikah cara bakal suami menyuruh bakal isterinya pergi. Bagaimana kalau mereka sudah berkahwin. Bagaimana pula Izham melayannya jika tiba-tiba Sofea datang semula.
Anizan tidak mahu berfikir lagi. Keputusan Izham membuatkan dia serba tidak kena. Mahu diterima dia takut risiko terhadap dirinya sekaligus cinta izham terhadapnya. Benarkah lelaki itu jujur? Benarkah lelaki itu benar-benar ikhlas untuk memilikinya? Anizan keliru…

Monday, June 29, 2009

Aku Bukan Untukmu - 49

“Hai Anizan, awak dah sihat?” soalan itu membuatkan Anizan tersenyum manis. Semenjak kemalangan itu, dia semakin rapat dengan Fahril. Walaupun dia cuma menganggap Fahril cuma bekas teman sekolej, tetapi layanan Fahril itu semakin hari semakin dirasakan istimewa.
“Alhamdulillah, saya okey!”
“Ini untuk awak!” Fahril menghulurkan sebuah kotak kecil. Anizan mengerutkan dahi. Entah apa pula yang dia bawakan hari ini. Kelmarin dia membawa beberapa buah novel cinta untuk dibaca. Walaupun sebenarnya Anizan tidak minat untuk membaca novel-novel cinta. Tetapi untuk mengambil hati Fahril, dia menerimanya separuh hati.
“Apa pula ni, awak selalu bagi hadiah pada saya,” Anizan bagai sudah hilang kata-kata. Rimas juga sebenarnya dengan setiap hadiah yang diberikan.
“Buka lah!” Fahril merenungnya lagi. Senyumannya macam biasa, segaris tanpa makna. Anizan menjemputnya minum. Sejak tadi air nescafe yang dibuat Asma sudah semakin sejuk. Asma yang sememangnya akan meneman dia di depan televisyen setiap kali ada tetamu lelaki yang datang.
Anizan membuka kotak itu. Dia mengeluarkan MP3 yang dihadiahkan untuknya. Aduh, betapa Fahril ini sering mengelirukan. Untuk apa dia diberi hadiah-hadiah ini. Pasti ada sebab tertentu. Pasti juga Fahril punyai niat lain padanya.
“Saya tak boleh terima ni, awak ni baik sangatlah!” Anizan menggeleng kepala, memberikan semula kotak itu kepada lelaki di hadapannya. Fahril mengeluh. Kemudian dia meletakkan semula kotak itu ke riba Anizan.
“Saya tak mahu awak rasa sunyi, bila dengar lagu nanti awak tak bosan lagi!” ujar lelaki itu.
Anizan menghela nafas. Pendek namun mendalam. Dia tidak pasti apa hajat Fahril. Perkenalan rapat mereka hanya berlaku beberapa bulan lepas. Dia belum tahu hati budi lelaki itu. Dia takut nanti terhutang budi. Dirasakan lelaki itu mahukan sesuatu darinya. Mungkin mahukan sesuatu hubungan yang lebih dari persahabatan.
“Untung jadi orang sakit ni, setiap hari ada orang datang jenguk, bawa hadiah!” sindir Asma, sebaik sahaja Fahril pulang. Anizan cuma senyum.
Dia mengurut-urut kakinya yang bersimen separas lutut. Sejak pulang dari hospital, sejak itu Izham langsung tidak pernah mungkir melawatnya. Selepas dia keluar, umi Izham tidur di rumah sewa mereka beberapa hari untuk memastikan dia berkeadaan baik. Berbuih juga mulut orang tua itu memintanya pulang ke kampung untuk tinggal bersamanya sehingga sembuh. Betapa luhurnya hati Hajah Saniyah, namun tidak sampai hati dia mahu menyusahkan orang tua itu. Takut juga kalau-kalau segala yang berlaku akan diceritakan kepada Hajah Saniyah. Mulutnya bukan boleh tahan sangat. Kalau sudah berbual nanti takut pula dia menghamburkan kekesalannya terhadap Izham kepada uminya.
“Kau nak apa-apa? Aku nak sembahyang kejap, kalau nak apa-apa aku sediakan dulu!” Asma bersuara lagi sambil memicit-micit bahu temannya itu. Anizan geleng kepala. Dia terasa terharu dengan layanan Asma. Kawannya itu sanggup mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menjaga Anizan.
“Tak ada apa-apa, Asma, terima kasih sebab bantu aku selama ini!” titisan airmata itu bagaikan hujan turun. Dia sememangnya terharu dengan pengorbanan Asma. Temannya itu amat memahami.
“Dah le tu, kau ni asyik nangis je, aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau terkial-kial sorang-sorang!” pujuk Asma sambil ketawa kecil. Tubuhnya yang gempal itu terhinggut-hinggut.
“Cheh, kau ni kan, aku baru nak layan perasaan, kau gelak pulak!” Anizan tersenyum akhirnya. Dia memang bertuah dikurniakan kawan sebaik Asma. Sejak dulu juga, Asma yang sering bersamanya. Temannya di kala susah dan senang. Sejak dia mengenal alam dewasa, Asma juga yang menjadi kakak dan kadangkala menjadi seperti ibu, membebelkannya setiap masa.
“Aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau macam ni je… dah le tu, layan kau karang aku tak solat!” Asma menepuk bahu Anizan.
Dia kemudian terus menuju biliknya. Sejak tengah hari tadi dia meneman Anizan melayan tetamu yang datang. Lepas Izham, datang pula Fahril. Dia langsung tidak mengenali Fahril, tetapi sejak dua tiga kali lelaki itu datang, dia terasa lebih baik Anizan berkawan dengan Fahril daripada Izham yang langsung tak gentlemen. Tapi siapalah dia mahu memberi pandangan itu. Anizan sudah tentu tidak dapat melupakan Izham begitu sahaja. Dan mana mungkin Anizan menerima Fahril dalam sekejapan hubungan mereka.

Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Novel Kasih Aryssa

Ulasan ni ditaip oleh seorang staff di UKM, Anyss aku ambil dari blog dia http://annieyss.blogspot.com/

Sinopsis
Aryssa adalah anak tunggal. Dia merupakan seorang pelajar Kolej Perdana yang berperawakan ala tomboy. Dia menunggang motosikal suzuki, berperawakan seperti lelaki dengan berambut pendek, mengenakan cap terbalik dan sering berbaju T longgar. Dia mempunyai sahabat rapat sejak di sekolah rendah, iaitu Wani. Perawakannya seakan lelaki itu menyebabkan dia menjadi buruan Pengkid.

Dalam novel ini, Mardina Mohd Jamil telah menyatakan dengan jelas tentang pandangan Aryssa berkaitan pengkid. Sekalipun Aryssa berperawakan seperti lelaki, bergaul dengan rakan-rakan pengkid, namun dia masih lagi gadis Melayu yang berpegang teguh kepada agama dan budaya. Menghormati orang tua dan mengamalkan budaya Melayu. Perubahan penampilan, perawakan dan sikap Aryssa berpunca kekecewaannya terhadap Amir Hizam. Amir Hizam adalah kekasih hati Aryssa sejak zaman persekolahan. Dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada hari keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Akibat kemalangan tersebut, dia telah lumpuh. Sikap rendah diri Amir Hizam buatkan lelaki itu menghilangkan diri tanpa sebarang pesan. Aryssa sangat kecewa dengan sikap arjuna hatinya ini hingga dia bertekad untuk tidak lagi menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya. Apabila dia mengubah penampilannya seperti tomboy, dia beranggapan lelaki tidak akan berminat lagi untuk bercinta dengannya.

Aryssa bermusuh dengan seorang romeo di kolej tersebut, Fizal. Mereka tidak sebulu sejak pertama kali bersua. Asal sahaja bertembung, perang akan meletus hingga ada ketikanya melibatkan pertelingkahan fizikal. Aryssa bencikan Fizal kerana sifat romeo lelaki itu yang suka mengumpul koleksi perempuan, sedangkan Fizal tidak sukakan Aryssa kerana penampilan gadis itu yang menyerupai tomboy. Dia beranggapan, seorang perempuan perlu menjadi perempuan, bukannya cuba mengubah diri menjadi lelaki.

Aryssa yang marah dengan sifat romeo fizal, terutama setelah dia tinggalkan ramai gadis hanya kerana rupa paras, telah menyamar menjadi Syarina Wirdayu. Setiap malam Syarina Wirdayu akan menelefon Fizal pada jam 10 malam hingga Fizal tergila-gilakannya. Aryssa nekad untuk kecewakan lelaki itu sehingga akan diingati Fizal sepanjang hayatnya agar lelaki itu mengetahui bagaimana rasanya apabila dikecewakan. Namun, perlahan-lahan Aryssa kian menyukai Fizal. Begitu juga Fizal, walaupun dia tidak menyedari bahawa Syarina Wirdayu yang dirindui sepanjang masa itu adalah Aryssa.

Ketika Fizal mendapat kemalangan jalan raya, dia lebih merindui Syarina Wirdayu kerana dia mula menyedari tentang teman-teman sekelilingnya yang hanya baik terhadapnya ketika dia glamour, sihat dan popular. Sekalipun tidak pernah bersua muka dengan Syarina Wirdayu, namun Fizal sangat yakin dengan kata hatinya bahawa Syarina Wirdayu adalah gadis impiannya yang sempurna. Dia sering menceritakan tentang hubungannya dengan Syarina Wirdayu kepada Wani.

Walaupun Wani tidak sukakan Fizal asalnya, tetapi apabila lelaki itu mendapat kemalangan jalan raya dan kehilangan rakan-rakan, Wani mula kasihankan Fizal. Dia sering menemani Fizal di kolej dan banyak membantu Fizal menjalani aktiviti harian, termasuk melakukan fisioterapi. Keakraban yang mula terjalin buatkan Wani mula jatuh cinta dengan Fizal. Namun begitu, apabila Fizal sering menyebut-nyebut nama Syarina Wirdayu yang tidak pernah wujud itu, menyebabkan Wani sangat cemburu. Dia mula sedar yang Fizal tidak pernah menganggap dirinya seorang kekasih tetapi hanya seorang rakan sekolej sahaja.

Aryssa telah menjadi musuh utama Wani kini. Dia telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa setelah gadis itu enggan undur diri dari hidup Fizal. Walaupun Wani telah membocorkan rahsia tersebut, namun Fizal tetap mahu menerima Aryssa. Dia mula menyedari keistimewaan Aryssa semasa majlis kesyukuran yang dibuat di rumahnya, terutama apabila terpandangkan Aryssa yang berkebaya. Aryssa yang menderita sakit buah pinggang akhirnya meninggal dunia akibat komplikasi walaupun Amir Hizam (tenuk-hensem) telah dermakan buang pinggangnya.


Watak dan Perwatakan
Sebahagian daripada watak dan perwatakan dalam novelini adalah seperti berikut;

Aryssa
Aryssa adalah seorang gadis yang bersahaja. Dia merupakan anak tunggal dalm keluarga. Punya pendirian yang tetap. Ada wawasan diri. Ada nilai murni yang mantap dengan keislaman yang tinggi walaupun penampilan fizikalnya terlebih seperti seorang tomboy. Dia sangat menyayangi kedua ibu bapanya. Hormatkan orang tua.

Sangat setia dengan cinta pertamanya terhadap Amir Hizam. Kekecewaan terhadap cinta pertamanya membuatkan Aryssa mengubah perwatakan dari seorang yang lemah lembut dan feminin menjadi seorang tomboy yang kasar, melupakan perasaannya terhadap lelaki lain dan menunggu Amir Hizam kembali semula dalam hidupnya.

Aryssa telah menyamar sebagai Syarina Wirdayu semata-mata untuk memperdaya Fizal. Sekalipun Fizal adalah anak kepada rakan ibunya, tetapi sikap Fizal yang buaya darat itu buatkan Aryssa nekad untuk kenakan lelaki itu. Dia mahu Fizal tahu bagaimana perasaannya apabila dikecewakan. Aryssa nekad untuk membuatkan Fizal jatuh cinta kepadanya sebelum dia kecewakan lelaki itu kemudiannya. Namun, tanpa disedari, Aryssa akhirnya benar-benar jatuh cinta dengan Fizal sekalipun dia telah cuba untuk mengelaknya.

Walaupun Aryssa seorang yang berperawatak kasar, bergaul dengan lelaki dan pengkid, mengubah penampilannya seperti lelaki dan bermotosikal Yamaha, namun penulis novel ini telah memantapkan watak ini sebagai seorang muslimah yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni. Dia mempunyai akar dan arah tuju yang tersendiri, malah mengetahui dengan baik nilai-nilai moral, budaya dan agama. Al-qur’an dan hadis sentiasa menjadi pegangannya. Malah, dia telah berjaya menasihati watak Linda yang menyukai kaum sejenis (lesbian) dan membantu Danny yang dirogol.

Fizal
Fizal adalah anak sulung Mak cik Salina dan mempunyai seorang adik perempuan. Disebabkan dia berasal dari keluarga yang agak berada, berwajah sedikit macho dan sering menjadi rebutan gadis-gadis, Fizal dianggap buaya tembaga (romeo) di kolejnya. Dia mempunyai ramai gadis yang sudi menjadi kekasih hatinya sehinggakan dalam sehari dia bertukar pasangan beberapa kali. Walau pun begitu, apabila dia berjaya memikat Lydia, dia menjadi semakin bangga dengan pencapaiannya.

Fizal hanya berkawan dan rapat dengan gadis-gadis yang cantik sahaja. Apabila Suzana terlibat dalam kemalangan mengakibatkan wajahnya berparut, dia telah tinggalkan gadis itu kerana malu dilihat oleh rakan-rakannya. Sikap buayanya itu membuatkan Aryssa telah mempermainkannya.

Aryssa merupakan musuh ketat Fizal. Dia tidak boleh bertembung langsung dengan gadis tomboy itu. Setiap kali bertembung, pasti akan berlaku pertengkaran mulut. Adakalanya turut melibatkan kekasaran fizikal. Aryssa pernah menghentak kepalanya dengan topi keledar menyebabkan Fizal sangat meluat untuk bertembung dengannya. Bagi Fizal, kewujudan tomboy mewujudkan persaingan lelaki untuk merebut hati gadis. Baginya juga, adalah tidak wajar untuk seseorang mengubah takdir hidupnya yang telah ditentukan Allah sejak azadi lagi sebagai seorang perempuan.

Fizal telah menerima panggilan telefon daripada Syarina Wirdayu pada jam sepuluh setiap malam hingga dia akhirnya sangat merindukan gadis misteri itu. Syarina Wirdayu telah menjadi teman bual dan luahkan isi hatinya dalam semua hal. Ini lebih-lebih lagi apabila dia terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan terlantar di hospital selama dua minggu. Semasa terlantar inilah dia mula menyedari yang semua rakannya hanya mendampingi semasa dia senang sahaja. Apabila dia ditimpa musibah dia telah kehilangan semua rakannya. Pada masa ini kehadiran Syarina Wirdayu benar-benar telah menjadi penguat semangatnya.

Apabila dia kembali ke kolej semula, dia mula sendirian tanpa teman-teman. Wani kasihankannya dan mula menemani Fizal. Semua perasaan, rindu, pandangan dan pendapatnya terhadap Syarina Wirdayu telah diceritakan kepada Wani. Namun dia terkejut apabila Wani menjelaskan bahawa Syarina Wirdayu yang menjadi pujaannya itu adalah Aryssa.

Sekalipun dia tidak menyangka Syarina Wirdayu adalah Aryssa, namun Fizal tetap tidak berubah hati. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat keayuan dan sifat kewanitaan Aryssa yang terserlah semasa mengunjungi rumahnya pada hari diadakan majlis kesyukuran sempena dia kembali ke rumah selepas keluar hospital. Pada hari tersebut, dia nampak Aryssa sangat cantik berkebaya. Namun, kasihnya yang baru berputik kepada Aryssa tidak kesampaian. Gadis pujaannya itu telah meninggal dunia kerana menghadapi komplikasi akibat pembedahan buah pinggang.


Wani
Wani adalah seorang gadis yang lemah lembut, menjadi sahabat Aryssa sejak sekolah. dia meminati Zastri, pelajar popular dari kolej lain. Namun semua itu hanyalah dalam impiannya sahaja kerana pelajar romeo seperti itu tidak akan menyedari tentang kewujudan pelajar tidak popular seperti Wani.

Wani tidak sukakan Fizal kerana lelaki itu buaya darat yang mempunyai koleksi teman wanita yang ramai. Pelajar wanita yang tidak lagi disukainya akan ditinggalkan begitu sahaja. Apabila Aryssa mahu kenakan Fizal, Wani turut bersetuju. Namun selepas Fizal terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan kawan-kawannya, Wani mula mendekati dan berkawan rapat dengan Wani. Lama kelamaan, Wani mula sukakan Fizal.

Apabila Fizal sering ceritakan tentang Syarina Wirdayu kepadanya, Wani rasa sangat cemburu. Fizal terlalu mengagungkan Syarina Wirdayu menyebabkan Wani rasa sangat sakit hati. Dia akhirnya minta Aryssa hentikan lakonannya sebagai Syarina Wirdayu dan tidak mengganggu Fizal lagi. Namun, apabila Aryssa tidak mengikut kemahuannya, Wani telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa. Dia beranggapan Fizal akan membenci Arysssa apabila mengetahui pembohongannya itu. Namun, dia tersilap kerana Fizal tetap menerima Aryssa. Akhirnya dia sangat menyesal dengan perbuatannya dan kehilangan seorang sahabat baik.

Amir Hizam
Amir Hizam seorang pelajar terbaik semasa di sekolah. Dia juga aktif dalam bidang sukan. Dia berjaya menambat hati Aryssa. Pada hari diumumkan keputusan peperiksaan SPM, dia mendapat kemalangan jalan raya hingga membuatkan dia lumpuh. Sejak itu, dia mula rasa rendah diri dan menghilang tanpa khabar berita.

Dia telah menggunakan id sebagai tenuk_hensem semasa berbual dengan masengger di Yahoo Masengger. Dia sering menasihati Aryssa secara online setiap kali gadis itu menghadapi masalah tanpa disedari identitinya oleh Aryssa. Dia juga telah dermakan buah pinggangnya kepada Aryssa tanpa diketahui gadis itu walaupun pemindahan berkenaan tidak berjaya.



Apa yang best pasal novel “Kasih Aryssa”

Sekalipun novel ni taklah tebal sangat, kira boleh sudahkan pembacaan sekali harung saja, namun ada banyak perkara istimewa tentangnya yang boleh kita dapat. Antaranya;

i. Isu semasa, terkini, berlaku di sekitar hidup kita
Isunya biasa sahaja dan sering dialami oleh manusia biasa yang lain. Bukannya kisah orang-orang kaya, puteri raja atau manusia dari planet lain yang hanya ditemui dalam dongeng. Isunya tentang kasih sayang, tentang jiwa remaja, tentang pengkid, tentang mat romeo, tentang persahabatan.

Apa yang dipaparkan adalah apa yang sering berlaku di sekitar pembaca. Tentang jiwa remaja yang ingin dicintai. Tentang salahlaku remaja terjerumus ke lembah lesbian, pengkid, kebebasan tanpa perhatian keluarga juga. Apabila isu semasa yang dipaparkan, maka pembaca akan lebih mudah merasai kesannya.


ii. Bahasa yang mudah, bersahaja dan segar
Bahasa yang digunakan pula mudah, bersahaja dan segar. Ada masanya menggunakan istilah-istilah yang biasa digunakan golongan remaja kini. Walaupun ada masa terlihat dicampurkan dengan istilah-istilah bahasa Inggeris, namun pada masa yang sama memaparkan realiti masa kini di negara kita. Perbualan masyarakat kita pada hari ini tidak lagi menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya, tetapi telah bercampur dengan pelbagai bahasa, dialek, slanga dan kependekan tertentu.


iii. Gaya penulisan yang tersendiri
Gaya penulisan Mardina juga tersendiri. Tidak menerima pengaruh daripada mana-mana penulis lain. Setakat ini, gaya ini nampak santai sahaja. Mudah faham. Untuk menilai gaya penulisan hanya berdasarkan satu novel sahaja memang tidak memadai. Jadinya, kita kena tunggu Dina tulis novel lain lagi. Biarpun begitu, tidak bermakna Dina tidak boleh ubah stail menulis. Ubah dan sesuaikanlah dengan apa-apa gayapun tidak mengapa kerana nanti akhirnya akan terserlah juga gaya penulisan bagaimana menjadi hak milik Mardina Mohd Jamil ni kan?

Proses ini sama juga seperti menyanyi atau berlakon. Kalau setakat satu drama atau satu lagu sahaja, identiti seseorang penyanyi atau pelakun itu masih lagi tidak dapat ditentukan. Lama kelamaan nanti, keistimewaan Mardina Mohd Jamil ini akan terserlah juga. apa yang penting bagi penulis, teruskan menulis. Berilah tugas mengkritik dan mengkaji karyanya itu kepada pengkaji dan pengkritik.

iv. Pandai simpan suspen. Dah nak habis baru pembaca sedar Aryssa ada sakit buah pinggang.
Novel “Kasih Aryssa” telah digarap pengarangnya dengan teliti. Pembaca tidak dapat mengesan kelainan kepada Aryssa sehinggalah dia dimasukkan ke wad kerana sakit. Kebijaksanaan menggarap rahsia ini telah diutarakan penulis sama seperti bagaimana pandainya Aryssa pandai menyimpan rahsia daripada orang lain termasuk sahabat baiknya, Wani. Padahal, Wani adalah sahabat Aryssa sejak zaman persekolahan.

Aryssa juga pandai menyimpan rahsia dirinya yang menyamar sebagai Syarina Wirdayu daripada pengetahuan Fizal. Sekiranya Wani tidak membocorkan rahsia tersebut, Fizal tidak akan mengetahuinya. Jadinya, pembaca tertunggu-tunggu bagaimana rahsia penyamaran Aryssa akan terbongkar dan apa akan berlaku apabila Fizal mengetahuinya.


v. Watak yang mantap
Watak Aryssa, Fizal dan Wani telah dibina dengan mantap. Penulis telah membina watak-watak ini sebagai watak yang tetap ada paksinya, iaitu Islam, berbudaya Melayu yang menghormati orang tua dan mempunyai pendirian sendiri. Watak yang mantap membolehkan perjalanan cerita lebih menyakinkan. Pembaca dapat menggambarkan kesemua watak secara keseluruhan dan lebih hidup secara sendirian, bukannya digerakkan oleh penulis. Gambaran inilah yang memantapkan watak.

Watak Aryssa contohnya, walaupun digambarkan sebagai seorang perempuan yang bertingkahlaku seperti lelaki, namun pemikiran, budaya, cara hidup masih lagi berlandaskan Islam yang menolak hubungan sejenis. Baginya, perkara yang bertentangan dengan Islam perlu dihindari. Berdasarkan perwatakan dan pemikirannya yang sebegitu, memberi gambaran kepada pembaca yang watak ini mempunyai identiti yang tersendiri. Penulis tidak memaksa watak ini mengikut kehendak atau ideologi penulis sahaja tetapi membiarkan perwatakannya sebagai gambaran naluri, pemikiran dan jatidiri Aryssa. Umpamanya, Aryssa melayan mak cik Salina dengan baik kerana hormatkan orang tua, apalagi sahabat ibunya. Walaupun hakikatnya, dia tidak sukakan Fizal.


Apa yang tak best “Kasih Aryssa”

i. Tangkap leleh. Kau dah buat aku bazirkan air matalah, Dina. Benci betul!
Tak best kat sini bukannya bermaksud tak bagus, hanyalah buatkan naluri seorang pembaca rasa tersentuh. Bazirkan air mata aku je (sesekali cuci mata apa salahnya...hu hu hu). Sebenarnya, apabila seseorang penulis berjaya buatkan pembaca terikut-ikut emosi semasa membaca novel, ianya dalah sesuatu yang sangat baik. Sebabnya, itu menandakan novel berkenaan berkesan. Pembaca mampu merasai, menghayati setiap emosi yang ada. Kalau pembaca ketawa, maknanya perkara lucu yang dipaparkan itu berjaya mencuit rasa lucu pembaca. Bila pembaca menangis, maknanya pembaca turut bersedih dan simpati dengan situasi berkenaan. Ini menggambarkan penulis dah berjaya menawan hati pembaca.

Kalau situasi lucu yang penulis gambarkan dalam novel, tetapi pembaca tidak mampu tersenyumpun, maknanya penulis kurang berjaya. Apalagi kalau mood sedih yang ditulis tetapi pembaca ketawa gelihati. Maknannya memang penulis itu perlukan ilmu psikologi yang lebih mantap. Jadinya, apabila mood sedih yang Mardina Mohd Jamil lukiskan dalam novel “Kasih Aryssa” berjaya membuatkan pembaca menangis dan terharu, sudah pastilah memberi maksud yang sebahagian daripada novel ini telah berjaya menawan hati pembaca.

Kasihan air mata aku, telah dibazirkan...(hu hu hu)

ii. Bahasa: ada masa bahasa yang digunakan tergantung sifatnya.

Bahasa menjadi perantara yang sangat penting dalam sesebuah penulisan. Melalui bahasalah penulis mampu menterjemahkan perasaan, mengemukakan emosi, menyerlahkan pemikirannya. Kekuatan masej yang dikemukakan juga dapat dimengertikan melalui penggunaan bahasa. Tanpa penggunaan bahasa yang menarik, tepat dan pemilihan kata yang sesuai, sudah pasti akan berlaku kekeliruan. Sudah pasti juga tidak mampu menonjolkan agenda penulis dalam karya.

Sastera kreatif mempunyai mempunyai lesen yang besar dari sudut bahasa. Maknanya, penulis bebas mengolah bahasa mengikut citarasanya sendiri. Maknanya juga, penulis boleh tunggang terbalikkan bahasanya sesuka hati mengikut keperluan. walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bermakna penulis boleh menggunakan bahasa, ayat atau sengaja menonggang terbalikkan bahasa mengikut kehendak hatinya tanpa alasan yang kukuh. Paling-paling tidakpun bersandarkan gaya penulisan penulisnya. Namun, kalau sekiranya alasan “gaya penulisan” yang digunakan sebagai lesen kebebasan itu, sudah pasti pula berlaku keseragaman penulisan dari awal hingga akhir.

Rahman Shaari dalam dua novelnya, novel Burok dan (sebuah lagi aku dah lupa daaaaa) telah menggunakan terlalu banyak kesalahan ejaan, tanda baca, tatabahasa dan sebagainya berkaitan bahasa kerana memprotes tentang penggunaan bahasa yang salah dalam masyarakat Malaysia. Jadinya, itu adalah salah satu cara atau starategi Rahman Shaari kemukakan protes. Bermakna, semua kesalahan dan kesilapan yang disengajakan itu perlu diterima. Tidak salah. Namun, sekiranya penulis menulis tentang hal yang lain, tanpa tujuan berkaitan bahasa, atau tiada apa-apa maksud pun berkaitan bahasa, makanya...adalah terlebih baik elakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak sempurna dalam tulisan.

Mardina Mohd Jamil dalam “Kasih Aryssa” menggunakan ayat yang sempurna secara keseluruhannya. Menarik, mantap, indah dan ada masanya membuai perasaan. Namun begitu, ada waktu-waktunya penulis ini “terbabas” juga dengan bahasa yang tidak gratis. Sekalipun masih lagi tidak dianggap salah kerana karya sastera ada lesen kebebasan yang besar itu, namun, sedikit sebanyak agak mencacatkan. Sebabnya, ia berlaku di beberapa tempat sahaja. Pada bahagian-bahagian lain, tidak ditemui. Ini bermakna, semasa proses editing, penulis terlepas pandang hal seperti ini (Aku tahu Dina, kau memang kejar waktu untuk hantar pada masa tu, sebab itulah boleh terlepas pandang. Untuk novel akan datang, moga lebih hati-hati).

Contoh 1:
Kemudian menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi. Tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting. (hal. 51)

Cadangan:
Dia (mungkin juga boleh letak nama Aryssa) menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi, tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting.


Jika di internet, kadang-kadang dia keliru dengan nada yang harus dibaca. Sama ada apa yang ditaip itu berunsur marah atau sebaliknya. (ayat ni tak gramatis. Boleh diubahsuai dengan macam-macam cara)
Tetapi semenjak dia mengenali YM, orang yang sering membuatkannya ketawa adalah si tenuk_hensem. (hal 52)

Mungkin juga ada cara lain yang lagi baik dari cadangan ini.

Kalaupun penulisan kreatif ada lesen besar untuk “menyalahkan” bahasa, namun hakikatnya, apabila kita sering menggunakan perkataan atau bahasa yang salah, lama kelamaan perkara yang salah itu dianggap betul. Maknanya, untuk memartabatkan bahasa Melayu, penulis perlu gunakan bahasa yang betul. Secara tidak langsung penulis telah mendidik pembaca tentang penggunaan bahasa yang betul. Hal sebegini perlu ditanam dalam diri setiap penulis kerana mereka antara agen yang akan memartabatkan bahasa Melayu.


Anugerah Bintang
Novel “Kasih Aryssa” aku bagi 8 bintang daripada 10 bintang yang ada di langit. Sebagai novel sulung, pencapaiannya memang baik. Kira macam dah sempurnalah, walaupun masih boleh ditambah lagi mutunya di sana sini. Tahniah.


i. Tambah konflik, suspen,
Membaca novel sama seperti menonton telenovella. Semakin banyak konflik dicipta, semakin baik dan turun naik plotnya, semakin banyak jugalah suspen yang akan ditemui. Memandangkan “Kasih Aryssa” adalah novel pertama Mardina Mohd Jamil, sudah pastilah konflik, suspen, turun naik plotnya tidak sebanyak telenovella kat TV atau macam drama Spa Q.

Semasa tulis manuskripnya, penulis akan rasa dah tebal sangat dah (double spesing dan diprint sebelah halaman sahaja). Namun, selepas dicetak, barulah sedar itu belum begitu tebal. Jadinya, untuk novel akan datang, dah pasti Dina boleh agak berapa banyak halaman atau berapa tebal yang dia mahukan. Menambah halaman atau ketebalan novel bermakna menambah plot, cerita, konflik dan pengisian di dalamnya. Suspen demi suspen yang ada dalam novel buatkan pembaca tidak sabar untuk menyudahkan pembacaan, kemudiannya rasa puas dengan penyelesaian. Walau bagaimanapun, penulis juga perlu pandai menyembunyikan penyelesaian dan suspen itu. Ia seakan perang psikologi antara pembaca dan pengarang.

Pengarang perlu tahu mengagak apa yang pembaca fikirkan. Berdasarkan itu, penulis akan cuba lencongkan hal itu (apa yang pembaca agak agar tidak sama dengan tebakan pembaca) hingga buatkan pembaca terkejut kerana anggapannya tidak benar. Suspen sebegini memang digemari pembaca, namun pada masa yang sama menggugah pengarang. Cara sebegini biasanya ditemui dalam novel berbentuk penyiasatan. Peminat Ramlee Awang Murshid mesti lebih tahu tentang tektik ini. Hal ini akan menyebabkan pembaca rasa seronok. Pembaca tahu, penulis berkenaan sengaja bermain-main dengan pembaca.

ii. Isu-isu semasa
“Kasih Aryssa” memang dah kemukakan isu semasa yang terdapat di sekeliling kita pada masa ini. Syabas, inspektor Shahab!

Bila nak tambah konflik dan suspen, lebih banyak isu semasa dari persekitaran boleh disisipkan seperti PPSMI, pengangguran, ragut, rempit, dadah, GRO, buang bayi, pelacur kelas atasan, gejala sosial, penipuan siber, mangsa ah long, pengabaian warga tua, dan banyak lagilah. Semua benda itu pula boleh dilihat dari sisi positif dan negatif. Tidak semestinya apa yang ditulis itu perlu baru seratus peratus, boleh juga isu itu di perbaharui mengikut situasi semasa.

Kisah Si Tanggang umpamanya, bukan sahaja berlaku pada zaman dahulu. Dalam situasi yang berbeza, Tanggang wujud setiap masa. Anak lulusan universiti yang agung mencipta pelbagai penemuan atau menjadi jutawan pun ramai yang derhaka kepada ibu bapa. Bagaimana pula dengan sikap ibu bapa yang menuntut anak-anak menjadi Tanggang? Ataupun, apa perasaan dan trauma yang dihadapi oleh mangsa bencana seperti tsunami? Apa perasaan anak-anak yang terpaksa melihat sendiri kekejaman ahlong yang menyiksa keluarga mereka?

Terlalu banyak kan perkara yang boleh ditulis dalam dunia yang luas ini?

iii. Pelbagaikan emosi.
Mengapa filem Hindi lebih disukai untuk ditonton bermanding filem tamil? Filem Tamil lebih banyak paparkan realiti, jadi tarikan emosinya agak kurang berbanding filem Hindi yang lebih banyak memberi harapan, impian, dan menyimpan lebih banyak angan. Lebih banyak emosi di dalamnya.

Lebih banyak bauran emosi yang wujud dalam sesebuah novel akan dapat membuai lebih banyak perasaan dan harapan pembaca. Pembaca akan menangis, ketawa, dan tersenyum. Dalam novel yang sama pembaca turut rasa geram, sedih, sakit hati, lucu, dan sebagainya. Kepelbagaian emosi ini akan menyentuh hati pembaca.

Sekalipun sesebuah novel itu meletakkan kegembiraan pada klimaksnya, tidak bererti pengarang tidak boleh sisipkan kesedihan, putus asa, sakit hati, geram, benci dan dendam dalam novel yang sama. Semua perasaan itu akan menampakkan bahawa novel itu benar-benar hidup sebagaimana kehidupan seorang manusia yang berbaur emosinya juga. Ada masa kita menangis, ada masa yang lain kita ketawa. Kadang kala kita juga geram, benci, sakit hati dan kadang-kadang rindu juga. Berwarna warni kan hidup ni?

Mmmm panjang sangatlah pulak ulasan ni. Apapun, secara keseluruhannya, “Kasih Aryssa” yang ditulis Mardina Mohd Jamil memang novel yang mengagumkan. Tak percaya? Beli, kemudian baca. Aku memang percaya suatu hari nanti korang akan tertunggu-tunggu novel keduanya, kemudian novel barunya...kemudian novel barunya yang lain lagi. Dia memang penulis yang berbakat besar.

Hanya satu je pesan aku; tulislah sesuatu yang baik untuk kebaikan sahaja. Tiap apa yang kita tulis akan dapat sahamnya di akhirat. Jadi, niat kena betul. Moga-moga pengajaran baik dari apa yang kita tulis di dunia ini berikan saham yang baik untuk kita di kemudian hari.

Tuesday, June 2, 2009

Karya Sulong Dinakarya

Keluaran CESB... dapatkan di pasaran sekarang!
Ditinggal sepi sewaktu kasih mekar bersemi menyebabkan Aryssa tertunduk lesu. Terasa alam berhenti putar. Terasa bulan tiada terangnya. Bintang pun seakan tidak bersinar lagi. kejamnya pujaan hati membiarkan dia terus berharap, seolah-olah cinta iti tiada nilainya. Namun kasih Aryssa semakin menggunung tinggi hingga takkan dapat dicapai oleh insan lain yang bernama lelaki,. Pintu hati ditutup rapat sehingga tiada ruang utk yg lain bermukim namun takdir yang menyelinap masuk, takkan sesekali dapat dilingkari. di saat hati masih melawan rasa kasih yang terdampar sepi jiwa pula mendambakan sinar cinta yang semakin menghampiri. Aryssa pasrah. Kerana bagi Aryssa sekali dia mencintai, selamanya kekal dihati. Walaupun jauh di sudut hati, dia akur dengan ketentuan Ilahi.

Monday, May 25, 2009

Aku Bukan Untukmu - 48

Asma meletakkan sepiring kuih keria yang baru sahaja digorengnya tadi. Sejak Izham datang tadi, Anizan hanya membisu. Sepatah lelaki itu menyoal sepatah juga dia menjawab. Asma yang duduk di dapur hanya menggeleng kepala melihat sepasang manusia yang sedang cuba menyelesaikan masalah. Dia kenal sangat dengan Anizan yang susah mahu dipujuk jika hatinya terluka. Selama ini pun, Anizan tidak pernah bercinta, jadi kelukaan yang dia rasakan itu mungkin berkudis lagi.
Lagipun padan dengan muka si Izham. Kalau nak sangat dengan Sofea itu, terus terang sahaja. Tidak payah hendak melukakan hati orang lain. Anizan bukannya tidak waras, malah dia juga sanggup untuk melepaskan Izham. Itu kata Anizan, tapi bila melihat keadaan kawannya itu, Asma mengerti yang Anizan memang terlalu cintakan Izham, cuma marahnya saja masih berbaki. Sudahlah kemalangan tempoh hari hampir meragut nyawanya, namun Izham masih tidak serik dengan kejadian itu. Masih mahu menyebelahi Sofea.
“Aku masuk dulu ye, kau orang berdua berbincanglah apa yang patut, jangan gaduh!” Asma merenung kedua-duanya. Seorang keras hati seorang lagi keras kepala. Sama sahaja perangai mereka.
Anizan cuma mengangguk. Kalau diikutkan hati dia memang tidak mahu bersemuka dengan Izham begini. Tapi kerana Asma sudah membuka pintu dan menjemput Izham masuk, dia terpaksa terima kedatangan yang tidak diundang itu. Dia tidak mahu penjelasan yang tidak jelas. Dia tidak mahu hatinya kecewa lagi. Walaupun dalam hatinya masih belum ada lelaki lain menjadi pneghuni selepas Izham.
“Aniz, saya tahu awak marah saya, tapi takkan kita tak boleh berbaik macam dulu? Saya sayangkan awak. Saya tahu saya tersilap, tapi saya janji saya takkan layan Sofea lagi!” Izham terus merenung wajah itu.
Wajah yang membuatkan dirinya sukar melelapkan mata semenjak dia sendiri mengecewakan gadis itu. Wajah itu terus dingin. Tidak langsung memberi reaksi yang menyenangkan hatinya. Yang boleh membuatkan tidurnya lena malam ini. Izham mengerti itu semua salahnya. Dia yang memulakan dan dia patut mengakhirinya.
“Saya minta maaf, saya bukan terlalu kejam untuk melukakan hati orang. Tapi saya tersilap perhitungan, kasih sayang saya tetap untuk awak. Sofea sudah lama mati dalam hati saya!” sambungnya lagi.
Tiada juga reaksi dari Anizan. Hati gadis itu terlalu keras. Sekeras batu kerikil. Bukan keras keras kerak nasi. Sudah lama dia cuba memujuk namun, Anizan tetap sedingin salju. Di pejabat juga hubungan mereka sejuk sekali. Tidak sehangat dulu. Tidak semesra dulu. Segalanya berpunca dari Sofea. Ah, berpunca dari dia sendiri sebenarnya. Terlalu menjaga hati gadis bongkak itu. Sedangkan dia sendiri sudah selesai membayar segala hutang piutang Tan Sri Kamil. Tidak perlu lagi dia takut dengan ugutan perempuan bernama Sofea.
Tapi keselamatan Anizan yang paling dia bimbangkan. Takut-takut Sofea melakukan perkara yang tidak-tidak lagi. Kemalangan tempoh hari dia tidak ada bukti untuk mengatakan Sofea yang melakukannya. Anak gadis Tan Sri Kamil itu memang terkenal dengan sikap pentingkan diri sendiri. Malah sanggup menyeksa orang lain untuk kepentingan dirinya. Namun Izham terpaksa akur dengan keputusan polis, bila polis mengatakan ini kes langgar lari. Lagi pula, tiada yang berani tampil menjadi saksi kejadian.
“Itu saja ke yang awak nak cakap?” soal Anizan tiba-tiba. Izham mengangkat muka. Gembira mendengar suara gadis itu. Anizan masih sudi untuk berbual. Masih sudi mendengar ucapan maaf darinya. Itu yang dia harapkan.
“Banyak benda saya nak cakap, dah awak diam saja, saya cakapla pelan-pelan,” Izham senyum-senyum. Namun wajah Anizan langsung tiada reaksi. Izham mula menunduk semula.
“Awak, saya ni perempuan biasa saja. Kalau awak tinggalkan saya pun, awak tak rugi apa-apa. Lainlah Sofea, dia tu macam bidadari, keluarga dia pula lombong emas. Saya ni anak yatim piatu saja, dan saya langsung tak kisah kalau awak pilih Sofea. Sebab saya sedar siapa diri saya, ada tidak menambah, tak ada tidak meluak!” Anizan bersuara lagi. Sangat sinis. Namun, Izham mendengar dengan teliti. Dia tahu dia salah. Dia tahu Anizan perlukan masa untuk memujuk hati yang tersentap dengan perbuatannya.
“Jangan cakap macam tu, saya perlukan awak-” belum sempat Izham menghabiskan ayat, Anizan menyambung.
“Saya tak cari cinta tu, ianya datang sendiri itu pun setelah saya pujuk dengan kata-kata dan harapan awak. Saya tidak pernah rasa untuk menyintai awak hanya kerana awak ada segala-galanya. Saya tidak pernah mahu tahu berapa dalam cinta awak pada saya, sebab saya tidak ukur semua itu. Tapi saya cuma nak awak tahu, hati saya bukan untuk dipermainkan!” tegas Anizan.
Ada sendu di hujung kata. Dia sedih. Sangat pilu untuk menerangkan semua itu. Dia tidak mahu hatinya bertambah remuk. Sudahlah dia menerima tohmahan orang lain yang menganggapnya perempuan sihir yang menyihirkan Izham untuk melutut padanya. Semua gara-gara mulut Fizah. Dia telan semua itu sendirian. Tanpa meminta Izham untuk menemaninya menelan pahit setiap fitnah itu. Dia redha bila Sofea memaki hamunnya.
“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak permainkan hati Aniz, saya ikhlas, tapi saya tersepit!” Mata Izham menyapu seluruh wajah gadis itu. Jelas basah birai mata Anizan.
“Izham, saya tak tahu apa yang awak perlu buktikan kejujuran cinta awak. Tapi tolong selesaikan semua masalah awak dengan Sofea,” pinta Anizan.
Dia tidak mahu lagi terbelenggu dengan perasaan Izham yang berbelah bagi. Tidak mahu Izham berasa susah hati untuk terus memilih dia kerana simpati. Cinta tidak perlu bersatu. Andai ditakdirkan Izham bukan miliknya, dia pasrah. Redha dengan ketentuan Allah. Cinta memerlukan pengorbanan. Dia rela mengundur diri jika itu yang dikatakan pengorbanan.
“Saya… sayang awak Aniz! Sepenuh hati saya, percayalah!” rayu Izham. Airmata buat pertama kalinya menitis di birai mata. Tidak pernah dia mahu menangis kerana seorang perempuan. tidak pernah juga dia merayu kerana sebuah cinta. Dia benar-benar sayangkan Anizan. Tidak tergambar melalui kata-kata. Tapi kesilapan demi kesilapan yang berlaku membuatkan dia tersepit dengan kata-kata.

Aku Bukan Untukmu - 47

“Darling, I sudah beritahu papa, you melamar I!” Sofea melintuk liukkan kepalanya ke bahu Izham. Dia harus segera meminta Izham berkahwin dengannya. Dia tidak nampak sesiapa lagi di hadapan mata. Cuma Izham yang pernah dicintai.
Dahulu ramai kawan-kawannya menganggap dia bodoh kerana sukakan pemuda kampungan seperti Izham. Dia tahu, Izham hanya anak seorang guru yang tinggal jauh di perkampungan di negeri Perak. Dia juga tahu penampilan Izham langsung tidak sepadan dengannya. Namun entah mengapa, sejak dulu lagi dia jatuh cinta pada lelaki itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan Izham. Dan sehingga kini dia akan pastikan Izham melutut di kakinya.
“I tak pernah melamar you!” balas Izham sambil bangun. Sofea tersentak. Benar apa yang dikatakan Fizah. Izham sudah termakan ubat guna-guna yang ditabur Anizan. Fizah juga yang memberitahunya, Anizan yang selalu menyediakan minuman untuk Izham. Mulanya dia mahu ketawa mendengar pengaduan Fizah. Namun kerani itu begitu jujur menunjukkan kain berbalut bewarna hitam yang dijumpanya di pantri sebagai bukti. Malah, botol air yang diisi Anizan di dalam peti ais pejabat juga tidak diminumnya.
Sedikit sebanyak Sofea termakan kata-kata Fizah. Walaupun agak tidak masuk akal. Tetapi bila melihat keadaan Izham yang keliru itu, membuktikan kata-kata Fizah bukan tuduhan kosong. Mungkin juga Anizan sudah menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan Izham.
“You tahu tak, yang you tu dah kena bomoh dengan perempuan bodoh tu?” Sofea menolak bahu Izham. Lelaki itu tiba-tiba ketawa. Gelihati dengan kenyataan Sofea. Perempuan yang sofisticated seperti Sofea masih boleh terpengaruh dengan omongan karut seperti itu. Izham tertawa gelihati.
“Tengok lah tu, I cakap you ketawa. Ingat kelakar ke? I nak bawa you pergi berubat!” Sofea memujuk Izham lagi.
Lengan lelaki itu diusapnya perlahan. Dia akan bertanya kepada kawan-kawan mamanya di mana boleh dicari bomoh yang mampu membuatkan Izham melupakan Anizan.


Anizan meletakkan kereta di tempat letak kereta. Kemudian dia berjalan menuju mesin tiket parking. Selepas membuat bayaran, dia mula meletakkan resit parking di cermin hadapan. Mentari bersinar-sinar memancarkan cahaya bewarna jingga. Pagi itu begitu cerah, secerah hatinya. Dia benar-benar lega. Mulai hari ini dia tidak perlu kelam kabut pulang untuk ke kelas. Tidak perlu lagi membawa baju untuk disalin.
Anizan berjalan menuju ke pejabat. Lenggangnya tertib. Blouse bewarna kuning air dipadankan dengan jaket dan seluar berona pastel polos menambahkan ketrampilannya. Sekarang dia sudah pandai mengenakan pakaian yang sesuai. Dia singgah di gerai yang berderetan di tepi jalan. Untuk membeli sarapan pagi. Kebiasaannya bersarapan pagi di pejabat, selalunya dengan Izham, tapi semenjak hubungan mereka langsung dingin ini, dia seringkali bersarapan sendirian.
“Kak, bagi nasi lemak sebungkus, letak sambal sotong ye!” pesannya pada kak Timah, penjual nasi lemak yang berbadan gempal itu. Di meja lipat kak Timah ada beberapa perempuan yang bekerja satu bangunan dengannya sedang bergossip.
“Dia tu la, bergaduh sakan dengan tunang bos sendiri. Nak merebut hak orang. Kalau lawa tak apa, ini dulu dah le tomboy, entah apa dia sihirkan cik Izham tu,” seorang dari perempuan itu mencebir bibir. Memandangnya dengan pandangan yang jelik.
“Tu le, dulu despatch, sekarang tiba-tiba jadi secretary… ni kalau tak bomoh Indonesia, mesti bomoh Siam ni!” seorang yang lain pula mengiyakan fitnah kawannya. Panas telinga Anizan bila menangkap perbualan mereka.
Dia terasa mahu menjawab. Terasa maruah dicabar. Tapi untuk apa dia melayan orang-orang yang bermulut hodoh yang suka memakan daging saudara sendiri. Untuk apa dia menepis fitnah yang terang-terangan itu semata-mata untuk menjaga kepentingan dia. Dia tahu siapa pembawa cerita itu. Biarlah, apa yang mereka mahu katakan. Asalkan dia sendiri tahu, dia tidak ada kena mengena dengan perbuatan khurafat. Dia bersih dari segala perbuatan syirik.
Sedang dia mengatur langkah menyeberang jalan, dengan tiba-tiba sebuah kereta memintasnya laju. Beg kerjanya melayang. Bungkusan nasi lemak tercampak ke tepi longkang. Tas tangannya terpelanting jatuh ke atas motorsikal yang diparking di tepi jalan. Anizan terkulai di tengah jalan dengan lumuran darah. Cahaya matahari yang bersinar semakin malap dari pandangannya. Suara-suara yang datang ke arahnya semakin perlahan. Semuanya tiba-tiba menjadi gelap gelita.


Izham berteleku menghadap Anizan yang masih tidak sedarkan diri. Sejak dapat tahu Anizan kemalangan dia terus bergegas ke hospital. Mujur ada saksi kejadian yang nampak dan membuat repot polis. Dia tahu, semua ini mesti ada hubung kait dengan Sofea. Dia menyesal sendiri. Dalam masa yang sama juga, dia menunggu Izlan dan Umi di kampung. Mereka perlu diberitahu. Anizan perlu sokongan keluarga.
“Sayang bangun la, saya ada di sebelah awak ni!” pujuk Izham, sambil tangannya mengusap lembut bahu Anizan. Sejak dimasukkan ke hospital pagi tadi, gadis itu langsung tidak sedarkan diri. Kakinya patah, luka diwajahnya dibalut. Tangannya juga mengalami nasib sama seperti kaki. Semua ini salahnya. Kalau bukan kerana dia yang mencetuskan amarah Sofea, Anizan pasti tidak di apa-apakan. Kalau dia menerima ajakan Sofea untuk bertunang, Anizan tidak akan menerima padah. Dia tahu puncanya dari perempuan ego itu.

Aku Bukan Untukmu - 46

Pagi itu cerah. Sejak bangun dari tidur dia sudah berkira-kira untuk keluar. Menghilangkan bosan. Di rumah itu juga tidak ada sesiapa. Mama dengan butiknya dan ayah pula jarang pulang kerana menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain. Hidupnya memang amat membosankan. Tidak ada adik beradik lain. Tidak ada kawan. Kosong tanpa makna.
Dia merenung keluar tingkap. Daun tingkap langsung tidak ditutup sejak semalam. Angin luar menerobos masuk. Sejuk sekali. Dia menghela nafas malas. Tidak tahu ke mana harus dia pergi hari ini untuk menghilangkan kebosanan. Selepas tamat sahaja peperiksaan STPM kelmarin, dia mula berkira-kira untuk mencari kerja. Namun masih belum tergerak kakinya untuk ke mana-mana. Fahril bangun menghadap dinding kosong. Kemudian mencapai tuala dan ke bilik air. Pancuran air yang hangat menyegarkan paginya. Dia bersiap dan turun ke medan sunyi tanpa penghuni.
“Nak Fahril mau makan?” tanya Bik Siti, pembantu rumah yang terbaru berkhidmat di rumahnya. Yang kali ini mama memilih pembantu yang agak berumur. Mungkin kerana Mama sudah serik dengan pembantu lama yang muda dan mungkin juga mama takut pembantu muda akan menjadi madunya lagi. Tapi itu sudah terlewat. Ayah sudah cukup memenuhi kuota dengan mengahwini kak Indy, bekas pembantu Mama yang juga muda dan jelita.
“Bibik masak apa?” soalnya pula.
Sejak beberapa bulan orang tua itu di situ dia jarang bercakap. Cuma kalau waktu untuk makan Bik Siti bertanya. Dia menjawab dengan anggukan atau gelengan.
“Bik Siti cumanya gorengkan mi,” senyum Bik Siti bila mendengar suara Fahril. Jarang sekali anak muda itu bercakap dengannya. Apatah lagi mahu bertanyakan tentang masakannya.
Dia mengekori tuan mudanya ke dapur. Kemudian cepat-cepat mengeluarkan mi goring yang dimasaknya tadi. Pinggan diletakkan di meja. Fahril cuma duduk. Cawan berisi milo suam dicapainya. Sejak semalam perutnya tidak diisi apa-apa. Memang dia lapar. Bik Siti menyendukkan mi goreng untuknya, untuk sendukan yang kedua Fahril mengangkat tangan tanda isyarat, cukup.
“Bibik dah makan?” soalnya sambil matanya memandang ke arah wanita yang menghadapnya makan. Walau biasa keadaan itu namun dia agak tidak selesa.
“Bentar lagi bik Siti makan,” balasnya.
“Mari makan sekali la bik, tak seronok makan seorang!”
Selalunya memang dia makan seorang saja. Tidak pernah pula minta bibik menemaninya. Lagipun bibik ini baru bekerja tiga bulan. Sudah pasti dia kekok. Lainlah dengan kak Indy yang sekarang sudah bergelar ibu tirinya. Kak Indy ramah, ada saja cerita yang mahu dibicarakan. Kadangkala cerita tidak masuk akal juga terkeluar. Dia sukakan kak Indy. Rumah itu jarang kesunyian semasa ada kak Indy. Tapi bila ayah mengahwini pembantu rumah cantik itu dan membawa kak Indy tinggal di apartment, Fahril orang yang paling sunyi. Tiada teman berbual.
“Bibik suka kerja di sini?” soalnya tiba-tiba. Entah mengapa soalan itu yang terpacul. Atau mungkin itu juga pemula bicara yang baik.
“Iya, suka. Tapinya, rumah ini sunyi ya, puan jarang pulang. Tuan pula tidak pernah nampak. Apa, nak Fahril tidak bosan?”
“Memang begini la bik. Bosan pun tak boleh buat apa,” balas Fahril. Mi goring di sudunya ke mulut. Kunyahan demi kunyahan di telan. Sedap juga masakan bibik.
Selesai makan, dia bangun. Terus menuju ke kereta. Sejak lepas SPM dia sudah punya Toyota Vios 1.5 G. Mama yang berikan. Untuk dia senang ke sekolah. Namun dia lebih gemar menaiki kenderaan awam. Senang. Tidak perlu bersusah payah mencari parking. Tidak perlu membayar tol. Hari ini dia mahu merubah watak. Mahu berkereta menuju Bandar. Mengubah citarasa. Dia bukan budak sekolah lagi. Sudah dewasa.

“Dik, tumpang tanya, di sini ada kerja kosong?” soalnya pada seorang budak lelaki. Budak itu menoleh. Wajah Fahril berkerut. Bukan lelaki. Tapi pengkid. Muka budak yang disangka lelaki itu memang comel.
“Jap ek, saya try tanya!” budak itu terus menghilangkan diri di sebalik pintu. Kemudian beberapa minit lepas tu dia keluar.
“Sorry le bang, takde arr! Kitorang takde ambil orang!” budak itu menggeleng kepala.
Fahril melangkah keluar dari kedai buku itu. Dia menoleh semula. Dilihatnya budak tomboy itu sedang menyusun kotak. Sebuah kotak diangkat oleh budak tomboy. Kemudian dinaikkan di atas motorsikal buruknya. Kotak itu diikat dengan tali bercangkuk untuk mengemaskan kedudukan kotak itu supaya tidak jatuh. Fahril hanya merenung cara budak itu bekerja. Menarik.
“Abang tengok apa?” tiba-tiba budak itu bersuara. Fahril cuma tersenyum kemudian angkat tangan tanda minta maaf. Mungkin budak itu menyangka dia fikirkan yang bukan-bukan.
“Awak nampak kuat!” tiada apa yang boleh Fahril ungkapkan untuk budak itu selain apa yg terucap. Baginya budak perempuan tidak sepatutnya bekerja seteruk ini. Wajah comel budak itu mungkin membolehkan dia bekerja sebagai setiausaha atau kerani. Paling tidak pun pramugari.
“Ini urat dawai tulang besi tau!” gurau budak itu tanpa rasa marah.
Fahril senyum lagi. Kali ini angkat ibu jari dan tunjukkan pada budak itu. Budak perempuan comel itu meninggalkannya bersama motor buruknya. Fahril geleng kepala. Kemudian berjalan lagi mencari destinasi untuk dia memulakan hidup baru. Hidup baru untuknya akan bermula. Dia tahu dia tidak boleh tinggal di rumah yang kosong yang hanya ditemani pembantu rumah tua.
Fahril membelokkan keretanya ke Wisma Warisan. Kemudian mencari parkir di hadapan Wisma itu. Tadi dia terjumpa iklan kerja kosong di 7Eleven. Justeru itu yang membuatkan dia sudah terpacak di sini.
Beberapa minit dia memasuki Wisma itu, Fahril keluar semula. Geram dia dengan syarikat yang mengiklankan kerja kosong. Kononnya ada kerja dengan tawaran gaji yang menarik. Tapi sebenarnya iklan itu mencari pekerja perempuan sahaja. Dalam iklan di 7Eleven itu tiada pula mereka meletakkan syarat memberitahu yang mereka hanya memerlukan pekerja perempuan.
“Hoi, apa yang kau orang buat kat kereta aku ni?” pekik seorang perempuan. Fahril terperanjat melihat budak perempuan itu memekik. Dua orang lelaki yang berada di sebelah Vios 1.5nya bergegas meninggalkan tempat itu. Mungkin kedua lelaki itu mahu berbuat sesuatu pada keretanya.
“Tu nak buat jenayah le tu, siang-siang pun nak mencuri kereta orang!” budak perempuan itu membebel tanpa menyedari yang Fahril sudah berada di belakangnya.
“Ini kereta cik ye?” soal Fahril mengangkat kening.
“Ha-ah… !” budak itu tidak menoleh. Malah sedang bersandar sambil mengetuk-ngetuk bumbung kereta dengan jarinya.
“Kalau macam tu, saya nak tarik kereta ni, sudah 4 bulan tak bayar!” Fahril tersenyum sambil mengenakan budak perempuan itu. Budak perempuan berperwatakan ala lelaki itu tercengang.
“Hah? Err… bukan bang, ini bukan kereta saya. Tadi ada dua ekor mamat tu nak curi, saya sergah la,” terangnya dengan wajah yang jujur. Fahril senyum. Kemudian dia menekan butang alarm.
“Terima kasih sebab selamatkan kereta saya,” ucapnya selamba.
“Oh, kereta abang ke?” selamba dia berlalu setelah melihat anggukan Fahril. Budak perempuan itu terus menuju ke arah motorsikalnya.
“Sama-sama!!” jerit budak itu.
Fahril senyum sendiri. Memang dia amat berterima kasih pada budak perempuan itu dan dia harap budak tomboy itu dapat menjadi kawannya. Fahril bagai teringat sesuatu. Dia kemudian berpusing semula. Ingin ditanyakan nama budak tomboy itu, namun terlambat. Bila dilihatnya budak itu terus meluncur membelah jalan bersama kapcainya.