Monday, June 23, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 4

Dia menyanyi kecil semasa memasuki pintu rumah. Helmet dan begnya diletakkan di tepi pintu. Dia memandang sekeliling halaman. Tidak nampak kelibat emaknya di mana-mana. Selalunya bila petang begini, emaknya pasti sedang memanjakan pokok-pokok bunga yang di tanam merata laman.
“Assalamualaikum!” jeritnya, seperti budak-budak darjah satu menjerit ketika cikgu masuk kelas. Memang dia sengaja menjerit begitu, mesti ibunya bengang dengan jeritannya.
“Waalaikumussalam! Apa yang terjerit-jerit ni, anak dara apa macam ni, malu kan emak je…” marah Zakiah dalam nada berbisik.

Anak daranya ni, memang begini. Tidak kira ada tetamu ke, tak ada tetamu ke, main belasah saja. terjerit-jerit. Buatnya ada orang nak masuk meminang, kan dah kena reject!
“Mak ni kan, kalau marah…lawa tau. Macam Sarimah dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk!” pujinya, kemudian memeluk ibunya. Diciumnya pipi wanita itu bertalu-talu.

Zakiah menggeleng kepala, tidak terbuat dengan perangai anak daranya yang seorang ini. Hendak dimarah sangat, hanya dia lah satu-satunya zuriatnya yang ada di dunia.
“Masuk, jumpa dengan mak cik Salina…kawan mak masa kat asrama dulu,” arah Zakiah. Mendengar itu, Aryssa menekup mulutnya sendiri. Patutlah ada kereta di pagar luar tu.
“Patutlah berbisik-bisik, ada tetamu rupanya…” perlinya dalam nada berbisik juga.

Zakiah mencerunkan matanya. Anak itu hanya tersengih nakal menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Dia mencubit kecil anak gadisnya itu lalu ditariknya ke dalam rumah, memperkenalkan Aryssa kepada sahabat lamanya, Salina.
“Apa khabar mak cik?” tanya Aryssa seraya menghulur tangan.

Tangannya diraih Salina. Dengan sopan dia tunduk, mengucup tangan wanita separuh abad itu. Tidak lepas mata wanita itu memandangnya.
“Alhamdullillah, Baik. Ini lah anak dara kau, Kiah? Dah besar, lawa macam maknya juga. Baru balik kuliah ye? Belajar di mana?” ramah si tamu itu bertanya, sambil tangannya tidak lepas memegang tangan Aryssa. Membuatkan gadis itu berasa tidak selesa.
“Kolej Perdana, jurusan Graphic Design,” jawab Aryssa penuh bersopan, dia kemudian duduk di sisi emaknya.
“Kolej Perdana? Eh, Sama dengan anak lelaki mak cik, dia jurusan Sains Komputer. Aryssa kenal agaknya, Fizal namanya…” Salina bagai teruja mendengar nama kolej tersebut.

Fizal? Ok oo… ini emaknya si Casanova Kolej Perdana, rupanya. Tak sama langsung. Emaknya jelita dan baik hati, tapi anaknya…macam buaya bertelinga arnab. Kadang-kadang kelihatan macam anaconda, hieh! Menyeramkan!
“Tak berapa kenal, mak cik,” balas Aryssa.

Mana boleh tak kenal, mak cik. Itu kan buaya paling glamour di kolej. Satu town ni kenal dia, kasanova Kolej Perdana. Pakar dalam hal ehwal mengatur dan membuat koleksi anak dara orang.

“Anak aku tu, Kiah, tak tahu aku nak cakap macam mana lagi Kiah, kawan perempuannya ramai sangat, naik risau aku. Kalau jadi apa-apa, mana aku nak letak muka Kiah…” keluhan Salina membuatkan Aryssa mulai bangun meninggalkan mereka.

Mak dia tau rupanya perangai anaknya macam tu… Isk! Perangai teruk sampai tak dapat maknya nak pantau! Kesian mak dia, hantar anak belajar tinggi-tinggi, tapi anaknya macam tak ada tamadun! mengelek anak dara orang ke hulu ke hilir sesuka hati…
“Anak bujang macam gitulah, Sal. Anak dara aku ni satu hal pula, dah macam jantan aku tengok. Yang Abang Lias pula, dibelikannya motorsikal untuk Aryssa tu, bertambah-tambahlah perangai jantannya tu, Sal!” kata-kata Zakiah membuat Aryssa menjeling. Tidak puas hati dengan komen emaknya tentang dirinya.

Mulalah mak ni, ada je yang tak betul. Lepas ni mulalah nak mengumpat pasal aku pula. Belum cukup baik lagi ke aku ni?

“Itu tak apa Kiah. Takut orang lelaki nak dekat, tak ada lah risaukan kita. Tau ke mana dia pergi, kawannya siapa. Kalau anak jantan aku tu, tiap-tiap malam keluar, tak tau ke mana halanya. Bila ditanya, tak ke mana…makan je! Tengok wayang je… itu jawabnya, risau aku!” ada gundah pada nada suara Salina. Jelas terbayang pada mendung raut wajahnya.

“Dibuatnya benda tak senonoh pada anak dara orang, mana aku nak letak muka, Kiah!” jelas terpancar kerisauan Salina.
“Sabar je la, Sal. Pandai lah dia jaga nama baik keluarga. Lagipun orang muda Sal, kena faham juga. Kita dulu pun pernah muda,” balas Zakiah.

Aryssa membiarkan kedua sahabat itu bercerita, mengumpat tentang anak masing-masing. Dia mohon diri dan berlalu menuju ke biliknya. Malas untuk mencampuri perbualan orang tua. Lagipun dia sudah lali dengan emaknya itu sentiasa risaukan dirinya. Asyik risaukannya yang dikatakan ala-ala jantan. Dia tak kisah sebenarnya. Yang penting, dia tetap merasakan dirinya perempuan. Dia tahu dia itu perempuan.

Aryssa sendiri sudah terlupa sejak bila dia bertukar rupa. Tukar penampilan. Sedangkan dulu, dia juga diantara pelajar perempuan paling popular di sekolah. Dan semuanya itu terjadi hanya kerana seorang. Seorang Amir!

Amir Hizam. Nama itu memang menjadi bahan bualan harian setiap pelajar perempuan di Sekolah Menengah Dato Megat atau SMDM. Pelajar lelaki popular itu juga menyandang beberapa jawatan di sekolah. Juga pemain bola sepak yang menjadi harapan semua. Seluruh pasukan. Seisi sekolah kami.

Siapa yang tidak terpikat dengan kebolehan itu. Tambah pula Amir Hizam tergolong dalam golongan pelajar paling tampan dan digilai gadis di sekolah. Namun, Amir bukanlah lelaki yang sering mengambil kesempatan terhadap perempuan. Tidak betah melayan perempuan berlebih-lebihan apalagi mahu bertukar pasangan.

Andai sukakan seseorang, dia lebih suka berterus-terang dan sentiasa tegas dengan keputusan. Aryssa juga salah seorang daripada pelajar perempuan yang meminati Amir Hizam dalam diam. Dan dia tidak bertepuk sebelah tangan bila Amir menyuarakan hasrat untuk berkenalan dengannya.
“Aryssa, saya nak ajak awak makan ABC kat kedai Apek, mahu tak?” ajak Amir, semasa dia baru saja selesai latihan hoki pagi Sabtu itu.

Dia masih teragak-agak dengan pelawaan itu. Wani di sebelah mencuitnya sambil mengangkat kening.
“Ry, aku balik dulu ye… aku dah janji dengan mak aku nak balik cepat hari ini…” kata Wani, seakan memberi ruang untuk mereka bersama.
“Eh, Wani kita pergi sekalilah, aku belanja…” Amir serba salah bila melihat Wani bangun meninggalkan mereka.

Dia takut Aryssa tidak menerima pelawaan itu tanpa Wani. Satu sekolah sedia maklum tentang persahabatan Wani dan Aryssa. Di mana ada Aryssa di situ ada Wani. Mereka bagaikan kembar siam yang tidak melekat tapi tidak juga tidak boleh dipisahkan.
“Tak apa, aku bagi chance. Bukan senang nak dapat kawan yang sporting macam aku…nanti belanja kek,ir ! balas Wani sebelum berlalu.

Ajakan Amir diterimanya. Teragak-agak. Melihat itu, pantas tangan Amir menarik lengan Aryssa yang sedang duduk.

Alamak! Mamat ni pegang-pegang tangan aku pula. Tak reti nak sabar ke?

“Eh, tak apa ke ni? Nanti orang lain nampak, kena gossip pula,” ujar Aryssa.
“Siapa yang tak mahu kena gossip dengan awak?” pertanyaan Amir membuatkan Aryssa semakin serba salah.

Sejak pertemuan itu, mereka jadi pasangan paling sensasi di sekolah. Ramai yang cemburu. Tambah hangat lagi, semasa sekolah mengadakan Hari Terbuka, Amir menyanyikan lagu yang diciptakan khas untuk Aryssa. Bait-bait kata di dalam lagu itu membuatkan Aryssa semakin terpesona.

Semalam kau datang membawa cahaya
Tersenyum menawan hati
Hari ini ku cuba melupakan seketika senyuman itu
Kerana ku tak layak berdampingan denganmu bidadari…
Tapi tak mampu ku leraikannya
Cinta itu bagaikan membelenggu diri
Ubatilah aku, dengan kasih mu,
Andai benar cinta itu milik aku,
milik kita berdua, Aryssa…

“Ary rasa kita berdua ni serasi tak?” soal Amir suatu petang yang lain.

Matanya merenung tepat ke anak mata Aryssa sehingga gadis itu tersipu. Mengalihkan matanya ke arah lain. Tak mampu dia membalas renung tajam itu.
“Kenapa awak tanya macam tu?” Aryssa menguis daun-daun kering yang gugur dari pohon angsana yang sudah mulai berbunga.
“Saya rasa saya masih tak layak untuk menjadi pasangan awak… saya rasa Aryssa terlalu cantik buat saya,” Amir masih bermain kata, masih malu untuk meluahkan rasa hatinya. Dia terlalu merendah diri.
“Kalau macam tu awak kawanlah dengan monyet, jangan kawan dengan saya. Monyet je yang padan dengan awak,” balasnya dalam gurauan.

Aryssa bangun. Menggenggam daun kering dan membalingnya ke muka Amir. Kemudian dia ketawa sambil berlari meninggalkan Amir.

Amir turut bangun. Mengejar Aryssa di sekeliling taman. Mereka sama-sama ketawa bila Amir cekap menangkap Aryssa. Dan gadis itu terus didakapnya. Kemas. Rontaan Aryssa membuatkan peluknya dikemaskan lagi.
“Ubatilah aku, dengan kasih mu…andai benar cinta itu milik aku. Milik kita berdua, Aryssa…” bait-bait rangkap lagu ciptaannya dibisikkan ke telinga Aryssa.

Gadis itu memejamkan mata, menghayati bait lagu ciptaan Amir. Tangannya semakin erat melingkari leher Amir dan dia bagaikan tidak mahu melepaskan lelaki itu.
“Am cintakan Aryssa. Dulu, kini dan selamanya…” ucap Amir dalam bisikan ke telinga gadis yang bagaikan terlena di bahunya.

Aryssa menatap gambarnya bersama Amir yang tersimpan sekian lama di dalam laci meja tulisnya. Mengenangkan saat bahagianya bersama lelaki itu, hatinya diusik pilu. Dirasakan kenangan itu tidak akan berulang lagi.

Aryssa mencapai gitar ‘Kapok’nya. Di dada gitar itu terlekat lirik lagu yang dicipta Amir dan gambar mereka semasa majlis akhir tahun sekolah. Tahun terakhir Amir di SMDM. Amir yang mengajarnya cara membaca kod lagu dan memetik gitar.

Hampir setiap petang selepas habis belajar mereka akan bermain gitar. Adakalanya terasa lucu bila dikenangkan kembali perkara itu. Orang kata itulah ‘cinta monyet’, cinta yang tidak memberi apa-apa makna dan menjadi kenangan manis semasa alam persekolahan. Tapi bagi Aryssa, cintanya pada Amir bukan cinta monyet. Cintanya pada Amir kukuh dan abadi. Selamanya.

Hingga kini, dalam hatinya tiada pengganti Amir. Walaupun dia sendiri tidak tahu di mana lelaki itu. Berpuluh kali dia menelefon, berpucuk surat dan kad dikirimkan untuk memujuknya, tetapi Amir terus sepi tanpa berita.

Akhirnya Aryssa putus asa. Tawar hati. Semenjak itu juga Aryssa menukar penampilannya. Mengubah cara gayanya. Dia takut cintanya pada Amir ‘hilang’ dan bertukar kepada lelaki lain. Dan hingga kini, belum ada lelaki lain yang menghuni ruang hatinya itu.

***** ********* *******

“Hai, Boleh berkenalan?” dia bersuara sambil mengekori skuter Mosquito itu.

Motorsikalnya sengaja diperlahankan, untuk perjalanan yang sama dengan kelajuan skuter gadis itu. Beriringan. Jalan yang lengang memudahkannya.
“Nama siapa? Tinggal mana?” tanyanya lagi, bila gadis itu langsung tidak melayannya.
“Eh, Awak ni bisu rupanya. Muka lawa tapi…bisu,” ujarnya lagi.

Tetap tiada reaksi daripada sang gadis.
“Tapi tak apa…mak saya memang suka menantunya bisu. Tak banyak cakap…angguk dan geleng je,”

Dia masih berusaha ‘menjual minyak’. Sementara bosan meronda seorang tanpa tujuan, apalagi kerja yang boleh dibuatnya melainkan menambahkan koleksi teman wanita.

Ada senyuman tersimpul di bibir gadis itu. Mungkin geli hati dengan usikanya. Mungkin juga dia hanya sekadar jual maral, agar tak terlihat sebagai gadis murahan.
“Manisnya senyum, macam gula merah…tapi tak boleh dimakan begitu sahaja,” katanya masih cuba memancing.

Fizal memang sudah sedia maklum, kalau dia mengayat seorang gadis, pasti akan diperolehnya dengan mudah. Perempuan pasti cair dengannya. Kalau dia mempelawa, tidak akan gadis yang menolak pelawaanya itu.
“Awak ni tak ada kerja lain ke?” tiba-tiba gadis itu bersuara.
“Ingatkan bisu tadi…” usik Fizal berjenaka.

Sang gadis tersipu dengan wajah merona merah.
“Selain ganggu saya, awak memang tak ada kerja lain ya?” sang gadis mula mesra.
“Ehh…banyak! Tapi, semua kerja tu tak jadi selagi awak tak kenalkan diri,” jawab Fizal tak jemu mengekori gadis bermata bulat itu.

Dia mengenyit mata. Kenyitan itu membuatkan si gadis hampir hilang kawalan terhadap skuternya. Hampir sahaja dia melanggar deretan pokok yang ditanam sepanjang jalan sebagai pembahagi jalan.
“Okey… awak nak apa sekarang?!” soal gadis itu seraya memberhentikan skuternya di tepi padang. Bimbang dia hilang kawalan sekali lagi.

Renungan mata lelaki itu begitu menggetarkan jiwanya. Dan apa yang tidak pernah di sangka gadis itu, jejaka yang mengekorinya adalah Fizal. Lelaki yang sering menjadi bualan gadis remaja di kolej.
“Saya nak awak! Boleh gitu?” ujar Fizal.

Fizal juga memberhentikan motorsikal. Dan dia menghadiahkan senyuman pada gadis itu. Dia sendiri dapat mengesan betapa gadis itu terpegun memandang. Matanya yang bulat bersinar itu menampakkan betapa comelnya dia!
“Hei, awak jangan nak main-main. Saya tanya betul-betul ni…” ucapnya agak kasar, tapi ada sedikit nada manja pada kata-kata itu.

Fizal mengerut dahi. Sengaja mahu jual mahal lah tu, fikirnya.
“Saya nak tahu nama awak, nombor telefon, alamat rumah…”
“Nama, Sharifah Faizurin Atikah Binti Syed Mansor, telefon 5286020, alamat rumah, tak payahlah! Nak datang rumah, call dulu,” balas gadis itu yang sudah mula menghidupkan enjin skuternya.

Fizal tersenyum. Bangga. Seperti keselaluannya. Akan adakah perempuan yang menolak permintaannya?

Takkan ada perempuan yang tidak mengalah padanya. Gadis yang bernama panjang macam keretapi ini akan menjadi koleksinya yang terbaru. Walaupun gadis itu tidak secantik mana, tetapi agak comel juga. Dia pernah mendengar kawan-kawannya memperkatakan tentang Sharifah Faizurin Atikah Binti Syed Mansor itu. Dan Fizal tak akan melepaskan peluang untuk berkenalan dengan gadis itu.
“Malam nanti Fizal call!!!” jeritan Fizal membuatkan gadis itu tersenyum panjang.

Yang pasti, malam nanti pasti mimpinya didatangi Fizal yang berwatakkan Prince Charming dan Zurin sendiri akan menjadi Snow White seperti dalam cerita dongeng orang putih yang selalu dibacanya sewaktu kecil. Zurin tersenyum meleret, selama ini dia hanya mendengar cerita tentang lelaki yang popular itu. Tidak disangka, lelaki itu cuba memikatnya.

Kiranya aku ni, ada value juga di matanya, Fikir Zurin sendirian. Dia mula memasang angan-angan untuk keluar bersama lelaki itu. Alangkah bagusnya saat mereka berjalan berpimpinan tangan, ada pula beberapa pelajar di kolejnya terserempak. Pasti gamat satu kolej apabila mereka tahu dia keluar dengan Fizal, jejaka paling sensasi di dalam senarai jejaka popular di kolejnya. Silap-silap aku dan Fizal masuk dalam carta pasangan popular, angan Zurin lagi.

No comments: