Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 14

BAB EMPAT BELAS

Seminggu Fizal terlantar di hospital. Dalam tujuh hari ini juga Fizal tidak mendengar suara Syarina Wirdayu. Dan dia, benar-benar rindukan suara comel itu. Suara ceria dan tawa nakalnya.

Fizal merenung jauh ke luar. Dia membetulkan duduknya. Sepanjang seminggu ini penghiburnya hanyalah pemandangan kota dari luar jendela di wadnya di tingkat lima. Walaupun biliknya lengkap dengan televisyen dan radio, tetapi jemu tetap bertandang. Bosan dengan segala keadaan di situ..

Adakalanya, ada juga di antara kawan-kawan yang datang melawat. Namun gadis-gadis yang pernah didampinginya langsung tidak menampakkan batang hidung mereka. Walaupun dia pasti berita kemalangannya tentu sudah tersebar meluas di kolej.

Saat ini, apa yang diperlukan hanyalah seorang kawan untuk menemaninya. Berbual. Bergurau. Dan memberi semangat padanya. Dia benar-benar kesunyian. Di sini tiada Suzana. Tiada Lydia. Tiada juga Amira dan gadis-gadis jelita lain yang pernah menyatakan sayang dan cinta untuk menemaninya.

Yang ada cuma jururawat-jururawat yang sudah veteran dan menunggu masa untuk pencen. Kenapalah jururawat yang muda dan cantik tidak ditugaskan merawatnya.

Paling menyedihkan bila melihat kakinya yang kaku bersimen. Terpacak tiga batang besi yang kadang kala mengilukan bila kesejukan mencengkam.
“Hai, abang! Guess what I bring for you?” terpacul muka Nurul dari balik daun pintu yang terkuak.

Nurul, satu-satunya adik perempuan kesayangannya. Muka bulat comel, berwajah keanak-anakan walaupun usianya sudah mencecah enam belas tahun. Nurul yang masih berbaju kurung sekolah itu direnungnya tanpa reaksi. Nurul bagaikan menyembunyikan sesuatu dengan kedua tangannya di belakang.
“What…? Mama mana? Abang dah lapar ni…mama tak datang pun pagi tadi. Abang makan roti je tadi, dik! Kesian abang…semua orang tak perdulikan abang,” rengek Fizal. Memang dia kadangkala terlalu manja dengan mamanya mengalahkan Nurul, si anak bongsu.
“Eii… mengadalah abang ni. Dah besar-besar nak merengek macam baby. Kat hospital ni kan dah tersedia makanan. Makan je la apa yang ada. Nama aje sakit, tapi selera mengalahkan harimau lapar! Mama dan ayah ada dekat parking lot lagi,”

Bebelan diselangi rungutan Nurul membuatkan Fizal pura-pura menarik muka.
“Abang, benda yang Nurul bawa ni lebih best daripada makanan yang mama bawa,” sambung Nurul kemudiannya.

Nurul tersenyum lagi sambil menayangkan barisan giginya yang putih, macam iklan ubat gigi.
“Boringlah Nurul ni, cepatlah! Apa dianya?” Fizal sudah mulai bosan merenung senyuman manja Nurul yang sedang mempermainkannya.
“Teng! teng teng… kad daripada Syarina Wirdayu!” pantas Nurul mengeluarkan sekeping kad sebesar buku tulis.

Nurul sendiri tidak pasti siapa Syarina Wirdayu, tetapi nama itu bagaikan sebati dalam diri abangnya. Setiap kali waktu dia datang melawat, pasti soalan yang pertama keluar dari bibir Fizal bertanyakan tentang panggilan Syarina Wirdayu.

Dan yang pasti, sejak abangnya di hospital, dialah yang menggantikan Fizal untuk berbual dengan Syarina. Nurul dapat mengagak yang Syarina adalah gadis istimewa dalam hati abangnya.
“Rina? Dia datang rumah kita ke?...Kenapa adik tak suruh dia datang hospital dan bagi sendiri je kat abang? Dik, cantik tak Rina tu?” soalnya bertubi-tubi.

Perasaan ingin tahu begitu membuak di hatinya. Jelas terpancar keriangan pada wajahnya saat Nurul mengeluarkan kad itu. Ingatannya pada suara yang dirinduinya semakin kuat.
“Mak aiii… banyaknya soalan? Dia tak datanglah! Posmen yang hantar, by pos express lagi! Tapi…dia call semalam! Dia kirim salam sayang pada abang,” Nurul menantikan reaksi abangnya. Perkataan sayang itu hanyalah tambahan bagi membuatkan hati abangnya berbunga.

Mendengar itu, Fizal mengeluh kecil. Dia kemudian tersenyum bila mendengar ungkapan salam sayang dari Nurul. Dibukanya kad sebesar buku tulis itu. Terpampang di depan kad buatan sendiri itu. Lukisan tangan gambar batman yang patah kaki akibat jatuh di bangunan yang tinggi. Dan di dalam kad itu tertulis, ‘Semoga Cepat Sembuh Penyelamat Dunia!’.

Dalam hati dia memuji kreativiti Syarina menghasilkan kad buatan sendiri itu. Cantik dan menarik!

Fizal tersenyum sendiri bila mengenangkan masih ada lagi gadis yang sudi memberikan kata semangat walaupun hanya dengan sekeping kad.
“Hah! Tersenyum sorang-sorang tu apahal? Baru dapat kad macam tu dah sasau!” teguran Jefri, ayahnya membuatkannya tersentak.
“Lepas ni abang boleh lah keluarkan, yah?” tanya Nurul sambil merangkul lengan ayahnya. Manja.
“Kenapa, yah? Fizal dah boleh keluar ke?” soal Fizal bersungguh-sungguh dengan kata-kata adiknya.

Terpancar kegembiraan di wajahnya. Dia sudah cukup bosan menghitung hari di hospital ini. Dia sudah cukup rindu untuk mendengar celoteh Syarina Wirdayu. Rindu amat. Biarpun hanya seminggu tidak didengarnya, bagai berkurun. Bak bertahun.
“Bukan keluar je, siap tukar hospital lagi!” Nurul tersengih nakal.
“Tukar Hospital?” Salina dan Jefri merenung Nurul kehairanan.
“Ye lah, baru dapat kad dah sasau. Sebelum jadi gila yang teruk, lebih baik bawa abang ke Tanjung Rambutan!” jawab Nurul.

Saat itu, seisi bilik itu ketawa lucu dengan loyar buruk Nurul. Fizal hanya mengetap bibir. Geram dengan lawak bodoh adiknya itu.
“Oh, Kenakan abang ye? Nasib baik kaki abang ni macam ni. Kalau tak, siap lah!” ugut Fizal sambil mengetap bibir. Geram.

Geramnya itu hanya disambut tawa mereka anak-beranak. Biarpun kemalangan itu satu malapetaka, namun ada hikmah sebaliknya. Mereka punya waktu untuk berinteraksi berbanding sebelumnya.

“Mama, Fizal lapar ni, mama masak apa?” rengeknya.

Salina menggeleng kepala melihat gelagat anak-anaknya. Dia mengeluarkan makanan dari mangkuk tingkat. Aroma sup cendawan dan daging masak hitam berlumba menusuk hidung. Fizal tidak lagi sabar menghadap juadah itu. Sejak pagi tadi dia hanya makan dua keping roti untuk melapik perut.


**** ********** ****

Beberapa hari Fizal di hospital membuatkan Aryssa dapat rasakan betapa sepi malam-malamnya tanpa suara pemuda itu. Ingin sahaja dia menelefon telefon bimbit lelaki itu. Betapa dia merindui suara comel Fizal.

Kelmarin dia meminta alamat daripada Nurul untuk menghantar kad. Semalam juga dia menghantar kad hasil kerja tangannya secara pos express ke rumah Fizal.

Sempat dia berbual dengan Nurul beberapa hari ini, bertanyakan itu ini tentang lelaki itu. Nurul begitu sporting, terus bercerita mengenai abangnya yang seorang.
“Ary, nak pergi tak? Emak dah siap ni!” jeritan emaknya dari bilik membuatkan Aryssa terjaga dari lamunan.
“Tak mahu lah, mak. Ada assignment nak buat! Mak ajelah pergi. Kirim salam pada makcik Sal dengan pesakit tu,” dalihnya saat dia melangkah ke bilik emaknya.

Semua itu cuma alas an. Sememangnya dia tidak punya apa-apa assignment pun untuk disiapkan. Dia sudah siapkan semua tugasannya sebelum cuti semester lagi.
“Okeylah, mak pergi dulu. Nanti kalau Ary lapar, Ary panaskan aje lauk tu. Kalau ada apa-apa…call mak terus. Mak pergi kejap je, ye sayang!” Zakiah mengusap lembut pipi anak gadisnya. Kemudian dia mengucup dahi anak itu.

Dia memang teringin sekali mengikut emaknya melawat Fizal di hospital, tetapi mengenangkan segala kutukan lelaki itu kepadanya dahulu, membuatkan dia merasakan kehadirannya tidak diperlukan. Biarlah hanya kad sahaja menggantikan dirinya.

No comments: