Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 31

BAB TIGA PULUH SATU


Puas hati aku! Padan muka kau, Aryssa. Aku dah pecahkan rahsia kau. Kau ingat aku main-main? Ini Wani lah! sudahlah dari dulu kau sahaja yang selalu mendapat tempat di mata lelaki. Waktu sekolah dulu, aku yang beriya-iya cuba menggoda si Amir Hizam, alih-alih kau yang berkepit dengan dia.

Lepas tu bila si Amir tu cacat, kau ubah imej kononnya kau tak mahu ada lelaki lain jatuh cinta pada kau! Sekarang ni, kau nak merampas Fizal dari aku. Jangan harap! Kalau kau nak kata aku busuk hati pun, lantaklah! Aku dah tak peduli. Yang penting Fizal jadi hak aku. Aku tak akan senang-senang nak bagi kau rapat dengan dia.

Kenapa dia tak tunggu aje si Amir yang dia gilakan sangat tu? Memang Aryssa hipokrit. Sengaja nak ambil kesempatan. Si Fizal ni pula, macam apa je. Tak ada orang lain nak diceritakan. Balik-balik Syarina Wirdayu, balik-balik Syarina Wirdayu. Nama tu macam sebati di bibirnya.

Hari ini dia mahu menceritakan segalanya. Dia mahu membongkar rahsia yang misteri sangat pada anak muda itu. Telinganya sudah tidak tahan lagi dengan kisah-kisah yang bersangkutan dengan nama perempuan itu. Wani tidak mahu lagi mendengarnya. Dia mahu Fizal tahu siapa perempuan yang dipujanya itu. Biar Fizal tahu. Biar lelaki itu rasa betapa sakitnya hati bila tertipu dengan budak tomboy yang dibencinya sangat itu.
“Betul ke ni, Wani? Fizal tak percayalah!” Fizal mengerut dahi.

Keliru. Memang keliru.

Tak mungkinlah, suaranya lain sangat. Banyak kali juga aku bercakap dengan Aryssa.

“Betullah! Takkan Wani nak tipu Fizal. Lagipun, Wani dah rasa bersalah sangat sebab sembunyikan hal ni dari Fizal… I’m sorry okey!”

Wani mengenggam tangan Fizal erat. Kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu. Tangannya mengelus lembut jari jemari anak muda itu.

Fizal hanya membiarkan sahaja perlakuan Wani. Dia masih lagi terdiam dan berfikir. Seluruh pemikirannya tertumpu pada Aryssa. Memang dia pernah mengagak begitu, namun bila mendengarkan suara Aryssa malam kelmarin, hatinya lega. Tidak mungkin Syarina segarang Aryssa.
“Ary tu kan kawan baik Wani? Kenapa Wani nak bocorkan rahsianya? Sanggup Wani khianati kawan Wani sendiri?” Fizal mengerutkan dahi.
“Dulu memang kawan baik, tapi…bila Wani minta dia jangan ganggu Fizal lagi, dia marah-marah. Dia kata dia nak robekkan hati Fizal. Fizal kan boy friend Wani, mana boleh dia buat Fizal macam tu. Tu tak nak percayalah tu. Fizal memang tak sayang kat Wani. Sebab tu tak percaya apa yang Wani cakap…!” rengek Wani.

Wani pura-pura merajuk, tetapi rajuknya tidak diperdulikan.

Bukankah Aryssa kawan baik Wani? Tergamak Wani khianati teman baiknya sendiri hanya kerana seorang lelaki? Sedangkan, Aryssa tidak benarkan Fizal mempermainkan Wani. Mengelirukan! Dua cerita yang berbeza. Akukah punca permusuhan mereka?

“Kalau macam tu bagi Fizal nombor handphone Aryssa, biar Fizal call dia, Fizal nakkan penjelasan!”
“Nak buat apa? Dia takkan mengakulah, Fizal. Kan Wani ada untuk jaga Fizal. Wani cintakan Fizal!”
“Bukan pasal nak suruh dia mengaku, Fizal nak tahu kenapa dia tipu Fizal. Itu je…lagipun, Fizal peduli apa dia ada balak ke tidak…”

Kenapa dia tak terus terang saja? Kenapa perlu lakukan sebegini? Tidakkah dia tahu, hatiku sudah lama terbuka untuknya?

“Kan Wani dah bagi tahu sebabnya. Tak payahlah contact dia lagi. Ada ke orang nak mengaku salah kalau dah buat macam tu? Dia tak akan mengaku punya, percayalah!”
“Kalau dia contact…Fizal jangan layan. Buat bodoh je. Wani kan ada nak temankan Fizal sampai bila-bila,” elak Wani. Dia tidak mahu lelaki itu terus menerus menghubungi Aryssa.

Ah! Sibuk sangat nak tahu nombor telefon dia apahal? Aku ni kan ada kalau nak bagi cinta ke, kasih sayang ke. Aku sedia dengar kata-kata manis dari kau, Fizal. Kau lagi nak call si perempuan tak tentu hala tu.

Fizal menghela nafas. Bersama hampanya. Ah!

Senangnya Wani cakap, dia tak tahu betapa hati aku sudah diikat kasih Syarina Wirdayu.

Fizal tidak tahu bagaimana hendak meluahkan rasa hatinya sekarang. Kerinduannya pada si misteri Syarina amat mencengkam dan mustahil dia dapat melupakan Syarina hanya kerana mendengar kata-kata daripada Wani. Syarina terlalu istimewa untuk Fizal.

Tidak pernah jemu temankan Fizal saat Fizal betul-betul perlukan kawan. Dia juga yang membuatkan Fizal serik untuk mempermainkan perempuan. Banyak memberi sokongan hingga Fizal rasa hidup Fizal masih bermakna. Dia yang merubah segalanya dalam hidup Fizal dan semua orang sukakan perubahan itu. Fizal rasa, penipuannya itu juga satu rahmat buat Fizal.
“Fizal dengar tak apa yang Wani cakap? Fizal tak payah layan dia, okey?” rengek Wani lagi.
“Fizal, Wani cintakan Fizal sepenuh hati tau! Wani sanggup serahkan jiwa raga Wani pada Fizal, percayalah!” ucapan Wani bagaikan tidak memberi apa-apa pengertian pada Fizal.

Puas dibelai-belai rambut lelaki itu. Namun Fizal masih membeku bagaikan tidak punya rasa terhadapnya disebelah.

Lelaki itu masih terpaku terkenangkan segala kata-kata dan ucapan yang pernah dilafazkan Syarina padanya. Dia senyum lagi bila teringat cabaran Syarina. Kalau Fizal berjaya mengubah seorang tomboy menjadi gadis sejati, bermakna Fizal berjaya menjadi lelaki sejati.

Patutlah, dia beriya-iya pertahankan tomboy. Patutlah dia selalu nasihatkan aku tentang perempuan. Ah! Tentang segala-galanya… rupanya dia adalah Aryssa. Dua watak dalam satu wajah. Tersembunyi.

Teringat dia bila Aryssa memakai kebaya semasa ke rumahnya tempoh hari. Manis. Ayu. Semenjak dia mengenali gadis itu, itulah kali pertama dia bertemu Aryssa berada dalam pakaian seorang perempuan. Andai benarlah kenyataan Wani, Fizal benar-benar lelaki sejati.

**** ********** *****

Aryssa merenung telefon di meja, menanti kalau-kalau Amir Hizam masih sudi menghubunginya. Semenjak pertemuan mereka tempoh hari, hatinya sering gementar dan resah. Penantian memanglah satu penyiksaan yang sakit. Namun, ternyata penantiannya hampa. Amir terus membisu.

Terlalu mengharapkah dia pada orang yang tak sudi? Ingin diluahkan segala kerinduan yang mencengkam dalam hati. Rindu yang masih lagi membara biarpun cuba dipadamkan sekian lama. Nyatanya, hanya dia sahaja yang masih menyimpan harapan. Aryssa seharusnya terima kenyataan yang Amir masih tidak mahu lagi berkawan dengannya.

Memang Amir begitu tegas dengan keputusan. Aryssa tidak mahu terus menjadi penanti pada sesuatu yang tak pasti. Biarlah Amir dengan dunianya, dia sudah akur dan pasrah menerimanya. Dia sedang belajar untuk menerima kenyataan itu.

Kala itu, ingatannya terpintas kepada Fizal. Sudah terlalu lama dia tidak menghubungi lelaki itu. Fizal terlalu berbeza berbanding Amir. Fizal tabah, namun sentiasa perlukan sokongan. Amir pula langsung tak mahu memberi peluang Aryssa menyuntikkan semangat untuknya. Alangkah bahagianya kalau dua lelaki ini adalah orang yang sama, tak perlu dia membuat pilihan.

Apa perlunya membuat pilihan. Tiada siapa pun yang perlu dipilih dalam hidup ini. Entah bila hidup akan berakhir. Entah esok, entah lusa. Mungkin Tuhan tidak memberi peluang untukku kecapi cinta, kerana tidak mahu ada hati yang akan kecewa andainya akudijemput pergi terlebih dulu. Biarlah mereka memilih orang lain untuk bahagia, kerana Aryssa ini tidak layak untuk mereka.

Sudah lama Aryssa tidak menghubungi Fizal, walaupun hatinya meronta-ronta untuk berbuat demikian. Dia sedar Fizal tidak lagi memerlukannya. Lelaki itu sudah ada Wani untuk menjadi penghuni tetap di hatinya. Lagipun dia cuma mahu mempermainkan lelaki itu. Memang itupun niat asalnya.

Walaupun kini di hati kecilnya sudah mulai bercambah kasih pada lelaki itu, biarlah segalanya tersimpan dalam lipatan hati. Adakalanya ingin dia berterus terang dengan lelaki itu mengenai dirinya, namun dipendamkan sahaja keinginan itu. Teringin sekali dia bertemu dan berbual dengan lelaki itu, namun hatinya menahan. Dia takut. Takut kehadirannya tidak diperlukan.

Perjalanannya masih terlalu jauh dan andai dia sembuh dia perlu membalas jasa kedua orang tuanya. Adakalanya Aryssa takut. Takut dia tewas sebelum sempat berjuang. Takut tidak dapat membalas pengorbanan orang tuanya. Yang paling ditakutinya, kalau-kalau Fizal tidak memaafkannya andai dia berterus terang.
“Hello, Aryssa ada?” suara itu membuatkan hati Aryssa berbunga ceria.
“Saya cakap… awak apa khabar, Am? sihat? Sudi juga awak telefon saya. Ingatkan dah buang nombor tu,” ujarnya.

Dua tahun dia menantikan suara itu menyapa telinganya. Hingga dia berputus asa.
“Saya sihat. Saya… saya minta maaf, Ary. Saya takut awak tak mahu bercakap dengan saya….” ujarnya tersekat-sekat.
“Kalau saya tak mahu cakap dengan awak, buat apa saya bagi nombor telefon ni?” tanya Aryssa kembali.

Dia melepaskan keluhan panjang. Bukan kerana bosan tetapi melepaskan perasaan lega menerima panggilan itu setelah sekian lama menanti.
“Kenapa? Awak bosan nak cakap dengan saya?” soal Amir, kaget bila mendengar keluhan berat Aryssa.
“Tak adalah. Saya suka awak call. Rasa terlalu gembira sebenarnya…sampaikan, tak tahu nak cakap apa,” ada sebak cuba ditahannya.
“Ingatkan awak tak mahu bercakap dengan saya sampai bila-bila. Terima kasih, sudi juga awak bercakap dengan saya… mana tahu ini kali yang terakhir,” ujarnya kemudian dalam tawa kecil.
“Ary, awak jangan cakap macam tu. Awak janji nak kawan dengan saya sampai bila-bila kan? Saya perlukan kawan seperti awak, Ary,” tertahan suara Amir.

Saat itu Aryssa memejamkan mata. Merasakan suara Amir meresap jauh ke sanubari. Suara yang teramat dirinduinya. Suara yang sering menjadi penemannya suatu ketika dulu. Tanpa sedar, setitik mutiara gugur dari bibir matanya.

Terima kasih, Amir. Berikan aku rasa bahagia ini, biarpun aku tahu ianya hanya seketika sahaja.

“Ary, awak ingat lagi tak lagu yang saya karangkan untuk awak?” soalan Amir Hizam membuatkan Aryssa tersenyum panjang.
“Saya tak pernah cuba lupakan awak, lagu awak, kenangan awak. Cuma awak yang lupakan saya. Awak tak mahu bertemu saya… hanya kerana awak rasa hidup awak sudah berakhir, kan?” soal Aryssa.
“Tak. Saya tak pernah lupakan awak! Kalau saya sudah lupakan awak, pasti saya tak kenal siapa budak tomboy yang menegur saya semalam,” naïf Amir. Tegas.
“Kenapa awak perlu bersalin kulit? Ke mana perginya Aryssa saya dulu? Saya tak suka awak pakai macam semalam, macam lelaki!” luah Amir, setelah sedikit kekuatan dikumpul untuk mengkritik Aryssa.

Dia dapat dengar gadis itu tertawa kecil. Selama ini, dia memang merindukan wajah manis itu. Bila Acid atau Meor datang ke rumah, passti cerita tentang Ary yang akan didengarnya. Tanpa disuruh, kedua beradik itu menceritakan apa sahaja tentang Ary pujaan hatinya. Namun dia tidak pernah menyangka, perubahan itu telah mengubah rupa fizikal Aryssa. Dan kini, saat ini, dia benar-benar rasa bersalah. Kerana diakah gedis ayu itu berubah sedrastik itu?
“Saya pun tak suka Amir yang sekarang. Tolong kembalikan Amir saya yang dulu. Amir yang tegas dan berpendirian…bukan Amir yang berputus asa seperti Amir sekarang!” dia masih belum menghabiskan sisa tawanya.

Malam itu mereka berbual panjang. Sudah lama Aryssa tidak seceria itu bila berbual. Jika ada pun, bila dia berbual dengan Fizal. Tapi bila meluahkan apa yang terbuku di hatinya kini, dia lega.

Aryssa puas mendengar janji Amir. Janji untuk menyulam semula cinta dengannya. Janji Amir untuk teruskan hidup tanpa menyalahi takdir. Janji Amir untuk mengotakan segala permintaannya yang mungkin permintaan terakhir daripada seorang Aryssa Alias.

Aryssa mahu Amir terus berjuang dan tidak kalah dalam menghadapi hidup. Amir tidak perlu lemah berhadapan dengan takdir. Dia perlu berjuang. Dia perlu bangun. Nasib diri setiap seseorang bergantung kepada perjuangannya sendiri.
“Saya masih sayangkan awak Aryssa, tapi…saya takut. Takut suatu hari nanti awak tinggalkan saya kerana saya tidak berdaya. Saya tidak sempurna seperti dulu, Aryssa. Saya cacat!” luah lelaki itu lagi.
“Am, sayang saya tak pernah hilang. Kenangan kita sentiasa saya ingat. Saya sedih Am, awak biarkan saya menagih kasih. Awak sedar tak, awak dah terlalu banyak lukakan hati saya?” lirih suara Aryssa. Kalau boleh, semua itu tidak mahu lagi diungkitnya.
“Awak tak pernah fikirkan perasaan saya kan? Awak hanya fikir pasal malu awak, rendah diri awak, sedih awak,” Aryssa mengesat airmata.
“Saya juga turut rasa apa yang awak rasa. Saya juga sedih. Saya sentiasa berusaha untuk harungi semua tu bersama awak… tapi, awak biarkan saya. Awak tolak kehadiran saya,” air matanya menitis tanpa diseka lagi bila mengenangkan semula semua kisah itu.
Pilu hatinya.
“Mujur saya bangun semula. Walaupun sendirian, saya terus juga berjuang. Kalau tidak, tentu SPM saya kantoi…” sambungnya lagi.
“Saya minta maaf, Aryssa. Saya janji akan sayangkan awak sampai bila-bila,” lafaz Amir Hizam. Perlahan. Syahdu.

Aryssa menyeka pipinya yang basah. Hatinya berbunga bahagia.
“Terima kasih, Am. Saya akan hargainya,” janji Aryssa.

Aryssa tersenyum puas. walaupun dia tahu dia tidak mungkin dapat menggenggam semula cinta Amir seperti dahulu, tetapi pengakuan Amir terhadap cintanya membuatkan dia lega. Dia tahu usianya tidak panjang untuk membalas kasih Amir, tetapi sekurang-kurangnya dia mampu pergi dengan aman apabila tiba waktu dan saat itu.

No comments: