Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 8

Sudah dua kali dia menghubungi Yanti di pejabat, namun jawapannya sama, Yanti belum masuk lagi. Syahirwan melirik ke arah jam di tangannya, sebelas lima belas, takkanlah Yanti akan masuk pejabat selewat itu. Dia mulai cuba menelefon telefon bimbit Yanti, tidak diangkat. Mungkin dia ada temujanji dengan pelanggan, getusnya untuk menyedapkan hati. Pantas jarinya mendail semula, kali ini nombornya milik Mazwin.

“Win, kita pergi lunch hari ni, aku ambil kau di office… kau tunggu ye!” laju Syahirwan memulakan kata.
“Okeylah, aku tunggu kau orang berdua,”
“Berdua apa? Aku je lah, Yanti tak ada dia ada appointment kot… dari tadi aku call dia tak angkat!”

Biasanya mereka bertiga akan keluar lunch bersama, dan seperti biasa Syahirwan akan mengambil Mazwin di pejabatnya. Mazwin sudah pun masuk ke dalam kereta Syahirwan, Honda City meluncur laju meninggalkan deretan pejabat di Medan Istana.

“Win, kita pergi airport dulu, aku nak jumpa kawan sekejap, lepas tu kita makan di Medan Ikan Bakar kat area airport tu…”

Syahirwan bersuara bila melihat Mazwin masih lagi diam, mungkin tidak biasa tanpa kehadiran Yasmin. Selalunya Mazwin duduk di belakang, kali ini dia terpaksa duduk di hadapan.

“Aku ikut je,” jawabnya perlahan.

Kereta Syahirwan sudah mula masuk ke perkarangan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, selepas meletakkan kereta mereka beriringan menuju kaunter. Tiba-tiba langkah Syahirwan terhenti, bila melihat sesusuk tubuh yang amat dikenalinya mesra di dalam dakapan seorang lelaki. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya, dia menekan call untuk nombor Yanti.

“Hello, sorry! I have a meeting now, I will call you later…” suaranya kedengaran jelas sekali dalam telefon mahupun di luar. Mazwin yang berada di sisi Syahirwan tersentak, bila dilihatnya Yanti dan Zakri berada betul-betul dihadapan mereka.

“Meeting di airport sambil berpelukan dengan jantan lain?” suara Syahirwan mendatar tapi penuh geram. Dia nampak wajah Yanti yang terperanjat memandangnya, dia tak menyangka mereka akan berada di situ.

“Hai, Mazwin, you buat apa kat sini?” Yanti terus mendapatkan mereka bila Zakri menyapa Mazwin.

Zakri yang tidak tahu keadaan sebenar, terus menghulur salam kepada Syahirwan. Syahirwan menyambut tangan Zakri dengan senyuman tenang, dia masih mampu mengawal perasaan.

“Kawan saya nak ambil tiket…” jawab Mazwin teragak-agak, dia takut Yasmin akan menuduhnya membawa Syahirwan ke mari, sedangkan dia langsung tidak tahu tentang kepulangan Zakri.

“Jom, Win, nanti kita lambat…” Syahirwan menarik tangan Mazwin meninggalkan Yanti yang masih lagi tidak bersuara. Dia hanya merenung mereka pergi. Tidak disangkanya hubungan itu akan berakhir begitu.

*******************

Sejak dari petang hingga malam, Syahirwan mendiamkan diri, langsung tidak mahu bercakap. Mazwin yang menemaninya sedari tadi sudah mulai bosan, mujur hari ini memang hari cutinya di kelab. Habis sahaja waktu pejabat dia mengambil Mazwin dari pejabatnya dan membawanya ke Taman Polo, kononnya untuk menemaninya berbual. Telefon bimbitnya yang asyik berlagu minta diangkat tidak langsung dipedulikannya, malah setiap sms yang diberi Yanti sejak tadi dipadam tanpa mahu membacanya.

“Syahirwan, sampai bila kau nak diam? Kalau macam ni tak payahlah kau ajak aku temankan kau…” dengusnya bosan sambil memeluk tubuh, dia memandang Syahirwan yang masih dalam kekusutan.

Syahirwan lantas melepaskan keluhan berat, ingin dilepaskan kemarahan dia tak tahu pada siapa, ingin dilepaskan pada Mazwin, dia tahu bukan salah gadis itu.

“Sepatutnya kau beritahu aku apa yang Yanti sembunyikan, kau pun sama subahat dengan diakan? Win kau banyak peluang nak bagitahu aku yang Yanti sedang menipu aku, kenapa kau tak cakap Win?” bentakan Syahirwan membuatkan Mazwin tersentak, tidak pasal-pasal dia pula yang dipersalahkan.

Walhal, dari mula lagi dia tak mahu turut campur urusan mereka, tambahan pula, Yanti sudah memberi amaran padanya dulu, ketika dia bersuara tentang perkara itu.

“Aku bukan tak mahu bagitahu, aku tak mahu campur hal korang. Yanti dah pesan pada aku awal-awal. Lagipun dia memang sayangkan kau sangat-sangat, Wan… Cuma dia tak boleh pilih kau, keluarganya sudah tentukan teman hidupnya. Kau hadir terlalu lewat dalam hidupnya, Wan! Kau kena faham keadaan dia, kau tak boleh salahkan dia,” terangnya, sekadar membela Yanti.

Walaupun dia tahu Yanti tidak perlu dibela kala ini, kerana sememangnya setiap kesilapan Yanti sudah diketahui dari awal lagi. Mazwin keliru, kenapa pula dia yang terpaksa menerima kecaman Syahirwan, sedangkan dia tak sepatutnya dipersalahkan. Berkali-kali juga Syahirwan memberitahunya dia kesal dan marah dengan tindakan Yanti kalau dia tahu Yanti sudah menjadi kepunyaan orang lain, dia masih mahu menjadi sahabatnya seperti dulu.

Malam itu setelah hati Syahirwan mulai sejuk sedikit mereka meninggalkan Padang Polo, mencari hiburan lain yang boleh menghilangkan kekusutan fikirannya. Jauh di sudut hati Mazwin, terdetik rasa simpati pada lelaki itu, mana tidaknya, kasihnya baru sahaja mahu berputik, tapi tiba-tiba layu akibat kecurangan Yanti.

Sudahlah selama ini Syahirwan sedang dahagakan cinta dari seorang gadis selepas Harliana berlaku curang, ingatkan Yanti mampu memberi sinar cinta padanya, rupa-rupanya segalanya hanya tinggal harapan. Mazwin merenung wajah tampan Syahirwan, wajah itu murung dan pastinya keegoaannya tercabar dengan perbuatan Yanti. Namun apa yang boleh Mazwin buat? Sedangkan dia sendiri tak berdaya untuk menghalang Yanti sejak dari mula.

“Win, kau rasa aku ni teruk sangatkah untuk dijadikan kekasih?” soal Syahirwan setelah sekian lama dia berdiam diri.

“Kualiti tu dah ada, tapi kadangkala kau terpaksa hadapi kemungkinan yang kau bukan citarasa mereka. Jadi kau kenalah cari orang yang mempunyai citarasa terhadap kau!” jawapan Mazwin membuatkan Syahirwan merenungnya.
“Pada kaulah kan, aku ni bodoh sangatkah sampai selalu kena tipu dengan perempuan?” soal Syahirwan lagi, masih tak puas hati dengan apa yang berlaku padanya.

“Kau tak bodoh! Tapi mereka yang bodoh sebab tinggalkan kau! Kalau aku jadi mereka, aku tak akan lepaskan kau pada mana-mana perempuan lain! Kau baik Wan!” Mazwin cuba memujuk lelaki itu.

Dia tahu saat ini yang diperlukan oleh Syahirwan hanyalah sokongan darinya. Walaupun dia tidak pernah mengalami kekecewaan dalam percintaan, namun pengalaman hidup mengajarnya untuk memberi sokongan pada yang memerlukan.

“Betul ke kalau kau jadi mereka, kau tak akan tinggalkan aku? Atau kau sengaja nak sedapkan hati aku je? Aku nak kau janji dengan aku, kita jadi kawan sampai bila-bila Win. Aku tak sanggup kehilangan sahabat seperti kau! Biarlah beribu kasih aku datang, tapi kau tetap sahabat aku!” mendengar kata-kata Syahirwan, Mazwin senyum.

“Sudah tentu Wan! Kau jadi sahabat aku, sampai bila-bila!” jawapan Mazwin membuatkan Syahirwan merenungnya lega.
Terima kasih Mazwin. Aku tidakkan mengkhianati persahabatan ini, kerana hubungan sahabat lebih suci dari hubungi kekasih yang kadangkala penuh kepura-puraan yang menjijikkan.

Wajah Syahirwan cerah semula. Dia tahu dia tidak akan dapat memiliki Yanti lagi. Walau apa cara sekalipun dia tidak mungkin akan merampas Yanti semula. Pisang sudah berbuah dua kali. Kecurangan dua wanita dalam tempoh tidak lama membuatkan dia terasa dirinya diperbodohkan. Dan dia berjanji, hanya akan ada seorang Yanti dan seorang Harliana yang pernah hadir dalam hidupnya. Tidak mungkin dua wanita itu akan menjadi kekasihnya untuk kali kedua.

No comments: