Tuesday, November 4, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 13

BAB TIGA BELAS

Mazwin semakin bersemangat untuk bekerja, maklumlah sudah diiktiraf selayaknya sebagai seorang peguam, itulah impian dan cita-citanya sejak dari kecil. Harapannya untuk membawa keluarga pergi jauh dari kemiskinan sudah dapat dibuktikannya.

Sejak dia bekerja tetap emaknya bukan main gembira, penyakitnya juga semakin pulih walaupun cuaca yang tidak menentu membuatkan emaknya semput kadangkala. Akhir-akhir ini juga ayahnya sering menjenguk, bertanyakan keperluan yang mereka perlukan seharian. Walaupun marah mereka pada ayah masih membara. Tetapi kerana nasihat emak setiap hari membuatkan mereka terpaksa padamkan kemarahan itu, tapi masing-masing menyimpan kekecewaan yang tidak bertepi terhadap ayah.

Mazwin juga sudah tidak perlu menaiki bas untuk ke pejabat atau menumpang Syahirwan setiap kali pulang dari pejabat. Atas bantuan Syahirwan juga dia sudah punyai kereta sendiri. Hubungannya dengan Syahirwan berjalan seperti biasa, lelaki itu masih mahu datang dan makan tengah hari di rumahnya kalau ada masa terluang di hujung minggu. Emak menyenangi Syahirwan, dilayannya anak muda itu umpama anak sendiri.
“Awin, mak rasa, Syahirwan tu macam suka pada kau. Tapi kau tu pun endah tak endah je kat dia,” luah Manisah.

Ibu itu membetulkan duduknya supaya rasa selesa bila Mazwin memicit belakangnya. Jari jemari Mazwin yang runcing pantas memicit lembut bahu Manisah.

“Mak ni mengarutlah, tak adalah dia nak kan saya ni mak. Siapa lah kita di mata dia mak. Dia tu orang berada, mak. Kita ni orang tak ada,” jawab Mazwin tenang.

Sememangnya dia tidak pernah fikirkan tentang itu. Mana mungkin Syahirwan menyukai dirinya, sedangkan Syahirwan kenal siapa Mazwin. Lagipun lelaki itu pernah menyuarakan yang dia sudah jatuh cinta, tapi sehingga sekarang dia berat bertanya, siapa gadis yang dicintainya. Itu semua bukan urusan hidupnya. Mazwin tidak perlu ambil tahu.

“Kau tu yang terlalu merendah diri sangat, Awin. Mak bukan apa, risau umur kau makin lama, makin meningkat. Sejak kau dah bekerja ni saudara-mara kita asyik bertanya tentang kau. Hari tu mak uda kau datang lagi bertanyakan kau, dah ada yang punya ke belum. Kelmarin, pak su Samat kau pula datang bertanya,” kata-kata emaknya dibalas dengan senyuman.

“Dulu masa kita susah, tak ada siapa pun nak ambil tahu pasal kita kan mak, kenapa sekarang mereka yang sibuk-sibuk bila saya lambat kahwin? Mak, selagi adik-adik tak lepas, saya tak mahu kahwin!” balas Mazwin lembut tapi tegas.

Memang dia langsung tidak pernah mahu memikirkan soal jodoh, tanggungjawabnya terhadap ketiga-tiga adiknya harus difikirkan dulu. Lagipun adakah lelaki yang akan menerimanya sepenuh hati. Sedangkan Haizam sendiri belum mengenalinya luar dalam, sudah membuat keputusan meninggalkannya.

Sejak akhir-akhir ini pula, ada sahaja saudara-mara yang datang menjenguk mereka, walhal semasa mereka susah dahulu jangan kata saudara jauh, mak udanya yang tinggal beberapa meter sahaja dari rumahnya pun jarang menjenguk. Sekarang boleh dikatakan setiap hari mak udanya bertunggu-tangga di rumah kayu itu, bertanyakan itu ini hingga kadangkala dia naik rimas.

Manisah merenung anak gadisnya melalui cermin dihadapannya. Anak itu terlalu banyak berkorban demi keluarga. Sejak sekolah lagi anak itu bekerja mencari rezeki membantu meringankan bebannya, pengorbanannya terlalu besar terhadap keluarga. Adakalanya dia simpati pada anak itu yang langsung tidak ada masa untuk berfikir tentang diri sendiri. Sebagai ibu sudah pastinya dia mahu anaknya itu mendapat teman hidup yang sesuai, yang mampu membahagiakannya.

“Mak bukan apa Mazwin, kalau boleh mak nak kau kahwin dengan orang yang baik, bertanggungjawab dan boleh jaga kau. Kau pun dah terlalu banyak habiskan masa untuk keluarga, sekarang kau kena fikirkan juga pasal masa depan kau!” Manisah masih tak mahu berganjak dari persoalan itu.

“Mak tak takut ke? Nanti kalau saya dah kahwin, saya tak balik langsung jenguk mak. Yelah, sayakan sibuk kat pejabat, lepas tu balik rumah kena uruskan rumahtangga dan suami, itu belum masuk lagi bila kena kerja luar kawasan. Nanti saya tak jenguk mak, mak nangis sorang-sorang, baru mak tahu!” balas sang anak itu, berbau ugutan.

Manisah hilang kata-kata, takut juga dia kalau-kalau anak itu tidak menjenguknya bila dia berkahwin. Dia tidak mahu kehilangan lagi, dulu dia pernah kehilangan perhatian dan kasih sayang dari Alias. Tapi sokongan anak-anak yang membuatkannya menjadi lebih kuat, dia dapat bertahan hingga kini.

Jika suatu hari nanti Mazwin pula pergi meninggalkannya dia akan hilang sokongan yang terkuat, dia tidak akan mampu hidup tanpa anak sulungnya itu, kerana anak itu begitu istimewa untuknya, salah satu kurniaan Tuhan yang memberi kehidupan yang amat bermakna padanya. Namun dia juga harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang mendatang, dia harus terima hakikat bahawa suatu masa nanti Mazwin akan dimiliki orang.

***************

“Macammana, Syah? Dah dapat carikan calon untuk mama?” pertanyaan Zaharah membuatkan Syahirwan tersedak.

Dia meletakkan semula cawannya. Sudah beberapa bulan mamanya tidak bertanya tentang teman hidup, alih-alih pagi ini tiba-tiba sahaja ianya keluar dari mulutnya.

“Mama bukan apa, dah lama mama tak dengar suara budak-budak, teringin juga nak dengar rumah ni riuh dengan suara budak-budak kan bang?” seraya itu Zaharah merenung ke arah Taufiq yang sedari tadi asyik menghadap akhbar. Suaminya itu hanya mengangkat kening dan mengangguk.

“Alah, Syaiful kan dah kahwin? Suruh aje isterinya tu beranak, dapatlah mama cucu. Kahwin dah dua tahun, takkan tak ada ‘hasil’ lagi kot?” balas Syahirwan, adakalanya malas nak melayan bebelan mamanya.

“Itulah susahnya budak sekarang, nak cari isteri, yang kerja model… lepas tu mulalah takut nak beranak, takut gemuklah, takut carier jatuhlah… lama-lama nanti mama ni mati celik, tak dapat tengok cucu sendiri…” leter Zaharah.

“Kalau Syah cari isteri, Syah cari orang kampung je ma, lepas tu Syah bagi dia beranak setahun dua kali, mama jagalah cucu-cucu mama tu nanti! Lagi ramai lagi meriah…” gurau Syahirwan.

Zaharah mengetap bibir mendengar jawapan Syahirwan, anak itu memang tak pernah serius, bila orang bercakap pasal kahwin, seringkali dipermainkannya.

“Orang cakap betul-betul, dia main-main pula.” getus Zaharah, geram.
Tangannya menyenduk mihun goreng ke dalam piring di hadapan Syahirwan. Anak itu cuma tersenyum-senyum melihat mamanya menarik muka. Bukan sehari dua pertanyaan mamanya di balas senyuman. Sudah acapkali soalan itu keluar dan setiap kali itu juga tiada jawapan yang pasti. Namun si ibu masih tidak jemu bertanya.

“Kalau kau tak ada calon, mama boleh carikan. Kalau dah ada, kau bawa jumpa mama, mama tak kisah pun siapa dia asalkan kau suka dan~”

“Yang penting boleh beranak secepat mungkin, ye ma?” seloroh Syahirwan lagi. Memintas kata-kata Zaharah, kemudian dia ketawa. Zaharah menjeling geram, anak itu memang suka mempermainkannya.

Selama ini dia tidak kisah siapa pun bakal menantunya, asalkan anak-anaknya bahagia. Tapi bila Syaiful, anak yang keduanya berkahwin dengan Zamira yang bekerja sebagai model iklan, hatinya dilanda risau andai Syahirwan juga mencari isteri yang bekerjaya seperti Zamira. Dia mahu anak-anaknya dijaga baik oleh isteri masing-masing, bukannya hanya mementingkan karier sehingga makan minum suami diabaikan.

Zamira bukan tak baik, dia baik dan sopan santun pada saat mula-mula jadi menantunya, tapi setelah beberapa bulan, baru dia tahu sikap sebenar menantunya itu. Syaiful pula terlalu menurut kata si isteri, apa yang dibuat Zamira semua betul dimatanya, sehinggakan bila si Zamira mengambil keputusan tak mahu mengandung pun, Syaiful akur.

Sedangkan orang berkahwin tentulah mahukan anak sebagai penyeri dalam rumah tangga, ini tidak, bila diajukan soalan tentang anak, si Zamira tak henti bercerita tentang kariernya yang sedang naik, peluangnya untuk menjadi model terkenal dan macam-macam lagilah yang membuatkan Zaharah mula rasa meluat.

Perangai Syahirwan dan Syaiful banyak bezanya, Syaiful lebih banyak berdiam dan memendam perasaan, jarang nak tengok wajahnya marah dan semua orang baik di matanya. Manakala si Syahirwan pula, panas baran sedikit, tetapi cepat sejuk, pandai bergurau dan agak tegas dengan setiap keputusannya.

Teringat Zaharah pada Harliana, teman wanita Syahirwan semasa di alam persekolahan, gadis itu cantik dan lemah-lembut. Dia tak pernah menghalang perhubungan anaknya itu, malah adakalanya menyokong walaupun si ayah adakalanya menentang perlakuan si anak, tapi sebagai ibu dia lebih faham kehendak anak-anak, tambah pula anak muda yang baru naik biasanya akan lebih rajin belajar bila ada teman wanita di sekolah.

Semasa berada di tahun dua di UM masing-masing buat keputusan untuk bertunang, kononnya Syahirwan takut nanti Harliana disambar orang. Bila Syahirwan membuat keputusan memutuskan ikatan pertunangan mereka semasa kedua-duanya masih di tahun tiga di universiti, dia benar-benar terkejut. Puas Zaharah bertanya, Syahirwan langsung tak mahu menceritakan sebab dia mahu putuskan pertunangan, yang dia beritahu, sudah tiada jodoh, itu saja.

Masa itu juga Zaharah menghubungi Harliana, gadis itu hanya menangis dan menangis, yang si Syahirwan pula tak henti menyuruhnya memulangkan kesemua barang-barang hantaran mereka. Katanya, apabila dia balik nanti dia tak mahu barang-barang itu ada di rumah, kerana menurut kata si anak, Zaharah dan Taufiq pergi ke rumah orang tua Harliana memulangkan semula apa yang diberi, dan sehingga ke hari ini Zaharah masih lagi menunggu pengganti Harliana.

No comments: