Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 19

BAB SEMBILAN BELAS

Zaharah masih lagi terjenguk di muka pintu, menantikan kepulangan Syahirwan dengan bakal menantunya. Tidak sabar hatinya nak melihat calon Syahirwan, cantikkah? Adakah secantik Zamira, atau pun selembut Harliana…

Tengah hari ini dia masak istimewa sedikit dari hari biasa, semuanya gara-gara Syahirwan membuka mulut untuk membawa bidadarinya berjumpa keluarga. Hati Zaharah jadi tidak sabar hendak melihat gadis itu, mereka pernah berbual di telefon sebelum ini, suara gadis itu lembut dan pandai berbual sepertimana Zamira dulu, sebelum berkahwin dengan Syaiful.

Tidak sabar juga dia nak menguji tahap kepandaian gadis itu dalam membuat kerja dapur, sebab itulah sengaja dia tidak menghidang makanan sebelum mereka sampai. Bukan apa, semasa Syaiful membawa Zamira dulu, dia tidak terfikir untuk berbuat demikian, tapi kali ini, biar dia yang tentukan kalau ada yang tidak kena, dia perlu perbetulkan dari mula. Tidaklah bila Syahirwan sudah berkahwin nanti, hatinya selalu terhiris dengan perbuatan menantu.
“Duduklah dulu, Zah. Kejap lagi sampailah Syahir tu… yang awak ni macam kucing hilang anak, apahal?” tanya Taufik yang sejak tadi rimas melihat isterinya itu mundar-mandir di hadapannya.

Zaharah terus duduk disebelah suaminya yang sedang asyik membaca dan sentiasa berada dalam keadaan tenang.

“Saya ni tak sabar nak tengok bakal menantu kita tu, baik ke? Cantik ke? Macammana dia boleh bukakan hati si Syahir tu nak bercinta lagi?” jawab Zaharah, Taufik menggeleng kepala, dia meletakkan buku yang dibacanya, seraya merenung isterinya.

“Dari awak mundar-mandir ni, baik awak buatkan saya air, perut saya dah mula berbunyi ni, lapar! Tak tahan saya terbaukan ayam madu awak tu…” Zaharah menjeling suaminya yang sedang mengusap perut.

Salah dia juga, terlampau excited nak jumpa bakal menantu sampai air sang suami pun terlupa nak sajikan. Sebelum sempat dia ke dapur terdengar orang memberi salam. Zaharah lantas bergegas semula ke ruang tamu menjenguk ke muka pintu, dan kelihatan Syahirwan berdiri bersama seorang gadis.
Gadis itu begitu sederhana, berkulit cerah, mempunyai raut wajah yang bersahaja dan lembut, rambutnya lurus separas bahu dilepaskan, ayu dan mempesonakan. Sungguh, untuk pandangan pertama ini, Zaharah cukup berpuas hati dengan pilihan anak sulungnya itu, sedap mata memandang.

“Ma, inilah Mazwin…” Syahirwan memperkenalkan gadis di sebelahnya.

“Apa khabar mak cik?” gadis itu tunduk mencium tangannya, sopan.

Tapi, semua orang akan berkelakuan sopan pada mulanya, selepas sahaja berkahwin pasti keluar segala belangnya.

“Alhamdulillah! Masuklah, Mazwin…” Zaharah menjemput gadis itu masuk.

“Minta maaf, mak cik, pak cik. Kami terlewat sikit, sebab saya ada mesyuarat di pejabat tadi…”

Dengan penuh sopan Mazwin memohon maaf dan mereka berbual seketika di ruang tamu sebelum Mazwin meminta diri untuk bangun mengikut Zaharah ke ruang makan.

“Eh! Mazwin duduklah dulu, biar mak cik siapkan apa yang patut!” ujar Zaharah bila dilihatnya gadis itu mengekorinya ke dapur.

“Tak bestlah berborak dengan orang lelaki, ceritanya dah tentu pasal kereta, pasal kerja... Kalau berbual dengan mak cik, ceritanya mesti cerita orang perempuan, pasal dapur, pasal resipi!” ujar Mazwin sambil mengekori Zaharah.

Pandai budak ni ambil hati orang tua. Bercakap pun petah, jangan dah kahwin petah menjawab cakap suami sudahlah! Sampai sahaja di dapur Mazwin terus bertanyakan apa yang patut dibuatnya, Zaharah cuma memintanya menyenduk gulai di periuk.

Sementara itu matanya bagaikan tidak puas memerhatikan cara gadis itu menyediakan meja makan, dari cara dia menyenduk lauk-pauk hingga ke menyusun atur hidangan, segalanya diatur dengan kemas tanpa sedikit pun kekok. Dari pandangannya gadis ini tentu sahaja biasa dengan kerja dapur, malah Mazwin juga suka bertukar-tukar petua dengannya, ternyata gadis ini tidak seperti yang digambarkan.

“Mazwin, suka budak-budak?” memang soalan itu yang paling dia mahu tau jawapannya.

Kalau gadis itu sukakan budak, tentunya peluang untuknya menimang cucu awal, cerah, kalau tidak, tinggal harapan sajalah.

“Suka! Kenapa makcik tanya?” jawab Mazwin, dahinya berkerut hairan.

Zaharah tersenyum meleret dengan jawapan gadis itu, jawapan itulah yang paling ditunggu-tunggu, sejenak itu mengingatkannya pada Zamira, yang pernah diajukan soalan yang sama, tapi soalan itu dibiarkan tergantung sehingga kini.

“Tak delah, biasanya orang yang suka budak-budak ni, penyayang… kalau dah kahwin nanti, cepat-cepat ada anak, tak payah nak rancang-rancang…” ujar Zaharah bila dilihatnya gadis itu semacam hairan dengan soalannya.

“Ye lah, mama! Nanti dah kahwin, tiap-tiap hari Shah dan Mazwin buat anak, lepas tu Shah suruh dia beranak setahun tiga kali, sekali bersalin kembar tiga! Mama jangan risau. Takut nanti mama tak larat nak layan cucu pula. Dah siap ke belum ni? Orang dah lapar ni…”

Syahirwan tiba-tiba muncul dan merangkul belakang Zaharah. Merah padam muka Mazwin, malu betul dia bila Syahirwan bercakap begitu di hadapan Zaharah, dengan pantas dia mengalih pandangannya ke arah lain.

- Ada ke depan mak dia cakap macam ni, tak senonoh betul Syahirwan ni, kalau iya pun, tengoklah orang sikit, cakap main lepas je, lepas tu nak suruh dia beranak tiga kali setahun, kembar tiga pula tu, gila! Dia ingat Mazwin ni kilang agaknya, suka-suka nak buat anak hari-hari konon. Entah bila masa pula dia bersetuju untuk berkahwin dengannya, Mazwin sendiri tak tahu.

“Tengok muka Mazwin dah macam udang kena bakar. Kau ni, kalau melawak pun tengoklah orang sikit. Mazwin jangan layan sangat Syah ni, memang dari dulu mulutnya tak pernah ada insuran!” Zaharah pura-pura memarahi anak bujangnya.
Dia amat menyenangi Mazwin, ternyata gadis mempunyai sifat malu yang tinggi tidak seperti kebanyakan anak dara yang pernah dikenalinya, langsung tak tahu malu!

Mazwin senang dengan keluarga itu, walaupun dia masih tidak mengenali adik beradik Syahirwan yang lain, tapi ibubapa lelaki itu melayaninya dengan baik. Memang bertuah kalau sesiapa yang menjadi pasangan Syahirwan, orangnya tampan, bijak, baik hati seperti kedua ibubapanya juga, malah lelaki itu juga pandai mengambil hati orang tua. Apa gunanya semua itu kalau hati tidak cinta.

Mazwin sendiri keliru dengan perasaannya, ingin ditolak cinta Syahirwan, dia tidak sampai hati, lelaki itu melayaninya terlalu baik hingga dia terasa begitu dihargai. Perlukah dia berterus-terang tentang dirinya? Andai dia berterus-terang, dia takut Syahirwan tidak mampu menerimanya dan meninggalkannya terkapai-kapai, kerana hatinya mulai berputik sayang pada lelaki itu. Jika tidak berterus-terang sekarang, hatinya jadi bimbang, kalau-kalau bila Syahirwan mengetahuinya suatu hari nanti, cinta lelaki itu akan beralih arah, dan dia akan ditinggalkan dalam kecewa. Tapi, benarkah apa yang dirasakannya sekarang adalah sayang ataupun dia hanya mahu menemani Syahirwan seketika sebelum lelaki itu menemui pengganti.

No comments: