Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 21

BAB DUA PULUH SATU

Hatinya bagai dihiris-hiris apabila melihat kemesraan mereka. Tidak sangka lelaki yang amat dicintainya sudah berubah hati. Dia kecewa, tersangat kecewa, tetapi dia tidak akan mengalah, Syahirwan adalah haknya, itu yang dipegangnya semenjak pertama kali mereka bertemu. Dia tak akan melepaskan lelaki itu begitu sahaja walaupun perampas itu adalah kakaknya sendiri.

Malam itu juga selepas lelaki itu pulang dia terus mencapai telefon, nombor telefon lelaki itu didailnya. Maisarah mahukan kepastian, mengapa Syahirwan sanggup melupakan janji-janjinya, mengapa Syahirwan sanggup melukakan hati dan perasaannya sedangkan dia langsung tak mampu untuk memadamkan wajah pemuda itu dari kotak fikirannya.

“Abang nak tipu Mai ye? Abang janji dengan Mai macammana? Abang kata abang sayangkan Mai!” bentak Maisarah, sebaik sahaja Syahirwan mengangkat telefon itu.

Dia tidak sanggup lagi untuk berdiam diri, dia harus menyelesaikan masalah cintanya itu, yang sentiasa membelenggu fikiran sehingga dia tak mampu menumpukan sepenuh perhatian pada pelajarannya.
“Bukan abang tak sayangkan Mai, tapi abang kesiankan kak long Mai. Abang terpaksa Mai, abang kawan dengan dia dah lama. Abang pun tak mahu menghampakan harapan emak Mai untuk jadikan abang suami Mazwin, “ dia merenung ke dalam mata gadis itu. Kemudian menyambung kata.

“Mai kena faham, lagipun Mai masih sekolah, takkan emak Mai setuju kalau abang pinang Mai sekalipun? Abang tak tipu Mai. Tapi bagi abang peluang tolong kakak Mai dulu, dia dah banyak berkorban untuk keluarga Mai,” keterangan panjang lebar dari Syahirwan membuatkan hatinya sedikit lapang.

Rupanya Syahirwan cuma mahu menolong Mazwin, tolong bagaimana itu Maisarah tak mahu ambil peduli yang penting suatu hari nanti dia mahu hidup bersama Syahirwan.

“Sudahlah tu sayang, jangan fikirkan yang bukan-bukan. Abang sayang Mai. Satu hari nanti kita akan hidup bersama. Mai jangan bagi abang confuse, okey! Abang tak main-mainkan Mai!” sambung lelaki itu lagi.

“Tapi nanti, kalau kak long tahu macam mana? Takkan lepas je abang kahwin dengan dia abang terus nak ceraikan? Macam mana Mai nak percaya pada abang? Nanti kalau abang dah betul-betul sayangkan kak long, Mai pula macam mana?” saat itu airmatanya mengalir, suaranya masih diperlahankan, walaupun dia tahu ketika ini, semua yang berada di rumah sedang enak diulit mimpi.

“Pasal tu, Mai jangan takut. Abang kenal kak long tu, dia dapat terimanya satu hari nanti. Buat masa sekarang, Mai belajar, tahun depankan Mai ambil SPM, tumpukan perhatian pada pelajaran dulu. Habiskan dulu sekolah lepas tu abang tahulah nak buat apa. Abang sayangkan Mai, satu hari nanti kita bina hidup bersama, abangkan dah janji pada Mai?” kelembutan pada suara itu membuatkan Maisarah terpesona. Kerana perjanjian itu juga dia akur dengan kehendak Syahirwan.

Memang benar kata Syahirwan, dia masih belajar, tak mungkin emak akan kahwinkannya pada usia semuda ini. Maisarah harus bersabar, dia tidak akan kehilangan Syahirwan kerana dia terlalu sayangkan lelaki itu, teramat sayang.

“Mai sayang abang sangat-sangat!” ucapan itu mengakhiri perbualan mereka.

Kata-kata lunak Syahirwan sudah meresap ke segenap jiwanya, Maisarah berasa lega. Malam itu dia tidur bertemankan angan-angan membina hidup bersama Syahirwan.

**************

Syahirwan baru sahaja meletakkan ganggang telefon. Kepalanya berat memikirkan apa yang terjadi dalam dirinya. Kadangkala dia merasakan dirinya sudah terheret ke dalam masalah besar yang diciptakannya sendiri. Dia terlanjur menyayangi kedua beradik itu, tapi mana mungkin dia dapat mengahwini kedua-duanya. Syahirwan memang menyenangi kebaikan Mazwin tapi hatinya bagaikan terpikat pula dengan keayuan Maisarah dan segalanya berlaku serentak.

Dia menerima Maisarah apabila, pertama kali gadis itu menghubunginya melalui telefon. Gadis manis itu dengan berani meluahkan apa yang tersirat dihatinya selama ini. Selama dia mengenali Syahirwan. Waktu itu dia mula jadi serba salah, walaupun sebenarnya dia juga sudah mulai terpesona dengan keayuan Maisarah, namun kebaikan Mazwin selalu membelenggu dirinya.

Kini baru dia tahu. Hatinya kuat menyintai Mazwin, tapi ketelanjuran kata-kata terhadap Maisarah membuatkan dia tidak dapat membuat keputusan. Dan akhirnya kepada Mazwin diberikannya cinta, pada Maisarah pula diberikannya harapan supaya gadis itu tidak terlalu kecewa dan suatu hari nanti dia mesti meleraikan semua ini walaupun dia tidak tahu dari mana harus dia mulakan.

Dia tidak mahu berterus terang sekarang kerana Syahirwan teramat menyayangi Manisah, ibu tua mereka yang dianggap bagaikan ibu sendiri, kerana itu juga dia memilih Mazwin walaupun kadangkala hatinya kuat menyayangi Maisarah. Maafkan abang Mai, andai Mai kecewa sekarang dan maafkan aku Mazwin andai suatu hari nanti akan aku tinggalkan kau untuk kuberikan ruangan hidup ini pada adik kandungmu sendiri!

3 comments:

LeaQistina said...

shahirwan.. lelaki yg tak tahu dek untung.. huh!!

norul'ainmatsom said...

marah ngan wan,,
mara ni,,mmg mara,,,

akuro aihara said...

arghh!!
tensionnye ngn wan nie..haish..
cm nak bg je tangn ni kat die..haish..cian win..lelaki..lelaki..