Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 27

BAB DUA PULUH TUJUH

“Kau ke mana tadi? M.C. untuk sakit ke jumpa kekasih lama?” bentak Syahirwan sebaik sahaja Mazwin selesai menunaikan solat Maghrib.

Terpinga-pinga dia merenung suaminya yang sedang bercekak pinggang. Wajahnya bertukar hitam dan merah menyala merenung marah ke arah Mazwin yang masih tidak membalas kata-katanya. Dia terus melipat telekung dan sejadah tanpa memperdulikan Syahirwan.

“Sejak bila kau dah jadi kurang ajar ni hah? Sejak kau mula berhubung dengan si keparat tu?” tengking Syahirwan lagi.

Mazwin dapat mengagak pasti Syahirwan ternampak dia di restoran bersama Haizam siang tadi. Dia langsung tidak menunjukkan reaksi terperanjat kerana restoran itu berada di kawasan tempat kerja Syahirwan.

“Hoi! Betina, aku cakap dengan kau lah, bukan dengan dinding!” lelaki itu sudah menunjal kepala Mazwin.
Wanita itu cuma menangis, bukan dia tidak mahu membalas kata-kata suaminya, tapi dia masih ingin bersikap rasional untuk bertanya tentang persoalan yang berlegar difikirannya.

“Maafkan Awin! Awin terserempak dia tadi di situ, bukannya dirancang seperti yang Wan sangkakan. Awin baru balik dari klinik masa tu,” ujarnya teramat perlahan, sambil tangannya meraih tangan Syahirwan.

Dia mengucup tangan lelaki itu, menyembunyikan resah di hati. Dia sendiri keliru, kerana sepatutnya dia yang meluahkan apa yang terpendam di hati, namun yang terjadi sebaliknya. Melihat sikap Mazwin yang begitu sabar, Syahirwan terkedu seketika. Dia menyangka Mazwin akan membalas kasar pertanyaannya. Timbul kesal di hati kerana mengasari isterinya itu. Namun kerana keegoaan yang menebal, dia tidak harus terus berlembut menawan hati sang isteri.

“Baguslah macam tu, mula-mula terserempak kemudian bertukar nombor telefon, lama-lama nanti kau mulalah main kayu tiga dengan aku. Hey, kau ingat aku hairan sangat dengan perempuan macam kau? Kalau kau boleh buat, aku boleh buat lebih dari itu, Mazwin!” tengkingnya lagi, sekadar tidak mahu menunjukkan rasa bersalahnya kepada wanita itu.
“Saya tahu, awak boleh buat lebih dari itu dan itu yang awak sedang lakukan, bukan? Awak lukakan hati saya dalam diam, awak lakukan dosa di belakang saya tanpa rasa bersalah,” dia mampu menahan sebak.

“Tapi saya tidak pernah lagi mempertikaikannya, saya selalu berdoa segalanya akan selesai dengan baik, walaupun dalam hati saya, awak sudah tidak layak lagi digelar suami, Syahirwan!” sambung Mazwin perlahan.

Dia tidak mahu suaranya keluar dari bilik tidur mereka, dia tidak mahu terlalu kurang ajar dan maruah suaminya harus terbela di mata orang lain. Tidak sanggup membiarkan orang lain sewenangnya mempertikaikan tentang maruah lelaki itu jika dia menengkingnya.

“Oh, kau nak cari salah aku pula? Apa salah aku? Kau nak tuduh aku pula yang berpoya-poya dengan perempuan lain? Selama ini kau mengintip akulah ye, ke mana aku pergi, dengan siapa? Kau ingat kau siapa? Sudahlah kau mandul tak boleh berikan aku anak, banyak cakap pula!” jerkah Syahirwan.

“Kau ingat aku hairan sangat dengan kau ye? Hey, betina aku tak hairanlah! Sepatutnya kau tu kena berterima kasih sebab aku sudi tolong kahwin dengan kau yang dah di tebuk tupai tu!!!” jerkahan itu hadir sekali lagi bersama tunjalan keras singgah di dahi Mazwin.
]
Wanita itu cuma menangis mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut lelaki itu. Walaupun pedih, namun dia masih boleh menelan kata-kata itu.

“Sampai hati awak, Wan. Awin ingat Wan ikhlas nak kahwin dengan Awin! Sampai hati Wan!” rintihnya. Hiba dadanya mendengar kata-kata kesat Syahirwan.

“Kau ingat dengan tangisan kau ni aku nak bersimpati? Kau ingat aku rela sangat nak jadi pak sanggup kau? Aku dah tolong berkahwin dengan kau, sepatutnya kau bersyukur.” Sindir lelaki itu.

Saat itu pedih hati Mazwin tidak dapat di tahan lagi. Pilu amat mendengar kata-kata sindiran dari bibir yang pernah melafaz pelbagai janji itu. Tergamaknya lelaki yang telah diberikan cinta sepenuh hati itu menyakiti hatinya hingga sebegini rupa.

“Kau ingat kalau aku tak kahwin dengan kau ada ke jantan tu nakkan kau kalau dia tahu kau dah rosak? Aku dah sanggup terima kau, kau cari juga jantan tu lagi! Apa yang jantan tu boleh bagi pada kau?” pekik Syahirwan.

“Kau tu sepatutnya sedarlah sikit! Aku ni dah korbankan hidup aku semata-mata nak jadi pak sanggup kau, kau pergi pula cari jantan lain! Kau ingat aku ni apa? Tunggul kayu?” bentakan demi bentakan menerjah Mazwin.

Hingga dia tidak lagi mampu mengeluarkan walau sepatah kata. Ternyata di gelanggang rumahtangganya sendiri Mazwin tidak mampu mematahkan hujah. Dia jadi lemah. Tiada kekuatan untuk melawan. Dia tidak mampu menyangkal setiap kata-kata dan persoalan lelaki di hadapannya. Dia hanya menunduk menahan tangis.

“Kenapa la kau ni tak reti nak bersyukur? Dah ada aku tolong kutip kau tu pun dah kira baik! Kalau tak kerana aku kesiankan kau, takdenya aku nak kawin dengan betina macam kau ni!” lontaran kata-kata yang menyakitkan itu membuatkan hati Mazwin terluka.

Ternyata api kemarahannya sedang marak menyala. Mazwin terkejut mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut Syahirwan. Tidak pernah disangkanya Syahirwan akan mengungkit kisah hitamnya. Tidak pernah dia tahu lelaki itu mengahwininya hanya kerana kasihan.

Betapa luluh hatinya mendengar segala yang keluar dari mulut lelaki yang pernah berjanji untuk berkongsi hidup dengannya. Yang pernah mengeluarkan kata-kata cinta. Yang pernah merayunya untuk menyintainya sepenuh hati.

Mazwin masih bersabar, walaupun hatinya tersayat pedih, tanpa menepis mahupun membalas segala tohmahan Syahirwan. Dia tidak menangis lagi, dia sudah nekad menelan segala pahit yang sudah terkulum di hatinya. Dia sudah nekad untuk tidak mendedahkan apa yang dia tahu dan apa yang dia tanggung. Dia mahu Syahirwan memikirkannya sendiri. Dia mahu pergi meninggalkan segala kekalutan ini. Biarlah orang menyangka buruk, dan dia rela demi sekeping hati yang sedang menanti dengan harapan.

Mazwin bangun mengemas segala yang perlu, diambilnya beg besar yang terletak di atas almari. Dikumpulnya segala pakaiannya yang tersusun rapi. Memang dia sudah nekad meninggalkan semuanya. Dia tidak mahu dituduh pentingkan diri, biarlah semua orang menuding kesalahan terhadapnya. Dia tidak mahu terlibat dalam sebarang perebutan. Dia tahu jika segalanya terjadi dia akan tewas. Dia tidak mahu tertipu lagi. Hatinya sudah cukup hancur kerana menerima cinta Syahirwan.

Kini barulah dia tahu, selama ini yang terbit dari hati Syahirwan cumalah simpati untuknya, bukannya sayang seperti yang diharapkan. Dia tidak perlu menunggu lagi. Tidak sanggup mengharap kasih pada lelaki yang telah menghinanya sebegitu sekali. Apa gunanya lagi dia menanti, penghinaan demi penghinaan yang bakap terasak di telinganya nanti.

“Kau nak ke mana pula ni? Kau nak melawan aku ye, kau nak ugut aku dengan pura-pura nak keluar dari sini? Kau dah tak hingin nak jadi bini aku lagi? Hei, betina curang, kalau kau keluar je dari rumah ni, aku ceraikan kau!” pekik Syahirwan bila melihat Mazwin sudah bersedia keluar bersama beg pakaian itu.

Tangannya bagaikan sudah terlalu ringan untuk menjamah kasar pipi gebu Mazwin, namun hasrat itu terhenti bila melihat Mazwin tersenyum.

Mazwin hanya tersenyum tawar, dia tidak sangka itu yang terucap dari mulut Syahirwan untuknya. Hajatnya cuma untuk pergi seketika, namun kata-kata yang keluar dari mulut Syahirwan membuatkan dia harus keluar untuk selamanya. Diraihnya tangan Syahirwan dan dikucupnya lembut sambil bibirnya tidak putus memohon maaf. Kemudian dia keluar bertemu ibunya harus sedang menangis mendengar pertengkaran mereka, lalu dihulurkannya tangan memohon keampunan.

“Mak, maafkan Mazwin, halalkan segala yang termakan dan terminum, halalkan susu mak untuk Mazwin. Mazwin pergi dulu, mak jangan tanya ke mana, suatu hari nanti kita jumpa. Mazwin akan ceritakan. Maafkan Mazwin mak! Jangan salahkan Wan, ini keputusan Mazwin!” ucapnya sambil meraih tangan ibunya, Manisah.

Dikucupnya pipi sang ibu, dirangkul erat tubuh kurus wanita itu. Tekad di hatinya sudah membulat. Walau dia tidak keluar malam ini, talak sudah gugur untuknya jika dia keluar dari rumah itu bila-bila masa. Manisah hilang kata-kata, terpempan seketika namun dia bagaikan tidak mampu untuk menghalang anak sulungnya itu. Hanya airmatanya sahaja yang mengiringi kepergian Mazwin.

“Mazwin, jangan pergi nak!” hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya tika itu. Pedih dan sayu mula mencengkam.

Sebak melihat anak sulungnya itu memohon ampun. Dia dapat mendengar segala kemarahan Syahirwan terhadap anaknya itu. Dia tidak tahu akan kebenarannya. Namun walau apa pun yang Mazwin pernah lakukan, Mazwin tetap anaknya. Dia hendak menghalang, tapi dia tidak berdaya. Mendengar pertengkaran mereka pun sudah cukup membuatkan dadanya berombak kencang.

“Biarkan mak, dia yang curang. Dia ada jantan lain. Kesian Abang Wan, rupa-rupanya selama ni, dia berhubung dengan Abang Zam, kawan kak ngah tu bekas pakwe dia. Huh, buat malu keluarga kita je mak!” celah Maisarah yang sememangnya sejak tadi mendengar pertengkaran kakaknya itu.

Buat pertama kalinya dia bersuara ketika perbalahan berlaku. Baginya itulah peluang yang ada untuk dia menjalinkan hidup dengan Syahirwan. Dia terasa piala hati Syahirwan bakal dimenanginya. Syahirwan hanya menoleh Maisarah sekilas, ingin dihalangnya Mazwin dari pergi, namun bisikan keegoan yang menghalangnya untuk terus tidak membenarkan Mazwin pergi darinya. Tambahan pula Maisarah bagaikan mengejek maruah kejantanannya jika dia terus menghalang Mazwin pergi.

“Mazwinnn!!!” jerit Syahirwan dalam amarah.
Dia langsung tidak menyangka Mazwin akan bertindak seberani itu. Mazwin terus meninggalkan perkarangan rumah itu tanpa sedikit pun kekesalan. Dia menoleh seketika ke arah Syahirwan, dalam cahaya senja, dia dapat menyaksikan senyuman yang terpamer di bibir Maisarah.

Jagalah Syahirwan baik-baik, Sarah. Sepertimana kak long menjaga kalian semua selama ini! Selamat tinggal! Detik hatinya dalam tangisan hati yang panjang.

1 comment:

Norlela said...

saya baru baca novel ni..walaupun
dah setahun novel ni..sungguh
menyanyat hati...sedih btul lar..
episode x ni...isk isk isk