Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 30

BAB TIGA PULUH

Teksi bewarna merah saga berhenti betul-betul dihadapan pagar bercat kuning. Pemandu itu menolongnya mengeluarkan segala beg-begnya, sementara dia mengendong si kecil, Puteri Qistina. Segalanya sudah berubah, perubahan yang tidak disangkanya. Dulu rumah yang di tinggalkan hanyalah rumah batu kecil yang separuh siap. Tapi yang tersergam di hadapannya adalah sebuah banglo setingkat yang cantik lengkap dengan lanskap yang menarik.

Dia terus memakirkan keretanya di bawah pohon mangga, pangkin yang dibuat bersama adik-adiknya masih di situ. Masih kukuh dan telah dicat baru. Di pangkin itulah tempat mereka adik beradik berbual dan bergurau senda sejak kecil sehingga mereka masing-masing menginjak dewasa. Segala kenangan bersama adik-adiknya adalah kenangan yang terindah tersemat di sanubari. Sudah terlalu lama dia menyimpan rindu kepada Marhanis, Arif dan malah Maisarah.

Sudah terlalu lama dia mengulum sesal meninggalkan ibu yang paling dikasihi. Dia keluar sambil mendukung Puteri yang sudah tertidur akibat kepenatan. Kesian Puteri, penat bermain di taman menyebabkannya tidur dalam keletihan.
“Assalamualaikum!” ucapnya memberi salam.

Suara penghuni rumah itu menjawabnya mesra. Namun bila terpandangkan susuk tubuh kurus yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke rumah itu dia terpempan.

“Apa khabar mak!” ucapnya sambil menghulur sebelah tangan.

Sebelah lagi tangannya masih menampung anak kecil yang masih lena dalam dukungannya.

“A… Awin!!! Ya Allah! Awin, anak mak! Awin dah balik!” raung wanita tua itu sambil memeluk Mazwin.

Melampiaskan segala kerinduannya selama lapan tahun ini. Betapa dia menyimpan kekesalan di hati selama bertahun-tahun kerana tidak menghalang pemergian Mazwin meninggalkan rumah itu. Namun dia bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doanya.

Dalam tangisan, Mazwin terus meletakkan anak kecil itu di atas kerusi kayu. Anak itu pulas tidurnya hingga tidak mahu bangun lagi. Mazwin membalas pelukan si ibu tua.

“Maafkan Win mak! Win tinggalkan mak… tinggalkan adik-adik! Win berdosa pada mak! Ampunkan Win mak!!!” ucapnya diselangi tangisan.

Hampir tujuh tahun dia tinggalkan ibu tua yang amat dikasihi itu dengan adik-adiknya. Selama itu juga dia tinggalkan tanggungjawabnya tanpa sebarang berita dan selama itu juga dia cuba meleraikan segala kesakitan dan kepedihan yang bersarang di hati.

“Kak long? Kak long dah balik?” jeritan Marhanis membuatkannya terpempan seketika. Di belakang Marhanis, Haizam tersenyum manis.

“Hanis!” laungnya sambil memeluk erat adiknya itu.

Banglo setingkat itu terus diselubungi tangisan tiga beranak yang sedang meleraikan kerinduan mereka selama ini.

“Masuk Win, masuk. Bawa anak tu masuk!” ajakan emaknya di sahut. Haizam mengangkat anak kecil yang masih lena.

“Anak kak long ke ni?” Haizam bertanya.

Dia membantu Mazwin mengangkat anak kecil yang sedang pulas tidur itu. Langsung tidak bergerak. Keletihan barangkali.

Mazwin cuma mengangguk. Dia tahu pasti ada banyak perkara yang dia tidak tahu sebaik meninggalkan rumah ini. Dia juga tahu, pasti Haizam sudah menjalin hubungan kekeluargaan dengan keluarganya, kerana panggilan kak long dari mulut Haizam.

Ada secuit rasa bila dia terlihat wajah Haizam pada mula-mula pertemuan mereka setelah lama tidak berjumpa. Tapi cepat-cepat disingkirkan perasaan itu, dia tidak mahu perasaannya akan mengundang ke arah kemusnahan. Mazwin sedar, sudah tiada lagi secubit rasa cintanya pada lelaki itu. Sudah hilang dibawa seseorang, namun ada secebis rasa yang maish terselit di sudut hati, yang tidak mungkin dapat dilafazkan.
“Mana suami Mazwin? Kenapa tak ajak dia balik sekali?” pertanyaan emaknya hanya dibalas dengan senyuman. Tidak sempat menjawab pertanyaan Manisah, Puteri Qistina terjaga dari lena.

“Mama… Mama…” rengekan Puteri membuatkan Mazwin tersentak. Dia merapati Puteri yang sudah dibaringkan Haizam di sofa.

“Mama ada ni, kita dah sampai rumah Opah!” beritahunya bila dilihatnya anak kecil itu terpinga-pinga sambil menggosok mata.

“Mama, why not awake me up?” jelingan rajuk Puteri membuatkan semua yang ada di situ ketawa.

Anak itu terpisat-pisat bangun sambil menguap beberapa kali. Suasana sekelilingnya amat berlainan, dan dia tersenyum comel bila melihat semua mata tertumpu ke arahnya.

“Let me guess, this is Opah, this is, mak ngah Hanis, but he is not Pakcik Arif, he look different in the photo…” Puteri mula membuat muka serius sambil tangannya menggaru dagu.
“Pakngah Zam! Nice to meet you Princess!” Haizam menghulur tangan, Puteri menyambutnya mesra.

“Puteri Qistina, nice to meet you too… but Mama never tell me, that I have Pakngah Zam? Right Mama?” dia memperkenalkan diri sambil mencerunkan matanya ke arah Mazwin. Mazwin cuma ketawa.

“Mama pun baru tahu Puteri ada Pakngah Zam! Well, bila Hanis dan Zam kahwin?” tanya Mazwin.

Hanis yang duduk di sebelah Haizam terus merangkul bahu suaminya. Haizam membalas rangkulan itu, mereka kelihatan bahagia. Dalam diam Mazwin bersyukur melihat kebahagiaan mereka.

“Dua tahun lepas kak long. Kami nikah je, buat kenduri kecil je… Hanis ni, nak tunggu kak long balik baru dia nak buat kenduri besar katanya,” terang Haizam sambil mengangkat Puteri Qistina ke ribanya.

“La, kenapa nak tunggu kak long? Kalau kak long tak balik-balik, macam mana? Arif dengan Maisarah mana, mak?”
Mazwin melemparkan pandangan kepada emaknya yang sudah menatang dulang.

“Hanis kata, dia percaya kau akan balik juga. Arif dah kerja kat Hospital Pulau Pinang, Sarah pula dah bertukar ke Kelantan, jarang dia balik ke sini. Arif selalu juga balik kalau tak ada apa-apa, kalau dia kena kursus kat sini, dia tidur kat rumah ni!” ujar Manisah panjang lebar.

Mazwin menarik nafas lega bila mendengar Maisarah sudah ke Kelantan, pasti adiknya itu sedang berbahagia bersama Syahirwan. Itulah yang selalu diharapkan dalam doanya.

“Hanis tak kerja ke?” soal Mazwin.

“Cuti sekolahlah kak long. Itu untungnya jadi guru, masa budak-budak cuti sekolah begini, Hanis pun cutilah, kadang-kadang Hanis tolong abang Zam kat kedai,” terang Hanis.

“Oh, Hanis dah jadi cikgu. Zam buka kedai apa? Sudah tak kerja dengan firma guaman?”
Dia ketinggalan banyak perkara selama dia meninggalkan mereka. Banyak perubahan yang berlaku tanpa disangkanya. Segala-galanya berubah tanpa kehadiranya. Malah mereka bagaikan lebih berbahagia tanpa dia di sisi.

“Tak, Zam buka kedai dobi. Dah lama dia tak kerja dispatch kak long, Hanis tak bagi. Hanis takut dia bawa motor laju-laju…” ujar Hanis. Sekali lagi Mazwin memanjat kesyukuran kerana kebahagiaan adiknya itu.

“Win, selama ni Awin pergi mana? Puas kami cari Win. Awin tinggal di mana sebenarnya? Lapan tahun mak tunggu Awin, Awin langsung tak mahu kirim berita. Cuma duit je yang Awin kirimkan,” ucap Manisah. Airmatanya sudah cukup memperlihatkan kerinduan terhadap anak sulungnya itu.

“Tahun lepas mak sudah ke Mekah dengan duit yang Awin bagi. Alhamdulillah, Allah makbulkan segala doa mak. Puas mak berdoa Win, supaya Awin balik semula pada mak,” Manisah sudah tidak dapat menahan sendunya.

Dipeluknya erat anak yang seorang untuk melampiaskan rindu yang teramat. Anak itu lah yang terlalu banyak menyimpan derita di hati. Anak yang tidak pernah merungut walau secebis kata-kata tatkala kemiskinan mencengkam dulu. Mazwin sahajalah satu-satunya tempat dia dan anak-anak yang lain bergantung harap. Mazwin cuma senyum nipis. Dia tahu betapa rindunya emak padanya, seperti mana dia menanggung kerinduan itu.

“Mama, kenapa mama bagi opah sedih? Nanti Opah tidak mahu masakkan Puteri makanan yang enak-enak, jangan sedih opah. Opah jangan kawan dengan mama kalau mama sering buat opah sedih saja ya!” pujuk Puteri.

Tangan kecilnya mengusap belakang Manisah. Anak kecil yang baru berusia enam tahun itu bagaikan mengerti kesedihannya. Manisah senyum sambil diciumnya cucunya itu berkali-kali. Dia bersyukur kerana Mazwin sudah dapat melupakan Syahirwan, walaupun kadangkala dia mengharapkan Mazwin dan Syahirwan bersatu semula. Namun apabila terlihat anak kecil itu, dadanya lapang tiba-tiba.

“Eh! Pandai cakap Melayu rupanya, ingatkan tak reti! Pakngah ingatkan anak saudara Pakngah ni anak orang putih!” seloroh Haizam memecah suasana. Dia tidak mahu suasana sedih menyelubungi keluarga ini.
“Eh! Mestilah, Puteri orang Melayu, orang Malaysia. Mama bilang, orang Melayu harus bisa berbahasa Melayu! Jika tidak, jangan pernah jadi orang Melayu,” petah Puteri berbahas.

Dengan lenggok telor orang Indonesia dia bersuara sambil jari telunjuknya comel bergerak-gerak menunjuk ke arah Haizam. Sesekali anak kecil itu kelihatan seperti Nabila, watak kanak-kanak di dalam siri Indonesia Mutiara Hati.

“Itu bukan bahasa Melayu, itu bahasa Indonesia…” usik Haizam, anak kecil itu terpinga. Mungkin masih tidah tahu membezakan bahasa tersebut.

“Umur Puteri berapa? Bercakap bukan main bijak ni?” Manisah tertawa mendengar kata-kata cucunya yang keletah.

“Enam tahun. Tapi Puteri sudah bisa baca sejak tiga tahun! Daddy selalu ajarin Puteri membaca, mama kata masa Puteri masih baby, Daddy selalu bacakan fairy tales dan surah juz-amma di telinga Puteri…” beritahu anak kecil itu dengan bangga.
Memang dia berbangga dengan kebolehannya membaca sejak berumur tiga tahun. Semasa berusia tiga tahun juga Daddynya sering mengajarnya menghafal surah-surah pendek di dalam Al-Quran.

“Daddy? Kenapa Puteri tak ajak Daddy datang sekali, Opah pun nak kenal dengan daddy!” pancing Manisah pula.

Manisah merenung wajah anak sulungnya itu. Dia juga berasa hairan kenapa Mazwin tidak membawa balik suaminya sekali. Teringin sekali dia menatap wajah lelaki yang berjaya mengubat luka anaknya itu.

“Daddy lagi sibuklah opah. Kerjanya daddy sama limbungan perkapalan, sekali-sekala saja pulang. Kalau Daddy ada cuti, Daddy pulang Indonesia sebentar kemudian baru balik ke Perth,” beritahu Puteri. Manisah menarik nafas lega bila mendengar Puteri bercerita tentang ‘Daddy’nya.

“Puteri selalu ke Indonesia?” tanya Manisah sekadar mahu mengorek cerita. Dia tahu, Mazwin tidak akan bercerita dengannya. Anak sulungnya itu lebih gemar berahsia.

“Pernah juga, dua kali. Tapi mama selalu tidak mahu pergi. Mama kata nanti tidak ada orang mahu tengokkan restoran Mama. Lagipun orang lain masak nggak enak, mama masakannya enakkan ma?” mulut Puteri langsung tidak berhenti bercerita.

Mereka yang berada di situ cuma mendengar sesekali ketawa bila mendengar dialek bahasa Indonesia berselang seli dengan bahasa Malaysia yang dituturkan anak itu. Mazwin juga tidak bersuara. Mengiya pun tidak, menafikan pun tidak. Justeru mereka percaya ‘Daddy’ Puteri seorang yang baik dan bertanggungjawab. Mereka percaya Mazwin berbahagia di samping ‘Daddy’ Puteri.

“Oh! Kak long buka restoran di Perth? Restoran apa kak long? Ramai ke orang putih datang makan?” soal Hanis bertalu.

Dia begitu tertarik dengan cerita Puteri. Seronok mendengar gadis kecil itu bercerita, bersungguh-sungguh.

“Restoran masakan Malaysia. Ada roti canai, nasi lemak, tomyam dan macam-macamlah. Tempat tinggal kak long tu kebanyakannya orang Asia. Melayu, Cina, India, orang Indonesia, Thailand, pun ramai. Maju jugalah. Lagipun restoran tu sebenarnya kak long ambil alih dari seorang peniaga Melayu juga,” Mazwin menarik nafas, kemudian menyambung cerita.

“Masa mula-mula kak long sampai Australia, kak long kerja kat restoran tu. Lama-lama, kak long mula diberi kepercayaan untuk mengambil alih restoran tu sejak empat tahun lalu. Setakat ni Alhamdullillah, maju. Kak long balik sini, kak long minta rakan kongsi tolong jaga…” panjang lebar Mazwin menerangkan.

*************

Memang dia sepatutnya teramat bersyukur bila pertama kali sampai ke bumi Australia dia disambut rakan internetnya, Stephanie yang tinggal di Perth. Sejak itu juga dia dan Stephanie merupakan sahabat baik. Sahabat tempat curahan rasa yang membuatkan hatinya lega. Mazwin sudah tidak punya sesiapa saat dia menjejakkan kaki ke bumi Australia. Namun sejak dulu dia mengetahui serba sedikit tentang Perth dari Stephanie.

Dengan pertolongan Stephanie, dia dapat bekerja di restoran seorang saudagar Melayu yang sudah berpuluh tahun tinggal di situ dan berkenalan dengan Rio, seorang lelaki Indonesia yang bekerja di syarikat perkapalan di Pulau Christmas.

Rio adalah sahabat kepada Tuan Ismad, pemilik restoran tempat dia bekerja. Pada Rio tempat dia mencurahkan segala rasa kekecewaannya. Rio juga menjadi teman setianya setiap hari. Lelaki itu juga yang menyambut kelahiran Puteri, mereka sama-sama menjaga sakit demam Puteri. Kadangkala dia teramat rindukan lelaki itu. Rindukan tawanya, rindukan senyumannya rindukan segala yang ada padanya. Namun kerinduan itu tetap disimpan di hati.

No comments: