Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 37

BAB TIGA PULUH TUJUH

“Mama dengar Mazwin dah baik!” sapa Zaharah saat melihat Syairwan keluar dari pintu kereta.

Hajat hatinya mahu menyiram bunga, namun bila dilihatnya cuaca semakin mendung, Zaharah tidak jadi membuka paip air. Dia terus duduk di bangku di halaman.

“Mana mama tahu?” soal anak itu, sedikit hairan, kerana dia sendiri tidak pernah memberitahu Zaharah tentang kepulangan Mazwin.

“Mama jumpa Hanis di Giant. Dia dengan anak Mazwin, Puteri Qistina, petah budak itu bercakap. Comel pun iya, macam muka kau masa kecil-kecil dulu! Kata Hanis, ayahnya Indonesia,” beritahu Zaharah sambil matanya menanti reaksi Syahirwan.
“Agaknya seiras muka kau kot, sebab itu anaknya pun seiras muka kau. Nampaknya Mazwin tak dapat lupakan kau, pasal itu dia berkahwin dengan lelaki seiras kau! Mama rasalah. Teringin pula mama nak jumpa Mazwin,” sambungnya lagi. Namun bicara panjang lebar Zaharah hanya seperti air di daun keladi.

Langsung tidak diambil peduli. Entah mengapa kemudian Syahirwan menyarung semula kasutnya bagaikan terburu-buru dia menekan alarm kereta dan terus masuk ke perut kereta tanpa memperdulikan Zaharah yang masih berceloteh.

“Hey! Shah, kau nak ke mana pula tu? Mama tak habis cerita ni. betullah budak ni, kalau iya pun bawa lah aku sekali, aku pun nak jumpa juga dengan Mazwin!” rungut Zaharah.

Dia tahu pasti Syahirwan terkejut dengan berita kepulangan Mazwin. Dan sudah tentu anak itu ke rumah Manisah. Melunaskan segala hutang yang tidak pernah terbayar.

Alangkah baiknya kalau mereka bersatu semula…

*****************

“Mazwin! Dia anak akukan?” soal Syahirwan, kasar sebaik sahaja dilihatnya Mazwin seakan mahu melarikan diri saat dia mula menjejak kaki di halaman. Mazwin diam, langsung tiada reaksi. Dia pantas menarik tangan Puteri untuk masuk ke dalam rumah.

“Kenapa kau larikan dia dari aku? Mazwin, dia anak aku! Aku tahu Mazwin, aku dapat rasakan. Dia bukan anak Rio! Mazwin kembalikan anak aku!” pinta Syahirwan masih seperti tadi kasar dan lantang.

“Siapa kata dia anak kau. Kalau dia bukan anak Rio, Puteri juga bukan anak kau! Dia hak aku. Aku yang melahirkan dan aku yang memeliharanya. Kau tak layak sebagai bapanya!” bentak Mazwin bila Syahirwan sudah berdiri tegak di hadapannya.

Sememangnya dia ingin memberitahu perkara sebenar, tapi dia memerlukan masa untuk membongkar semua itu. Dia memerlukan kekuatan untuk berkongsi kasih Puteri dengan lelaki di hadapannya. Dia tidak mahu Puteri hilang secara tiba-tiba, dia tidak sanggup andai Syahirwan merampas terus Puteri darinya.

“Kau yang larikan dia dari aku! Kau tinggalkan aku dan bawa anak aku bersama. Kau pisahkan kasih sayang seorang ayah dari anaknya. Betapa kau kejam terhadap aku Mazwin. Tujuh tahun kau biarkan Puteri tanpa aku, kau tipu Puteri. Kau racun fikiran anak itu. Entah-entah kau beritahu dia, aku sudah mati! Ibu apa kau ni, Mazwin! Ibu apa?” lantang suara Syahirwan.

Mujurlah saat itu guruh mulai berdentum, cuaca mulai mendung. Semendung hati Mazwin yang menerima tuduhan itu. Sememangnya dia sudah bersedia namun hatinya tersentak dengan tuduhan itu. Namun dia sudah tidak seperti dulu. Menerima sahaja tuduhan tanpa menyangkalnya. Sehingga dia kecewa sendiri melawan arus hidup tanpa arah.

Mazwin kini sudah bangun dari pengalaman. Mazwin tidak akan mengalah lagi. Mazwin tidak mungkin akan membilang hari yang penuh kecewa lagi.

“Kau jangan pertikaikan tentang aku. Kau sendiri yang membuang kami. Kau sendiri yang menghalau kami. Kau sendiri yang menjatuhkan talak kepada aku, Wan. kau sendiri yang kejam membiarkan aku terkapai-kapai saat berita gembira hadir dalam hidup aku. Kau yang memulakan derita aku, Syahirwan!” saat itu Mazwin sudah terduduk menangis.

Dia tewas juga di hadapan lelaki itu. Tidak berdaya lagi untuk dia mengenangkan kisah tragis yang pernah membuatkan hidupnya kecundang. Kehilangan kasih sayang seorang lelaki yang pernah disandarkan harapan. Ketandusan cinta dari seorang suami yang teramat dicintainya. Pengkhianatan dari seorang yang amat dicintainya.

“Kenapa kau tak beritahu aku semua ini? Kenapa kau biarkan Puteri menganggap aku sudah mati? Kenapa?” jeritan Syahirwan menyebabkan Mazwin termangu sendiri. Ternyata, baran Syahirwan tidak pernah berubah.

“Papa, Puteri tidak pernah menganggap papa sudah mati. Malah mama sering bercerita bahawa papa seorang yang baik dan sayang sama Puteri. Tapi Puteri dapat lihat semua, papa tidak seperti yang Puteri harapkan!” tutur Puteri Qistina yang sudah berdiri di hadapan Mazwin.

Dia mahu menjadi pembela mamanya. Sudah terlalu banyak airmata mama yang tumpah sejak saat mama menceritakan perihal papa dan dia mengerti hati mama terluka. Hati mama telah dikecewakan. Dia dapat rasakan kekecewaan itu terlalu dalam. Walau usianya masih mentah untuk menilai. Tetapi sejauh mana kekecewaan mama pasti menjadi luka di hatinya.

“Puteri, maafkan papa sayang! Papa tidak berniat membuang mama! Papa salah, sayang. Maafkan abang, Win!” rintih Syahirwan bila dilihatnya airmata Puteri sudah merembes.

“Mama, kita tidak perlukan sesiapakan? Mama punya Puteri dan Puteri punya mama. Kita tidak perlukan orang lainkan, betulkan ma? Kita pulang ke Perth, ma. Kita pulang pada Daddy. Puteri janji Puteri tidak akan lagi bertanyakan tentang papa! Puteri janji…” esakan Puteri semakin kuat.

Kekesalan membelit hatinya. Selama ini dia yang sering merengek meminta mama menceritakan tentang lelaki yang segak di dalam gambar di meja solek mama. Rupa-rupanya lelaki itu adalah papanya. Dan seringkali itu juga dia mengharapkan cerita-cerita tentang papa keluar dari bibir mama sepanjang malam sebelum dia tidur dan bermimpi papa datang membawa bahagia. Sehingga dia tidak peduli tentang mama yang akan menangis setiap kali bercerita. Sekarang Puteri sedar, dia terlalu mendesak mama untuk mengenali siapa papanya.

“Puteri maafkan papa, sayang! Mari kepada papa sayang. Papa mahu peluk Puteri. Papa mahu cium Puteri, Puteri anak papa! Sayang!” pinta Syahirwan. Dia mendepangkan tangannya mengharapkan anak kecil itu datang memeluknya erat.

Puteri Qistina serba salah. Dia merenung mama yang masih menangis. Hatinya tawar untuk memeluk Syahirwan. Sedih melihat mama dituduh bukan-bukan oleh papa. Sedangkan papa tidak pernah tahu apa perasaan mama. Walaupun usianya baru enam tahun, namun dia faham erti kecewa, dia mengerti tentang kesedihan. Kerana mama tidak pernah sehari pun ketawa gembira. Dia hanya mengenali wajah mama yang mendung selama ini. Dan yang ada hanya senyuman mama yang sukar untuk diungkapkan.

“Puteri tidak mahu! Papa jahat! Papa lukai hati mama!” jerit Puteri berlari meninggalkan Syahirwan yang masih melutut mendepang tangan.

“Kau racuni fikiran anakku Mazwin. Kau memang tidak berhati perut!” tuduh Syahirwan lagi.

“Kau mahu bercerita tentang hati perut? Di mana hati perut kau semasa kau mengkhianati kasih sayang aku? Di mana perikemanusiaan kau semasa kau menuduh aku curang? Di mana tanggungjawab kau kerana menjatuhkan talak sebelum menyiasat perkara sebenar? Di mana Syahirwan. Kau buang aku saat aku hamilkan zuriat kau. Kau buang aku, kau buang anak kita. Demi Allah Syahirwan, aku tidak pernah curang kepada kau sejak aku menjadi isteri kau!” rintih Mazwin dalam esakan.

Kekuatannya selama ini lenyap dibawa kesedihan yang teramat. Dia tidak lagi berdaya menahan kedegilan hati. Dia tidak mampu lagi menyimpan segala kekalutan yang sering berlegar dalam hidupnya. Dia sudah tidak lagi mampu menahan apa yang terpendam selama ini. Sebelum ini dia mahu meleraikan segala kekusutan yang pernah berlaku dengan aman. Namun yang terjadi sebaliknya. Ternyata Syahirwan tidak pernah berubah, barannya masih seperti dulu. Kata-katanya masih menyakitkan hati.

Syahirwan pula terdiam bila mendengar rintihan wanita di hadapannya. Memang selama ini dia yang bersalah, menghukum tanpa menyoal. Menjatuhkan karma tanpa penyiasatan terlebih dahulu. Dia pernah menyesal, tetapi dia sedar setiap kali tiba di punca amarah dia sendiri tidak tahu apa yang terungkap di bibirnya. Yang paling Syahirwan tidak menyangka bila anaknya memanggilnya ‘papa’ tanpa kekok.

Sudah tentu bibir mongel si kecil itu sering melafazkan perkataan itu. Dan sudah pasti Mazwin yang mengajarnya perkataan itu. Ternyata perkataan itu bagai sudah sebati dengan Puteri Qistina. Betapa kejamnya dia menuduh bukan-bukan terhadap Mazwin.

“Maz…Mazwin… a…bang…. minta maaf… abang salah… abang nak kita bersatu semula macam-”

“Sudahlah Syahirwan… aku memang tidak pernah ada di hati kau lagi. Dulu aku ni kau jadikan perhentian sementara. Dan sekarang aku tidak mahu menjadi orang yang hanya mengisi kekosongan hati kau! Aku dah serik! Kepulangan aku cuma mahu memperkenalkan zuriat kau… itu sahaja!” tegas Mazwin.

Dia kemudian meninggalkan Syahirwan yang masih di situ. Masih termangu dengan jawapan Mazwin walaupun soalannya tentang itu masih belum habis namun jawapan Mazwin cukup untuk dia tidak meneruskan kata-katanya.

“Aku tahu aku salah selama ini… maafkan aku Win!” rintih Syahirwan menyesali kesilapan silam.

Dia kemudian terus mengejar Mazwin. Menarik tangan wanita itu. Kemudian mengucupnya berkali-kali. Drama itu disaksikan Puteri dengan raungannya yang panjang. Dia takut mamanya di apa-apakan.

“Tolonglah papa, jangan lakukan apa-apa pada mama!” rayu Puteri saat Syahirwan menarik tangan Mazwin.

Wanita itu cuma meleraikan pegangan tangan Syahirwan. Namun dengan pantas lelaki itu mengucup bertalu-talu telapak tangannya.

“Terimalah abang semula Win! Abang janji akan bahagiakan kalian! Abang janji Win!” pohon Syahirwan sambil menatap wajah yang basah dengan airmata itu penuh makna.

Kemudian dia memeluk erat gadis kecil yang sedang teresak menangis. Walau kujur tubuh Puteri Qistina tegak tanpa pelukan balas. Dia benar-benar terpana bila mengetahui Puteri Qistina anaknya. Dia benar-benar kesal dengan tuduhan dan bentakannya tadi.

“Papa, please, leave us alone…” Puteri Qistina meleraikan pelukan lelaki yang dipanggilnya Papa. Dia tidak mahu mama terus terseksa dengan bentakan lelaki itu.

Sepanjang dia tinggal bersama Daddy Rio. Tidak pernah sekalipun Rio meninggikan suara kepada Mama apalagi kepadanya. Perlakuan Syahirwan membuatkannya begitu terkejut. Tidak pernah disangkanya, inilah lelaki yang membuatkan hati mama beku.

Syahirwan merenung anak kecil itu. Dia menggapai tangan mahu menarik Puteri ke pangkuannya. Drama itu bagaikan tidak akan berakhir.

“Maafkan papa sayang, maafkan papa!” pintanya berulang kali.

Mazwin yang sudah hilang sendu masih tertunduk di bangku. Hatinya keliru. Kekalutan di fikirannya semakin bercelaru. Sesalan mula menerpa. Bagaimana dia mahu menafsirkan hatinya kini. Bila semalam Rio meninggalkannya, bagai lelaki itu tidak mungkin kembali. Walau dia menganyam janji.

5 comments:

LeaQistina said...

wa.. kak dina.. lea nak lg..

apa pun lea puas.. mmg lea mengharapkan agar mazwin dan shahirwan akan kembali bersatu.. but plz.. siksa dulu hati shahirwan tu cukup2.. biar dia tahu erti menghargai.. jgn asyik nak tuduh org sesuka hati je.. blk2 nk lyn baran dia je.. baran org dia xnak kira ke.? huh!!

apa pun.. citer ni mmg best giller.. cayalah kak dina..

dina said...

alhamdulillah.... lea juga memahami citer ni, ianya adalah secebis kisah yang ada disekeliling kita. syahirwan dan mazwin ada di antara hidup kita... terima kasih lea...

-Ain-Dak In- said...

setuju..setuju dgan pndpt lea..
huhuhuhuhu....

wan tu pandai ckap n menuduh org..
tp diri sendiri dia x menilai,,,
mudahnye dia berkata2...

Anonymous said...

nice storyline..ala2 norhayati ibrahim pnye style.ske2..=)

puteri_mukhriz said...

cita nie bestla..satukan mereka berdua kembali semuanya kerana cemburu..tapi seksa dulu shahirvan tue...bestla novel nie..cooll...