Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 16

BAB ENAM BELAS

Pertemuannya dengan Linda memang sengaja dirancang. Kalau boleh, dia tidak mahu terlibat dengan hubungan songsang mereka. Aryssa tak mahu bersubahat dengan manusia seperti kaum pada zaman Nabi Luth. Pada masa yang sama, dia juga tidak sanggup melihat mereka terus hanyut dalam dunia yang mereka ciptakan sendiri.
“Aku bukan tak mahu berkawan dengan kau. Tapi aku bukan seperti yang kau sangkakan. Aku masih perempuan, walaupun perwatakan aku nampak macam lelaki!” tegas Aryssa.

Kerana perwatakannya yang sebegitu menimbulkan banyak salah faham. Ramai yang menganggapnya yang bukan-bukan. Dia masih lagi waras. Masih lagi ingat Tuhan. Masih juga sedar kehidupan songsang sebegitu hanya merugikan diri sendiri. Menambahkan lagi gejala social dalam masyarakat. Entah apa indahnya hidup sebegitu.
“Tapi…Linda sayang Ary. Linda tak dapat nak padamkan perasaan Linda pada you. I really love you, Ry!” rintih Linda.

Gila! Memang perempuan di hadapannya sudah gila. Entah dia sedar atau tidak. Cara hidup sebegitu membawanya ke jalan yang sesat. Jalan buntu. Itu bukannya cara hidup yang normal.
“Look at me, Linda. Kau kena terima kenyataan. Aryssa adalah seorang perempuan, bukannya lelaki. Hubungan antara perempuan dengan perempuan hanya boleh dijadikan kawan atau sahabat, bukan kekasih… Takkan kau nak berkahwin dengan perempuan? Impossible!” bentakan Aryssa membuatkan Linda menangis.

Linda melentukkan kepalanya di bahu Aryssa. Air mata berjejeran di pipi gebunya. Air mata sebegitu mungkin boleh mencairkan hati lelaki, namun berertikah buat Aryssa?

Aryssa menolak kepala Linda perlahan. Mukanya berkerut. Rimas. Namun, jauh di sudut hatinya, tercalit segaris kasihan buat gadis cantik itu. Sayang benar, kecantikannya itu dipersiakan.
“Please… Linda! Kau perlukan lelaki bukannya perempuan macam aku. Kita ni sama jantina…kita tak boleh buat macam ni Linda!” Aryssa kembali berlembut. Tak tergamak hatinya berterusan remukkan hati Linda.
“Hubungan macam ni bukannya hubungan yang normal, Linda. Salah. Salah dalam masyarakat dan agama kita…” sambung Aryssa.

Linda tidak berkata apa-apa. Hanya esaknya yang terdengar. Hanya lembut jemarinya menyapu pipi yang basah. Hanya air jernih meluncur laju di kedua-dua pipinya.
“Kau kena cari lelaki untuk sayangkan kau, belai kau. Itu cara hidup yang betul. Itu yang sepatutnya… tapi, dalam waktu semuda kita sekarang, lebih baik kau fikirkan tentang pelajaran. Itu yang akan tentukan masa depan kita nanti,”tegas Aryssa.
Bukan Aryssa berniat hendak tunjuk pandai pada Linda. Dia rasa ada tanggungjawab untuk nasihati Linda. Perasaan songsang Linda harus dihentikan. Aryssa tidak mahu Linda berterusan menyintai dirinya. Mana mungkin dia menyintai kaum sejenisnya sendiri. Semua itu hanyalah perasaan yang bersangkutan dengan nafsu syaitan yang mahu menyesatkan manusia. Aryssa tidak sanggup untuk menjadi sebahagian daripada mereka.
“Pandainya Ary nasihatkan Linda. Diri you sendiri macam mana? You juga hipokrit!” tempelak Linda.

Matanya masih basah. Sedu sedannya masih kedengaran. Dia menangis kerana malu diperlakukan begitu. Mana mungkin ada tomboy dan pengkid yang menolak cintanya mentah-mentah.

Aryssa terpaksa menyingkap sejarah yang mengubah luarannya. Sejarah yang tidak mungkin berulang. Memang Aryssa sendiri memerlukan lelaki untuk dicintai, tetapi lelaki itu tidak kunjung datang. Ataupun mungkin ada gantinya, Aryssa sendiri tidak pasti.

Linda tunduk mendengar cerita Aryssa. Ada riak kesal di sebalik wajahnya yang murung. Barangkali dia malu dengan perbuatannya selama ini. Malu kerana cintanya ditolak bulat-bulat oleh Aryssa.

Padahal sebelum ini, berebut pengkid dan tomboy mahu mendekatinya. Linda amat popular dikalangan pengkid dan tomboy. Asal sahaja mereka berjaya keluar dengan Linda, masing-masing akan bercerita tentang kehebatan mereka.

Namun, hati gadis itu terpaut pada Aryssa yang disangkanya sama seperti Danny, Raz, Fickie dan Jojie. Kini baru Linda tahu, selama ini Aryssa bukanlah orang yang boleh diharapkan. Dia sendiri tak pasti apa yang dimahukannya daripada seorang perempuan. Yang pasti dia sudah terlanjur terlalu jauh untuk berpatah semula.
“Bertaubatlah, Linda… belum terlambat. Kita kadangkala lemah dengan perasaan sendiri. Tapi hakikatnya, perasaan itu tidak sepatutnya berada di dalam diri kita. Cuba mencari sesuatu yang kita tak nampak itu tak salah, tapi adakalanya pencarian kita itu bukan berdasarkan akal…” kata-kata Aryssa ditelannya.

Memang benar, selama ini dia mencari sesuatu yang bukan berdasarkan akal tapi nafsu. Dalam diam Linda mengagumi Aryssa. Ternyata gadis yang kelihatan nakal dan agak sombong ini rupanya punyai personaliti yang positif. Linda perlukan perubahan itu. Perubahan pada akal dan perasaan.
“Kalau kau nak jadi kawan aku, bila-bila masa aku bersedia. Tapi… kawan, jangan lebih dari tu…” tutur Aryssa sambil menekankan perkataan “kawan”.

Ada sejalur sinar yang bercahaya terpalit dari sepasang mata teduh gadis itu. Ada senyum terukir di sudut bibirnya.
“Betul?” Linda bagai tidak percaya.

Aryssa angguk.
“Saya Linda… boleh jadi kawan baik saya tak?” tutur Linda sambil tersenyum manis. Sambil mengesat pipi basahnya juga.

Aryssa turut tersenyum. Menyambut tangan Linda yang terhulur dan menggenggamnya kemas. Moga ada sinar baru untuk Linda, harapnya.


**** ************** ****

Fizal menatap kad-kad pemberian Syarina. Kebanyakan kad itu dibuat sendiri. Syarina seorang yang kreatif dan pandai melukis. Lukisan kartunnya sangat menarik dan comel. Dia kagum melihat hasil kerja tangan itu, namun masih sukar untuk dia menyelami kejujuran gadis itu padanya.

Telefon di sebelah katilnya tidak pernah mungkir untuk berdering tepat jam sepuluh. Pukul 10:02 minit, Fizal melirik jam dinding sejurus itu bibirnya mengukir senyuman.
“Hello, nak cakap dengan siapa?”
“Hello, nak cakap dengan Fizal, boleh?” pertanyaan itu membuatkan Fizal senyum panjang.
“Hari ni kenapa lewat dua minit? Nak kena denda ni…” guraunya.
“Alah, lewat sikit pun kena denda? Tak aci la...”
“Tak kira, Fizal denda. Tolak dua bulan dari tempoh Rina nak jumpa Fizal, setuju?” Fizal cuba memancing reaksi Syarina.
“Setuju. Tapi, kalau Rina call awal kena tambah tempoh masa, okey? Esok Rina call awal setengah jam… maknanya, tambah tiga puluh bulan baru kita jumpa…deal?” Gadis itu memulangkan paku buah keras.
“Rina tu memang saja tak mahu jumpa Fizal lah tu… Mentang-mentanglah Fizal dah cacat macam ni. Rina pun sudah tak mahu berkawan dengan Fizal. Sudahlah awek-awek Fizal semuanya pulaukan Fizal…Rina pun sama juga. Tak apalah. Apa nak buat, Fizal sedar…” rajuknya.

Dia sengaja memancing simpati gadis itu. Teringin sekali dia menatap wajah tuan empunya suara yang sering menciptakan malam indah untuknya. Tanpa suara itu, dia gelisah. Tidurnya tidak lena.
“Aik apasal tetiba sensitif pula ni? Merajuklah tu. Takkanlah Rina tak mahu kawan dengan Fizal, jejaka idaman gadis Malaya...” gurau Syarina. Namun dia sedikitpun tidak menyangka lawaknya membuatkan suara lelaki itu berubah.
“Perlilah tu… dulu memang idaman gadis Malaya. Tapi sekarang…Fizal sudah tak berguna pada mereka. Rina, Fizal kalah dengan hidup Fizal sendiri. Fizal malu nak bersemuka dengan dunia luar,” Fizal mulai serius.
“Tak tahu macam mana Fizal nak ke kolej dengan keadaan begini? Fizal malu berdepan dengan orang. Kawan-kawan Fizal yang datang melawat pun kadang-kadang mengutuk, mengejek Fizal dengan kecacatan Fizal yang ada sekarang. Fizal dah ada gelaran baru tau… Si Tempang, sedap tak nama tu?”

Fizal sudah tidak mampu lagi menceriakan suaranya. Selama ini, dia tidak pernah meluahkan kepada sesiapa, tetapi dia mesti mengeluarkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Memang dia kalah. Kalah sebelum sempat menempuh perjalanan hidup.
“Fizal, Rina minta maaflah kalau Fizal terasa dengan Rina. Rina gurau je tadi…janganlah ambil serius,” Syarina ditumbun rasa bersalah.
“Fizal belum kalah lagi. Apa yang Fizal rasa sekarang cuma sementara. Fizal tahu tak, ada lagi orang yang lebih teruk keadaannya berbanding Fizal sekarang. Ada yang sedang berhadapan dengan maut. Ramai lagi orang yang kemalangan, cacat anggota, paralysed, tapi…Tuhan masih beri Fizal peluang untuk teruskan perjuangan,” lembut suara Syarina Wirdayu.
“Fizal kena kuat melawan perasaan, bukannya melawan ketentuan. Semua ini ujian Allah. Apa yang sudah ditentukan pasti ada hikmahnya, Fizal. Allah itu Maha Adil, Maha Mengetahui. Kita tak tahu semua tu kalau kita tak tempuhi dengan jayanya,” sambungnya lagi.

Rupanya lelaki itu tertekan dengan takdir yang menimpa. Saat itu dia teringat Amir. Amir yang tidak mampu melawan perasaan. Kerana itu lah, lelaki itu melarikan diri jauh dari dunianya. Amir yang pernah dikagumi kerana ketegasannya, kalah sebelum berjuang. Kalah melawan dirinya sendiri. Syarina tidak mahu semangat Fizal serapuh Amir.
“Tapi, kenapa Fizal yang kena terima semua ni? Kadang-kadang Fizal rasa tak mahu hidup lagi, kenapa Tuhan tak cabut saja nyawa Fizal masa accident hari tu?” bentak Fizal, menyesali segala takdir yang menimpa dirinya.
“Banyak-banyak beristighfar Fizal. Kita tak boleh melawan qada’ dan qadar Allah. Hidup dan mati kerjaNya. Dia nak bagi peluang Fizal perbetulkan segala kesalahan yang pernah Fizal buat. Sebab Allah sayangkan Fizal…” lirih suara Syarina Wirdayu.
Kalaulah kata-kata itu diucapkan ke telinga Amir, masihkah dia seperti kini? Terus hanyut dalam dunianya yang sengaja diabaikan. Dunia ini terlalu luas untuk engkau lari, lelaki.
“Fizal kena bersyukur sebab Fizal hidup lagi. Masih ada peluang untuk bina hidup baru. Ada juga peluang ubah hala tuju…bukannya berterusan lakukan kesilapan. Jadi, manfaatkan peluang yang ada. Bukan mudah nak dapat peluang kedua,”

Fizal terdiam. Tenggelam dalam kata-kata Syarina Wirdayu.
“Kalau Fizal mati dalam kemalangan tu… kita tak boleh berbual macam sekarang…” pujuknya lagi supaya lelaki itu tabah menghadapi takdir yang ditentukanNya.

Syarina menarik nafas dalam-dalam. Dia mahu berikan apa yang sepatutnya diberikan pada Amir dulu. Dia tidak mahu lelaki itu putus asa hanya kerana satu kemalangan, walaupun dia sendiri sebenarnya juga berhadapan dengan ujian. Ujian yang lebih getir. Ujian yang kadangkala membuatkannya hilang semangat untuk hidup.
“Fizal, memang Rina tak rasa apa yang Fizal rasa, tapi sekurang-kurangnya…Fizal masih ada keluarga dan kawan yang akan menjenguk. Fizal cuba anggap kutukan kawan-kawan itu sebagai satu gurauan dan semangat untuk Fizal meneruskan perjalanan hidup,” nasihatnya tnpa putus.
“Fizal tak boleh putus asa, hidup mesti diteruskan. Kecederaan Fizal tu hanya sementara. Nanti sembuh juga…” ucapnya lagi lambat-lambat.

Syarina sendiri tidak percaya dia mampu mengeluarkan kata-kata nasihat sebegitu sedangkan dia sendiri kadang-kadang putus asa dengan apa yang ditentukan untuknya. Adakalanya dia sendiri merasakan kehidupannya langsung tidak bermakna. Agak sering juga dia merasakan takdir Tuhan sentiasa tidak adil padanya.
“Fizal ingat setiap kata-kata Rina, Fizal rasa bertuah sangat sebab Rina sudi nak kawan dengan Fizal. Terima kasih Rina!” bergetar suara Fizal saat mengucapkan itu.

Fizal dapat rasakan semangat baru setelah mendengar kata-kata Syarina. Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai Syarina dan kekuatan semangatnya.

Fizal membetulkan kedudukannya setelah penat duduk membengkokkan kaki, menahan kesakitan yang begitu menyengat kakinya. Lagu Manisnya Senyumanmu berkumandang di Hi-fi. Selepas beberapa minggu kehadiran Syarina Wirdayu, lagu itu menjadi lagu wajib untuk didengarnya setiap hari.

Kurasa satu dunia sudah mengerti perasaanku padamu. Aku merindu oh merindu senyumanmu yang menawan kalbu. Lirik itu sentiasa berdendang di sudut hatinya. Di mindanya.

Lama mereka berdiam melayan perasaan masing-masing. Bagaikan tiada apa lagi yang mahu diperkatakan, namun masing-masing enggan untuk meletakkan telefon. Takut kerinduan mencengkam sehingga malam esok.
“Okey, apa perkara pertama yang akan Fizal buat kalau jumpa Rina?” Soalan Syarina menghentikan lamunannya.

Argh! Potong betullah, minah ni. Baru je aku nak bayangkan rupa dia macam mana, macam Fasha Sandha ke, macam Emelda Rosmila ke… atau macam Emelda Rosmila dalam Manjalara… erkh!

“Err… Fizal nak suruh Rina senyum untuk Fizal”

Pertama kali jumpa, aku nak tengok muka Rina tu dulu. cun ke tak, kalau cun nak suruh Rina kiss… ish! Nampak sangat gelojohnya! Lagipun mesti dia kata aku tak sedar diri. Dah tempang macam ni, ada hati nak awek cun!

Jawapan apa ni? Fizal sendiri tidak mengerti dengan dirinya sendiri.
“Eleh, Tak mencabar langsung!” pintas Syarina.
“Tapi Fizal nak senyuman yang paling manis di dunia… boleh buat ke? Rina pula apa perkara pertama Rina nak buat kalau jumpa Fizal?”

Debaran penuh makna seringkali terjadi bila kau di sisi. Namun yang pasti membuat kujatuh hati. oh manisnya… manisnya senyumanmu. Kumandang lagu melatari perbualan mereka.
“Tak payah buat-buat, Senyuman Rina memang senyuman yang termanis di dunia. At first kita jumpa, Rina nak suruh Fizal tunjuk I.C dulu, mana tau kot-kot menyamar macam cerita Ibu Mertua ku, tak ke naya…”

Di hujung talian terdengar gadis itu tertawa panjang. Lepas.

Amboi, dapat ketawa, lebih daripada momok. Kadang-kadang macam pernah dengar je cara ketawa macam tu, tapi di mana ye… Gasaklah, janji Syarina Wirdayu ni bukan momok!

Hari-hari Fizal bertambah ceria dengan kehadiran gadis misteri ini. Tanpa mengenal rupa, dia sudah jatuh cinta. Bukan kerana dia terlalu mudah jatuh hati, tetapi kerana keletah Syarina dan bicaranya yang sentiasa membuat Fizal terpesona.

Alangkah bagusnya kalau kita dapat jumpa sekarang, Rina. Teringin aku nak tengok wajah gadis yang selalu menceriakan hati ini. Kalaulah dapat bertemu Rina, akan aku beritahu dunia, bahawa tiada gadis lain yang paling aku cintai melainkan Syarina Wirdayu. Namanya juga sudah unik, tentu orangnya juga unik.

No comments: