Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 17

BAB TUJUH BELAS

“Mak nak ke mana?” tanya Aryssa bila dilihatnya Zakiah bersiap-siap memasukkan kuih dan sup herba ayam ke dalam mangkuk tingkatnya.

Bukan kali pertama dilihat emaknya memasak untuk anak mak cik Salina yang sedang sakit itu, tetapi sudah acap kali benar. Baik betul emak pada anak mak cik Salina, sedangkan anak teruna itu amat memusuhi Aryssa.
“Rumah mak cik Salina kaulah. Nak pergi, tak? Kesian tengok si Fizal tu, berkerusi roda ke sana ke sini… jomlah! Dia kan kawan sekolej kau. Selalunya anak mak ni ambil berat kalau kawan-kawan sakit,” Zakiah tersenyum menoleh anak kesayangannya.

Dia hairan bila Aryssa bagaikan tidak suka untuk melawat Fizal. Sedangkan jika ada kawan-kawannya yang lain sakit, dialah orang yang paling risau. Pernah semasa dia dalam darjah empat, ada seorang kawannya terkena chicken pox, sanggup dipujuk ayahnya melawat kawannya itu di hospital. Kemudian, dia sendiri yang dijangkiti penyakit itu.

Semasa di tingkatan lima pula, seorang kawannya kemalangan motorsikal. Setiap hari juga Aryssa menangis. Berkurung di bilik sehingga menjejaskan kesihatan. Dia demam teruk dan terpaksa dirawat di hospital. Anak gadis kesayangannya itu memang prihatin dengan orang sekelilingnya yang sakit. Orang sakit perlukan hiburan. Melawat orang sakit akan menghiburkan pesakit. Itulah yang sering dilakukannya.
“Malas lah, mak. Ary nak…”
“Dah. Jangan nak bagi alasan, ikut mak. lagipun Ary tak ada assignmentkan? Kalau ikut mak, boleh juga Ary kenal rapat dengan keluarga makcik Sal tu,” usul Zakiah.

Akhirnya Aryssa mengalah dengan ajakan ibunya. Sungguhpun selama ini dialah orang yang paling liat untuk mengikut ibunya ke mana-mana, namun desakan ibunya kali ini membuatkan dia mengalah. Separuh hati sahaja sebenarnya.
“Rajinnya mak ke rumah dia. Sejak dia sakit, Ary tengok banyak kali mak dan ayah pergi jenguk dia. Teruk sangat ke dia, mak? Boleh makan lagi tak?” Aryssa menghalakan tangan kanannya ke mulut, menunjukkan isyarat itu pada emaknya.
“Hish! Budak ini, main-main pula. Fizal tu memang sakit teruk. Lagipun hari tu, dia teringin nak makan kek gula hangus ni. Apa salahnya mak buatkan…”

Memang sebenarnya Aryssa teringin sekali mahu melihat keadaan Fizal. Mendengar suaranya setiap malam, membuatkan Aryssa jatuh kasihan. Selama ini hanya mendengar emaknya bercerita tentang Fizal. Kata emak, kedua-dua kakinya patah dan dimasukkan besi. Belakang badannya pula cedera teruk ketika trailer itu menyeretnya sejauh lima puluh meter. Tidak dapat Aryssa bayangkan betapa ngerinya rupa belakang si Fizal itu. Kalau dibiarkan tidak berbalut, mesti berulat! Geli!
Perodua MYVi hijau pucuk pisang milik Zakiah sudah memasuki pagar banglo di atas bukit itu. Sesampai sahaja di situ, ibunya sudah hilang ke dalam banglo setingkat bewarna kuning air. Keluar dari perut kereta, Aryssa terus ke halaman di sisi rumah. Dia terus menyedut udara petang yang segar dari atas bukit itu. Ini kali kedua dia bertandang ke rumah itu.

Kawasan rumah Fizal memang cantik. Dari atas bukit itu kelihatan rumput hijau yang membentangi padang golf berdekatan rumahnya. Di tengah-tengah padang golf terdapat beberapa buah tasik yang beriak air bewarna biru. Pemandangan yang begitu mengasyikkan di sebalik pembangunan yang pesat.
“Apa kau buat kat sini, hah?” jerkah seorang lelaki berkerusi roda.

Aryssa berpaling. Cemburut wajah Fizal dijumpanya. Di atas ribanya ada beberapa keping kad yang pernah dikirim Syarina.

Tak padan dengan kerusi rodanya, sombong!

Aryssa merenung Fizal dengan pandangan sinis, walaupun agak kasihan melihat keadaan lelaki itu. Kaki kirinya terpacak tiga batang besi berbentuk arial televisyen manakala kaki sebelah kanan pula bersimen hingga paras lutut. Di simen putih itu tertera bermacam jenis tulisan, mungkin hasil nukilan teman-temannya.

Mata Aryssa tertumpu pada satu lukisan bunga ros pada simen itu dan tulisan yang tertulis “Syarina Wirdayu, Manisnya Senyumanmu”. Hatinya diragut rasa terharu. Namun dalam terharu itu, ada juga rasa lucu bila melihat lelaki sombong dihadapannya itu sebenarnya sedang memuja Syarina Wirdayu.
“Hoi, Budak betina-jantan! Apa kau buat kat rumah aku?” sergahan Fizal membuatkan Aryssa merenung lelaki itu bersahaja seperti tadi. Dia masih tidak membalas kata-kata lelaki itu.

Malas aku nak layan lelaki pelik ni. Dalam telefon bukan main lagi lembut dia bercakap. Bila jumpa, menengking orang macam dia seorang je ada anak tekak. Aku tengking balik karang, baru ada akal!

Nasib baik ini rumah dia. Kalau rumah aku, dah tentu kena pelangkung mamat ni. Inilah perkara pertama yang dia buat bila jumpa aku, sebenarnya. Menengking macam nak terkeluar anak tekak. Kalau macam ni, sampai kiamat kau tak dapat tengok manisnya senyuman aku ni, Fizal!

Fizal di hadapannya begitu berbeza daripada Fizal yang selalu berbual dengannya melalui telefon. Ikutkan hatinya, mahu saja disiat-siatkan hati lelaki sombong itu.

Lelaki itu seakan geram dengan Aryssa yang langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Semakin Aryssa dian tak menjawab, semakin sakit hatinya. Seakan main-main pula dia!
“Kat sini tak ada orang yang jantina bercampur macam kau… Kat sini, yang ada… perempuan sejati dan lelaki sejati. Tak ada campur-campur!” tempelak Fizal lagi.

Aryssa merenung lagi ke arah Fizal. Tanpa apa-apa reaksi. Pada pandangannya, lelaki ini memang anti-tomboy ataupun dia masih marah dengan kejadian yang berlaku antara mereka beberapa bulan lalu. Tidak pun, awek lelaki ini pernah dirampas budak tomboy. Jadi, rasa tercabarlah bila tengok awek tomboy yang anggun dan ayu macam aku ni.
“Oh! Ek? Tapi…kat sini ada manusia campuran robot. Kalau manusia sejati, jalan pakai kaki, tapi …kalau manusia campuran robot, jalan pakai besi,” sindir Aryssa membalas kata-kata pedih Fizal setelah lama dia mendiamkan diri.

Saat itu juga wajah Fizal berubah menjadi merah. Merah padam. Menyala-nyala. Seakan ada api sedang marak dalam dirinya.
Mulanya Aryssa memang malas nak menjawab, tetapi lelaki itu seakan sengaja cari pasal. Sengaja mencabarnya untuk terus bertelagah.

Tak tahu ke mulut aku ni bisa macam racun ular tedung. Bukan ular tedung biasa tahu? King Cobra ni! Hah! Kan dah kena sebijik, jangan marah!

Lelaki itu bagaikan mahu berlalu, terkial-kial dia memusingkan roda pada kerusinya. Aryssa yang memandangnya terasa simpati. Menyesal pula mengeluarkan kata-kata kasar padanya. Dia lantas mencapai pemegang kerusi roda dan cuba menolak Fizal. Sebelum sempat dia menolak, tangannya ditepis kasar.
“Tak payah nak buat baik dengan akulah!” bentaknya, sombong.

Tengoklah tu, masih nak sombong lagi, tak sedar diri betul!

Belum sempat Aryssa membalas, Salina dan Zakiah keluar bersama dulang yang berisi makanan dan minuman menuju ke meja jati di bawah Gazebo di halaman. Riuh mulut emak mereka mengajak makan bersama-sama.

Fizal yang pada mulanya mahu masuk ke rumah, terus terhenti. Barulah Fizal tahu rupa-rupanya si betina-jantan yang dibencinya sangat-sangat itu anak kepada mak cik Zakiah. Namun, bila tengokkan gaya Aryssa dan mak cik Zakiah, terlalu jauh bezanya. Aryssa kasar dan tomboy sedangkan Mak cik Zakiah jauh lebih lemah lembut dan seratus peratus bercirikan seorang wanita Melayu.

Semasa minum petang itu, Aryssa lebih banyak berdiam dan mendengar celoteh emaknya dan mak cik Salina. Fizal juga begitu, malah sesekali merenung Aryssa dengan pandangan tajam yang menakutkan. Seakan ada dendam yang masih terbuku di dadanya.

Emaknya pula melayan Fizal makan, macamlah Fizal tu anaknya.
“Fizal makan banyak sikit tau. Sup herba ni mak cik renehkan untuk Fizal, biar luka tu cepat sembuh. Ni kek gula hangus yang Fizal teringin nak makan hari tu. Makan ye, mak cik nak Fizal cepat sembuh!” ramah mulut Zakiah mempelawa anak muda itu makan.

Zakiah menyenduk sup herba yang dimasak khas untuk anak teruna Salina. Wapnya berkepul-kepul naik menyebarkan wangi aromanya. Masih panas!

Anak muda itu mengangkat mangkuk kecil berisi sup panas sambil menghirup kuah sup yang masih berasap. Mencicipnya perlahan dan hati-hati. Kemudian mula menikmati keenakannya.

Nikmat rasanya. Pandai betul mak cik Zakiah masak, serba cukup rasanya. Kek gula hangus ni memang kegemaran aku, sedap betul kek ni. Cukup rasa manis, lemak. Kalaulah budak betina-jantan ni tak ada depan aku, berselera juga aku nak habiskan sepiring kek ni.

“Terima kasih, mak cik. Susah-susah mak cik masakkan untuk Fizal,” ucap Fizal sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Zakiah.

Pada masa yang sama, Aryssa terasa seakan mahu memuntahkan isi perut melihat senyuman Fizal pada emaknya.

Orang kalau nak tackle mak, tacklelah hati anak dulu, eh! Betullah tu, nak tackle anak kena tackle mak dulu. Tapi kalau dah tengok saja muka aku, muka dia berubah macam askar Israel, baik tak payah. Ngabiskan boreh je!

“Sama-sama. Mak cik bukan apa, mak cik dah biasa jaga orang sakit ni. Orang sakit ni, seleranya serba-serbi nak kena jaga. Kalau tidak, susahlah!” ucap Zakiah.
Memang Fizal tahu, mamanya sering bercerita yang mak cik Zakiah memang mengambil berat jika ada orang sakit ketika mereka berada di asrama dulu. Malah, kerana minatnya terhadap perkhidmatan seperti itu, mak cik Zakiah telah mengambil kursus kejururawatan dan pernah menjadi jururawat selama lima belas tahun.
“Jadi Ary dan Fizal dah kenallah ye? Sekolej kan, tak kan tak pernah terserempak,” ujar Salina, bila dilihatnya Aryssa diam tanpa berbicara walaupun sepatah. Tika itu Fizal menggeleng dan Aryssa pula mengangguk.

Zakiah dan Salina saling berpandangan.

Hish! Entah siapa yang nak berkenalan dengan dia, perempuan tak cukup sifat. Tuhan dah jadikan jantina tu perempuan, ada hati nak jadi lelaki! Macamlah bagus! Walau aku kenal hingga tujuh keturunan kau sekalipun, aku takkan mengaku aku kenal kau, betina-jantan! Datang rumah orang menyakitkan hati saja!

“Mana satu betul ni? Kenal ke tak? Hai, Aryssa dah tak reti nak bercakap ke? Kalau tidak, mulut dialah yang banyak sangat macam bertih digoreng…” tanya Zakiah pula.

Hairan juga dia bila dilihatnya Aryssa lebih banyak berdiam diri hari ini. Kalau tidak, anak itulah yang paling banyak mulut. Ada sahaja bahan untuk berbual. Ada sahaja perkara mahu diusik. Tambah kalau dengan rakan sekolej, pasti banyak cerita yang dia akan dengar. Kalau bertemu dengan si Wani tu lagi lah, habis semua gelaran untuk orang keluar dari mulut mereka.

Hari ini anak gadisnya tu dah bertukar tingkah pula. Tiba-tiba jadi pendiam. Takkanlah anak itu terpikat dengan anak teruna si Salina ni. Kalau betul pun, apa salahnya. Dia tidak menghalang. Cuma anak muda ini, renungannya pada Aryssa memang lain, macam ada sesuatu yang tidak kena antara mereka.
“Actually, Ary kenal dia…tapi dia tak kenal Ary!” jawabnya, ikhlas dan bersahaja. Sambil matanya mengerling ke arah Fizal.

Eleh! Macam aku heran sangat nak kenal dengan kau. Nasib baik, mak kau ni baik hati, kalau tak, tak hingin aku nak mengaku aku kenal kau pun! Aku kenal kau pun bukan kerana perangai baik kau, tapi perangai buaya tak guna kau tu! Boleh blah la buaya tempang! Kau ingat lepas ni ada lagi ke burung-burung yang nak menyerah diri ke mulut kau, yang kau nak berlagak sangat tu. Kira baik jugalah aku ni, nak juga datang melawat!

“So, sekarang kamu berdua berkenal-kenallah… nanti apa-apa hal di kolej tu, bolehlah Aryssa tengokkan Fizal. Maklumlah, Fizal ni tak sihat lagi…” pinta Salina.

Besar hatinya kalau Aryssa mahu menjalin hubungan dengan anak terunanya. Perkara itu juga sudah dibincangkan dengan Zakiah. Walaupun Zakiah seperti tidak mahu memberi kata putus, tetapi dia tahu kawan baiknya itu setuju dengan permintaannya.
“Tak apalah mama, Fizal tak mahu menyusahkan sesiapa. Fizal boleh buat sendiri. Lagipun ramai kawan-kawan lain lagi yang sekelas boleh bantu Fizal,” balas Fizal setelah sekian lama berdiam diri.

Eleh, Jual mahal konon! Macamlah aku teringin sangat nak tolak kerusi roda dia tu… Huh! Pinggan tak retak nasi tak dingin, kau tak nak…kau ingat aku teringin? Boleh jalan!

“Hah, Kawan Fizal yang selalu call tu, apa namanya? Syarina? Dia sama kolej dengan kamu berdua juga ke?” pertanyaan mak cik Salina membuatkan Aryssa hampir mahu menyemburkan fresh orange yang baru diteguknya.

Eh! Mana mak dia tau ni? Mulut tempayan betul jantan ni, semua nak cerita kat mak dia. Betullah, anak manja! Ok-oo, baru aku teringat, akukan pernah hantar kad pada si Tempang ni!

Nasib baik Aryssa dapat mengawal keadaan itu. Nasib baik juga lelaki itu tidak mengesyaki apa-apa.
“Tak lah, dia sekolah lagi. Tahun ni ambil STPM,” jawapan itu membuatkan Aryssa berpaling ke arah lain, menahan senyum.

Kah! Kah! Kah! Confident je! Kalau kau tahu Syarina kau tu sekarang ada depan kau ni hah, silap-silap kau tak maafkan mulut kau yang cabul tu mengutuk aku betina-jantan!

“Rajin budak tu telefon, boleh di katakan setiap malam. Tapi Fizal tak pernah bagi mama cakap dengan dia. Teringin juga mama nak kenal Syarina tu. Ajaklah dia datang rumah. Hah, Fizal pun call lah Aryssa, boleh borak-borak. Bukan apa… mama tak mahu Fizal rasa boring. Bolehkan Aryssa?” tanya Salina lagi.

Aryssa cuma senyum sambil mengangguk-angguk. Menahan diri. Jangan nanti Nampak gelojohnya dia di hadapan orang tua. Budi bahasa kena juga jaga. Libatkan nama baik keluarga. Apalagi di hadapan kawan baik emaknya ini.

Boleh saja, mak cik. Lagipun, memang tiap-tiap hari saya telefon anak mak cik nak mengajar anak mak cik jadi anak yang baik. Jangan jadi buaya…karang mati kena tuba!

Fizal tidak menunjukkan sebarang reaksi, tapi hatinya bagai meluat melihat senyuman yang dihadiahkan Aryssa pada mamanya.

Nak call dia? Malang betul! Mama ni, macam tak ada orang lain nak dihalakan, carilah perempuan yang cun sikit! Ini tidak, ada ke budak betina jantan ni? Hie! Orang tak ada taste je yang sanggup nak bercouple dengan dia… Lagipun Fizal kan dah ada Syarina Wirdayu. Awek aku tu gadis berwawasan, tau! Lemah lembut, sopan santun, suara pun tak adalah macam guruh. Bukan macam kau, pakaian dahlah macam jantan. Macamlah bagus sangat dengan cap terbalik kau tu. Ingat ada le orang yang berkenan dengan penampilan kau tu!

Aku sudah tidak perlukan mana-mana gadis lain lagi nak temankan. Aku dah ada Syarina Wirdayu, lah. Dengar nama je kau dah gerunkan? Belum lagi kau tengok orangnya tau. Kalau kau tengok, mahu kau menangis tiga keturunan sebab tak dapat lelaki romantik dan macho macam aku ni. Sorrylah budak betina-jantan, you are just not my type!

Aryssa mulai meluat melihat cara pemuda itu memandangnya. Penuh dengan renungan sinis yang menyakitkan hati. Saat itu, mahu saja dia menarik emaknya, mengajak pulang.

Alahai, jantan ni. Buat muka sinis macam tu. Macamlah aku ni hadap sangat dengan muka dia tu. Setakat Syarina, eleh! Apa sangatlah Syarina yang aku cipta tu. Aryssa ni lagi romantic tau! Lagi setia, kalau tak percaya tanyalah aku sendiri.

No comments: