Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 26

BAB DUA PULUH ENAM

Aryssa terperosok di kerusi belakang, daripada semalam dia protes tidak mahu mengikut mak dan ayahnya ke majlis kenduri mak cik Salina. Emaknya pula beria-ria memintanya memakai kebaya yang dijahitnya pada hari raya lalu. Aryssa rimas dengan kebaya yang mengikut susuk tubuh dan kainnya yang agak ketat serta berbelah dibahagian belakang. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Fizal dan Wani akan mentertawakannya ketika berpakaian begitu.
“Senyum sikit Ary…cantik anak dara ayah hari ni. Macam ni, cepat ayah dapat menantu…” usik Alias.

Adakalanya dia kasihan dengan si anak yang tidak henti menjadi mangsa paksaan ibunya. Namun dia berbangga dengan anak gadisnya yang seorang itu. Biar protes bagaimanapun, tiada kata lawan keluar dari bibir munggilnya. Mengikut sahaja apa mahu si ibu biarpun dengan wajah cemberut.

Aryssa masih seperti tadi, masam mencuka. Wajahnya yang disolek ibunya tadi, sudah dilap bersih dengan tisu. Dia tidak mahu kelihatan seperti badut. Tapi yang masih merimaskan, gincu yang dipakaikan ibunya masih melekat. Puas ditenyeh dengan tisu, tapi warna merah jambu kejinggaan itu terlalu degil untuk ditanggalkan.
“Don’t wipe off your make-up!” itulah amaran yang diberikan ibunya sebelum keluar dari rumah.

Sesampai sahaja di rumah mak cik Salina, dia dilayan mesra. Tidak henti-henti mak cik Salina memuji kecantikannya. Jarang sekali wanita itu melihatnya dalam pakaian sebegini. Mak cik Salina juga sering tersasul membahasakan dirinya Mama. Walaupun Aryssa tidak selesa tetapi dia masih dapat mengawal dirinya bila berhadapan dengan Wani. Ternyata ada riak cemburu pada wajah bekas kawan baiknya itu.

Fizal pula semacam mencari peluang untuk bercakap dengannya. Dia sendiri tak menyangka akan kelihatan cantik bila berpakaian begitu. Kebaya satin hijau tua bercorak bunga-bunga kecil bewarna putih begitu menyerlahkan penampilannya. Rambutnya yang sudah beberapa bulan tidak digunting, lurus dan hampir menutupi lehernya yang jinjang.

Walaupun solekannya sudah dilap bersih, namun kerana masih ada sisa gincu yang tidak tanggal, bibirnya kelihatan segar bila mengukirkan senyuman. Semasa dia menolong mengangkat dulang, ada mata-mata yang nakal asyik merenungnya.
“Kak Ary cantiklah hari ni. Selalunya kak Ary macam tomboy,” pujian Nurul dibalas dengan senyuman.
“Abang tu macam suka je pada kak Ary. Mana satu perempuan yang dia nak…Nurul pun tak tahu. Kak Wani pun dia mahu, kak Rina pun dia suka…sekarang kak Ary pula. Pening-pening! Nasib baik tak macam dulu, lagi pening…” Gelengan kepala Nurul membuatkan Aryssa ketawa lucu.

Ketawanya terhenti bila terlihatkan pasangan Wani dan Fizal duduk rapat. Hatinya digigit rasa cemburu yang amat sangat, tapi disembunyikan perasaan itu.

Ah! Aku tak mungkin jatuh cinta pada orang lain. Tak mungkin! Hatiku kukuh untuk Amir. Aku akan tunggu Amir hingga habis hayatku!

“Tu tengok tu, asyik nak berkepit je. Bukan nak tolong orang…” Muncung Nurul menjuih ke arah pasangan itu.
“Biarlah, diorangkan tengah bercinta,” jawapan Aryssa membuatkan Nurul mencebik.
“Cinta konon! Abang tu sebenarnya bukanya apa, nak cari teman berbual je. Bila malam, Kak Rina yang temankan. Tapi kan, Kak Ary…kak Rina tu ok. Macam kak Ary juga, very sporting!” terang Nurul sambil tangannya lincah mengelap pinggan mangkuk yang bersusun.
“Iya ke? Nurul pernah jumpa ke kak Rina tu? Cantik tak orangnya?” soal Aryssa walaupun dalam hati bagai mahu ketawa ketika menyoal gadis itu.
“Tak pernah, dengar suara je. Kata abang, Kak Rina tu tinggal di tempat lain. Jauh… dan dia belum bersedia nak jumpa abang,” bisik Nurul sambil menjeling pasangan bahagia yang bergurau senda di sudut sofa.
“Tapi, Nurul memang anti kak Wani ni. Dahlah suka merengek pada abang dan mama…pemalas pula tu. Bukannya nak tolong buat kerja-kerja macam ni. Tak macam kak Ary, walaupun biasanya nampak macam tomboy, tapi pandai sesuaikan diri dengan keadaan!” pujinya sambil mencuit hujung hidung mancung Aryssa.

Wani tu macam dah tak ada tempat lain nak melepak. Balik-balik muka dia. Macamlah abang aku tu apa je, asyik nak mengekor ke sana ke mari. Mentang-mentang abang aku dah sihat. Masa abang aku tak sihat dulu, tak ada pun muka si Wani datang hulur tangan bagi semangat pada abang aku tu…
“Mengada-ngada pula tu, kadang tu suruh mama masak tu masak ini… Nurul sendiri tak pernah buat macam tu…” sambung Nurul lagi.
“Hish, tak baiklah Nurul ni. Dah, jangan perdulikan mereka. Angkat pinggan tu, kak Ary nak susun!”
“Mama ni pun satu, kalau pakai kateringkan bagus tak payahlah kita nak buat kerja teruk-terukkan,” bebelan Nurul masih belum reda.

Aryssa hanya mengelengkan kepala mendengar luahan hati Nurul. Kemudian matanya beralih pandang ke arah pasangan Fizal dan Wani. Mereka bergelak ketawa tanpa memperdulikan keadaan sekeliling. Benar apa yang dikatakan Nurul. Padahal majlis ini adalah majlis kesyukuran kerana Fizal terselamat dan beransur pulih dari kemalangan.

Aryssa tidak dapat menipu hati sendiri. Sememangnya dia terasa ada sesuatu yang mencengkam lubuk hati bila melihat pasangan itu bergurau senda. Hatinya tersayat luka, saat Wani bagai sengaja merangkul mesra tangan Fizal. Tambah menyeksakan bila Fizal bagaikan tidak nampak kewujudannya di situ. Namun, adakalanya dia bagaikan mendoakan kebahagiaan mereka.
“Kenapa? Kau sakit hati? Kau tengokkan Fizal sayangkan aku? So, tak ada maknanya kalau kau nak call dia setiap malam. Tak payahlah nak cuba goda dia dengan kebaya buruk kau ni!” bisikan dan jelingan benci Wani saat dia datang menyinggung bahu Aryssa tidak dapat Aryssa dilupakan. Penghinaan Wani terhadapnya bagaikan Aryssa tidak pernah dikenalinya.

Wani! Wani! Macam kau tak kenal aku! Aku tak pernah putus asa, Wani. Walaupun bukannya aku nak sangat merebut hati lelaki itu, tapi bila kau yang minta persaingan dari aku, kau kena terima cabaran kau! Walaupun aku terasa malu yang teramat sangat kerana pergaduhan dua bekas sahabat hanya kerana seorang lelaki… sungguh memalukan!

“We wait and see, who will win, Wani!” bisik Aryssa sekadar membalas penghinaan daripada gadis yang pernah dinobatkan sebagai sahabat baiknya.

Yang terlihat di matanya kala itu hanya cerlang mata Wani menatapnya sebelum berlalu semula hampiri Fizal.

***** ************** *****

Sungguh, memang Fizal terpegun bila melihat anak mak cik Zakiah. Tak sangka si betina-jantan yang pernah diejeknya itu, memiliki kejelitaan semula jadi. Entah sejak bila gadis itu bertukar kulit, Fizal sendiri tak tahu. Yang dia tahu, dia sudah terpesona dengan kecantikan itu. Fizal selalu melihat gadis cantik tetapi, kecantikan pada Aryssa tak boleh dinafikan.

Wani pernah beritahu, semasa di sekolah menengah Aryssa menjadi rebutan pelajar lelaki sekolah. Fizal tak pernah percaya dengan cerita Wani sehingga Fizal menatap sendiri keayuan Aryssa. Sering sekali Fizal mencari peluang untuk bercakap dengannya tapi sekerap itu juga Wani datang mencelah. Mungkin Wani cemburu, tetapi bagi Fizal, Wani cuma seorang kawan yang baik. Untuk menjadi teman istimewa, gadis itu bukan pilihan yang tepat. Wani agak kebudak-budakan dan kadangkala terlalu mengongkong. Itu juga tidak bermaksud Fizal akan memilih Aryssa, walaupun gadis itu mempunyai markah di matanya.

Yang pastinya, keluarga Fizal tidak akan menolak jika gadis itu dijadikan menantu. Fizal bagaikan teringat sesuatu. Pantas tangannya membuka laci meja. Dia mengeluarkan penanda buku yang pernah dihadiahkan Aryssa padanya.
Hatinya mulai dihuni curiga. Andai benar telahannya, dia pasti menerimanya. Bukan rugi pun. Selama ini, memang hatinya sudah terpaut pada si misteri Syarina dan kalau benar Aryssa dan Syarina adalah orang yang sama, dia patut bersyukur.

No comments: