Sunday, August 10, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 1

“Awin! Kau nak tau? Syahir contact aku balik!” jerit Yanti di hujung talian.

Pantas telefon di tangannya dijauhkan sedikit dari telinga apabila jeritan Yanti semakin membingitkan telinganya.

“Kau ingat aku dah pekak ke?” Mazwin membalas jeritan itu.

“Sorry! Aku excited sangat ni, aku tak sangka dia nak contact aku balik? Dah lama aku tunggu dia, ingat lagi dia kat aku!” suara Yanti berbaur ceria memberitahunya.

Memang Yanti sudah lama menaruh hati pada Syahirwan, sejak zaman persekolahan dulu, pada masa yang sama Syahirwan sudah punya Harliana, kekasihnya yang juga rakan sekelas mereka.

Namun, Yanti dan Syahirwan berkawan baik tanpa pengetahuan Harliana, pada Yanti tempat Syahirwan mengadu masalah, pendek kata apa sahaja berkaitan dengan perempuan, dia akan merujuk kepada Yanti, malah kalau dia mahu membelikan hadiah untuk buah hatinya pun dia meminta Yanti untuk memilihnya.

Tapi selepas sahaja mendapat keputusan STPM, mereka membawa haluan masing-masing. Yanti menyambung pelajaran ke UiTM di Skudai, Syahirwan dan Harliana sama-sama ke Universiti Malaya dan dia sendiri menyambung pelajaran di kolej persendirian.

Semenjak itu, hubungan mereka terputus, tapi Yanti dan Mazwin tidak pernah putus berhubung, malah mereka seringkali keluar bersama bila tiba cuti semester.

Pernah Yanti menangis dua hari dua malam kerana mendengar berita pertunangan Syahirwan dan Harliana. Masa itu cuti semester tahun kedua mereka di universiti. Hampir putus asa Mazwin memujuk temannya itu, dialah tempat Yanti mencurah perasaannya terhadap Syahirwan.

Kini, lelaki itu menghubunginya semula, betapa gembiranya hati Yanti. Tambahan pula bila Syahirwan memberitahu bahawa ikatan pertunangannya sudah terlerai gara-gara Harliana yang curang dan membuat hubungan dengan rakannya sendiri.

“Awin, aku nak jumpa dia malam minggu ni, petang ni kau temankan aku pergi shopping ye, aku nak keluar date dengan Syahir,” pinta Yanti.

Mazwin senyum sendiri. Temannya itu memang suka membeli belah, menurutnya membeli belah boleh menenangkan fikiran. Tetapi apa yang Mazwin tengok kalau dia tengah seronok pun dia akan pergi membeli belah dan kalau dia susah hati pun, membeli belah juga menjadi pilihannya.

“Tengoklah, kalau aku balik awal, aku ingat nak pergi library kejap,” jawab Mazwin.

“Ala, Win, kejap je, lagipun kau kan baru chambering, tak payah kerja kuat sangat!” ujar Yanti.

Senangnya dia cakap, sembilan bulan kena habiskan tempoh chambering bukan senang, itu tidak termasuk kena buli dengan peguam, dengan kerani. Dia lainlah, lepas sahaja merangkul ijazah terus jadi pengurus operasi di syarikat pengangkutan ayahnya sendiri, tidak perlu berfikir panjang untuk mencari pekerjaan.

Yanti anak orang berada, harta ayahnya lebih dari cukup untuk menampungnya seumur hidup walaupun dia tidak bekerja. Kehidupan Yanti amat berbeza dengan Mazwin. Seperti langit dan bumi.

“Yelah, kau cakap senanglah! Kalau aku kantoi, kena repeat balik,” jelasnya, keras sedikit.

Dia perlu mengikut peguamnya ke Alor Setar untuk satu kes bicara, ini semua untuk laporannya kelak. Dia perlu menyudahkan latihan guamannya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan semuanya berkait rapat dengan kerjayanya pada masa akan datang.

“Janganlah marah, beb! Aku tengah gumbira gila ni kau nak marah-marah! Petang nanti aku ambil kau kat office, aku ikut kau pergi library lepas tu kita pergi shopping! Deal?” pujuk Yanti, bersungguh.

Kalau dengan Yanti memang tidak boleh hendak kata tidak. Dia akan cuba sedaya yang boleh untuk memuaskan hati masing-masing, asalkan apa yang dia mahukan terlaksana.

Mazwin menghela nafas. Panjang. Berat.

“Okeylah! Kau mana nak kalah. Petang nanti kita jumpa, aku banyak kerja lah sekarang…” bisik Mazwin bila dilihat kelibat peguamnya lalu di hadapannya.

Nanti kena berjawab pula, bila dinampaknya Mazwin berlama-lama dengan telefon bimbitnya di situ, cepat-cepat dia bangun dan menyambung semula kerjanya.

******************

“Aku betul-betul tak sangka dia akan telefon aku balik, Win. Kau bayangkan lima tahun kita tak contact dia, tapi dia ingat lagi pada aku?”

Tidak berhenti mulut si Yanti bercerita mengenai Syahirwan. Mazwin yang sedari tadi hanya mendengar, terus membalasnya.

“Aku pun tak sangka. Dia dengan Har dulu punyalah macam belangkas. Sampaikan masuk U pun sama-sama, tiba-tiba je boleh break macam tu je? Macam manalah rupa dia sekarang ye? Bertambah handsome kot?” giat Mazwin.

Yanti yang sedang memandu, tersenyum-senyum. Wajahnya yang putih bertukar kemerahan. Memang sejak dia mengambil Mazwin di pejabat tadi, wajahnya teramat ceria.

“Kau rasa lepas dia frust dengan Har, dia nak tak bercinta lagi?” soal Yanti sambil mengerutkan mukanya.

Memang dia takut Syahirwan langsung tidak mahu bercinta lagi selepas putus dengan Harliana. Mazwin merenung wajah temannya itu serius.

“Mana kau nak campakkan si Zakri tu? Kau jangan buat hal, Min, tau dek abang-abang kau, nahas kau!” Mazwin mengangkat kening.

Risau juga dengan keputusan Yanti, sedangkan dia tahu keluarganya menentang hebat andai dia membuat hubungan cinta dengan orang lain. Sedangkan jodohnya telah ditentukan. Dia tahu Yanti menyintai Syahirwan sejak dari dahulu lagi tetapi, gadis itu terpaksa akur dengan keputusan keluarganya. Keluarganya sudah pun memilihkan calon suami untuk Yanti.

Walaupun Zakri, bukan pilihan hati Yanti, malah Yanti selalu membuatkan Zakri tertunggu-tunggu. Bila sahaja Zakri menyuarakan hasrat keluarganya untuk datang melamar, seringkali juga dia memberi pelbagai alasan.

“Aku, fed up la, Win. Aku bukan tak suka si Zakri tu, tapi kadang-kadang tu, aku rasa dia terlalu mengongkong walaupun dia selalu ambil berat,” terang Yanti perlahan.

“Tapi aku nak Syahirwan, Win. Kau pun tahu aku minat kat Syahirwan tu sejak kita form 4, first sight love tu. Kalaulah perempuan boleh kahwin dua!” sambungnya kemudian dia ketawa.

Mazwin menggeleng kepala. Gila, getus Mazwin. Adakalanya dia tidak faham dengan temannya itu, walaupun hampir sepuluh tahun mereka berkawan. Kadangkala perangai gila-gila Yanti sukar diramal.

Mazwin mengerti perasaan temannya yang satu itu. Sememangnya Yanti menyintai Syahirwan sejak mereka sama-sama di bangku sekolah lagi, malah setiap hari lahir Syahirwan. Yanti akan menjadi orang pertama mengucapkannya.

Lelaki itu tidak pernah tahu tentang semua ini, kerana Yanti tidak pernah meluahkannya di hadapan Syahirwan, hanya Mazwin menjadi tempat dia meluah rasa.

“Syahir tahu fasal Zakri?” soal Mazwin.

Matanya merenung tepat ke arah mata Yanti. Dia inginkan kepastian. Mana mungkin Yanti bisa menyintai dua lelaki sekaligus. Itu kerja gila.

“Tak, kau jangan bagitau dia ye, Awin. Bagilah aku peluang nak bercinta dengan dia.” Yanti mengeluh kecil.

Matanya terus dilarikan ke arah lain. Tidak sanggup bertentang mata dengan teman baiknya itu. Dia sedar dia perlu memilih antara dua lelaki itu. Tetapi peluangnya untuk dicintai Syahirwan hanya untuk kali ini. Bukan niat dia mahu mempermainkan.
Namun, nama Syahirwan tidak pernah dibuangnya dari tangkai hati. Sejak dulu lelaki itu yang ditunggunya untuk menyambut cintanya yang tidak pernah bertepi. Tetapi apa daya Syahirwan hadir terlalu lewat. Yanti tidak lagi bisa membuat pilihan. Jauh di hatinya dia juga telah mula menerima Zakri pemuda Singapura itu sebagai penghuni hatinya.

“Tapi aku tak boleh buat pilihan, Awin. Lagipun, Zakri tak ada kat sini dia balik Singapura ada hal,” terang Yanti dengan nada yang rendah bagai meraih simpati, dan permintaan itu membuatkan Mazwin benar-benar terkejut.

“Habis tu, nanti, macam mana? Kau nak main-mainkan diorang Ti?” keningnya terangkat lagi. Tidak pernah disangkanya Yanti mempunyai idea yang tidak masuk akal.

“Perkara ni membabitkan hati dan perasaan orang. Buatnya si Syahir syok gila kat kau, kau nak tinggalkan dia macam tu je? Biar benar, Ti. Kau tak boleh buat begitu!” tegas Mazwin.

Mendengar kata-kata Mazwin yang agak keras, Yanti terdiam. Sungguh, Mazwin tidak pernah menyangka Yanti sanggup buat begitu. Mana mungkin dia akan bercinta dengan Syahirwan sedangkan dia sendiri tahu keluarganya akan membantah dan dia juga sayangkan Zakri, bakal tunangannya.

“Awin, kau janji dengan aku, kau takkan bagitau Syahir hal ni. Aku akan selesaikan perkara ni sendiri, kau jangan risau, dia tak akan kecewa…percayalah!” janji Yanti.

Tangannya memegang kejap tangan Mazwin. Mazwin semakin tidak faham, dia sudah mengambil keputusan tidak mahu mencampuri urusan Yanti.

No comments: