Sunday, August 10, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN

PROLOG

Padang Polo, gelaran bagi Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah masih seperti dulu, masih menjadi tumpuan warga bandar ini untuk beriadah. Mazwin merenung jauh ke tengah padang, anak-anak kecil bermain berkejaran, ada juga pasangan yang sedang memadu kasih, menyulam janji. Sama sepertinya suatu ketika dahulu, segala kenangan pahit dan manisnya terukir di situ.

Segala tempat kenangan itu juga sering tergambar menggamit memori manis yang tidak pernah padam. Apabila terkenangkan kemanisan itu dia menjadi rindu, tapi bila diingatkan pahitnya dia pilu dan seringkali menyalahkan takdir.

Namun, kerinduannya lebih kuat dari segalanya, kerana kerinduan itulah dia berada di sini setelah lapan tahun meninggalkan tempat ini, Bandar ini dan segala yang dia sayang di sini.

“Mama, I want ice-cream!” pinta si kecil.

Dia tersentak dari lamunan, lantas dia mengelus lembut rambut anak kecil yang meminta ais krim.

“Tak bolehlah sayang, you still cough. Mama buy some cakes for you?” pujuknya lembut.

Sememangnya anak kecil itu masih kurang sihat sejak dia dua hari berada di tanah air, mungkin kerana pertukaran cuaca yang membuatkannya senang dijangkiti batuk dan selsema.

“I’m allright! Mama… please!” pintanya sambil melentokkan kepala pada sang ibu, manja.

Mazwin merenung si kecil itu kasihan, lantas dia mendukung anak itu ke arah penjaja aiskrim. Selesai sahaja membayar harganya, pantas anak kecil itu berlari semula mengejar kawan-kawan yang baru dikenalinya di situ.

Mazwin menggelengkan kepala, melihat keletah anak itu, Puteri Qistina adalah satu-satunya harta yang paling disayanginya, penyuntik semangatnya untuk terus memperjuangkan hidup. Penghibur saat dia kesunyian dan wajahnya yang mulus dan seiras ayahnya menjadikannya suatu tandahati yang amat disayangi.

Dia duduk semula menghadap padang yang hijau dan menenangkan. Kelihatan sepasang remaja sedang bercinta berjalan berpimpinan tangan.

Ah! Zaman remaja memang indah. Walaupun dia tidak dapat mengecapi sepenuhnya. Tetapi zaman percintaannya penuh dengan bunga-bungaan bewarna-warni, suatu masa yang sukar untuk dilupakan.

Mazwin memejamkan mata. Segala memori lampau tergambar semula. Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan, memori yang membawa perubahan dalam kehidupannya dan kerana itu juga dia kembali ke sini. Ingin dikutipnya andai masih ada sisa-sisa kemaafan dari keluarga.

Walaupun itu semua ternyata bukan kesalahannya, salahnya cuma dia terlalu takut, takut kebahagiaannya dirampas buat kesekian kali. Kerana terlalu memikirkan perkara itu dia lari meninggalkan segala macam kisah yang membuatkan hatinya bertambah lara.

Kini, dia tidak perdulikan semua itu, dia tidak mahu anaknya tidak kenal galur keturunannya sendiri. Tapi selebihnya dia terpaksa, terpaksa pulang semula untuk memperkenalkan zuriatnya pada yang berhak.

Anak itu adalah perkongsian hidup walaupun dulu dia tidak sanggup untuk berkongsi dengan sesiapa. Dia tidak mahu puterinya dirampas, lantas dia membawa kisah duka dan kenangannya bersama. Puteri adalah kenangannya, bukti cinta dan kasihnya pada suaminya pada ketika itu.

Tetapi lelaki itu juga yang memusnahkan segala kepercayaannya, dia hilang arah, hilang pedoman seketika, namun kerana benih lelaki itu yang sudah tersemadi di dalam rahimnya dia nekad mengharungi gelombang hidup yang tidak pernah jemu menghempasnya.

Dia bangun dari kekecewaan, berdiri teguh dari segala kekesalan dan akhirnya dia melangkah dengan yakin meninggalkan segala kekalutan difikiran.

No comments: