Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 16

BAB ENAM BELAS

Selepas sahaja loceng sekolah berdering, dia terus menuju ke perhentian bas yang agak jauh dari sekolahnya. Tidak mahu kalau-kalau ada teman sekelasnya yang ternampak dia dijemput lelaki, kalau tidak pasti kecoh satu kampung.

Di kantin tadi dia sudah menelefon lelaki itu, dan lelaki itu berjanji akan mengambilnya sejurus pulang dari sekolah. Walaupun baru pertama kali dia keluar dengan pemuda itu, tapi hatinya sudah lama terpaut dengan senyuman menawan pemuda itu.

Pada mulanya pemuda itu bagaikan langsung tidak memperdulikannya, dia cuba memberanikan diri menghubungi lelaki itu, tidak disangka rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dia setia menunggu dan sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapannya, dia senyum senang. Segak sungguh lelaki itu memakai kemeja dan bertali leher.

“Abang lambat ke?” pertanyaan itu membuatkan Maisarah menggeleng, masih agak malu-malu kerana pertama kali duduk berduaan begini. Jantungnya laju berdegup.
“Mai nak ke mana? Hari ni abang ambil half day, abang boleh bawa Mai ke mana Mai nak pergi, ke laut, ke bulan, ke bintang?” jenakanya membuatkan Maisarah ketawa perlahan, terserlah lesung pipit di pipi kirinya.

“Mai tak mahu pergi ke tempat yang ada orang kenal kita…” Maisarah mula bersuara, sambil tangannya membuka tudung putih dan melipatnya masuk ke dalam beg sekolah yang sudah tersedia pakaian untuk disalin.

“No sweat, abang bawa Mai pergi makan kat tepi laut nak? Mai suka makan seafood?” kerdipan mata Syahirwan membuatkan Maisarah semakin tidak keruan.

Darahnya bagai menyirap bila Syahirwan menggenggam tangannya erat, dia membalas genggaman itu dan mengelus lembut jari lelaki itu. Syahirwan mengangkat tangan Maisarah ke bibirnya, dikucupnya jemari gadis itu lembut dan mengasyikkan. Sungguh dia dapat merasakan suatu kebahagiaan bila bersama Syahirwan, lelaki yang amat dicintainya.

Selepas sahaja Maisarah menukar pakaiannya, mereka sama-sama ke tepian pantai, berjalan berduaan sambil tangannya tak lepas memeluk lengan sasa Syahirwan. Maisarah rasa begitu selamat bila berada di sisi lelaki itu, terasa tak mahu berpisah dengannya. Dia tak pernah rasakan perasaan itu, tapi sejak dia kenal Syahirwan, hatinya bagaikan terpaut. Biarlah apa orang nak kata, tapi baginya dia milik Syahirwan dan Syahirwan miliknya takkan ada apa yang bisa memisahkan mereka kecuali maut.

Petang mula berlabuh, mereka harus pulang segera, jika tidak pasti dia dimarahi emaknya itu tak termasuk kak long yang sentiasa sibukkan hidup orang lain. Syahirwan meninggalkan Maisarah yang sudah lengkap berpakaian sekolah di tempat dia mengambil gadis itu tadi.

Gadis itu perlu pulang ke rumah selepas loceng terakhir menamatkan persekolahan sesi petang. Pertemuan mereka amat singkat tapi bermakna. Hatinya tadi berdebar sebaik sahaja pulang sahaja ke rumah, dilihatnya kak longnya masih belum balik dari pejabat, debarannya reda bila melihat emaknya sedang melipat pakaian di ruang tamu. Nasib baik kak longnya belum balik, takut juga kalau-kalau kak longnya dapat menghidu perbuatannya.

“Lewat Sarah balik, kemana?” Manisah merenung tepat ke arah Maisarah, kemudian sekilas merenung jam di dinding, tepat pukul 6:30 petang.

“Sarah ada kelas tambahan mak, Sarah dah bagi tahu mak semalam…” bohongnya tanpa rasa berdosa, memang itu alasan yang difikirkannya semenjak semalam.

Dia tahu mak tidak akan bertanya banyak, kecuali kalau kak long, tapi biasanya kak long tidak banyak menyiasatnya seperti kak long menyiasat Marhanis dan Arif.

Kak long sangat tegas, kerana ketegasannya adakalanya membuatkan dia membenci kak long kerana kakaknya itu sangat bencikan ayah. Biarpun ayah mereka berkahwin lain, tapi dia tetap menyayangi ayah. Lagipun baginya ayah berhak berkahwin lain bila emaknya sering tidak sihat dan tidak dapat melayan ayah dengan sempurna.

Maisarah terus masuk ke bilik lantas berbaring di katil sambil merenung siling. Saat-saat indahnya bersama Syahirwan tadi langsung tidak dapat dilupakan, walaupun jarak usia mereka terlalu jauh tapi kasihnya pada lelaki itu amat mendalam, terlalu mendalam. Kalau boleh dia mahu terus hidup bersama Syahirwan, tapi mana mungkin emaknya akan bersetuju kalau Syahirwan masuk meminang selepas dia tamatkan persekolahan sedangkan kakak dan abangnya masih belum ada yang berkahwin, emak tak mungkin akan bersetuju.

Sekurang-kurangnya kak long lepas dulu, barulah dia boleh mengharungi hidup bersama Syahirwan, tapi kak long bodoh, ada orang datang meminang dia tidak mahu. Atau mungkin kak long juga cintakan Syahirwan kan Syahirwan kawan kak long, hati Maisarah digigit resah, andai lelaki idamannya itu dirampas kak long, dia pasti kecewa. Mana mungkin Syahirwan menyintai kak long, dia Cuma bergurau mengusik kak long di depan mak, sebenarnya menurut Syahirwan, usikan itu ditujukan pada Maisarah, tapi dia segan, sebab Mazwin kawan baiknya.

3 comments:

nana_yoong said...

akak, biar btl ni??? betul ke maisarah adik mazwin ni?? curang ke syahirwan??? teruknyer.. x kuduga begini jadinya.. terlalu unpredictable

dina said...

ini novel dik... segalanya boleh berlaku... hehheehe

LeaQistina said...

betul.. betul.. lea stuju ckp kak dina tu.. tp lea tetap geram dengan shahirwan tu.. huish.. geram.. dh marah.. aduh..