Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 26

BAB DUA PULUH ENAM

Sahih. Memang Syahirwan dan Maisarah mempunyai hubungan. Itulah yang dirasakannya bila dia menyelinap masuk ke bilik Maisarah bagi mencari bukti untuk menguatkan lagi anggapannya. Memang sejak dia terjumpa gambar di rumah ibu mertuanya hatinya sering tidak senang dan mencurigai suami dan adik bongsunya itu. Sepanjang tempoh itu juga dia sering cuba mengambil kesempatan untuk mencari bukti. Dalam menahan pedih di hati dia mencari bukti untuk mengukuhkan andaian yang sering membelenggu fikirannya.

Sabtu, 20-06-2005.
Aku dan Abang Shah keluar bercuti ke Pulau Pinang menikmati remang mentari petang di persisiran pantai yang indah. Ku rangkul erat pinggang Abang Shah, ku nyatakan rindu dan sayangku yang amat dalam padanya. Saat itu bagaikan tiada apa yang dapat memisahkan kami, walaupun aku tahu ada hati yang bakal terluka! Tapi aku tidak peduli, selama ini aku hanya berdiam bila kekasih ku dirampas kakak sendiri… aku tidak akan berundur walau setapak andai rahsia cinta ku dengan Abang Shah terbongkar.

Diari merah jambu itu ditutupnya, airmata Mazwin laju mengalir tambahan pula bila melihatkan kemesraan yang tertera di dalam gambar-gambar di dalam diari itu. Ternyata hubungan mereka bukanlah baru. Hatinya digigit rasa yang teramat sangat. Selama ini dia tidak sangka yang kasih yang diberikan oleh Syahirwan kepadanya adalah milik Maisarah. Dia mengutuk diri sendiri kerana tidak mengetahui tentang hubungan mereka. Hatinya pedih, ingin diluahkan tapi entah kepada siapa.

Hari itu dia mengambil cuti sakit. Kepalanya juga berat memikirkan perkara itu. Dia sering berasa loya mungkin kerana perutnya dimasuki angin kerana semenjak mengetahui tembelang suaminya, dia terus hilang selera makan. Selepas pulang dari klinik, dia menyusur jalanan sambil mencari kesilapan sendiri.

Kemana harus dilaungkan rasa kesal ini, Mazwin sendiri tidak tahu. Yang dia tahu, dia mesti selesaikan perkara ini tanpa ada yang terluka, tanpa ada yang tahu hatinya telah dilukai. Seumpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Mazwin memakirkan keretanya di hujung jalan, kemudian dia turun menuju restoran di hujung bangunan itu. Dia harus mengisi perutnya walau dengan setitis air. Sejak Syahirwan keluar ke pejabat bersama Maisarah, perutnya sebu tiba-tiba. Saat itu baru dia terperasan akan kemesraan mereka. Entah mengapa selama ini dia terlalu buta menilai kemesraan Syahirwan dengan adik bongsunya itu.

“Maz! Maz tak kerja ke hari ni?” soal satu suara, dia tersentak lalu menoleh ke arah suara itu. Matanya yang basah serta merta dikesatnya dengan kedua-dua telapak tangan.

“Er… Zam. Buat… apa kat sini?” teragak-agak untuk membalas sapaan suara itu.

“Minum… pagi tadi tak sempat nak sarapan. Sekarang ambil pakejla, sarapan sekali dengan lunch orang putih kata, brunch. Sebab tu awal sikit, err… Maz tak kerja?”

Masih ada rasa anak muda itu hendak berlucu dengan Mazwin. Mazwin cuma tersenyum hambar. Hatinya masih berkata-kata, haruskah dia menceritakan aibnya itu pada Haizam? Mahukah Haizam mempercayai kata-katanya, atau lelaki itu bakal meludahnya dengan kata-kata kesat seperti dulu?

“Maz M.C hari ni! Tak berapa sihat, Zam ada call Hanis ke? Dia sedang praktikal sekarang,” beritahu Mazwin, sekadar berbasa-basi.

Haizam cuma mengangguk, dia tahu ada sesuatu yang tidak dapat dilindungi Mazwin. Sejak tadi dilihatnya mata wanita itu basah dan merah.

“Zam baru je call dia semalam. Dia sihat, ceria je suaranya. Maz, Zam nak minta maaf atas segala yang berlaku di antara kita. Zam tahu Zam salah, Zam tak sepatutnya buat begitu… Zam tak patut tuduh Maz macam tu!” bertalu rasa kesal diluahkan di hadapan Mazwin.

Walaupun perkara itu sudah tiga tahun berlalu dan Mazwin kini sudah dimiliki, dia tetap mencari peluang untuk memohon maaf.

“Maz dah lupakan semuanya Zam. Maz mahu Zam teruskan hubungan dengan Hanis, dia baik dan tidak sejahat Maz!”

Saat itu telapak tangan Haizam melekat di bibir mongel Mazwin. Mazwin menolaknya perlahan.

“Maz sudah jadi isteri orang. Maafkan Maz!” sambungnya, Mazwin cuba melindungi sebak. Walaupun hatinya sudah melupakan cinta Haizam, namun ada sedikit getar bila mata mereka bertemu.

“Maz ada masalah kan? Kalau sudi ceritakan pada Zam, Zam sedia mendengarnya,” luah Haizam, ikhlas.

Mazwin serba salah, ingin diluahkan hatinya bagaikan tidak kesampaian. Tidak diluahkan, hatinya digigit derita yang teramat sangat. Dia tidak punyai teman yang paling baik sejak dia menyintai Syahirwan. Malah hubungannya dengan Yasmin hanya kekal sebagai kawan dan bukan seperti dulu. Andai diungkapkan derita di hatinya kepada pemuda itu, dia terasa berdosa, menceritakan aib rumah tangga kepada orang luar.

“Okeylah Maz, kalau Maz tak mahu cakap tak apa. Ini nombor telefon saya, Maz call saya jika Maz bersedia untuk bercerita.”

Haizam bagaikan mengerti apa yang tersimpan di lubuk hati bekas kekasihnya itu. Ringan sahaja mulutnya memberitahu Mazwin yang cinta mereka dahulu sebenarnya dikhianati suaminya sendiri. Mahu sahaja dia mengeluarkan apa yang terbuku di hatinya selama ini, namun mengenangkan Mazwin sudah dimiliki orang, hasratnya itu padam tiba-tiba. Dia tidak mahu dituduh sebagai perosak rumah tangga orang. Haizam terpaksa akur dengan ketentuan takdir.

“Maafkan Maz, Zam. Saya harus pergi, mungkin jika Maz bersedia bercerita, Maz akan hubungi Zam! Assalamualaikum!” ucapan salam Mazwin dibalas perlahan.

Haizam cuma merenung susuk tubuh tinggi lampai itu berlalu meninggalkannya. Dalam hatinya sedikit berbunga bila Mazwin seakan berjanji untuk berkongsi cerita dengannya. Dia tahu pasti ada sesuatu yang meruntun hati wanita itu.

2 comments:

-Ain-Dak In- said...

siannya kat awin,,
huhuhuhu...............`

iyads said...

a'ah..sian kat awin..
dpt suami pn xjujur..adeq d pn sm gk..
mmg sian la..huuhuhu..
ptt awin khwn ngn zam jew..
hehehehehe..tp t pndk la cte nie kn..