Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 32

BAB TIGA PULUH DUA

Pagi itu dia bangun dengan ceria. Terbau lempeng pisang bercampur kelapa berbalut daun pisang yang dibakar. Pasti emaknya sudah bangun awal untuk menyiapkan sarapan kegemarannya itu. Hampir tujuh tahun dia merindui air tangan emaknya. Kepulangannya kali ini adalah untuk menikmati segala yang pernah ditinggalkannya dulu. Mazwin bingkas mengemas katil dan terus ke bilik air. Selepas mengemas diri dia terus menuju dapur untuk menikmati sarapan pagi.

“Morning mama! Mama, hari ni opah masak banana pan cake yang macam mama selalu buat tu. Tapi opah buat lagi enak! Pan cake nya besar sekali, Puteri tidak bisa habiskan semua…” adu Puteri yang sudah kekenyangan. Diusapnya kepala anak itu. Puteri senyum riang.

“Oh iya? Puteri dah kenyangkan? Puteri pergi main di depan, mama nak makan pula, okey! Nanti mama bawa Puteri jalan-jalan di Bandar…” Anak itu mengangguk, kemudian berlari mencari Hanis di ruang tamu.

“Seronok mak tengok dia makan tadi. Suka betul dia makan lempeng pisang. Katanya, mama selalu buat tapi kecil-kecil saiz pan cake nya…” Manisah meniru gaya pertuturan Puteri, lucu mendengar cara cucunya itu bercakap.

“Ha-ah, mak. Biasanya memang Win buatkan pan cake tapi pan cake ala Melayu, campur pisang. Teringat lempeng pisang maklah. Di sana payah nak cari pisang emas dan kelapa, jadi Win guna pisang berangan dan kelapa kering je. Tu la rasanya lain sikit!” terang Mazwin sambil tangannya mencarik lempeng pisang yang dibakar bersama kelapa parut dan memasukkan ke mulut.

Terasa keenakkan lempeng pisang yang lemak. Manisah terus duduk di depannya, dituangnya teh ‘O’ yang masih berasap ke cawan. Tahu sangat dia kegemaran Mazwin, sarapan paginya mesti ada teh ‘O’.

“Kenapa Win tak bawa ayah Puteri balik sini? Mak teringin juga berkenalan dengan ayah Puteri-“

“Mak dah lama kenal dengan ayah Puteri. Mak tahu segala-galanya tentang ayah Puteri, mak,” dia memotong kata-kata emaknya, perlahan dan bersahaja.

Dia tidak boleh berbohong pada ibu tua itu. Dia tidak sanggup untuk merahsiakannya dari ibunya. Selama ini perkara yang amat dirinduinya adalah untuk bercerita suka dukanya dengan ibu itu. Dan kerana itu dia rela ibunya tahu siapa pun ayah Puteri.

“Apa maksud Win?” soal Manisah.

“Puteri anak Wan mak! Masa saya pergi dulu saya hamil enam minggu.” Jawapan Mazwin membuatkan terpaku seketika.

Dia dapat rasakan yang cucunya itu adalah anak Syahirwan. Patutlah pertama kali merenung wajah Puteri dia merasakan anak itu seiras Syahirwan. Namun kelu untuknya bertanya. Sekarang baru Mazwin mengakui bahawa Puteri sebenarnya anak kandung Syahirwan.

“Win sebenarnya tak pernah berkahwin lagi mak. Daddy yang Puteri ceritakan itu, adalah Rio, kawan baik saya yang sama-sama membesarkan Puteri. Memang dia pernah melamar saya, tapi saya tak mahu kecewa lagi mak! Saya tak sanggup menderita lagi,” dia menolak hidangan tadi ke tepi. Lemah suaranya menyambung.

“Saya sengaja rahsiakan pada semua orang tentang kehamilan saya. Saya tak mahu nanti kerana saya hamil, ada hati yang akan terluka, Wan juga tak boleh buat pilihan yang tepat. Saya tahu mak, Wan cintakan Sarah. Saya mahu mereka bahagia. Lagipun saya tak mahu kami berebutkan anak itu mak. Biar saya kehilangan Syahirwan tapi saya tak sanggup kehilangan anak yang saya kandung!” luahnya.

Mazwin hiba meluahkan apa yang tersirat dihatinya selama ini. Lapan tahun dia memendam rahsianya. Manisah terpempan mendengar penjelasan Mazwin.

“Win, kau silap, nak! Wan tak pernah cintakan Sarah. Wan masih menunggu kau. Wan asyik minta maaf pada mak, kerana lukakan hati kau, Win! Wan sebenarnya sayangkan kau! Dia marahkan kau hanya semata-mata kerana cemburukan Haizam!” terang Manisah.

Diusapnya kepala anak sulungnya itu. Tidak pernah disangka Mazwin sanggup berkorban demi seorang adik yang pernah mengkhianatinya.

“Dia tipu mak! Dia tipu kita! Dia tak pernah sayangkan Win. Dia cuma pura-pura. Kalau tidak mengapa dia sanggup menikah dengan Sarah-“

“Sarah belum bernikah Win. Sarah minta bertukar kerana dia malu dengan mak. Dia kecewa dengan Wan. Mak sudah baca surat yang kau beri pada Wan. Mak tahu kau mesti fikir Wan akan menerima Sarah,” giliran Manisah pula menahan rasa. Untuk menyebut nama Sarah pun dia rasa pilu.
“Tapi sebenarnya Wan masih sayangkan kau, Wan mengaku kesilapannya melayan Sarah seperti kekasih, tapi sebenarnya dia keliru bila Sarah datang lebih awal sebelum dia sempat menyatakan sayangnya pada kau! Kau maafkanlah dia Win!” pinta Manisah.

Sejak pertama kali mendengar pengakuan Syahirwan tentang hubungannya dengan Sarah, Manisah terasa ingin meraung sekuat-kuatnya. Dia menyorot kembali secebis ingatannya kepada perkara itu.

“Sampai hati Sarah buat begitu pada kak Long?” rintihnya di hadapan Maisarah.

Anak gadis itu terkaku di hadapannya. Pengakuan Syahirwan tentang kehilangan Mazwin membuat Manisah terasa mahu memukul Maisarah sekuat hati. Namun dia tidak berdaya.
“Ampunkan Sarah, Mak!” raung Sarah tatkala melihat linangan airmata yang gugur di pipi kurus ibunya.

“Kenapa Sarah? Kenapa kau sanggup buat Mazwin begitu? Kau semua sudah hilang akalkah? Kau mahu mak ni malu ke? Kau dah tak sayangkan mak ke?” bertalu soalannya untuk Maisarah. Manisah sudah tidak mampu untuk menangis kala itu. Sendunya tertahan-tahan.

“Maafkan saya mak. Saya yang salah! Saya yang bagi harapan pada Maisarah. Tapi mak, saya masih sayangkan Mazwin! Sumpah mak!” Syahirwan di hadapannya melutut padanya merayu kemaafan. Manisah hanya merenung menantu yang dianggapnya penyeri hati anak sulungnya itu. Rupa-rupanya kerana menantu itu juga dia kehilangan anak kesayangannya.

“Kenapa kau sanggup lukakan hati Mazwin. Kau tak tahu betapa payahnya Mazwin nak menerima kau jadi suaminya. Mak tak sangka kau begini Syahirwan…” ucapan terakhir Manisah kemudiannya hilang bersama tangisan. Nafasnya yang tadi turun naik sudah tidak dapat di kawal lagi. Mengahnya datang semula. Dia menekan dada, cuba menarik nafas panjang.
Malam itu juga dia dimasukkan ke hospital akibat mengalami sesak nafas yang teruk.
Manisah mengusap lembut ubun-ubun Mazwin. Dia tahu semenjak hari itu, Mazwin terseksa. Dia faham perasaan Mazwin, dia pernah merasakannya. Tetapi setelah berkali-kali Syahirwan memohon maaf darinya hati kecilnya terlalu lembut untuk memaafkan mereka.

Maisarah juga berkali-kali memohon ampun darinya. Puas dirayunya kemaafan dar Manisah. Akhirnya dia membuat keputusan untuk bekerja jauh dari Manisah. Sebagai ibu, dia memang sudah lama maafkan Maisarah. Sejahat mana pun tindakan Maisarah, gadis itu tetap anaknya.

Mazwin termenung seketika mendengar kata-kata Manisah tadi. Tapi hatinya keras mengatakan dia tertipu. Tidak mungkin itu yang terjadi. Dia tahu Syahirwan pandai bermain kata. Dia tidak akan menerima pembohongan Syahirwan sekali lagi. Cukuplah kesakitan yang menyeksa hatinya selama ini. Dia tidak mahu terus terseksa lagi memendam rasa mengharap kasih pada orang yang pernah mengkhianatinya.

Maaf? Betapa mudahnya lelaki itu memohon maaf di atas kesilapan yang sengaja dilakukan. Kasihan mak, terlalu percaya pada lelaki yang mengecewakan anak-anaknya.

No comments: