Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 33

BAB TIGA PULUH TIGA

“Anak siapa tu Erni?” soal Syahirwan kepada Erni, warga Indonesia yang bekerja dengan Haizam.

Sebaik sahaja terlihatkan seorang budak kecil sedang menulis sesuatu di meja kecil di sebelah penimbang kain di Zammar Laundry. Anak comel itu tersenyum menayang barisan giginya yang putih bersih. Lesung pipitnya jelas kelihatan di kedua-dua belah pipinya.

“Saya Puteri Qistina, anaknya Non Maz,” ucap anak itu memperkenalkan diri sambil menghulur tangan pada Syahirwan.

Lelaki itu menyambutnya dengan wajah berkerut hairan. Erni ketawa melihat anak yang keletah itu. Sejak dia datang tengah hari tadi anak itu asyik bertanya itu ini padanya dan Haizam dalam bahasa Indonesia yang kadangkala di selangi bahasa Malaysia. Erni juga senang melayan kerenah anak itu. Anak kecil itu amat peramah dan lancar berbahasa Indonesia.

“Biar betul ni Erni, budak Indon ni? Anak awak ke?” Syahirwan mengerut dahi. Memerhatikan tingkah laku budak perempuan itu.
“Nggakla bang, mana bisa saya punya anak, nikahnya iya belum! Cik Haizam yang bawanya ke mari! Saya pun heran, kenapa dia kadangkalanya bercakap bahasa Indonesia, dengan cik Haizam juga begitu! Katanya cik Haizam, ini keponakannya dari Australia,” terang Erni.

Tangannya ligat menyusun pakaian yang sudah di gosok ke dalam plastik. kemudian menyangkutnya di penyangkut yang disediakan. Selesai menyangkut dia mengambil lagi baju-baju kotor yang dihantar pelanggan menuju ke bilik mesin basuh.

“Keponakan? Apa tu Erni?” kerutan di dahi Syahirwan semakin banyak.

“Anak buah aku lah! Puteri Qistina!” sampuk Haizam yang baru keluar dari bilik mesin. Dia mengelap tangannya dengan tuala kecil di atas meja.

“Aku tak tahu pula kau beriparkan orang Indon!” soalnya, hairan.

Syahirwan mula mengeluarkan pakaian yang mahu di dobinya. Haizam mengambil pakaian Syahirwan kemudian menimbangnya, seketika itu dia menulis di resit yang tersedia di situ. Dia sudah berjanji untuk memberikan cucian percuma kepada Syahirwan tetapi lelaki itu selalunya mahu membayar. Katanya, business is business and friend is friend! Tidak boleh bercampur. Walaupun separuh dari modal untuk membuka perniagaan itu adalah dari Syahirwan sendiri.

“Bukan ipar, biras… anak Mazwin.” Beritahu Haizam pendek dan bersahaja sambil tangannya menghulurkan resit. Sengaja dia menjawab begitu untuk memancing reaksi Syahirwan.

“A… anak Awin? A… Win dah balik, Zam? Betul ke ni? I… i… ini anak dia?” soalnya tersekat-sekat.

Air liurnya bagaikan payah ditelan bila melihat anggukan kecil Haizam. Hatinya tidak keruan bila mendengar semua itu.

“Dia dah kahwin dengan mat Indon di Australia. Tapi suami dia tak balik sini, belayar,” ujar Haizam.

Penjelasan Haizam membuatkannya diamuk rasa kecewa yang amat sangat. Haizam menepuk bahunya, memintanya bersabar kemudian berlalu meninggalkannya melayan perasaan sendiri.
Sampai hati kau, Awin. Hampir tujuh tahun aku menjeruk hati menanti kau kembali padaku, sekarang bila kau balik kau seperti mahu meremuk-redamkan lagi hatiku, tergamak kau buat aku begini, Win! rintihnya, sedih, hiba, pilu berbaur menjadi satu.

“Bapak kenal sama mama Puteri?” soal Puteri sambil tangannya menongkat dagu merenung Syahirwan, keningnya terangkat-angkat, comel sekali.

“Err… panggil uncle ye. Uncle kawan kepada mama Puteri dulu. Masa sekolah! Mama Puteri tu kawan baik uncle! Papa Puteri tak ikut balik sekali?” Dia tidak tahu mahu bertanya apa pada anak sekecil ini. Anak itu cuma menggeleng.

“Memangnya papa belum ketemu lagi, nanti bilang mama. Tapi kalau daddy, lagi belayar. Kerja perkapalan memang sering membutuhkan daddy untuk belayar, uncle. Nanti bila daddy pulang, macam-macam daddy bawakan buat Puteri!” cerita anak itu.

Syahirwan agak payah untuk memahami kata-kata anak itu, namun dia melayan gadis kecil itu dengan senang hati. Bila melihat Puteri Qistina hatinya berasa tenang. Jika dia tidak menceraikan Mazwin dulu, pasti anak mereka sebesar Puteri Qistina. Jika Mazwin tidak meninggalkannya sudah tentu mereka sudah punya dua tiga orang anak yang comel dan petah macam Puteri Qistina.

Namun apa boleh buat, segalanya berpunca darinya. Dia yang menodai cinta Mazwin, dia yang mengkhianati keikhlasan Mazwin dahulu. Betapa berdosanya dia pada wanita itu.

“Eh! Abang Wan pun ada? Dah balik kerja ke? Sudah berkenalan dengan Puteri Qistina?” Hanis yang baru sahaja menolak pintu kaca itu seakan terkejut dengan kehadiran Syahirwan.

“Abang hantar baju nak cuci. Sebab berkenalan dengan Puteri la, yang membuatkan Abang Wan rasa tak mahu balik rumah!” ujarnya dalam senyum nipis.

Diusapnya ubun-ubun Puteri, rasa sayang pada gadis kecil itu menyelinap tiba-tiba. Entah mengapa sejak pertama kali melihat anak itu hatinya jatuh kasih.

“Loh! Uncle nak salahkan Puteri ya! Uncle pulang dulu, nanti malam datang rumah opah, ketemu mama. Boleh ngomong-ngomong sama mama Puteri!” cadangan anak kecil itu diterimanya senang hati.

“Ha-ah, betul kata Puteri, Abang Wan kan dah lama tak jumpa Kak Long. Mesti banyak cerita nak dibualkan!”

Hanis tersenyum. Dia tahu Syahirwan teramat menderita semenjak Mazwin pergi. Dia dan keluarganya sudah lama memaafkan lelaki itu. Lelaki yang pernah memisahkan emak dan anak, adik dan kakak. Tetapi segalanya tidak pernah menjadi kudis di hati mereka. Mereka akur, setiap manusia pernah dan akan melakukan kesilapan.

“Betul ke ni Hanis? Mahu ke kak long Hanis jumpa Abang Wan? Abang takut nanti dia tak sudi nak jumpa Abang, maklumlah orang dah bahagia!”

Syahirwan tunduk merenung lantai. Terasa kecil dirinya bila mengenangkan Mazwin lebih bahagia darinya. Tidak di sangkanya, dia menanggung sengsara selama tujuh tahun ini tapi rupa-rupanya Mazwin pula sedang menyulam bahagia bersama lelaki lain, buktinya sudah di depan matanya. Bila melihat wajah Puteri Qistina dia dapat rasakan Mazwin sudah melupakannya dan cinta yang pernah mereka bina suatu masa dulu.

“Belum cuba belum tahu, Wan. Datang je lah, mak pun selalu bertanyakan kau. Malam ni aku minta Hanis masak sedap-sedap, kita dinner sama ye,” sampuk Haizam sambil tangannya meraih pinggang isterinya itu.

“Kalau Uncle malu-malu untuk datang jumpa mama, anggap saja Uncle datang untuk berkenalan dengan Puteri!”

Puteri kecil itu mengangkat kedua keningnya merenung Syahirwan penuh makna. Melihat keletah anak itu mereka ketawa.

“Berapa umur Puteri?” soal Syahirwan, sekadar ingin tahu berapa lama Mazwin menyimpan rasa kecewa terhadapnya.

“Enam tahun!” jawabnya pendek, sambil menegakkan enam jarinya. Berkerut dahinya mendengar jawapan Puteri.

Enam tahun? Hampir tujuh tahun mereka berpisah, bermakna, sememangnya Mazwin nekad untuk terus melupakannya. Tergamak Mazwin buat begitu pada cinta mereka. Rupanya selama ini dia merindu sendiri. Orang yang dirindui, dicintainya sepenuh hati tidak punya apa-apa perasaan terhadapnya selama ini.

Betapa dia kecewa bila mengetahuinya, betapa kerinduannya pada wanita itu selama ini hanyalah sia-sia. Perlukah dia meminta penjelasan Mazwin? Perlukah dia meluahkan segala kerinduan dan kekecewaannya selama perpisahan ini? Haruskah dia memberitahu pada Mazwin betapa dia amat menyintai dan sukar untuk melupakannya? Syahirwan sendiri tidak pasti.

Tapi yang pasti segala yang berlaku berpunca dari salahnya. Terlalu keliru untuk memilih antara dua beradik. Dia terlalu menyayangi Mazwin namun dalam hatinya terdetik kasihan pada Maisarah yang menaruh hati padanya. Syahirwan sedar kesilapannya itu membuatkan kehilangan orang yang disayangi dan menjadi punca keluarga Mazwin berantakan.

Maisarah seakan memusuhi ibunya sendiri bila Manisah berkeras tidak membenarkan Maisarah menjalinkan hubungan dengannya. Dia sendiri juga tidak pernah rasa ingin mengahwini Maisarah andai jodohnya dengan Mazwin tidak kesampaian.

Argh! Memang segalanya berpunca darinya sendiri, terlalu bodoh dan mengikut hati. Balasannya sudah di terima, kehilangan Mazwin menyebabkan separuh dari hidupnya hilang begitu sahaja!

Syahirwan masih mengharap andai ada secebis cinta Mazwin untuknya. Mungkin ada suatu cerita di sebalik kisah Mazwin. Mana mungkin wanita itu pantas melupakannya. Dia kenal hati budi wanita itu. Dia dapat rasakan Mazwin masih menyintainya walaupun wanita itu telah berkahwin lain. Dia tidak akan mengalah!

No comments: