Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 34

BAB TIGA PULUH EMPAT

Syahirwan menarik nafas dalam-dalam sewaktu keluar dari perut kereta. Penampilannya agak kemas, seperti menghadiri majlis makan malam di hotel terkemuka.

Aku tidak akan menunjukkan kekecewaanku di hadapanmu, Mazwin. Aku tidak mahu kau tertawakan aku, kerana kebodohanku menanti kau pulang… tidak sekali-kali! Aku mahu kau saksikan kebahagianku juga walaupun semua ini adalah lakonan ku semata-mata! detik hatinya. Jantungnya berdegup kencang saat melangkah masuk ke rumah itu.

“Uncle itu sudah datang, ma!” jerit Puteri saat terlihatkan Syahirwan melangkah keluar dari keretanya.

“Wah! Handsomenya uncle malam ini!” sambung Puteri sambil bersalaman dan mengucup tangan Syahirwan.

Lelaki itu melutut gaya Prince Charming menuntut cinta di hadapan Cinderella. Puteri Qistina tersenyum comel dalam gaun putihnya. Rambutnya yang panjang disisir rapi dan disepit reben warna pink.
“Ye ke? Sebab Puteri memuji uncle, uncle hadiahkan ini untuk Puteri!” Syahirwan menghulurkan kotak yang dibalut cantik. Puteri Qistina begitu teruja menerima hadiah itu. Dia lalu mencium pipi Syahirwan.

Mazwin datang menjemputnya masuk, saat itu Syahirwan bagaikan mahu sahaja memeluk erat wanita yang pernah menjadi isterinya itu, untuk meleraikan segala kerinduannya selama ini. Mazwin yang cukup manis berbaju kurung Kedah bewarna merah bata dengan tudung yang bewarna sedondon cuma tersenyum nipis memandang Syahirwan.

Di mata Syahirwan, tidak ada langsung riak terkejut di wajah Mazwin saat pertama kali mereka bertemu selepas tujuh tahun berlalu. Hati lelakinya agak terkilan dengan penerimaan Mazwin terhadapnya. Walaupun sebenarnya dia agak gembira memenuhi jemputan Puteri untuk makan malam, tapi sudahnya dia kecewa sendiri bila melihat Mazwin semacam tidak memperdulikannya.

“Wan, lama tak nampak muka! Dah tak sudi datang menjenguk emak lagi?” ramah mulut Manisah menegur bekas menantunya itu.

Semenjak dulu lagi dia sudah memaafkan bekas menantunya. Harapannya untuk menyatukan semula Mazwin dan Syahirwan akan dilaksanakan setelah mengetahui apa yang berlaku. Tapi Mazwin bersungguh memintanya merahsiakan dulu dari Syahirwan, malah pada adik-adiknya pun tidak mahu diberitahu tentang perkara sebenar.

“Bukan tak mahu datang, sibuk sikit. Mak sihat ke?” diraihnya tangan ibu tua itu kemudian tunduk mengucup tangan kedut wanita itu. Terasa hangat tangan ibu tua itu mengusap lembut rambutnya.

“Alhamdullillah, Wan!” balas ibu tua itu dalam senyuman ikhlas dari bibirnya yang semakin di makan usia.

“Awin sihat? Mana suaminya, takkan tak mahu kenalkan pada Wan?”

Syahirwan cuba berpura ramah bertanya khabar bekas isterinya itu, wanita itu cuma tersenyum. Senyumannya penuh keikhlasan tanpa ada perasaan lain yang diharapkan Syahirwan.

“Saya sihat! Insya Allah, suatu hari nanti! Silakan, hidangan sudah lama tersedia,” balas wanita itu bersahaja.
Tiada riak yang menunjukkan wanita itu merinduinya. Suaranya juga seperti tujuh tahun dulu. Bagaikan tidak pernah berlaku sengketa. Bagaikan mereka tidak pernah ada hubungan. Syahirwan keliru dengan penerimaan Mazwin terhadapnya.

“Mama, opah, cepatlah, Puteri sudah lapar ni! Jangan ngomong lama-lama, ma!” rungutan Puteri membuatkan semua yang berada di situ menuju ke meja makan. Melihat keletah Puteri yang manja dan bersahaja itu membuatkan mereka terhibur.

Selesai makan malam, Manisah, Haizam dan Hanis bagaikan sengaja memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dua mata. Dengan peluang itu Syahirwan pula mencari ruang untuk berbual dengan Mazwin, namun wanita itu bagaikan sengaja mengelak dari bertentang mata dengannya. Puteri Qistina pula leka dengan patung mainan Barbie yang dihadiahkan Syahirwan.

“Win… a…abang nak minta maaf!” Syahirwan memulakan bicara saat merapati Mazwin yang sedang bersantai di pangkin sebaik sahaja selepas makan malam.

Mazwin tersentak dan menoleh ke arah lelaki itu. Dengan kesuraman cahaya lampu jalan yang terletak betul-betul di hadapan pangkin kayu, dia dapat melihat jelas wajah lelaki yang pernah dicintainya itu. Raut muka Syahirwan tidak seperti dulu, ada kekusutan ditambah pula dengan janggut dan kumis yang tumbuh tidak menentu menambahkan serabut pada wajah itu.

“Tidak ada apa yang perlu dimaafkan, saya sudah lupakan semua itu. Jalan kita sudah lama menyimpang jauh. Tujuan kita juga sudah tidak sama, Wan. Kita bawa sahaja haluan masing-masing. Awak dengan hidup awak dan saya dengan hidup saya! Saya terima kedatangan awak malam ini pun atas kehendak Puteri,” jelasnya.

Dia tidak mahu lelaki itu tersalah anggap tentang kepulangan. Sememangnya pada mulanya dia bertekad mahu bertemu semula dengan lelaki itu hanya untuk memperkenalkan Puteri Qistina. Namun kadangkala dia gementar, takut kehilangan. Dia pernah kehilangan cinta tapi dia tidak mahu kehilangan kali kedua meragut kebahagiaannya. Dia tidak sanggup lagi menghadapi kehilangan itu.

“Tapi, A… abang tak pernah cintakan orang lain melainkan Mazwin! Sum~”
“Jangan Syahirwan, tak perlu awak bersumpah di hadapan saya! Saya tak mahu sumpah awak memakan diri. Cukuplah Wan, saya pulang semula untuk menjenguk keluarga, bukannya menambah derita hati ini! Saya bahagia dengan hidup saya sekarang!” terangnya lagi.

Dia merenung tepat ke wajah berserabut itu. Bukan tiada langsung belas di hatinya. Namun bila terpandangkan raut itu, parut lukanya bagaikan mahu berdarah kembali. Entah mengapa, wajah yang dirindunya itu juga membuat lukanya semakin parah. Mazwin tidak dapat membohongi hati, memang dia merindui lelaki itu, tapi adakalanya dendamnya lebih dalam berbanding sayang. Dia keliru dengan perasaan itu.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berlagu. Cepat dia menatap skrin di telefon dan nombor yang tidak pernah diketahuinya tertera.

“Hello! Win… how are you? Puteri bagaimana? Kamu pula bagaimana sudah ketemu dengan keluargamu?” soalan demi soalan dari hujung talian membuatkannya tersenyum. Senang hatinya menerima panggilan itu. Ah! Betapa kelirunya hati ini sekarang.

“Saya sihat, awak bagaimana? Di mana awak sekarang?” soalnya perlahan, menyorokkan rasa gembira malah terharu bila menerima panggilan itu.

Sejak Rio belayar dua bulan lalu, lelaki itu langsung tidak menghubunginya. Panggilan dari lelaki itu amat dinantikan tapi waktunya salah. Dalam remang cahaya dia nampak Syahirwan menarik muka. Dia nampak hati lelaki itu bagaikan tercalar.

“Aku? Ya, seperti ini. Aku lagi di Sri Lanka, mungkin kapalku akan berlabuh di Malaysia, boleh aku ke sana menemuimu? Aku kangen, Win! Dua bulan ku tahan perasaan ini, Win. Aku kangen bangat sama kamu dan Puteri! Win, benarkan aku berbicara sama Puteri…” pinta suara, lantas dia memanggil anak itu.

Puteri Qistina bagaikan sudah tahu siapa yang menelefon terus berlari mendapatkan Mazwin. Di ambilnya telefon di tangan mamanya itu dengan senyuman yang panjang. Pantas dia bertanya khabar. Bicara si kecil itu begitu petah. Segalanya diceritakan dari mula dia turun dari kapal terbang sehingga saat dia mengangkat telefon. Mazwin hanya tersenyum melihat anak itu. Puteri terlalu merindui Rio. Malah dari kecil mereka jarang berpisah. Kadangkala Puteri lebih selesa berada di pangkuan Rio saat Mazwin menguruskan restorannya. Lelaki itu bagaikan sudah sebati dalam hidup Puteri Qistina.

“Daddy! Daddy janji belikan Puteri mainan yang bagus ya! Puteri juga kangen, iya Mama missed you too. Kapan Daddy mahu ke sini? Nanti tu kapan? Yang benar Dy, yeah! Asik, asik! Asik ma, Daddy mahu ke sini” jerit anak kecil itu gembira.

Diberinya telefon itu kepada Mazwin semula. Kemudian dia berlari ke dalam rumah memberitahu opahnya yang Daddynya akan datang ke Malaysia.

“Aku dapat mendengar suara gembira Puteri! Kamu jaga diri ya Win, aku sayang akan kamu. Jaga Puteri sebaiknya. Dia juga anakku!”

Mazwin hanya mengangguk perlahan. Dia dapat rasakan Rio masih mengharap. Perbualan itu mati di situ. Buat masa ini, Mazwin tidak mahu menjanjikan apa-apa. Dia takut tidak dapat melaksanakannya. Dia juga tidak mahu Rio mengharapkan apa-apa darinya.

“Suami Awin ye? Bertuah dia dapat menawan hati Awin. Saya tahu saya bersalah membiarkan Awin pergi begitu sahaja. Tapi betapa Awin kejam pada saya! Saya simpan cinta saya untuk Awin, tapi rupanya semua itu sia-sia. Cinta Awin tidak sekukuh mana, cepat sahaja singgah di hati lelaki lain!” tuduh Syahirwan.

Panggilan ‘abang’ sudah hilang ditelan dengan rasa kecewa. Bagai terasa ada yang mencengkam pedih di pelusuk hatinya sewaktu Mazwin berbual dengan suaminya. Mazwin tidak langsung menjawab. Sebalik kesuraman cahaya itu dia mengalirkan airmata. Entah mengapa dia tidak lagi sekuat tujuh tahun dulu. Airmatanya cepat sahaja mengalir andai ada yang mengguris perasaan. Tuduhan Syahirwan bagai telah merobek perit jantungnya.

- Katalah apa pun Syahirwan, tapi kau tidak tahu jawapan sebenar aku. Kau tidak tahu bagaimana hati aku ini parah merindu kau. Kau tidak tahu semua itu, betapa peritnya aku mengharung hidup bersama Puteri tanpa kau di sisi! Kau tidak akan tahu Syahirwan. Segalanya aku tanggung sendiri, perit, jerih, kecewa, lara… tapi aku belum pernah bertemu kegembiraan tanpa kau!

“Win, saya tak akan lepaskan awak ke tangan orang lain, itu janji saya sebelum saya bertemu awak hari ini. Awak sudah jadi isteri orang, saya tidak berhak merampas awak dari dia. Tapi saya akan cuba Win, saya akan cuba menawan hati awak semula, walau saya terpaksa melutut di hadapan suami awak!” tegasnya lagi.

Dia sudah tegar membulatkan azam untuk mendapatkan Mazwin semula. Walau apa terjadi. Walaupun dia harus membuang segala keegoaannya. Dia tidak sanggup kecundang lagi menagih cinta Mazwin. Tapi dia masih tidak dapat jawapan sebenar, adakah Mazwin masih meyintainya?

“Syahirwan, saya tak tahu apa hubungan awak dengan Maisarah dulu. Tapi saya harap awak bahagia bersamanya. Biarlah apa yang jadi di antara kita, kita lupakan. Tidak ada makna lagi untuk kita jalinkan apa yang terputus, semuanya tak akan jadi sama seperti dulu! Maafkan saya!” pohon Mazwin sebelum bangun terus menuju ke pintu rumah.

Dia tidak mahu air matanya di seka renungan Syahirwan. Dia tidak mahu Syahirwan nampak titisan-titisan itu membasah pipi. Dia tidak rela, dia benar-benar keliru. Antara perasaan rindu, sayang, dendam, kecewa berlegar tapi dia tidak tahu semua rasa itu untuk siapa.

Kala itu Syahirwan mengeluh sendirian. Dia nampak Haizam mendekatinya. Entah untuk kali yang ke berapa sejak Mazwin meninggalkannya airmatanya senang sahaja mengalir. Dia nampak titisan jernih berkilat jatuh di pipi wanita itu tadi.

“Semuanya dah terlambat, Zam. Hatinya dah jadi milik orang! Inilah balasan Tuhan pada aku Zam…” rintihnya, perlahan.

Menelan sebak yang maha hebat. Walaupun tadi dia dapat rasakan betapa azamnya begitu kuat untuk memiliki wanita itu semula. Haizam datang menepuk-nepuk bahu temannya itu. Dia juga pernah merasakannya.

“Masih ada peluang untuk kau, kalau kau sabar! Aku tahu, mesti masih ada lagi cinta yang tersimpan dalam hatinya, Wan! Kau lebih tahu, kau lebih lama mengenalinya berbanding aku!” kata-kata semangat Haizam tersemat kukuh.

Dia menarik nafas panjang, benar apa yang dikatakan Haizam. Sememangnya masih ada secebis rasa pada riak wajah Mazwin saat mereka berduaan tadi. Wanita bernama Mazwin itu begitu tegas menafikan. Syahirwan masih punya harapan itu. Dia tidak akan mengalah, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Dan dia tidak akan melepaskan segala kesempatan yang ada. Syahirwan melepaskan keluhan.
Undangan Puteri Qistina malam ini mengundang pelbagai rasa dan sangkaan dalam fikirannya. Semudah itu Mazwin melupakan cintanya sedangkan dia masih lagi mengharap sesuatu dari wanita itu. Malah dia langsung tidak menyangka Mazwin sanngup melenyapkan cinta yang pernah dibina dari ingatannya.

Dan buktinya adalah Puteri Qistina. Melihat wajah mulus anak kecil itu, hati Syahirwan bersalut pelbagai rasa, marah, dendam, cemburu dan sayang. Dia tahu anak kecil itu tidak mengerti apa-apa. Dia juga tahu Puteri Qistina tidak patut dipersalahkan jika Mazwin enggan menyintainya lagi.

Pasti Mazwin melalui derita semasa pergi meninggalkannya dan deritanya telah dirawat lelaki Indonesia itu. Betapa dia keliru kini. Syahirwan akur kehendak Tuhan menetapkan jodohnya sebegini. Namun mana mungkin dia dapat melawan perasaan berkecamuk yang terundang dari segala penyesalan sejak tujuh tahun dulu.

**********************

“Mama, mama nangis ya!” bisik Puteri saat dia mula mahu melelapkan matanya. Jemari kecil anak itu menyeka airmata yang jatuh di pipinya. Mazwin menggeleng, menafikan kata-kata anak itu. Dia tidak sepatutnya menangis di hadapan anak kecil itu. Entah alasan apa yang harus diberikan.

“Ma, mama jangan bohong! Please forgive me, Ma. Puteri tahu, Puteri salah kerana menjemput Papa ke rumah ini,” ujar gadis kecil itu. Bicaranya membuatkan Mazwin tersentak. Anak kecil itu sudah merangkul tengkuknya. Dia kebingungan dengan kata-kata anak itu.

“Puteri tahu itu papa? Bagaimana Puteri tahu?” soalnya, tidak menyangka anak sekecil itu boleh mengingati ceritanya dengan baik.

“Mama yang sering bercerita tentang Papa. Mama yang tunjukkan gambar papa. Mama selalu bilang papa itu orangnya baik, penyayang. Tapi setiap kali mama cerita, pasti mama nangis. Kini bila ketemu lagi nangis!”

Petah anak kecil itu meluahkan. Betapa Mazwin sedar anak itu lebih dewasa dari usianya. Tidak pernah disangkanya, setiap kisah yang diceritakan sejak kecil tentang Syahirwan masih berbekas di hati anak itu.

“Puteri sayang papa?” soalnya menguji anak itu.
“Jika papa yang boleh membuat mama ketawa, ya mungkin. Tapi ternyata mama lebih sedih bila bertemu papa! Puteri lebih sayangkan mama!” pelukan anak itu semakin erat.

Kasih sayangnya menyerap ke dalam jiwa. Mazwin menangis lagi. Ketakutannya semakin mencengkam. Takut menghadapi suatu kehilangan. Dia gentar sekali walaupun sudah berkali dia menguatkan keyakinan untuk semua itu. Dia tidak harus mengalah.

No comments: