Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 35

BAB TIGA PULUH LIMA

Petang itu habis sahaja waktu pejabat, dia terus pulang. Ceria sekali dengan bunga mawar putih dan merah jambu. Kotak coklat yang dibalut cantik juga telah tersedia di dalam kereta. Hari ini dia akan memulakan harinya yang baru dengan kehadiran orang yang baru dalam hidupnya. Tiga hari selepas bertemu Mazwin, dia sudah berfikir semasak-masaknya.

Dia sudah tidak perduli dengan apa saja halangan yang bakal dihadapinya. Dia mahu menerobos segala halangan dan ujian untuk dia mendapatkan kembali segalanya yang pernah hilang.

Hatinya sering berdetik bahawa wanita itu masih lagi menyayanginya. Namun mungkin kerana ego atau dendam yang membuatkan wanita itu menafikan segala perasaan itu.

Dia juga sudah jatuh kasih pada anak comel Mazwin. Puteri Qistina mungkin masih belum mengerti, namun dia akan cuba memenangi hati si kecil itu supaya dia dapat diterima. Alangkah gilanya dia, sanggup menyimpan niat untuk memisahkan anak itu dan ayahnya. Tapi dia sudah tidak perduli, jika Puteri Qistina tidak dapat menerimanya dia tidak kisah, asalkan dia dapat merebut semula hati Mazwin. Dia peduli apa dengan lelaki Indonesia yang menjadi suami Mazwin.

Lagipun masih belum pasti sama ada benar atau tidak Mazwin mengahwininya atas dasar cinta atau kerana terpaksa. Dalam hatinya kuat mengatakan ianya hanya keterpaksaan Mazwin dalam menentukan hidupnya di rantau orang.

Keretanya sudah memasuki ruang banglo setingkat bercat kuning air itu. Dia sudah nekad untuk bersemuka dengan Mazwin, mahu mengetahui sejauh mana perasaan Mazwin terhadapnya kini, dia perlukan penjelasan perasaan Mazwin hari ini.

“Assalamualaikum!” ucapnya saat tapak kakinya sudah berpijak di hadapan pintu rumah.

“Wa’alaikumussalam!” seorang lelaki Inggeris menjawab salamnya, lancar dan tepat walaupun ada loghat Indonesia yang pekat.

Syahirwan mengerut dahi, ‘mungkin dia suami Mazwin,’ getus hatinya. Jambangan mawar yang digenggamnya diletakkan di sisi almari kasut di tepi pintu. Dia tidak mahu hadiahnya itu bakal merosakkan suasana bila suami Mazwin melihatnya. Namun kotak coklat berbalut cantik itu masih digenggamnya erat.

“Uncle!!!” jeritan Puteri Qistina diriba lelaki Inggeris itu membuat Syahirwan tergamam, namun dihulurnya juga kotak coklat itu kepada Puteri Qistina.

“Hai, Puteri! Mana mama?” Alangkah hilang akalnya dia bertanyakan seorang wanita di hadapan suaminya sendiri.

“Thank you uncle. Mama, ada di dapur! Uncle ayuh masuk. Ayuh, Puteri kenalkan sama Daddy,” Anak itu pantas menarik lengannya ke arah lelaki Inggeris yang telah pun menghulur salam.

“Rio!”
“Syahirwan!”

Salam bersambut walaupun mukanya hambar. Rio yang tersenyum kepadanya tidak diperdulikan. Petang yang redup itu terasa berbahang walaupun kipas siling ligat berputar.
“Oh! Jadi, ini yang dikata Puteri kawannya mama? Ganteng ya!” Rio memulakan perbualannya. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir lelaki itu. Penuh keihklasan memberi salam persahabatan.

Diusap lembut rambut anak kecil itu, sebelum anak itu berlari meninggalkan mereka berdua di ruang tamu. Dia merenung Syahirwan lama. Ingin diselaminya wajah lelaki yang pernah mengecewakan Mazwin. Dia mahu tahu apa yang tersirat di hati lelaki yang telah membuatkan Mazwin tidak dapat menerimanya.

“Sudah lama awak kenal Mazwin?” tiba-tiba Syahirwan bertanya.

Soalan apa ini? Bertanyakan sejauh mana perkenalan seorang suami dengan isterinya. Tidak masuk akal.

“Erm… almost seven years and I know that you know her from secondary school, am I right?” Rio masih tenang seperti tadi.

“Yeah! And she is my lovely friend!” Syahirwan mahu menyorokkan rasa. Dia tidak mahu lelaki Inggeris itu mengesyaki sesuatu.
“And ex-wife too~” sambungan kata dari Rio membuatkan matanya tepat merenung lelaki Inggeris itu.

“How did you know?”

“Well, I love Mazwin very much! I know everything about her,” jujur Rio meluahkan.

Dan kerana kata-kata itu juga Syahirwan terpempan. Terasa selama dia mengahwini Mazwin tanpa mengetahui isi hatinya. Namun sebelum sempat Syahirwan membalas, Mazwin dan Manisah keluar dari dapur menatang dulang.

“Patutlah, terjerit-jerit Puteri memberitahu. Syahirwan yang datang rupanya. Minum Rio, Wan, air bujang je. Ni mak buat sikit kuih bingka ubi. Ini ubi yang ditanam Haizam di belakang rumah. Ubi pulut ni, isinya kuning,” penerangan Manisah dibalas anggukan Rio sambil tangannya mencapai sepotong bingka di dalam piring dan terus digigitnya kuih itu penuh nikmat.

“Erm… enak sekali ya bu! Pantas masakan Mazwin juga enak, mewarisi ibu ya,” puji Rio.
Mazwin yang mendengarnya tersenyum dan terus duduk di sisi Rio, menuang air dan kemudian menghulurkannya untuk lelaki itu. Puteri pula duduk di riba Manisah.

Betapa bahagianya keluarga ini, betapa dilihatnya wajah Mazwin tersenyum riang disisi suami dan anaknya. Masih sanggupkah dia untuk merampas Mazwin dari mereka? Masih mahukah dia meneruskan tekadnya untuk memenangi semula cinta Mazwin. Tidakkah dia kejam andai dia sanggup melakukan semua itu, Syahirwan telan liur, terasa bagai ketulan batu kecil yang ditelannya, tawar dan menyakitkan bila melihat kemesraan Mazwin dan Rio.

“Mak, Win, saya beransur dululah. Saya ada hal lain ni!” Syahirwan sudah bangun meminta diri.

“Eh! Cepatnya nak balik, kopi ni belum habis secawan. Minum dulu Wan, tak baik tolak rezeki! Lagipun Wan belum lagi berkenalan dengan Rio, kenal-kenallah dulu!” sanggah Manisah.

Faham benar dia apa yang berlegar di fikiran bekas menantunya itu. Dia tahu hati Syahirwan dilanda cemburu bila melihat Mazwin melayani Rio. Manisah tahu, Syahirwan pasti salah anggap dengan kedatangan Rio. Yang pastinya, Syahirwan mesti menyangka bahawa Rio adalah suami Mazwin.

“Tak apalah, mak. Biar saya pergi dulu. Lagipun, Rio baru saja datang tak elok kalau saya kacau mereka anak beranak!” ujar Syahirwan, tangannya pantas meraih tangan Manisah, dia mengucupi tangan kurus itu.

Dia beralih pula kepada Rio, menyalami lelaki itu dan kemudian Puteri pula mengucup tangannya. Dia merenung Mazwin, namun tiada perkataan yang keluar dari bibir Mazwin, jangan kata hendak menghalangnya dari pulang. Malah senyuman Mazwin bagaikan racun yang menyakitkan jiwanya.

Dia tidak tahu apa erti senyuman itu, namun dia pasti itulah senyuman kemenangan Mazwin tatkala hatinya hancur sekarang. Syahirwan terus pergi meninggalkan kuntuman mawar yang dibelinya untuk Mazwin melayu dan terus melayu tanpa dikucup wangiannya.

Syahirwan berlalu dengan hati yang teramat pedih. Betapa dia tidak sanggup untuk menahan hati walangnya saat melihat lelaki itu begitu mesra dengan bekas isterinya. Betapa dia tidak menyangka segala kerinduannya selama ini bakal dibalas sedemikian olah orang yang paling dicintai. Namun dia sedar kerana dia pernah tersilap, kerana kesilapan yang tercipta dari kejahilannya sendiri. Syahirwan terpaksa akur dengan kenyataan yang Mazwin bukan miliknya.

Saat itu dia menjerit sekuat hati, lantas keretanya laju membelah jalan menuju ke Padang Polo. Di situlah termeterai cinta mereka. Di situ jugalah tempat dia sering menanti dan terus menanti wanita yang amat dicintainya untuk memohon seribu kemaafan. Namun sebelum dia meleraikan keinsafannya, wanita itu sudah terubat lukanya. Sudah terpadam cintanya.

Padang Polo pernah menjadi tempat rasmi mereka untuk berbual, menyelam hati budi masing-masing dan menjadi saksi lafaz cintanya pada Mazwin. Tempat itu juga menjadi tempatnya meluah rasa luka saat Mazwin meninggalkannya. Syahirwan harus mengakui bahawa tiada lagi tempatnya di hati Mazwin. Buktinya, anak kecil itu yang menjadi pengikat kasih antara Mazwin dan lelaki separuh Barat itu.

Betapa dia tidak merelakan lelaki itu mengambil Mazwin darinya, namun apa daya, Mazwin yang meninggalkannya kerana dia sendiri yang memulakan cerita kecewa ini. Dia harus redha. Pasrah dengan keputusan Tuhan. Kerana segala yang berlaku adalah kesilapannya. Ternyata kesilapan itu akan mati begitu sahaja tanpa kemaafan. Tanpa tebusan.

Syahirwan meraup wajahnya. Sesalan demi sesalan menerpa. Jauh di sudut hati masih ada lagi keikhlasan untuk menerima wanita itu semula. Ingin membina segala kehancuran cinta yang dulu.

No comments: