Wednesday, December 17, 2008

Aku Bukan Untukmu - 30

“Saya kena balik KL petang ni!” beritahu Izham selepas makan tengah hari tadi.
Dia mendapat panggilan telefon dari Hasrul yang memberitahu bahawa ada klien penting yang mahu bertemunya. Hasrul kata tidak boleh dia tidak datang untuk mesyuarat itu. Klien itu pula kenalan rapat Tan Sri Kamil.
“Habis tu saya macam mana?” soal Anizan sambil merenung Izham dengan wajah simpati.
“Kalau iya pun jangan la buat muka macam tu!” seraya itu juga Izham mencubit perlahan pipi Anizan. Cepat tangan Anizan menepis.
“Apa Bos ni! Karang umi nampak!” bisik Anizan tidak puas hati.
“Lain kali jangan buat muka comel macam tu. Saya geram!” Izham ketawa kecil melihat Anizan menarik muka. Kadangkala dia geram melihat wajah kebudak-budakkan Anizan. Baginya gadis itu mempunyai wajah yang comel.
“Bos, saya nak ikut Bos balik KL!” pinta Anizan lagi.
Anizan terus dengan wajah simpati itu. Bukan dibuat-buat. Wajahnya memang semulajadi begitu. Dia takut bila memikirkan kalau-kalau Izham mahu tinggalkannya di sini.
“Abang dah beritahu umi, dan umi tak benarkan Anis balik. Kaki Anis tak baik lagi!” lembuat suaranya memberitahu.
Izham terus masuk bilik dan mengemas apa yang patut. Kasihan juga melihat Anizan masih terhencot-hencot bila berjalan. Dia masih perlu memegang dinding kala menaiki tangga.
“Takkan saya nak tinggal di sini? Sampai bila?” soal Anizan.
Gadis itu sudah berdiri di muka pintu bilik Izham. Tidak mungkin Izham meninggalkan dia di rumah ini. Dia tidak sanggup untuk berpura-pura. Tambahan bila tiada Izham. Anizan mengetap bibir.
-Buatnya umi nak menduga bukan-bukan, parah lah aku. Kalau dugaan sikit-sikit boleh lah aku layan. Buatnya dia menduga sejauh mana aku cintakan anak dia. Niaya aku.
Membayangkan semua itu hati Anizan berdebar-debar. Apa yang perlu dia lakukan jika dia keseorang di rumah ini. Memang Hajah Saniyah baik terhadapnya. Tetapi Izlan dingin terhadapnya. Dia terasa malu bila bertemu kembar Izham itu. Kerana Izlan mengetahui tentang mereka. Penipuan mereka dan penyamaran Anizan.
“Bila saja selesai kerja abang, abang balik sini. Kalau tidak Anis tinggal di sini dengan umi sampai kita nikah!” Izham mengenyitkan mata.
“What?” tergamam Anizan bila mendengar perkataan nikah.
Gila! Takkan Izham mahu bernikah dengannya. Mana mungkin dia harus terima lelaki itu. Dia tidak cintakan Izham. Hatinya tidak tertarik pada majikannya itu sejak dia bertemu mata dengan Izlan. Hidupnya sudah benar-benar keliru
- Asma! Tolong aku!
“Iye, nikah! Abang dah cakap pada umi, kita akan menikah secepat mungkin!” Izham tersenyum simpul.
Dia tahu gadis itu terkejut dengan kata-katanya. Memang itu keputusannya pada mulanya. Tetapi dia tidak mahu memaksa. Biarlah Anizan menyintainya secara rela hati. Dia tahu setakat ini apa yang Anizan lakukan untuknya hanya kerana arahan.
“Awak tak boleh buat saya macam ni!” lirih sahaja bunyi suara Anizan. Airmatanya tiba-tiba merembes keluar. Hatinya jadi sebak bila Izham keluarkan kata-kata itu.
-Mentang-mentang aku ini yatim piatu. Tiada saudara mara. Sesuka hati saja dia buat keputusan. Mudah sahaja dia mempermainkan perasaan orang macam aku. Dia ingat RM5,000.00 yang dia beri sebagai upah itu besar sangat sampai dia boleh suka-suka menukar hidup aku.
Hatinya membentak. Sakit dan pedih mendengar keputusan Izham. Dia tahu dia tidak boleh menerima keputusan itu walaupun ianya satu arahan. Dia tahu Izham sudah buta menilai hati sendiri saat pertama kali melihatnya dalam pakaian perempuan. Izham tidak ikhlas.
“La, awak menangis? Jangan la macam ni… Abang gurau ajelah! Saja nak usik awak. Kenapa awak menangis?” Izham terpempan melihat Anizan sudah terduduk menahan sendu. Memang dia cuma bergurau. Tidak mungkin dia akan memaksa jika gadis itu tidak sudi menerima cintanya. Dia juga punya perasaan.
“Anis tak payah la takut tinggal dengan umi. Kaki Anis tak sembuh lagi. Nanti kalau di KL siapa nak tengok-tengokkan. Lagi pun Anis tak habis berurut dengan wan teh. Anis tak payah balik dulu ye…” tiba-tiba suara itu hadir.
- Aduss, kenapa lah umi selalu potong jalan! Getus hati Izham.
Dia baru sahaja mahu memujuk Anizan. Baru sahaja mahu membelai wajah gadis itu. Tangannya sudah mahu mengelap pipi gadis itu. Tapi perbuatan itu mati tiba-tiba bila mendengar suara umi.
Anizan yang terduduk cepat-cepat mengelap airmata yang jatuh. Bimbang tangisannya diperhatikan. Tidak mahu dituduh mengada-ngada. Mendengar kata-kata umi, dia mengangguk. Entah kenapa hatinya cepat saja menerima apa yang keluar dari mulut wanita yang berumur lebih separuh abad itu. Mungkin kerana dia rasa dia memerlukan kasih wanita itu. Dia selalu menganggap Hajah Saniyah umpama ibunya. 10 tahun kehilangan keluarga membuatkannya terasa rindu untuk dikasihi.

Tuesday, December 16, 2008

Aku Bukan Untukmu - 29

Selepas sahaja berurut, mereka pulang. Terasa pagi itu sangat panjang. Renungan mata Izham juga merimaskan. Ada sahaja yang mahu ditanyakan. Bagi Anizan, Izham sudah benar-benar mabuk pinang. Angau. Malah sepanjang pagi itu Izham asyik duduk dekatnya. Anizan jadi tidak selesa.
“Awak, pergi la tengok tv ke. Sapu laman ke, saya nak siang kacang ni,” pinta Anizan. Tangannya masih tidak dapat memotong kacang panjang dengan selesa. Semuanya gara-gara Izham yang asyik menghadap mukanya.
“TV takde cerita menarik. Muka awak lagi menarik!” Izham tersengih merenung wajah gadis di hadapannya. Entah mengapa dia tidak mahu lepas memandang wajah itu. Wajah Anizan bersih. Dia hanya melihat Anizan mengenakan bedak bayi sahaja pagi tadi. Tanpa lipstik dan tanpa pemerah pipi. Namun wajah gadis itu tetap merah bila dia memandang. Merah semulajadi.
“Kenapa pipi awak colour pink! Awak pakai blusher ye?” soal Izham, sengaja mahu mengusik gadis itu. Anizan menjeling, marah. Geram dengan usikan itu.
-Dah tau aku segan dia asyik renung-renung begitu lagi nak tanya kenapa pipi aku merah.
Terkadang Anizan terasa mahu sahaja membentak Izham sepertimana lelaki itu membentaknya di pejabat. Kala ini juga dia berdoa yang Izham akan normal kembali seperti Izham di pejabat. Garang dan menyakitkan hati.
‘sekarang pun sudah menyakitkan hati!’ bisiknya.
“Awak cakap dengan saya?” pantas Izham merapatkan telinganya ke arah mulut Anizan.
“Jangan main-main. Saya kerat telinga awak dengan pisau ni!” ugut Anizan. Malu dengan perlakuan Izham yang sudah merapatkan telinganya di wajah Anizan.
“Keratlah Anis, abang rela!” Izham melekapkan telapak tangannya ke dada. Dengan gaya romeo dia memejamkan mata.
“Kalau Aniz tak sanggup, mari umi yang keratkan telinga Izham tu!” suara umi dari muka pintu bagaikan halilintar. Kuat dan sinis. Izham tersentak. Anizan juga terperanjat.
Malunya dia kalau umi nampak apa yang berlaku antara mereka sebentar tadi. Takut wanita itu terlihat wajahnya dan wajah anak terunanya seakan mahu bertemu. Muka Anizan merona merah. Tidak dapat di sorokkan lagi.
“Err… umi, bila sampai?” soalan bodoh itu keluar mulut Izham.
Anizan rasa mahu tergelak. Teringat yang selalunya lelaki itu yang suka membentak dan terpekik di pejabat. Rupanya dalam masa yang sama lelaki itu juga reti terkejut.
“Dah lama umi duduk sini, peratikan aje perangai kau tu. Mengada-ngada. Macamlah Anis tu nak lari sampai kau kawal dia macam tu. Dia nak siang kacang tu pun umi tengok tak selesa!”
-Dah lama? Aduss… malunya aku. Minta maaflah makcik, anak makcik ni dah terkena penyakit misteri. Saya sendiri pun takut makcik…
Anizan telan liur. Terasa sangat malu bila menyedari Hajah saniyah memerhatikan mereka sejak tadi. Mujur Izham tidak melakukan perkara melampau.
-Ah, merapatkan wajahnya ke wajah aku itu pun sudah kira melampau tahap gaban.

Aku Bukan Untukmu - 28

Sejak mula-mula masuk ke kereta hatinya terus berdebar-debar. Ada sepasang mata dari sebalik langsir sedang memerhatikannya. Dia tahu lirikan mata itu milik Izlan. Entah kenapa sejak semalam, dia sering merasakan apa saja yang sedang dilakukannya di renung oleh lelaki itu.
“Seronok di layan macam puteri raja?” sinis saja pertanyaan itu. Anizan menjeling.
- Kenapalah kau tak selembut adik kau masa berbicara? Ini tak dua puluh empat jam asyik nak menyindir. Aku buka rahsia nanti baru ada akal.
“Bos nak saya buka rahsia ke?” soalnya semula.
Bengang bila dia asyik disindir begitu. Bukan dia yang minta di layan bak anak raja. Hajjah Saniyah yang beriya-iya marahkan Izham sebab banyak alasan nak bawa Anizan pergi rumah Wan Teh. Hajjah Saniyah sendiri tidak dapat ikut, dia perlu menyiapkan kuih yang ditempah jiran.
“Amboi dah pandai mengugut nampak? Macam nak kena potong gaji je…” Izham menjeling sambil ketawa. Gelihati melihat gadis di sebelahnya marah. Sejak dia mengenali Anizan dia memang suka menyakat gadis kecil molek itu. Entah mengapa kalau tidak dapat mengusik gadis itu, bagaikan tidak ceria hidupnya.
“Bos ni sikit-sikit potong gaji, sikit-sikit potong gaji. Malas lah saya nak jadi pembohong sebab bos. Saya sebenarnya kesian dengan umi. Dapat anak macam bos ni, penipu!” tempelaknya geram. Dalam masa yang sama dia meluahkan yang terbuku di hati. Dia benar-benar tidak sanggup untuk berpura-pura lagi. Kasihan Hajjah Saniyah.
“Kalau macam tu, awak tak payah berlakon. Biar perkara ini terjadi betul-betul. Saya cintakan awak!” ucap Izham. Sepantas itu Anizan menoleh ke arah lelaki itu.
“Apa?”
“Saya cintakan awak!”
“Tak mungkin!”
Anizan tidak percaya apa yang diucapkan Izham. Dia tahu lelaki itu cuba mahu mempermainkan perasaannya. Tidak mungkin Izham menyintainya secepat itu. Baru dua hari mereka bersama.
“Betul Anis, saya cintakan awak!” rayu Izham lagi.
Kali ini dia memberhentikan kereta di tepi jalan. Kemudian tangannya cuba mencari jemari Anizan. Bila ketemu, terus dia meraih jari gadis itu. Diusapnya lembut.
“Bos dah gila!” pantas Anizan menarik semula tangannya. Dia terus menafikan.
“Saya gilakan awak Anis!” Izham terus mempamerkan raut wajah yang pelik bagi Anizan.
“Tolonglah bos, kita cuma berlakon depan umi je. Tak payah la nak buat scene kat tepi jalan ni pulak!” pinta Anizan.
Dia memang tidak selesa bila Izham mula mahu beromantik. Mereka tidak bercinta. Tidak mungkin.
“Anis, seriously, saya terpikat pada awak!” ungkapan jujur itu membuatkan Anizan ternganga.
Mustahil Izham terpikat padanya. Siapalah dia. Dia cuma gadis biasa yang berperwatakan tomboy supaya tidak dibuli. Dia kasar, kurang kasih sayang membuatkan dia berdikari. Seringkali dia tertanya siapa yang sudi terpikat pada dirinya. Dia keliru.
“Ini betul Anis, bukan main-main. Saya benar-benar tak sangka saya terpikat dengan awak,” sambungnya.
Izham merenung Anizan penuh makna. Harap-harap gadis itu memahami hatinya. Dia tahu mungkin terlalu cepat untuk dia meluahkan. Tapi dia takut dia terlepas memiliki gadis itu.
“Sejak bila?” Anizan menyoal.
Dia perlu tahu. Kerana apa Izham menyintainya. Dia tidak mahu terbuai perasaan sendiri. Memang dia pernah meminati lelaki itu dalam diam. Tapi mana mungkin dia menyintai lelaki sekacak Izham. Tidak mungkin dia pilihan lelaki itu.
“Sejak di perhentian RnR!” tegas Izham.
Anizan bagaikan mahu ketawa. Sungguh cetek fikiran Izham menilai cinta. Cintanya datang dari mata. Bukan dari hati. Mengapalah cinta itu tidak hadir seikhlasnya dalam diri Izham. Bila melihat saja seorang perempuan yang cantik, terus dia jatuh cinta. Betapa hati lelaki itu mudah dibohongi oleh mata sendiri.
“Bos, terpikat kerana kecantikan, bukannya dari hati. Jangan layan khayalan itu bos. Merosakkan!” sinis sahaja Anizan membalas.
Izham sedang berkhayal. Anizan tidak mahu lelaki itu terus dengan perasaannya. Baginya itu bukan cinta. Cinta itu harus lahir dari hati. Saat bertentangan mata, hati berdebar-debar, mulut terkunci dari bicara. Itulah tafsirannya tentang cinta.
Dia tahu Izham tidak berdebar-debar melihatnya. Izham tidak hilang kata-kata bila bertemu dengannya. Dan lelaki itu jatuh cinta hanya selepas dua hari melihat susuknya dalam pakaian perempuan sejati. Itukah yang dikatakan cinta? Adalah tidak mungkin.
“Saya ikhlas Anis!” ikrar Izham.
Dia benar-benar ikhlas. Entah mengapa semenjak melihat Anizan bersalin kulit, hatinya tidak keruan. Badannya terasa panas tiba-tiba bila terpandang wajah gadis manis itu. Hatinya terasa kembang berbunga bila gadis itu berbicara. Kalau umi setuju, dia mahu terus menikah dengan Anizan hari ini. Tapi pasti umi mahu ianya disulam adat. Tidak mungkin umi mahu terus menikahkannya.
Izham semakin sedar perasaan itu bila malam tadi dia terlihatkan Anizan berbual bersama Izlan. Dia cemburu. Namun cemburu itu dikawalnya. Dia terasa mahu menarik gadis itu masuk ke rumah saat melihat mereka berdua-duaan.
“Tak mungkin secepat itu!” Anizan menafikan.
Dia keliru dengan hatinya kini. Alasan Izham menyintainya bagaikan tidak lojik. Tidak mungkin lelaki itu terlalu cepat jatuh cinta. Bagaimana dengan Sofea. Apa akan jadi kalau perempuan itu tahu. Apa perlu dia buat jika perempuan itu menyerangnya. Segalanya bagaikan berlegar di kepala.
“Anis tak percayakan saya? Saya faham. Saya bagi Anis masa untuk berfikir. Anis tak perlu bagi jawapan cepat,” lirih suara lelaki itu. Mungkin memujuk hati. Mungkin dia kecewa dengan kata-kata Anizan.
- Tak masuk akal bos cepat je ada perasaan. Baru berapa hari mereka bersama. Itu pun kebanyakan hari yang mereka lalui bukan detik-detik indah. Aku takkan percaya kata-kata kau bos. Kau sengaja nak mempermainkan hati aku untuk lakonan ini. Kejam.
“Assalamualaikum! Wan Teh!” laung Izham dari bawah rumah. Rumah kampong yang tinggi itu bagaikan tiada berpenghuni. Senyap sunyi.
“Waalaikumussalam, Ham. Naik lah. Tadi umi kamu dah telefon. Mana kawan kamu tu? angkat naik atas. Rumah wan teh ni tangga tinggi. Kot terpeleot pulak kaki dia,” terang wanita melebihi separuh abad itu.
Tersenyum-senyum dia melihat cucu saudaranya yang seorang itu. Tidak sangka ideanya meminta Saniyah mengugut Izham membuatkan anak sulung Saniyah terus membawa seorang bidadari balik ke kampong. Tapi malangnya bidadari itu terkehel pula. Kasihan.
“Biar dia naik sendiri la wan teh. Tak larat nak angkat, gemuk!” tutur Izham sambil mahu berkelakar. Dia ketawa lucu melihat Anizan terhencot memegang palang tangga.
“Hish! Kamu ni, papah dia, karang kalau terjatuh payah pulak! Mana gemuknya, kecik aje wan tengok!” Wan teh menampar bahu Izham. Geram benar melihat gelagat cucu saudaranya itu.
“Tak apa wan. Saya boleh naik sendiri,” sopan Anizan bersuara.
Lagipun dia tidak akan membenarkan Izham menyentuhnya. Kata-kata lelaki itu sebelum sampai di sini tadi sudah cukup membuatkannya seram sejuk. Sejak meluahkan kata-kata di dalam kereta, tangan Izham sering tidak sengaja menyentuh jemarinya. Anizan gementar. Tidak pernah ada lelaki memperlakukannya seperti itu.