Monday, June 29, 2009

Aku Bukan Untukmu - 49

“Hai Anizan, awak dah sihat?” soalan itu membuatkan Anizan tersenyum manis. Semenjak kemalangan itu, dia semakin rapat dengan Fahril. Walaupun dia cuma menganggap Fahril cuma bekas teman sekolej, tetapi layanan Fahril itu semakin hari semakin dirasakan istimewa.
“Alhamdulillah, saya okey!”
“Ini untuk awak!” Fahril menghulurkan sebuah kotak kecil. Anizan mengerutkan dahi. Entah apa pula yang dia bawakan hari ini. Kelmarin dia membawa beberapa buah novel cinta untuk dibaca. Walaupun sebenarnya Anizan tidak minat untuk membaca novel-novel cinta. Tetapi untuk mengambil hati Fahril, dia menerimanya separuh hati.
“Apa pula ni, awak selalu bagi hadiah pada saya,” Anizan bagai sudah hilang kata-kata. Rimas juga sebenarnya dengan setiap hadiah yang diberikan.
“Buka lah!” Fahril merenungnya lagi. Senyumannya macam biasa, segaris tanpa makna. Anizan menjemputnya minum. Sejak tadi air nescafe yang dibuat Asma sudah semakin sejuk. Asma yang sememangnya akan meneman dia di depan televisyen setiap kali ada tetamu lelaki yang datang.
Anizan membuka kotak itu. Dia mengeluarkan MP3 yang dihadiahkan untuknya. Aduh, betapa Fahril ini sering mengelirukan. Untuk apa dia diberi hadiah-hadiah ini. Pasti ada sebab tertentu. Pasti juga Fahril punyai niat lain padanya.
“Saya tak boleh terima ni, awak ni baik sangatlah!” Anizan menggeleng kepala, memberikan semula kotak itu kepada lelaki di hadapannya. Fahril mengeluh. Kemudian dia meletakkan semula kotak itu ke riba Anizan.
“Saya tak mahu awak rasa sunyi, bila dengar lagu nanti awak tak bosan lagi!” ujar lelaki itu.
Anizan menghela nafas. Pendek namun mendalam. Dia tidak pasti apa hajat Fahril. Perkenalan rapat mereka hanya berlaku beberapa bulan lepas. Dia belum tahu hati budi lelaki itu. Dia takut nanti terhutang budi. Dirasakan lelaki itu mahukan sesuatu darinya. Mungkin mahukan sesuatu hubungan yang lebih dari persahabatan.
“Untung jadi orang sakit ni, setiap hari ada orang datang jenguk, bawa hadiah!” sindir Asma, sebaik sahaja Fahril pulang. Anizan cuma senyum.
Dia mengurut-urut kakinya yang bersimen separas lutut. Sejak pulang dari hospital, sejak itu Izham langsung tidak pernah mungkir melawatnya. Selepas dia keluar, umi Izham tidur di rumah sewa mereka beberapa hari untuk memastikan dia berkeadaan baik. Berbuih juga mulut orang tua itu memintanya pulang ke kampung untuk tinggal bersamanya sehingga sembuh. Betapa luhurnya hati Hajah Saniyah, namun tidak sampai hati dia mahu menyusahkan orang tua itu. Takut juga kalau-kalau segala yang berlaku akan diceritakan kepada Hajah Saniyah. Mulutnya bukan boleh tahan sangat. Kalau sudah berbual nanti takut pula dia menghamburkan kekesalannya terhadap Izham kepada uminya.
“Kau nak apa-apa? Aku nak sembahyang kejap, kalau nak apa-apa aku sediakan dulu!” Asma bersuara lagi sambil memicit-micit bahu temannya itu. Anizan geleng kepala. Dia terasa terharu dengan layanan Asma. Kawannya itu sanggup mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menjaga Anizan.
“Tak ada apa-apa, Asma, terima kasih sebab bantu aku selama ini!” titisan airmata itu bagaikan hujan turun. Dia sememangnya terharu dengan pengorbanan Asma. Temannya itu amat memahami.
“Dah le tu, kau ni asyik nangis je, aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau terkial-kial sorang-sorang!” pujuk Asma sambil ketawa kecil. Tubuhnya yang gempal itu terhinggut-hinggut.
“Cheh, kau ni kan, aku baru nak layan perasaan, kau gelak pulak!” Anizan tersenyum akhirnya. Dia memang bertuah dikurniakan kawan sebaik Asma. Sejak dulu juga, Asma yang sering bersamanya. Temannya di kala susah dan senang. Sejak dia mengenal alam dewasa, Asma juga yang menjadi kakak dan kadangkala menjadi seperti ibu, membebelkannya setiap masa.
“Aku kan kawan kau, takkan aku nak biarkan kau macam ni je… dah le tu, layan kau karang aku tak solat!” Asma menepuk bahu Anizan.
Dia kemudian terus menuju biliknya. Sejak tengah hari tadi dia meneman Anizan melayan tetamu yang datang. Lepas Izham, datang pula Fahril. Dia langsung tidak mengenali Fahril, tetapi sejak dua tiga kali lelaki itu datang, dia terasa lebih baik Anizan berkawan dengan Fahril daripada Izham yang langsung tak gentlemen. Tapi siapalah dia mahu memberi pandangan itu. Anizan sudah tentu tidak dapat melupakan Izham begitu sahaja. Dan mana mungkin Anizan menerima Fahril dalam sekejapan hubungan mereka.

Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Novel Kasih Aryssa

Ulasan ni ditaip oleh seorang staff di UKM, Anyss aku ambil dari blog dia http://annieyss.blogspot.com/

Sinopsis
Aryssa adalah anak tunggal. Dia merupakan seorang pelajar Kolej Perdana yang berperawakan ala tomboy. Dia menunggang motosikal suzuki, berperawakan seperti lelaki dengan berambut pendek, mengenakan cap terbalik dan sering berbaju T longgar. Dia mempunyai sahabat rapat sejak di sekolah rendah, iaitu Wani. Perawakannya seakan lelaki itu menyebabkan dia menjadi buruan Pengkid.

Dalam novel ini, Mardina Mohd Jamil telah menyatakan dengan jelas tentang pandangan Aryssa berkaitan pengkid. Sekalipun Aryssa berperawakan seperti lelaki, bergaul dengan rakan-rakan pengkid, namun dia masih lagi gadis Melayu yang berpegang teguh kepada agama dan budaya. Menghormati orang tua dan mengamalkan budaya Melayu. Perubahan penampilan, perawakan dan sikap Aryssa berpunca kekecewaannya terhadap Amir Hizam. Amir Hizam adalah kekasih hati Aryssa sejak zaman persekolahan. Dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada hari keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Akibat kemalangan tersebut, dia telah lumpuh. Sikap rendah diri Amir Hizam buatkan lelaki itu menghilangkan diri tanpa sebarang pesan. Aryssa sangat kecewa dengan sikap arjuna hatinya ini hingga dia bertekad untuk tidak lagi menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya. Apabila dia mengubah penampilannya seperti tomboy, dia beranggapan lelaki tidak akan berminat lagi untuk bercinta dengannya.

Aryssa bermusuh dengan seorang romeo di kolej tersebut, Fizal. Mereka tidak sebulu sejak pertama kali bersua. Asal sahaja bertembung, perang akan meletus hingga ada ketikanya melibatkan pertelingkahan fizikal. Aryssa bencikan Fizal kerana sifat romeo lelaki itu yang suka mengumpul koleksi perempuan, sedangkan Fizal tidak sukakan Aryssa kerana penampilan gadis itu yang menyerupai tomboy. Dia beranggapan, seorang perempuan perlu menjadi perempuan, bukannya cuba mengubah diri menjadi lelaki.

Aryssa yang marah dengan sifat romeo fizal, terutama setelah dia tinggalkan ramai gadis hanya kerana rupa paras, telah menyamar menjadi Syarina Wirdayu. Setiap malam Syarina Wirdayu akan menelefon Fizal pada jam 10 malam hingga Fizal tergila-gilakannya. Aryssa nekad untuk kecewakan lelaki itu sehingga akan diingati Fizal sepanjang hayatnya agar lelaki itu mengetahui bagaimana rasanya apabila dikecewakan. Namun, perlahan-lahan Aryssa kian menyukai Fizal. Begitu juga Fizal, walaupun dia tidak menyedari bahawa Syarina Wirdayu yang dirindui sepanjang masa itu adalah Aryssa.

Ketika Fizal mendapat kemalangan jalan raya, dia lebih merindui Syarina Wirdayu kerana dia mula menyedari tentang teman-teman sekelilingnya yang hanya baik terhadapnya ketika dia glamour, sihat dan popular. Sekalipun tidak pernah bersua muka dengan Syarina Wirdayu, namun Fizal sangat yakin dengan kata hatinya bahawa Syarina Wirdayu adalah gadis impiannya yang sempurna. Dia sering menceritakan tentang hubungannya dengan Syarina Wirdayu kepada Wani.

Walaupun Wani tidak sukakan Fizal asalnya, tetapi apabila lelaki itu mendapat kemalangan jalan raya dan kehilangan rakan-rakan, Wani mula kasihankan Fizal. Dia sering menemani Fizal di kolej dan banyak membantu Fizal menjalani aktiviti harian, termasuk melakukan fisioterapi. Keakraban yang mula terjalin buatkan Wani mula jatuh cinta dengan Fizal. Namun begitu, apabila Fizal sering menyebut-nyebut nama Syarina Wirdayu yang tidak pernah wujud itu, menyebabkan Wani sangat cemburu. Dia mula sedar yang Fizal tidak pernah menganggap dirinya seorang kekasih tetapi hanya seorang rakan sekolej sahaja.

Aryssa telah menjadi musuh utama Wani kini. Dia telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa setelah gadis itu enggan undur diri dari hidup Fizal. Walaupun Wani telah membocorkan rahsia tersebut, namun Fizal tetap mahu menerima Aryssa. Dia mula menyedari keistimewaan Aryssa semasa majlis kesyukuran yang dibuat di rumahnya, terutama apabila terpandangkan Aryssa yang berkebaya. Aryssa yang menderita sakit buah pinggang akhirnya meninggal dunia akibat komplikasi walaupun Amir Hizam (tenuk-hensem) telah dermakan buang pinggangnya.


Watak dan Perwatakan
Sebahagian daripada watak dan perwatakan dalam novelini adalah seperti berikut;

Aryssa
Aryssa adalah seorang gadis yang bersahaja. Dia merupakan anak tunggal dalm keluarga. Punya pendirian yang tetap. Ada wawasan diri. Ada nilai murni yang mantap dengan keislaman yang tinggi walaupun penampilan fizikalnya terlebih seperti seorang tomboy. Dia sangat menyayangi kedua ibu bapanya. Hormatkan orang tua.

Sangat setia dengan cinta pertamanya terhadap Amir Hizam. Kekecewaan terhadap cinta pertamanya membuatkan Aryssa mengubah perwatakan dari seorang yang lemah lembut dan feminin menjadi seorang tomboy yang kasar, melupakan perasaannya terhadap lelaki lain dan menunggu Amir Hizam kembali semula dalam hidupnya.

Aryssa telah menyamar sebagai Syarina Wirdayu semata-mata untuk memperdaya Fizal. Sekalipun Fizal adalah anak kepada rakan ibunya, tetapi sikap Fizal yang buaya darat itu buatkan Aryssa nekad untuk kenakan lelaki itu. Dia mahu Fizal tahu bagaimana perasaannya apabila dikecewakan. Aryssa nekad untuk membuatkan Fizal jatuh cinta kepadanya sebelum dia kecewakan lelaki itu kemudiannya. Namun, tanpa disedari, Aryssa akhirnya benar-benar jatuh cinta dengan Fizal sekalipun dia telah cuba untuk mengelaknya.

Walaupun Aryssa seorang yang berperawatak kasar, bergaul dengan lelaki dan pengkid, mengubah penampilannya seperti lelaki dan bermotosikal Yamaha, namun penulis novel ini telah memantapkan watak ini sebagai seorang muslimah yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni. Dia mempunyai akar dan arah tuju yang tersendiri, malah mengetahui dengan baik nilai-nilai moral, budaya dan agama. Al-qur’an dan hadis sentiasa menjadi pegangannya. Malah, dia telah berjaya menasihati watak Linda yang menyukai kaum sejenis (lesbian) dan membantu Danny yang dirogol.

Fizal
Fizal adalah anak sulung Mak cik Salina dan mempunyai seorang adik perempuan. Disebabkan dia berasal dari keluarga yang agak berada, berwajah sedikit macho dan sering menjadi rebutan gadis-gadis, Fizal dianggap buaya tembaga (romeo) di kolejnya. Dia mempunyai ramai gadis yang sudi menjadi kekasih hatinya sehinggakan dalam sehari dia bertukar pasangan beberapa kali. Walau pun begitu, apabila dia berjaya memikat Lydia, dia menjadi semakin bangga dengan pencapaiannya.

Fizal hanya berkawan dan rapat dengan gadis-gadis yang cantik sahaja. Apabila Suzana terlibat dalam kemalangan mengakibatkan wajahnya berparut, dia telah tinggalkan gadis itu kerana malu dilihat oleh rakan-rakannya. Sikap buayanya itu membuatkan Aryssa telah mempermainkannya.

Aryssa merupakan musuh ketat Fizal. Dia tidak boleh bertembung langsung dengan gadis tomboy itu. Setiap kali bertembung, pasti akan berlaku pertengkaran mulut. Adakalanya turut melibatkan kekasaran fizikal. Aryssa pernah menghentak kepalanya dengan topi keledar menyebabkan Fizal sangat meluat untuk bertembung dengannya. Bagi Fizal, kewujudan tomboy mewujudkan persaingan lelaki untuk merebut hati gadis. Baginya juga, adalah tidak wajar untuk seseorang mengubah takdir hidupnya yang telah ditentukan Allah sejak azadi lagi sebagai seorang perempuan.

Fizal telah menerima panggilan telefon daripada Syarina Wirdayu pada jam sepuluh setiap malam hingga dia akhirnya sangat merindukan gadis misteri itu. Syarina Wirdayu telah menjadi teman bual dan luahkan isi hatinya dalam semua hal. Ini lebih-lebih lagi apabila dia terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan terlantar di hospital selama dua minggu. Semasa terlantar inilah dia mula menyedari yang semua rakannya hanya mendampingi semasa dia senang sahaja. Apabila dia ditimpa musibah dia telah kehilangan semua rakannya. Pada masa ini kehadiran Syarina Wirdayu benar-benar telah menjadi penguat semangatnya.

Apabila dia kembali ke kolej semula, dia mula sendirian tanpa teman-teman. Wani kasihankannya dan mula menemani Fizal. Semua perasaan, rindu, pandangan dan pendapatnya terhadap Syarina Wirdayu telah diceritakan kepada Wani. Namun dia terkejut apabila Wani menjelaskan bahawa Syarina Wirdayu yang menjadi pujaannya itu adalah Aryssa.

Sekalipun dia tidak menyangka Syarina Wirdayu adalah Aryssa, namun Fizal tetap tidak berubah hati. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat keayuan dan sifat kewanitaan Aryssa yang terserlah semasa mengunjungi rumahnya pada hari diadakan majlis kesyukuran sempena dia kembali ke rumah selepas keluar hospital. Pada hari tersebut, dia nampak Aryssa sangat cantik berkebaya. Namun, kasihnya yang baru berputik kepada Aryssa tidak kesampaian. Gadis pujaannya itu telah meninggal dunia kerana menghadapi komplikasi akibat pembedahan buah pinggang.


Wani
Wani adalah seorang gadis yang lemah lembut, menjadi sahabat Aryssa sejak sekolah. dia meminati Zastri, pelajar popular dari kolej lain. Namun semua itu hanyalah dalam impiannya sahaja kerana pelajar romeo seperti itu tidak akan menyedari tentang kewujudan pelajar tidak popular seperti Wani.

Wani tidak sukakan Fizal kerana lelaki itu buaya darat yang mempunyai koleksi teman wanita yang ramai. Pelajar wanita yang tidak lagi disukainya akan ditinggalkan begitu sahaja. Apabila Aryssa mahu kenakan Fizal, Wani turut bersetuju. Namun selepas Fizal terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan kawan-kawannya, Wani mula mendekati dan berkawan rapat dengan Wani. Lama kelamaan, Wani mula sukakan Fizal.

Apabila Fizal sering ceritakan tentang Syarina Wirdayu kepadanya, Wani rasa sangat cemburu. Fizal terlalu mengagungkan Syarina Wirdayu menyebabkan Wani rasa sangat sakit hati. Dia akhirnya minta Aryssa hentikan lakonannya sebagai Syarina Wirdayu dan tidak mengganggu Fizal lagi. Namun, apabila Aryssa tidak mengikut kemahuannya, Wani telah bertindak membocorkan rahsia Aryssa. Dia beranggapan Fizal akan membenci Arysssa apabila mengetahui pembohongannya itu. Namun, dia tersilap kerana Fizal tetap menerima Aryssa. Akhirnya dia sangat menyesal dengan perbuatannya dan kehilangan seorang sahabat baik.

Amir Hizam
Amir Hizam seorang pelajar terbaik semasa di sekolah. Dia juga aktif dalam bidang sukan. Dia berjaya menambat hati Aryssa. Pada hari diumumkan keputusan peperiksaan SPM, dia mendapat kemalangan jalan raya hingga membuatkan dia lumpuh. Sejak itu, dia mula rasa rendah diri dan menghilang tanpa khabar berita.

Dia telah menggunakan id sebagai tenuk_hensem semasa berbual dengan masengger di Yahoo Masengger. Dia sering menasihati Aryssa secara online setiap kali gadis itu menghadapi masalah tanpa disedari identitinya oleh Aryssa. Dia juga telah dermakan buah pinggangnya kepada Aryssa tanpa diketahui gadis itu walaupun pemindahan berkenaan tidak berjaya.



Apa yang best pasal novel “Kasih Aryssa”

Sekalipun novel ni taklah tebal sangat, kira boleh sudahkan pembacaan sekali harung saja, namun ada banyak perkara istimewa tentangnya yang boleh kita dapat. Antaranya;

i. Isu semasa, terkini, berlaku di sekitar hidup kita
Isunya biasa sahaja dan sering dialami oleh manusia biasa yang lain. Bukannya kisah orang-orang kaya, puteri raja atau manusia dari planet lain yang hanya ditemui dalam dongeng. Isunya tentang kasih sayang, tentang jiwa remaja, tentang pengkid, tentang mat romeo, tentang persahabatan.

Apa yang dipaparkan adalah apa yang sering berlaku di sekitar pembaca. Tentang jiwa remaja yang ingin dicintai. Tentang salahlaku remaja terjerumus ke lembah lesbian, pengkid, kebebasan tanpa perhatian keluarga juga. Apabila isu semasa yang dipaparkan, maka pembaca akan lebih mudah merasai kesannya.


ii. Bahasa yang mudah, bersahaja dan segar
Bahasa yang digunakan pula mudah, bersahaja dan segar. Ada masanya menggunakan istilah-istilah yang biasa digunakan golongan remaja kini. Walaupun ada masa terlihat dicampurkan dengan istilah-istilah bahasa Inggeris, namun pada masa yang sama memaparkan realiti masa kini di negara kita. Perbualan masyarakat kita pada hari ini tidak lagi menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya, tetapi telah bercampur dengan pelbagai bahasa, dialek, slanga dan kependekan tertentu.


iii. Gaya penulisan yang tersendiri
Gaya penulisan Mardina juga tersendiri. Tidak menerima pengaruh daripada mana-mana penulis lain. Setakat ini, gaya ini nampak santai sahaja. Mudah faham. Untuk menilai gaya penulisan hanya berdasarkan satu novel sahaja memang tidak memadai. Jadinya, kita kena tunggu Dina tulis novel lain lagi. Biarpun begitu, tidak bermakna Dina tidak boleh ubah stail menulis. Ubah dan sesuaikanlah dengan apa-apa gayapun tidak mengapa kerana nanti akhirnya akan terserlah juga gaya penulisan bagaimana menjadi hak milik Mardina Mohd Jamil ni kan?

Proses ini sama juga seperti menyanyi atau berlakon. Kalau setakat satu drama atau satu lagu sahaja, identiti seseorang penyanyi atau pelakun itu masih lagi tidak dapat ditentukan. Lama kelamaan nanti, keistimewaan Mardina Mohd Jamil ini akan terserlah juga. apa yang penting bagi penulis, teruskan menulis. Berilah tugas mengkritik dan mengkaji karyanya itu kepada pengkaji dan pengkritik.

iv. Pandai simpan suspen. Dah nak habis baru pembaca sedar Aryssa ada sakit buah pinggang.
Novel “Kasih Aryssa” telah digarap pengarangnya dengan teliti. Pembaca tidak dapat mengesan kelainan kepada Aryssa sehinggalah dia dimasukkan ke wad kerana sakit. Kebijaksanaan menggarap rahsia ini telah diutarakan penulis sama seperti bagaimana pandainya Aryssa pandai menyimpan rahsia daripada orang lain termasuk sahabat baiknya, Wani. Padahal, Wani adalah sahabat Aryssa sejak zaman persekolahan.

Aryssa juga pandai menyimpan rahsia dirinya yang menyamar sebagai Syarina Wirdayu daripada pengetahuan Fizal. Sekiranya Wani tidak membocorkan rahsia tersebut, Fizal tidak akan mengetahuinya. Jadinya, pembaca tertunggu-tunggu bagaimana rahsia penyamaran Aryssa akan terbongkar dan apa akan berlaku apabila Fizal mengetahuinya.


v. Watak yang mantap
Watak Aryssa, Fizal dan Wani telah dibina dengan mantap. Penulis telah membina watak-watak ini sebagai watak yang tetap ada paksinya, iaitu Islam, berbudaya Melayu yang menghormati orang tua dan mempunyai pendirian sendiri. Watak yang mantap membolehkan perjalanan cerita lebih menyakinkan. Pembaca dapat menggambarkan kesemua watak secara keseluruhan dan lebih hidup secara sendirian, bukannya digerakkan oleh penulis. Gambaran inilah yang memantapkan watak.

Watak Aryssa contohnya, walaupun digambarkan sebagai seorang perempuan yang bertingkahlaku seperti lelaki, namun pemikiran, budaya, cara hidup masih lagi berlandaskan Islam yang menolak hubungan sejenis. Baginya, perkara yang bertentangan dengan Islam perlu dihindari. Berdasarkan perwatakan dan pemikirannya yang sebegitu, memberi gambaran kepada pembaca yang watak ini mempunyai identiti yang tersendiri. Penulis tidak memaksa watak ini mengikut kehendak atau ideologi penulis sahaja tetapi membiarkan perwatakannya sebagai gambaran naluri, pemikiran dan jatidiri Aryssa. Umpamanya, Aryssa melayan mak cik Salina dengan baik kerana hormatkan orang tua, apalagi sahabat ibunya. Walaupun hakikatnya, dia tidak sukakan Fizal.


Apa yang tak best “Kasih Aryssa”

i. Tangkap leleh. Kau dah buat aku bazirkan air matalah, Dina. Benci betul!
Tak best kat sini bukannya bermaksud tak bagus, hanyalah buatkan naluri seorang pembaca rasa tersentuh. Bazirkan air mata aku je (sesekali cuci mata apa salahnya...hu hu hu). Sebenarnya, apabila seseorang penulis berjaya buatkan pembaca terikut-ikut emosi semasa membaca novel, ianya dalah sesuatu yang sangat baik. Sebabnya, itu menandakan novel berkenaan berkesan. Pembaca mampu merasai, menghayati setiap emosi yang ada. Kalau pembaca ketawa, maknanya perkara lucu yang dipaparkan itu berjaya mencuit rasa lucu pembaca. Bila pembaca menangis, maknanya pembaca turut bersedih dan simpati dengan situasi berkenaan. Ini menggambarkan penulis dah berjaya menawan hati pembaca.

Kalau situasi lucu yang penulis gambarkan dalam novel, tetapi pembaca tidak mampu tersenyumpun, maknanya penulis kurang berjaya. Apalagi kalau mood sedih yang ditulis tetapi pembaca ketawa gelihati. Maknannya memang penulis itu perlukan ilmu psikologi yang lebih mantap. Jadinya, apabila mood sedih yang Mardina Mohd Jamil lukiskan dalam novel “Kasih Aryssa” berjaya membuatkan pembaca menangis dan terharu, sudah pastilah memberi maksud yang sebahagian daripada novel ini telah berjaya menawan hati pembaca.

Kasihan air mata aku, telah dibazirkan...(hu hu hu)

ii. Bahasa: ada masa bahasa yang digunakan tergantung sifatnya.

Bahasa menjadi perantara yang sangat penting dalam sesebuah penulisan. Melalui bahasalah penulis mampu menterjemahkan perasaan, mengemukakan emosi, menyerlahkan pemikirannya. Kekuatan masej yang dikemukakan juga dapat dimengertikan melalui penggunaan bahasa. Tanpa penggunaan bahasa yang menarik, tepat dan pemilihan kata yang sesuai, sudah pasti akan berlaku kekeliruan. Sudah pasti juga tidak mampu menonjolkan agenda penulis dalam karya.

Sastera kreatif mempunyai mempunyai lesen yang besar dari sudut bahasa. Maknanya, penulis bebas mengolah bahasa mengikut citarasanya sendiri. Maknanya juga, penulis boleh tunggang terbalikkan bahasanya sesuka hati mengikut keperluan. walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bermakna penulis boleh menggunakan bahasa, ayat atau sengaja menonggang terbalikkan bahasa mengikut kehendak hatinya tanpa alasan yang kukuh. Paling-paling tidakpun bersandarkan gaya penulisan penulisnya. Namun, kalau sekiranya alasan “gaya penulisan” yang digunakan sebagai lesen kebebasan itu, sudah pasti pula berlaku keseragaman penulisan dari awal hingga akhir.

Rahman Shaari dalam dua novelnya, novel Burok dan (sebuah lagi aku dah lupa daaaaa) telah menggunakan terlalu banyak kesalahan ejaan, tanda baca, tatabahasa dan sebagainya berkaitan bahasa kerana memprotes tentang penggunaan bahasa yang salah dalam masyarakat Malaysia. Jadinya, itu adalah salah satu cara atau starategi Rahman Shaari kemukakan protes. Bermakna, semua kesalahan dan kesilapan yang disengajakan itu perlu diterima. Tidak salah. Namun, sekiranya penulis menulis tentang hal yang lain, tanpa tujuan berkaitan bahasa, atau tiada apa-apa maksud pun berkaitan bahasa, makanya...adalah terlebih baik elakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak sempurna dalam tulisan.

Mardina Mohd Jamil dalam “Kasih Aryssa” menggunakan ayat yang sempurna secara keseluruhannya. Menarik, mantap, indah dan ada masanya membuai perasaan. Namun begitu, ada waktu-waktunya penulis ini “terbabas” juga dengan bahasa yang tidak gratis. Sekalipun masih lagi tidak dianggap salah kerana karya sastera ada lesen kebebasan yang besar itu, namun, sedikit sebanyak agak mencacatkan. Sebabnya, ia berlaku di beberapa tempat sahaja. Pada bahagian-bahagian lain, tidak ditemui. Ini bermakna, semasa proses editing, penulis terlepas pandang hal seperti ini (Aku tahu Dina, kau memang kejar waktu untuk hantar pada masa tu, sebab itulah boleh terlepas pandang. Untuk novel akan datang, moga lebih hati-hati).

Contoh 1:
Kemudian menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi. Tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting. (hal. 51)

Cadangan:
Dia (mungkin juga boleh letak nama Aryssa) menunggu. Dia berkira-kira mahu tidur sebentar tadi, tetapi rasanya sudah lama tidak berchatting.


Jika di internet, kadang-kadang dia keliru dengan nada yang harus dibaca. Sama ada apa yang ditaip itu berunsur marah atau sebaliknya. (ayat ni tak gramatis. Boleh diubahsuai dengan macam-macam cara)
Tetapi semenjak dia mengenali YM, orang yang sering membuatkannya ketawa adalah si tenuk_hensem. (hal 52)

Mungkin juga ada cara lain yang lagi baik dari cadangan ini.

Kalaupun penulisan kreatif ada lesen besar untuk “menyalahkan” bahasa, namun hakikatnya, apabila kita sering menggunakan perkataan atau bahasa yang salah, lama kelamaan perkara yang salah itu dianggap betul. Maknanya, untuk memartabatkan bahasa Melayu, penulis perlu gunakan bahasa yang betul. Secara tidak langsung penulis telah mendidik pembaca tentang penggunaan bahasa yang betul. Hal sebegini perlu ditanam dalam diri setiap penulis kerana mereka antara agen yang akan memartabatkan bahasa Melayu.


Anugerah Bintang
Novel “Kasih Aryssa” aku bagi 8 bintang daripada 10 bintang yang ada di langit. Sebagai novel sulung, pencapaiannya memang baik. Kira macam dah sempurnalah, walaupun masih boleh ditambah lagi mutunya di sana sini. Tahniah.


i. Tambah konflik, suspen,
Membaca novel sama seperti menonton telenovella. Semakin banyak konflik dicipta, semakin baik dan turun naik plotnya, semakin banyak jugalah suspen yang akan ditemui. Memandangkan “Kasih Aryssa” adalah novel pertama Mardina Mohd Jamil, sudah pastilah konflik, suspen, turun naik plotnya tidak sebanyak telenovella kat TV atau macam drama Spa Q.

Semasa tulis manuskripnya, penulis akan rasa dah tebal sangat dah (double spesing dan diprint sebelah halaman sahaja). Namun, selepas dicetak, barulah sedar itu belum begitu tebal. Jadinya, untuk novel akan datang, dah pasti Dina boleh agak berapa banyak halaman atau berapa tebal yang dia mahukan. Menambah halaman atau ketebalan novel bermakna menambah plot, cerita, konflik dan pengisian di dalamnya. Suspen demi suspen yang ada dalam novel buatkan pembaca tidak sabar untuk menyudahkan pembacaan, kemudiannya rasa puas dengan penyelesaian. Walau bagaimanapun, penulis juga perlu pandai menyembunyikan penyelesaian dan suspen itu. Ia seakan perang psikologi antara pembaca dan pengarang.

Pengarang perlu tahu mengagak apa yang pembaca fikirkan. Berdasarkan itu, penulis akan cuba lencongkan hal itu (apa yang pembaca agak agar tidak sama dengan tebakan pembaca) hingga buatkan pembaca terkejut kerana anggapannya tidak benar. Suspen sebegini memang digemari pembaca, namun pada masa yang sama menggugah pengarang. Cara sebegini biasanya ditemui dalam novel berbentuk penyiasatan. Peminat Ramlee Awang Murshid mesti lebih tahu tentang tektik ini. Hal ini akan menyebabkan pembaca rasa seronok. Pembaca tahu, penulis berkenaan sengaja bermain-main dengan pembaca.

ii. Isu-isu semasa
“Kasih Aryssa” memang dah kemukakan isu semasa yang terdapat di sekeliling kita pada masa ini. Syabas, inspektor Shahab!

Bila nak tambah konflik dan suspen, lebih banyak isu semasa dari persekitaran boleh disisipkan seperti PPSMI, pengangguran, ragut, rempit, dadah, GRO, buang bayi, pelacur kelas atasan, gejala sosial, penipuan siber, mangsa ah long, pengabaian warga tua, dan banyak lagilah. Semua benda itu pula boleh dilihat dari sisi positif dan negatif. Tidak semestinya apa yang ditulis itu perlu baru seratus peratus, boleh juga isu itu di perbaharui mengikut situasi semasa.

Kisah Si Tanggang umpamanya, bukan sahaja berlaku pada zaman dahulu. Dalam situasi yang berbeza, Tanggang wujud setiap masa. Anak lulusan universiti yang agung mencipta pelbagai penemuan atau menjadi jutawan pun ramai yang derhaka kepada ibu bapa. Bagaimana pula dengan sikap ibu bapa yang menuntut anak-anak menjadi Tanggang? Ataupun, apa perasaan dan trauma yang dihadapi oleh mangsa bencana seperti tsunami? Apa perasaan anak-anak yang terpaksa melihat sendiri kekejaman ahlong yang menyiksa keluarga mereka?

Terlalu banyak kan perkara yang boleh ditulis dalam dunia yang luas ini?

iii. Pelbagaikan emosi.
Mengapa filem Hindi lebih disukai untuk ditonton bermanding filem tamil? Filem Tamil lebih banyak paparkan realiti, jadi tarikan emosinya agak kurang berbanding filem Hindi yang lebih banyak memberi harapan, impian, dan menyimpan lebih banyak angan. Lebih banyak emosi di dalamnya.

Lebih banyak bauran emosi yang wujud dalam sesebuah novel akan dapat membuai lebih banyak perasaan dan harapan pembaca. Pembaca akan menangis, ketawa, dan tersenyum. Dalam novel yang sama pembaca turut rasa geram, sedih, sakit hati, lucu, dan sebagainya. Kepelbagaian emosi ini akan menyentuh hati pembaca.

Sekalipun sesebuah novel itu meletakkan kegembiraan pada klimaksnya, tidak bererti pengarang tidak boleh sisipkan kesedihan, putus asa, sakit hati, geram, benci dan dendam dalam novel yang sama. Semua perasaan itu akan menampakkan bahawa novel itu benar-benar hidup sebagaimana kehidupan seorang manusia yang berbaur emosinya juga. Ada masa kita menangis, ada masa yang lain kita ketawa. Kadang kala kita juga geram, benci, sakit hati dan kadang-kadang rindu juga. Berwarna warni kan hidup ni?

Mmmm panjang sangatlah pulak ulasan ni. Apapun, secara keseluruhannya, “Kasih Aryssa” yang ditulis Mardina Mohd Jamil memang novel yang mengagumkan. Tak percaya? Beli, kemudian baca. Aku memang percaya suatu hari nanti korang akan tertunggu-tunggu novel keduanya, kemudian novel barunya...kemudian novel barunya yang lain lagi. Dia memang penulis yang berbakat besar.

Hanya satu je pesan aku; tulislah sesuatu yang baik untuk kebaikan sahaja. Tiap apa yang kita tulis akan dapat sahamnya di akhirat. Jadi, niat kena betul. Moga-moga pengajaran baik dari apa yang kita tulis di dunia ini berikan saham yang baik untuk kita di kemudian hari.

Tuesday, June 2, 2009

Karya Sulong Dinakarya

Keluaran CESB... dapatkan di pasaran sekarang!
Ditinggal sepi sewaktu kasih mekar bersemi menyebabkan Aryssa tertunduk lesu. Terasa alam berhenti putar. Terasa bulan tiada terangnya. Bintang pun seakan tidak bersinar lagi. kejamnya pujaan hati membiarkan dia terus berharap, seolah-olah cinta iti tiada nilainya. Namun kasih Aryssa semakin menggunung tinggi hingga takkan dapat dicapai oleh insan lain yang bernama lelaki,. Pintu hati ditutup rapat sehingga tiada ruang utk yg lain bermukim namun takdir yang menyelinap masuk, takkan sesekali dapat dilingkari. di saat hati masih melawan rasa kasih yang terdampar sepi jiwa pula mendambakan sinar cinta yang semakin menghampiri. Aryssa pasrah. Kerana bagi Aryssa sekali dia mencintai, selamanya kekal dihati. Walaupun jauh di sudut hati, dia akur dengan ketentuan Ilahi.