Thursday, January 15, 2009

Aku Bukan Untukmu - 35

Lakonan dan pembohongannya berakhir jua. Hari ini hari pertama dia memulakan kerja. Anizan meletakkan topi keledarnya di atas meja. Dibelek-beleknya surat-surat yang cantik tersusun di dalam bekas bertulis ‘keluar’. Semua surat-surat bertarikh semalam dan tiada surat-surat tertunggak. Dia menarik nafas lega. Tiada kerja yang berlambak seperti yang digambarkan semasa bercuti tempoh hari.
“Hai, panjang cuti?” sapaan Fizah dibalasnya dengan jungkitan kening.
“Kaki aku sakit!” beritahunya tanpa disuruh.
“Aku tahu, Cik Izham kata kau dah call dia. Kau jawab lah dengan dia nanti. Kau tahu, bila tahu je kau cuti lama, Cik Izham cari pengganti kau. Sekarang kau ada partner la!” terang Fizah.
“Partner? Surat bukan banyak mana pun. Buat apa nak partner, aku boleh buat sorang lah!” Anizan mengangkat kening.
Tidak sangka pekerjaannya selama ini sudah ada pengganti. Patutlah surat tiada yang bertimbun. Segala yang perlu diserah tangan tiada di atas meja. Tak mungkin Izham mahu membalas dendam hanya kerana kedegilan dia menyatakan cinta. Hilang akal.
“Mana aku tau, aku rasa dia nak pecat kau secara terhormat tak… Hah, tu bos dah datang kau tanya la sendiri!” Fizah menjungkit bahu. Dari nada suaranya, bagai sengaja nak menambahkan minyak dalam api. Anizan terus ke bilik Izham.
“Bos! Tak baikla bos buat saya macam ni! Takkan sebab hari tu bos buat camni? Saya dah tolong bos…” bentaknya bila dia sudah menutup pintu bilik itu.
“Eh, apesal awak pakai macam ni? Mana Anizan saya? Kan saya pesan jangan pakai begini lagi di pejabat!” Izham tersentak.
Anizan dihadapannya sama seperti Anizan dua minggu lepas. Nampak kasar dan nakal. Dengan kemeja kotak-kotak, seluar slack hitam dan kasut kulit. Langsung tiada ciri-ciri perempuan. Sangat berbeza.
“Takkan saya nak pegi hantar surat pakai skirt, baju kurung? Hilang akal apa?” balasnya. Walau hatinya sedikit gusar kalau dimarahi.
“Siapa suruh awak hantar surat? Sekarang awak jadi secretary saya. Kemana saya pergi awak kena ikut. Saya dah agak awak akan pakai begini, nah, saya dah belikan baju yang sesuai. Saya nak awak tukar sekarang!” bungkusan di tangannya dihulurkan pada Anizan.
Anizan mengambil bungkusan itu. Membukanya perlahan. Segala kelengkapan ada, baju kurung dari kain sutera cina yang lembut bewarna putih berbunga merah darah. Kasut bertumit tiga inci. Lipstik dan bedak padat. Maskara pun ada. Nasib baik tak ada bulu mata palsu. Dia gelak kecil.
-Gila, takkan aku nak tukar tiba-tiba. Apa pula kata mereka nanti. Tambahan pula mulut si Fizah tu. Silap-silap heboh satu bangunan beritahu aku mandrem Bos sendiri.
“Bos nak suruh saya pakai macam ni?” soalnya sambil tertawa kecil. Dia geleng kepala mengenangkan kesewelan Izham.
“Awak kan perempuan, jadi pakailah macam perempuan. Saya tak suka la bercinta dengan tomboy!” Izham buat muka rimas. Geram hatinya bila Anizan membahasakan dirinya, Bos.
“Tak suka, jangan bercinta!” rengus Anizan.
Dia sakit hati. Sudahlah tiba-tiba ditukarkan jawatan. Disuruh pula pakai pakaian yang dibelinya. Lepas itu keluarkan kata-kata menyakitkan hati. Apasalahnya dia jadi tomboy? Dia tidak kacau orang. Hanya penampilan sahaja begitu sedangkan dia bukan sebenarnya berhati jantan. Hatinya lembut, malah mahu dicintai. Cuma susah mahu menerima cinta lelaki seperti Izham sahaja. Lagipun dia bukan buat hubungan sejenis macam pengkid yang homoseksual tu. Dia perempuan tulin. Cuma penampilan sahaja. Dia ada alasan untuk berpenampilan begitu.
“Fizah, masuk bilik saya kejap!” Izham menekan intercom. Memanggil Fizah.
Anizan merenung lelaki dihadapannya. Untuk apa pula lelaki itu memanggil Fizah. Bukankah perempuan itu selalu menyakitkan hatinya. Hati Anizan bertambah geram. Tak kan pula Izham mahu memberitahu Fizah tentang dia. Tentang apa yang bakal dipakainya ini.
“Yes, bos!” Fizah dengan muka membodek masuk tanpa salam.
“Mulai hari ini, Anizan saya lantik jadi secretary saya. Memandangkan Zaharah akan cuti bersalin tak lama lagi, kerja awak akan bertambah, berikan tugas-tugas awak pada Anizan dan awak ambil tugas-tugas Zaharah. Mulai hari ini awak ajar dia buat kerja,” tegas Izham.
“Hah? Ijan jadi secretary bos? Biar benar bos… takkan secretary pakai begini?” Fizah mencebikkan bibirnya. Memandang Anizan yang berpakaian seperti lelaki.
“Apesal dengan pakaian aku?” Anizan mengepal penumbuk.
“Tak sesuai!” ejek Fizah.
“Kalau tak sesuai kenapa? Apa masalah awak? Dia nak pakai apa pun… awak peduli apa? Keputusan saya muktamad. Segala surat menyurat tidak dilayan!” terang Izham. Geram melihat mimic muka Fizah mengejek Anizan. Kalau dia tahu Anizan bakal isteri Izham, mahu dia meraung guling-guling.
“Tak de la bos. Tiba-tiba je Ijan jadi secretary cam tak lojik la… ini mesti ada udang di sebalik mi ni,” Fizah mencebik. Anizan yang mendengarnya mencerunkan mata. Marah dengan cebikan itu. Terasa dirinya diperlekehkan.
-Ingat aku tak boleh jadi secretary ke?
“Awak tak tahu? Dia ni bakal peguam. Dia tengah ambil Degree in Law kat Kemayan College! Jangan pandang sebelah mata kat dia!” Izham menegakkan badan. Dia terasa marah bila Fizah seperti memperlekehkan kekasih hatinya. Bak kata orang cubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Fizah tergamam. Ijazah Undang-Undang? Tidak sangka tomboy macam Anizan ini mempunyai latar belakang akademik yang baik. Sedangkan dia cuma ada Sijil SPM.
“Oh ye ke?” Fizah merenung Anizan. Tetapi gadis itu diam tanpa reaksi. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak.
“Tak pe la Bos, saya keluar dulu!” pinta Anizan.
Tidak sangka mulut Izham yang akan membuka rahsia itu. Tetapi dia tidak kisah. Sekurang-kurangnya dia tidak meninggi diri. Dia belajar untuk memperbaiki diri bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Anizan berlalu meninggalkan mereka. Dia terpaksa memakai pakaian yang dibeli Izham. Benar kata Fizah, takkan dia mahu berpakaian seperi lelaki sedangkan dia seorang setiausaha perempuan. Sampai di tandas, dia merenung kurung sutera itu. Memang cantik. Bunga-bunga kecil bewarna merah darah di kelilingi daun-daun kecil bewarna hijau dan kuning. Cantik sungguh baju itu. Anizan memakainya. Selesa. Baju kurung itu sesuai dengan susuknya. Pandai sungguh Izham mencari ukuran.
Selesai memakai sedikit bedak dan mencalit sedikit lipstick, dia keluar. Terserempak Fizah. Mata gadis itu terbeliak. Pelik melihat Anizan dalam pakaian perempuan.
“Kau cuti hari tu cari bomoh nak mandrem bos ye? Sampai baju pun dia yang belikan?” sindir Fizah semasa mereka berselisih.
“Mana kau tahu? Aku guna bomoh Siam tau!” bisik Anizan.
Hatinya geram dengan tohmahan Fizah. Tetapi dia tidak akan berdiam menerima sindiran itu. Biarlah Fizah mahu mengesyaki sesuatu. Dia tahu dia tidak bersalah. Dia tidak pernah melakukan perkara syirik. Apa lagi nak membomohkan Bos sendiri. Fizah terus berlalu. Marah. Anizan tersenyum. Dia tahu, selepas ini pasti namanya bakal hangat diperbincangkan di warung depan pejabat mereka. Boleh dikatakan satu bangunan pejabat ini mengenali Fizah. Apa sahaja gossip terbaru, pasti keluar dari bibir gadis itu. Nampak sahaja macam pendiam, tetapi kepoh macam Mami Jarum.

Wednesday, January 14, 2009

Aku Bukan Untukmu - 34

Anizan menekan off dibutang telefon bimbit. Perasaan geram dan marah berlumba dalam hati. Geram kerana kata-kata Izham tidak pernah lembut. Dua puluh empat jam nak membentak. Kasar. Macam itu nak jadi kekasih orang. Anizan merungut sendiri.
-Sudahlah tu main paksa-paksa je orang. Suruh cintakan dia. Suka hati akulah nak cintakan siapa. Dia pandai-pandai nak bentuk hidup aku. Sudah lah janji tak tepati. Kata nak balik semalam tapi tak balik. Ada kerja konon. Entah-entah sibuk ‘kerja’ dengan anak mat saleh celup tu. Bukan boleh percaya sangat.
“Izham yang call ye?” soal Izlan. Lembut meresap otak Anizan.
“Hmmm…” balasnya.
Malas mahu berbincang tentang lelaki ego macam Izham. Bila depan-depan kemain lagi, sayang lah cintalah. Bila cakap dalam telefon nak marah-marah.
“Dia marah?” pertanyaan Izlan membuatkannya menoleh.
“Mana awak tahu?” soalnya hairan.
“Muka awak yang cerita pada saya,” selamba sahaja jawapannya.
-Muka aku? Nampak sangat ke?
“Takde la, saya lapar la… muka saya kalau lapar memang macam ni! Macam nak telan orang. Tu tanda saya lapar la tu!”
Dia mengubah topik. Sengaja tidak mahu memanjangkan kemarahan. Memang rasa macam mahu telan orang. Kalau Izham ada di depan mata. Memang sah-sah kena kunyah sikit-sikit. Geram tidak terkata.
Terjungkit sedikit senyuman di bibir Izlan. Terbayang bagaimana Izham memarahi Anizan. Muncung gadis itu sudah menceritakan segalanya. Dia geleng kepala. Kadang-kadang perangai Izham memang kebudak-budakan. Kaki cemburu.
“Sudahlah tu, jangan masam-masam muka. Nanti Izham lari!” usik Izlan. Anizan menjeling.
Lelaki ini berguraukah? Kena ketawa ke ni? soalnya dalam hati. Tidak pasti sama sekali sama ada Izlan bergurau atau hanya bercakap-cakap kosong. Mukanya langsung tiada reaksi. Sekali lagi telefon berbunyi.
“Hello! Awak nak apa?” soalnya marah-marah. Kacau daun orang nak bersiar-siar, getusnya.
“Nak awak!” tawa Izham melapangkan dada. Tapi dia tidak mahu terus terperasan.
“Giler!”
“Sayang, balik rumah cepat ye. Malam ni abang balik tau!” beritahu lelaki itu. Anizan merengus.
“Iyelah tu. Berapa kali awak janji? Berapa kali awak mungkir? Bila orang keluar awak marah-marah. Tolonglah, jangan nak kontrol-kontrol saya,” pinta Anizan. Jemu dengan sikap Izham. Itu baru tidak sampai dua minggu mereka rapat dia sudah dilanda jemu. Kalau dua bulan, dia tidak dapat gambarkan.
“Sayang marah ye. Sorry la sayang. Abang janji malam ni abang balik! Balik cepat ye, cakap pada Izlan, bawak kereta elok-elok,” pesannya.
Anizan menghela nafas. Menjeling reaksi Izlan di sebelahnya. Lelaki itu tidak menunjukkan ekpressi apa-apa. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya di jalan raya. Pemandu yang baik. Jadi tidak perlu Anizan menyampaikan pesanan Izham.
“Ok lah! Saya nak ajak Izlan pergi tengok laut. Saya tak pernah tengok laut!” jawab Anizan sengaja menambahkan bimbang di hati lelaki itu.
“Laut? Awak nak pergi mana? Pangkor? Mana sempat nak balik hari ini… Jangan nak mengada. Awak balik je. Esok saya bawak pergi tengok laut! Saya serius ni Anizan, kalau awak tak dengar cakap saya, nanti saya-“
“Kenapa? Nak potong gaji? Potonglah Encik Izham… awak kan bos. Buatlah sesuka hati awak! Saya ni takde perasaan...” lirih saja suara Anizan memotong kata-kata Izham. Dia sudah tahu apa yang bakal terkeluar dari mulut lelaki itu. Segalanya bagai menghiris hati. Dia terus mematikan talian.
Suasana sunyi seketika. Izlan menjeling gadis disebelahnya. Kasihan. Kerana kasih sayang Izham dia menderita. Dia faham sangat dengan Izham. Kata-katanya memang kadang-kadang menjengkelkan. Dia juga hairan bagaimana ada perempuan yang boleh bertahan dengan lelaki seperti Izham.
“Kenapa tak bagi saya saja cakap dengn Izham?” soalnya bila mereka sudah berhenti di hadapan sebuah restoran.
“Takkan kerana saya awak nak bertekak dengan abang sendiri!” jawab Anizan.
“Kenapa saya nak bertekak pula. Saya bukan nak merampas hak dia!” terang Izlan bersahaja.
“Saya bukan hak dia lagi!” tegas Anizan.

Aku Bukan Untukmu - 33

Izham mundar-mandir dalam biliknya. Hatinya rasa sebal sejak mendapat tahu Anizan keluar dengan Izlan. Pagi-pagi tadi lapang dadanya untuk berbual dengan Anizan. Bangun saja dari tidur terus dia mencapai telefon. Hajat hati mahu berbual dengan pujaan hati barunya itu. Namun suara umi yang menerjah telinga. Memberitahu berita panas untuknya.
“Aniz keluar dengan Izlan. Umi yang suruh, lagipun Aniz tu bosan tinggal di rumah, biarlah Izlan bawa dia jalan-jalan!” suara umi yang lembut memberitahu bagaikan selumbar menusuk hati. Pedih.
“Erm, tak pe la umi, nanti Ham call Aniz! Assalamualaikum!” pantas dia lupa bertanyakan khabar umi. Perasaannya bagai dipalu. Jantungnya bagai dirobek. Cintakah ini?
“Fizah!” jeritnya tiba-tiba. Selama ini dia tidak ambil tahu apa nombor telefon Anizan. Beberapa bulan Anizan bekerja dia langsung tidak ambil peduli tentang gadis itu. Namun sejak seminggu lalu hatinya dipagut rasa bila teringatkan Anizan. Segalanya tentang Anizan adalah nyawa baginya.
“Ye! Cik Izham!” Fizah segera datang, membawa pen dan buku nota. Takut-takut majikan itu mahu memesan apa-apa.
“Apa nombor telefon Anizan?” soalnya lembut. Fizah segera membuka handphonenya, dia juga kadangkala lupa dengan nombor telefon itu.
“Cik Izham nak saya call sekarang?”
“Tak payah, saya nak cakap sendiri dengan dia!” tegasnya.
Selepas sahaja bayang Fizah hilang. Izham menutup pintu bilik. Nombor yang diberi Fizah didail. Dia menekan Bluetooth.
“Hello! Awak di mana ni? Izlan bawa awak pergi mana?” bertalu soalan yang keluar dari bibirnya. Aura cemburu menyelinap ke seluruh tubuh.
“Saya tengah dalam perjalanan pergi Ipoh. Kenapa?” soal gadis itu, lurus.
“Kenapa awak tanya? Tahu tak, saya kat sini risaukan awak? Kenapa tak tunggu saya je yang bawa awak jalan-jalan. Bukan saya tak boleh bawa awak pun!” bentak Izham. Ada nada marah.
“Alah, takpe. Saya ikut Izlan dulu, esok-esok saya ikut awak pula!” jawab gadis itu.
“Izlan tengah buat apa?” tanyanya ingin tahu.
“Tengah pegang-”
“Tangan awak?” pintasnya bila mendengar jawapan Anizan.
“Amboi, kalau saya suruh salam saya, awak kata haram. Awak jangan nak menggatal ye. Lepaskan tangan awak dari tangan dia. Saya cemburu tau. Pandai-pandai dia je nak pegang tangan awak,” bebelnya lagi.
-Bukan main lagi diorang. Main pegang-pegang tangan dalam kereta. Dah la tu berdua-duaan pula. Entah apa akan berlaku bukannya boleh harap sangat Izlan tu.
“Ey… hello, pakcik dah habis membebel? Apa yang awak merepek ni? Izlan tengah pegang stereng la. Buat apa pula nak pegang tangan saya?” jawab gadis itu dalam tawa.
-Nak mengenakan aku la tu. Jaga kau Anizan, bila aku jumpa kau, tahulah apa aku nak buat.
“Oh, yeke? Awak jangan duduk dekat-dekat sangat dengan Izlan. Nanti dia jatuh cinta dengan awak baru tahu. Saya tak mahu jadi abang ipar awak!” tegasnya. Hationya sudah tidak keruan. Mahu saja dia memandu ke Perak hari ini untuk bertemu Anizan. Takut gadis pujaannya itu disambar adiknya sendiri.
“Saya tak duduk dekat-dekat. Saya berdiri dekat-dekat je boleh tak?” gurauan gadis itu tidak langsung membuatkan dia ketawa.
“Tak boleh! Kan saya kata, saya taknak jadi abang ipar awak!” tekannya lagi.
“Habis awak nak jadi siapa?”
“Saya nak jadi kekasih awak!” ucapnya perlahan. Bimbang juga didengar pekerja lain.
“Tak boleh!” jawab gadis itu lagi. Izham mengetap bibir. Geram dengan Anizan. Kalau sekarang gadis comel itu ada di depan mata, pasti sudah merah hidung gadis itu di picitnya.
“Saya tak peduli!”
“Saya peduli apa?” gadis itu bagai mencabarnya
“Saya takkan lepaskan awak. Saya sayang awak!” nada suara masih lagi keras. Dia mahu Anizan faham kata-katanya. Dia mahu Anizan setuju dengan perasaannya. Dia tidak kisah siapa pun gadis itu yang penting hatinya kini milik Anizan. Dan Anizan adalah haknya.
“Iyelah, sebab awak bos, awak ambil la semua yang awak mahu!” akhirnya gadis itu mengalah. Dia senyum puas. Terasa kemenangan bakal dimiliki. Hati Anizan akan dijaganya nanti.
“Jaga diri ye sayang…. I love you!” ucapnya beserta bunyi kucupan kecil. Dia menekan off di telefon bimbitnya. Dia senyum sendiri. Izham tahu gadis itu cuma mahu menduganya. Tak mungkin gadis itu menolak cintanya. Izham punya segala-gala, rupa, kerjaya, bukankah itu asset yang berharga untuk memiliki hati seorang perempuan. Dan yang pasti suatu hari nanti Anizan akan mengalah.

Aku Bukan Untukmu - 32

Selepas muazin melaungkan azan subuh tadi dia sudah bangun. Kakinya sudah sembuh. Walau tidak seratus peratus. Namun dia sudah mampu menolong umi di dapur dan halaman siang semalam. Izham tidak jadi balik hari ini, katanya ada hal yang tidak dapat dielakkan. Mungkin lagi dua hari baru dia akan balik. Anizan sudah tidak kisah. Walau pada mulanya agak sebak bila mendengarnya. Namun dia harus terima. Lagipun Hajah Saniyah melayannya baik.
Terdengar suara umi mengalunkan ayat suci al-Quran. Dia terasa ingin menangis. Terlihat dalam dirinya yang selalu terlupakan untuk membaca kalimah-kalimah suci Allah. Solatnya juga sering terbolos. Tidak pernah cukup lima waktu. Alhamdulillah, semenjak tinggal di rumah ini membuatkan dia sayang untuk meninggalkan solat. Banyak hikmahnya dia tinggal di sini.
Dia tersentak bila mendengar derapan kaki menaiki tangga. Mungkin Izlan sudah pulang dari surau. Anizan kemudian menjenguk dapur. Melihat kalau-kalau umi sudah memulakan kerja dapur. Ternyata wanita itu sudah mula memasak sarapan.
“Kaki dah okey?” soal Izlan. Anizan mengangguk. Dia terasa malu dihadapan lelaki itu. Dia tahu lelaki itu asyik memerhatikannya. Atau dia yang selalu perasan.
“Awak tak kerja ke?” soalnya pula. Sekadar mahu berbalas soal. Bimbang dikatakan sombong nanti.
“Kedai sendiri, hari ini saya cuti. Kalau awak nak jalan-jalan boleh saya bawakan. Tak lama lagi awak nak balik KL. Izham pun tak sempat nak bawa awak jalan-jalan!” panjang lebar pula pelawaan lelaki itu. Anizan agak terkejut dengan ajakan itu. Tapi memang sangat merugikan kalau ke tempat orang tetapi tidak melawat atau berjalan-jalan.
“Nanti la, saya tanya umi dulu. Tak elok pula kalau kita jalan berdua aje kan?” ucapnya menunjuk sopan.
Memang tidak manis kalau pergi berdua. Tapi dalam hatinya alangkah bahagianya dapat pergi berdua. Anizan menguntum senyum. Tidak pernah menyangka lelaki itu akan mempelawa ke mana-mana. Kalau Izham tahu, pasti dia cemburu. Sedangkan berlaga pandangan pun membuatkan wajah majikannya itu beriak iri. Inikan pula kalau dia tahu Izlan mahu membawa bakal isterinya keluar. Pasti dia marah.
- Biar dia marah. Siapa suruh tinggalkan aku lama-lama? Siapa suruh dia tinggalkan aku seorang. Sedangkan dia di sana. Mana tahu entah-entah dia berjumpa semula dengan Sofea, sebab itu dia tak mahu balik.
Anizan menelan liur. Sofea? Adakah dia juga cemburu? Entah mengapa terasa merajuk benar hatinya bila Izham memberitahu dia tidak jadi pulang. Mula terbayang di mata Izham bertemu Sofea. Bergurau, dan berpelukan. Semua itu terbayang tiba-tiba. Tidak diminta. Keliru. Tidak mungkin dia cemburu. Tidak mungkin dia jatuh cinta dengan Izham. Cinta tidak akan datang dalam hanya beberapa hari. Dia tidak percaya.

Tidak sangka umi benarkan dia mengikut Izlan. Umi sendiri tidak mahu ikut. Dia sudah tidak betah untuk berjalan-jalan. Lututnya selalu sengal-sengal. Puas Anizan memujuk.
“Nanti kalau umi sakit lutut malam nanti, saya picitkan,” pujuk Anizan lagi. Sudah bermacam cara dia memujuk Hajah Saniyah tetapi wanita itu masih menggeleng kepala. Malu juga dia mahu berjalan-jalan dengan Izlan.
“Isk, tak apa, Aniz pergi je dengan Izlan. Lagipun kesian kat Aniz, datang sini sejak hari pertama dah sakit kaki. Aniz pergi dengan Lan, dia boleh bawa jalan-jalan. Umi tak larat. Kau orang muda lagi. Umi ni dah tua, dah puas pun jalan-jalan,” terang Hajah Saniyah dalam senyuman.
Dia tahu anak gadis itu ikhlas memujuknya. Dia juga faham kehendak anak gadis itu untuk keluar. Dia percaya juga pada Izlan. Anak itu tidak akan mengapa-apakan bakal kakak iparnya.
“Umi memang begitu Aniz, susah nak diajak berjalan,” pendek saja Izlan bersuara.
“Lan, jaga Aniz baik2!” pesan umi. Semasa mereka bersalaman. Izlan hanya tersenyum.
Selepas sarapan tadi mereka mula bertolak. Anizan tidak tahu ke mana arahnya. Yang pasti dia hanya mengikut. Izlan yang membawa ke sana sini.
Destinasi pertama mereka ke Muzium Kapal Korek. Pertama kali dalam hidupnya melihat Kapal Korek. Besar tak terkata. Baru dia tahu fungsi-fungsi kapal korek. Itu pun Izlan yang jadi tukang cerita. Kagum juga dia dengan lelaki itu yang tahu serba serbi tentang perkara yang ada dalam negeri kelahiranya. Macam kelakar pula, melawat muzium. Macam budak sekolah. Buat lawatan sambil belajar. Dia ketawa sendiri. Tetapi memang dia kagum dengan satu-satunya kapal korek bijih timah yang masih wujud di Malaysia. Selepas penat bergambar Izlan mengajaknya ke tempat lain.
“Awak kata hari tu awak keje dispatch ye!” soal Izlan tiba-tiba. Nampak sangat dia masih tertanya-tanya apa pekerjaan sebenar Anizan.
“Iye! Saya kerja dispatch di pejabat abang awak. Kenapa?” Anizan menoleh. Memang kalau dilihat dari gayanya yang terkini, macam tidak masuk akal dengan jawatan yang disandangnya itu. Anizan tersenyum sendiri.
“Naik motorsikal?” soal Izlan lagi.
-Aduh, apahal mamat ni soalan macam polis. Tentulah naik motorsikal takkan aku deliver surat naik jet pejuang kot.
“Tak, naik basikal! Abang awak sediakan basikal untuk saya hantar surat!” guraunya ketawa kecil.
“Oh ye ke! Naik basikal rupanya. Saya ingat naik motorsikal…” perlahan suara Izlan. Anizan tercengang seketika. – Takkan dia percaya cakap aku? Biar benar mamat ni. Lurusnya!
“Awak percaya?” soalnya pula kehairanan.
“Dah awak cakap macam tu, saya percaya la. Ada lojiknya juga kalau hantar surat naik basikal kan. Lagipun tengok gaya awak ni, takkan awak minah rempit kot?” katanya tanpa reaksi.
“Hello! Tak semestinya kalau naik motorsikal tu minah or mat rempit!” Anizan cuba mempertahankan diri. Tidak layak Izlan memberi tohmahan begitu kepadanya.
“Sorry, saya bergurau!” pohonnya.
-Bergurau? Tak nampak pun mukanya macam bergurau. Betapa lainnya sikap lelaki ini dengan kembarnya. Izlan nampak sangat tidak mesra. Bergurau tapi tidak ketawa. Bergurau apa kalau tak kelakar.
“Oh, bergurau ye. Ok!” Hati Anizan ketawa pada masa itu. Kelakar. Ye, lelaki disebelahnya sedang bergurau tanpa perasaan. Lelaki ini ada masalah.

Sunday, January 11, 2009

Aku Bukan Untukmu - 31

“Abang pergi dulu ye! Jangan nangis-nangis… jangan nakal-nakal. Dengar cakap umi!” pesan Izham seperti gadis di hadapannya itu kanak-kanak.
Tangannya di tepuk-tepuk di pipi Anizan. Ingin sahaja Anizan menepis. Tapi kerana umi ada di belakang mereka membuatkan dia merelakan saja kekasih lakonan itu berbuat sesuka hati. Anizan tersenyum tawar. Dia membantu Izham memasukkan beg kerja ke dalam kereta.
“Saya tahu lah!” ucapnya pendek.
Rimas diperlakukan gaya anak kecil. Dia menangis bukan kerana sedih ditinggalkan. Dia sekadar takut kalau-kalau diberi ujian lagi. Tidak sanggup untuk menipu wanita yang begitu baik terhadapnya.
Izham sudah menghidupkan enjin kereta. Dia menghulur tangan. Gaya menyuruh Anizan menyambutnya.
“Tak boleh, haram!” Anizan mengerling tajam.
Tangan Izham langsung tidak disambut. Izham ketawa melihat jelingan itu. Terasa hatinya terhibur melihat wajah masam Anizan. Dia tahu gadis itu merajuk. Kerana kepergiannya. Dia tahu gadis itu bakal menyimpan perasaannya saat dia tiada. Di sudut hatinya masih ada sekelumit rasa risau menerjah. Risau kalau-kalau Izlan memotong jalan. Nampak seperti adik kembarnya itu bagai berminat pada Anizan.
“Anis, mari sini kejap, nak bisik!” panggilnya, nada perlahan.
Bimbang kalau si ibu yang sedang memerhatikan mereka turut menyampuk.
“Apa?”
“Jangan main mata dengan Izlan ye! Abang jealous tau!” dia kenyit mata sambil galak tersenyum meleret.
Saat itu mata Anizan terbeliak. Tidak disangka majikannya itu cemburu.
“Suka hati saya la!” ujinya. Sekadar mahu melihat perubahan airmuka.
“Tak baik tau, awak tu bakal isteri saya!” ucap Izham. Airmukanya masih seperti tadi. Dasar mahu mengena. Mempermainkan hati. Anizan menjelir lidah. Kala itu Izham tergelak besar. Senang dengan aksi nakal gadis itu. Baginya Anizan adalah segala-galanya. Selepas menyalami Hajah Saniyah, dia pergi meninggalkan dua perempuan yang disayanginya kini. Kereta hitam metalik itu terus meluncur membelah jalan.

“Bosan?” soal satu suara.
Anizan menoleh. Memang tiada orang lain lagi, cuma ada Izlan. Hajah Saniyah di biliknya. Anizan yang sedang duduk termenung di ruang tamu. Tiada nafsu untuk berbuat apa-apa. Memang membosankan. Soalan Izlan tadi cuma dibalas anggukan.
“Kenapa tak pasang tv?” soal lelaki itu lagi.
Entah mengapa malam ini lelaki itu begitu ramah mahu menegur. Jika tidak anak muda itu selalu bersikap dingin terhadapnya.
Dia mengeluh. Tiada nafsu untuk menonton tv. Kalau di rumahnya di Kuala Lumpur, tv itu cuma bahan perhiasan, jarang sekali di tonton. Dia dan Asma sama-sama tidak suka menonton tv. Biasanya mereka berbual. Kalau tidak pun masing-masing berbual di internet. Anizan merengus. Rindu pada PCnya. Dia tidak punya notebook untuk di bawa ke sana ke mari. Cuma ada PC peribadi untuk berchating.
Baru sahaja dia mahu menoleh untuk membalas kata-kata lelaki itu, Izlan sudah hilang di balik pintu. Pasti anak muda itu menganggapnya sombong. Langsung tidak menjawab soalannya. Padahal bukan soalan yang susah.
Aduh, kenapa aku terasa kesunyian ni? Rindunya aku pada Asma. Dia merenung telefon bimbitnya. Langsung tiada panggilan dari siapa-siapa. Tiada talian. Betapa jauh ke dalam kampung ini sehingga tidak dapat talian telefon mudah alih. Cuma sesetengah talian sahaja yang boleh digunakan di sini.
“Nah!” unjukan sebuah mug yang berasap nipis membuatkannya tersentak. Tangan sasa Izlan masih mengunjukkan mug berisi koko panas berasap.
“Err, terima kasih!” teragak-agak dia menyambutnya. Di tangan kiri lelaki itu terkepit sebungkus Twisties. Lelaki itu membuka Twisties dengan cermat.
“Minumlah, saya tak letak ubat apa-apa, jangan risau!” Izlan mengangkat kening. Mengisyaratkan untuk minum air yang dibancuhnya. Anizan cuba melirikkan senyum. Dia masih terkejut dengan kebaikan lelaki dihadapannya. Anizan meniup perlahan koko panas yang berasap itu. Dengan perlahan juga dia menghirupnya. Terasa air enak itu meresap ke tengkoroknya.
“Ermm… pandai awak buat air!” pujinya, sekadar berbasa basi. Matanya melirik ke arah wajah lelaki itu waktu lelaki itu sedang merenung ke kaca televisyen. Wajah lelaki itu masih seperti tadi macam tiada perasaan.
“Awak belajar lagi?” soal lelaki itu tiba-tiba.
“iye, di kolej swasta. Institut Kemayan di Petaling Street. Ambil law,” jawabnya panjang tanpa di suruh. Hatinya berbunga bila lelaki itu mula mengambil tahu hal dirinya.
“Baguslah! Nanti boleh kerja dengan Izham… opss! Memang awak kerja dengan Izham kan?” kata-kata itu sinis menujah hati.
“Iye, tapi sebagai despacth.” Jawabnya tenang dalam geram.
“Hah? Dispatch? Izham dah gila ke bagi perempuan lemah lembut macam awak kerja dispatch?” terbeliak mata Izlan. Macam tidak sangka langsung dengan pekerjaan Anizan.
Tiba-tiba sahaja telefon di meja berdering. Izlan lantas mengangkat ganggang. Matanya merenung Anizan. Panggilan untuk gadis itu. Dengan hormatnya selepas ganggang bertukar, Izlan masuk ke bilik.
“Hello sayang!” ucap suara di sana.
“Hmmm!”
“Dah makan? Sayang tengah buat apa? Kaki dah ok?” soalan bertubi-tubi membuatkan Anizan tersenyum. Gembira sedikit bila ada yang mengambil berat.
“Dah makan, saya tengah sembang-sembang-“
“Dengan umi?” soalnya dalam nada agak curiga.
“Tak.”
“Izlan?”
“Tak.”
“Awak main-main ye… dengan siapa lagi di rumah tu?”
“Dengan awak la. Awak Tanya tengah buat apa, tengah sembang-sembang dengan awak la…” ketawa kecil pecah di hujung talian.
“Main-mainkan abang ye… nanti abang balik, abang gigit hidung tu!” tawa Izham juga pecah. Tak sangka Anizan sudah mula bergurau.
“Bila awak nak balik?” soal Anizan tiba-tiba.
“Kenapa? Rindu ye? Baru satu hari abang tak ada dah rindu!” Izham memancing reaksi.
“Tak malu, siapa yang rindu, saya tanya sebab kaki saya dah ok. Lagipun tak sanggup lagi nak jadi munafik!” tegas suara Anizan.
“Yelah, yelah! Esok abang balik, lusa kita balik KL,” beritahu Izham.
Saat itu hati Anizan melonjak kegembiraan. Dia mahu pulang semula ke Kuala Lumpur. Sudah letih mahu berpura-pura lemah lembut di depan keluarga Izham. Sudah penat. Terbayang-bayang kerjanya yang bakal berlambakan saat dia pulang nanti.

Sunday, January 4, 2009

MAAF SEKALI LAGI

Saya memohon maaf kerana tidak dapat meletakkan entri terbaru untuk novel2 saya. Ini kerana komputer di rumah saya sedang 'sakit tenat' dan sedang dirawat. Segala sambungan yang telah saya buat berada di dalam memori komputer itu. Segala kesulitan amat di kesali. Saya akan cuba menggunakan memori saya untuk menyambungnya menggunakan komputer pejabat. Maafkan saya....