Tuesday, February 24, 2009

Aku Bukan Untukmu - 40

“Tak boleh!” bentak Izham persis kanak-kanak yang tidak mahu dipujuk dengan gula-gula. Anizan mengetap bibir.

Melayan kanak-kanak berusia tiga tahun lebih senang dari melayan kerenah kanak-kanak tua seperti Izham. Mengada-ngada. Petang Ahad yang sepatutnya diisi dengan acara ulangkaji pelajaran terganggu dek kerana perangai kebudak-budakkan Izham. Dasar anak manja, getus Anizan.

“Tak boleh sudahlah!” balas Anizan, menarik muka.

Anizan terus mengemas buku-buku pelajarannya. Memasukkan ke dalam beg galas. Kemudian bangun dari bangku kayu itu. Dia bukan mahu meminta yang bukan-bukan. Cuma meminta Izham supaya menunggu sekejap sementara dia mahu menyiapkan sedikit saja nota yang disalinnya dari teman sekelasnya semalam. Kemudian barulah dia boleh mengikut kemahuan Izham untuk menonton wayang. Memang dia mahu buat di rumah. Tapi Izham yang berkeras mahu mengajaknya keluar petang-petang. Mahu menghirup udara petang konon.

Dia sudah memberi alasan. Namun lelaki itu bagaikan tidak faham keadaan, tetap datang menjemputnya. Lepas itu buat perangai. Macamlah nanti-nanti tak boleh nak jalan-jalan. Macamlah panggung wayang tu tutup pukul enam petang.

“Awak jemu dengan saya ye?” soalan cepu emas keluar dari bibir lelaki itu. Anizan mengetap bibir. Kemudian menjeling lelaki itu dengan wajah masam mencuka.

“Awak suka memaksa!” gumam Anizan. Memang itulah perkara yang merimaskannya. Dua puluh empat jam dia terasa hati. Tempoh itu juga terasa diri dibelenggu.

“Saya minta maaf!” ucap lelaki itu lirih.

Matanya menyapu wajah manis Anizan. Bukan dia sengaja mahu menyakitkan hati gadis itu. Entah kenapa, dia suka sangat kalau melihat Anizan merajuk. Comel. Dia suka memujuk. Itu habitnya sejak dulu. Memujuk perempuan tanpa menggunakan hadiah memang dia suka. Walaupun dulu dia seringnya memujuk perempuan dengan bunga. Tetapi Anizan tidak seperti itu. Cukup dengan kata ‘saya minta maaf’ ianya sudah boleh membuatkan gadis itu tersenyum. Senang dan menjimatkan. Lagipun Anizan tidak merajuk sehingga membentak. Dia cuma menarik muka dan enggan bercakap. Tidak seperti Sofea. Langsung tidak sama. Sebab itu hatinya tertarik pada gadis itu.

“Saya suka buat awak marahkan?” soal Izham lagi.

Anizan sudah mula tersenyum sumbing. Kemudian menghela nafas. Kadangkala dia tidak faham dengan kehendak Izham. Sehingga adakalanya dia rasa mahu memberontak. Meradang. Mahu lempar barang-barang di muka Izham. Tapi bila lelaki itu minta maaf, dia cair. Terus menerus membuatkannya memaafkan lelaki itu. Sekelip mata.

“Kenapa awak macam tu?” giliran Anizan pula meningkah.

“Sebab saya sayang awak! Saya suka tengok awak merajuk, suka bila tengok awak masam muka. Comel!” Izham ketawa. Kemudian mencuit hidung Anizan. Gadis itu menepis.

“Pinjam handphone!” Anizan menadah tapak tangan. Izham keliru seketika. Tanpa soal dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada gadis itu.

Anizan kemudian menarik muka empat belas. Memasamkan muka beberapa kali. Membuat memek ala-ala merajuk. Dan dia mula memfokuskan telefon bimbit Izham ke wajahnya. Klik, klik, klik! Gambar-gambar wajahnya yang bermuka masam dan seakan sedang merajuk diambil satu demi satu. Kemudian dia memberikan semula telefon bimbit itu kepada Izham.

“Nah, nanti kalau nak tengok saya marah, buka Image Folder, saya dah save. Okey, sekarang kita nak pergi mana?” Anizan terus bangun.

“Nakal!” Izham ketawa sehingga keluar air mata.

Tidak sangka Anizan mengambil gambar sendiri hanya kerana marahkan tindakannya. Lucu sekali. Kerana itu juga yang membuatkan hatinya bertambah sayangkan gadis itu. Selalu membuat sesuatu di luar jangkaan.

“Kita pergi makan kemudian tengok wayang!” kata Anizan tiba-tiba.

“No, tengok wayang dulu baru makan!” Izham membantah.

“Okey!” dengan senang hati Anizan berjalan menuju kereta.

Izham menggaru kepala. Dia sengaja mahu membantah kata-kata Anizan tadi. Supaya gadis itu menarik muka lagi. Bolehlah mereka bergaduh lagi. Rasanya sejak hampir dua bulan mereka berkawan, hampir setiap hari mereka berbalah pandangan dan pendapat. Kadangkala semua itu sengaja dimulakan Izham.

“Cepatlah!” Anizan menarik tangan Izham.

Kali ini dia tak akan terkena. Dia akan setuju apa sahaja yang dibuat oleh lelaki itu. Kini dia tahu Izham sengaja mahu menguji hatinya.
- Aku tak kisah dah, bukan cedera parah pun hati aku ni. Cuma kadang-kadang terasa mahu bermanja-manja. Bukan senang nak suruh orang pujuk free-free.

Sunday, February 22, 2009

Aku Bukan Untukmu - 39

“Kita lunch sama hari ni?” suara manja itu membuatkan Izham menoleh.

Tangannya dirangkul gadis itu. Dengan gaya yang menggoda. Izham meleraikan rangkulan itu. Rasa tidak sedap jika di pandang staf lain. Dia tersenyum tawar.

“Sorry, saya ada appointment tengah hari ni!” Izham menolak.

Gaya bahasanya dengan gadis seksi itu bertukar rentak. Dia lebih formal. Tidak lagi menggunakan perkataan biasa, honey atau baby. Baginya kini, hubungannya dengan wanita itu tidak lebih dari seorang peguam panel syarikat dan tuan punya syarikat. Itu sahaja.

“Ala, you ni, sekarang selalu mengelak dengan I. You merajuk pasal I tak mahu ikut you balik kampung ye!” lirikan manja Sofea membuatkan Izham menelan liur.
Tipulah kalau dia tidak terliur melihat gadis sehangat Sofea. Memang selepas menyayangi Anizan dia cuba melupakan Sofea. Dan proses itu berterusan sehingga kini. Terasa jelik bila mengenangkan Sofea dirangkul lelaki orang putih dulu.

“Tak, saya tak merajuk pun. Err, Joshua apa khabar? Bila you all nak kahwin?” entah kenapa soalan itu terpacul. Tapi dia sedar reaksi wajah Sofea. Terperanjat.

“Hey, baby, kenapa tanya macam tu. I dengan Joshua kawan saja! I sayangkan you tau!” rengek Sofea.

Sambil tangannya membelai rambut Izham. Izham merasakan bilik mesyuarat itu membahang. Penghawa dingin itu tidak berfungsi lagi untuknya. Kalau dia tahu Sofea mahu menggodanya semula, dia tak akan berlama-lama di bilik mesyuarat itu. Mesyuarat yang berlangsung selama satu jam dengan Tan Sri Kamil tadi sudah lima belas minit berlalu.

“Please Sofea, jangan buat macam ni. Kita dah putus, okey?!” Izham berbisik dalam tegas.

Dia perlu mengingatkan pada gadis itu. Mereka sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan. Dia tidak mahu gadis itu terus-terusan menganggapnya kekasih lagi. Dia sudah lupakan Sofea sejurus memberi hatinya kepada Anizan.

“You memang merajuk ni. I’m sorry okey! I tahu I’m wrong. I jealous about Datin Hartini. You pun tahu kan, datin tu hot. Bekas model. Mestilah I rasa tergugat! I’m sorry okey!” Sofea merayu lagi. Merimaskan.

Izham mengangkat kening. Entah kenapa gadis tinggi lampai di hadapannya ini sudah berubah tingkah. Merayunya pula. Selalunya Sofea yang suka orang menyembahnya. Mesti ada yang tidak kena, fikir Izham.

“Sorry Sofea… you terlambat!” Izham terus menepis tangan Sofea.

Kemudian dia berlalu menuju ke pintu. Malas mahu melayani gadis itu. Dia hanya mahu kan Anizan. Cintanya yang dulu terhadap Sofea sudah terkubur. Sepertimana kepercayaannya terhadap anak Tan Sri Kamil itu. Semuanya dimusnahkan oleh Sofea sendiri.

****************

Sofea menghentak kaki. Bengang dengan layanan dingin Izham. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini lelaki itu langsung tidak mahu memujuknya. Kali terakhir lelaki itu membelikan bunga untuknya kira-kira sebulan lalu. Itupun bunga yang dibawa despatch tomboy yang kurang ajar itu bermastautin di bakul sampah. Semenjak itu juga Izham langsung tidak pedulikan dia.

Mungkin benar kata-kata Mila, temannya yang pernah terserempak dengan Izham bersama seorang perempuan dia MidValley. Mila kata, budak perempuan itu seperti budak kampung. Baru belajar berfesyen.

Sofea menghempaskan diri ke sofa empuk di biliknya. Tepisan tangan Izham tadi benar-benar memalukan. Kata-kata Mila silih berganti di fikirannya. Mungkin benar Izham sudah ada penggantinya. Kerana itu lelaki itu langsung tidak perdulikan dia. Jika tidak pasti tidak cukup ayat Izham mahu memujuknya.

Kali ini Izham memang cari pasal. Tidakkah dia ingat bahawa modal permulaan untuk firma Izham itu dibiayai oleh ayahnya? Lupakah dia tentang jasa-jasa Sofea memujuk ayahnya untuk memberikan modal kepada Izham. Tidak ingatkah lelaki itu bagaimana susahnya dia mengusung Ijazah Sarjana Muda undang-undangnya ke hulu ke hilir, tetapi tiada tawaran pekerjaan untuknya. Tidakkah dia teringat semua klien yang menggunakan khidmat Izham adalah sebahagian besar klien ayah Sofea.

Sofea mengetap bibir. Sakit hati bercampur baur dengan perasaan yang sukar diungkapkan. Izham akan meninggalkan dia. Bukan. Izham sudah meninggalkannya. Kalau dia tahu siapa perempuan yang mendampingi Izham, seluruh hidup perempuan itu akan diseksanya. Sofea mencerunkan matanya. Dia harus menyiasat siapa gadis yang berani mengambil haknya. Siapa yang mahu mencabar dia.

Aku Bukan Untukmu - 38

“Assalamualaikum!” sapa suara itu.

Betul-betul ditelinga. Anizan menoleh kemudian tersenyum. Huluran bungkusan itu disambutnya.

“Kita makan sama ye!”permintaan itu membuatkan Anizan menggeleng kecil.
Dia tahu pada kala ini, semua staff tidak masuk lagi. Jam baru menunjukkan pukul 8:15 pagi. Izham juga yang memberikannya kunci untuk dia datang pejabat awal. Kebetulan hari ini tidak ada apa-apa kes di Mahkamah.

Anizan kemudian menuju ke pantri. Meletakkan dua bungkus nasi lemak di dalam pinggan. Kemudian membancuh nescafe panas dua mug. Dia sudah tahu sangat minuman kesukaan Izham, nescafe pekat, black, sweet & strong. Makanan kesukaan lelaki itu juga bagaikan sudah sebati dengannya.

Setiap pagi lelaki itu suka makan nasi lemak. Kalau tidak pun roti canai. Tidak suka hidangan American breakfast atau continental breakfast. Mc Donald lagilah di tolak mentah-mentah untuk makan tengah hari apa lagi sarapan. Izham benar-benar berselera Malaysia. Sama seperti Anizan. Kebetulan citarasa mereka serupa.

Aroma nescafe harum menerawang ke ruang pejabat. Dia menatang dulang ke bilik Izham. Sejak beberapa minggu ini hubungan mereka berjalan lancar. Dia sudah mula menerima hakikat yang lelaki itu menyintainya. Namun perhubungan itu harus dilakukan berhati-hati. Tidak mahu tersilap langkah. Dia lebih suka jika ikatan yang mereka berlandaskan keikhlasan. Bukan nafsu semata-mata.

“Sayang, awak cantik sangat hari ini,” puji Izham saat Anizan masuk.
Haruman dari wangian yang dipakai Anizan sesekali menenggelamkan bau nescafe. Dia suka haruman itu. Lembut sekali. Hari ini pula, gadisnya itu cantik sekali, memakai seluar coklat berjalur bersama blouse tangan panjang bewarna putih krim. Memang setiap hari dia merasakan Anizan cantik. Walau gadis itu cuma memakai baju kurung dari kain murah.

“Ah, awak tu, kalau saya pakai kain buruk pun awak kata cantik! Mata awak dah kena bomoh!” Anizan ketawa kecil.

Dia memang tahu sangat perangai Izham. Sentiasa mahu memuji. Sentiasa mahu mengambil hatinya. Jarang sekali lelaki itu marah-marah sekarang. Malah kalau dia buat silap, lelaki itu menegurnya dengan berhemah sekali. Walaupun ianya kadang-kadang agak merimaskan namun Anizan menerimanya.

“Bomoh siam ye!” kali ini Izham pula ketawa.

Anizan memang pandai bergurau. Kadang-kadang segala apa yang keluar dari bibir gadis itu semuanya boleh membuatkannya tersenyum sepanjang hari. Anizan tersenyum lagi. Kemudian membuka diari hitam di hadapannya. Sementara itu tangannya menghalakan nescafe panas ke bibir.

“Hari ini awak ada meeting di pejabat Tan Sri Kamil pukul 10 pagi. Kemudian ada lunch appointment dengan Encik Zakri, tentang kes pecah amanah tu, pukul satu. Pukul tiga pula, awak dengan Encik Hasrul kena jumpa Sarjan Khamis…” Anizan tunduk merenung semua yang tertulis di dalam diari Izham.

Segala macam temujanji dan mesyuarat adalah tanggungjawabnya untuk dicatit dan diberitahu kepada Izham. Izham mengangguk kecil. Nasi lemak di hadapannya sudah berkali-kali di sudu. Di sudunya sekali lagi dan dihalakan ke mulut Anizan.

“Saya ada tangan sendiri!” Anizan menolak.

Izham ketawa lagi. Itu yang disukakan tentang Anizan. Sentiasa tidak mahu perhatian lebih darinya. Anizan sangat berdikari. Segalanya mahu dibuat sendiri.

“Lunch appointment tu tak boleh batalkan ke? Saya nak lunch dengan awak hari ni. Dah seminggu saya tak dapat lunch dengan awak. Nak ajak awak dinner pun, setiap malam awak ada kelas!” ujar Izham.

Memang sudah lama mereka tidak makan tengah hari bersama. Dua minggu ini Izham amat sibuk. Setiap hari pergi ke Mahkamah. Dan kadang-kadang ke mahkamah luar daerah. Adakalanya lelaki itu tidak pulang ke pejabat.

“Tamak!” gumam Anizan tiba-tiba.

Izham mengangkat muka. Merenung wajah Anizan dengan penuh tandatanya. Tamak? Perkataan itu memang dia tidak faham.

“Kenapa pulak?” soalnya.

“Dah dapat breakfast sama, nak lunch sama pulak. Nanti bila dapat lunch sama nak dinner sama. Tamaklah tu. Kadang-kadang kita harus mendahulukan perkara yang penting. Saya ni belum lagi menjadi perkara penting dalam hidup awak. Jadi, dahulukan kerja awak!” tegas Anizan. Pandangannya memang sinis, tetapi amat bermakna.

“Siapa kata awak tak penting?” Izham sengaja mahu memancing reaksi gadis itu. Terkadang gadisnya itu lebih petah berkata-kata dalam mematahkan setiap hujahannya. Dia pasti menjadi peguam yang baik suatu masa nanti.

“Dalam hal peribadi pun saya tak penting sangat. Dalam hal pejabat, awak kena dahulukan kerja, saya ni bukan siapa-siapa okey! Saya bekerja untuk awak dan saya akan pastikan awak bekerja untuk syarikat. Nanti bila awak kahwin dengan saya, barulah saya ni punya kepentingan pada awak!”

“Oh! Ada hati nak kahwin dengan saya ye!” seloroh Izham. Saat itu wajah Anizan sudah merah merona. Malu sekali dengan kata-kata Izham itu.

“Erm, oklah. Kejap lagi staf lain sampai tak manis pula kalau dia nampak kita berdua-duaan begini,” balasnya.

Anizan terus mengemas. Dia menggumpalkan bungkusan nasi lemak dan mengangkat dulang ke pantri semula. Terasa hati juga dia dengan kata-kata Izham. Dia tahu lelaki itu bergurau. Tapi dia malu. Macam dia pula yang terhegeh-hegeh nak berkahwin dengan Izham. Kadang-kadang gurauan lelaki itu menyakitkan hati.

Izham tercengang melihat Anizan berlalu. Tahulah dia yang dia sudah membuatkan hati gadis itu tersentuh. Memang kata-katanya cuma gurauan. Tapi Anizan sukar menerima gurauan begitu. Hati Anizan sangat sensitif. Mungkin kerana dia kehilangan orang tersayang. Dan membuatkan hatinya senang terusik.

“Hai, Anizan, baru lepas sarapan dengan bos ke?” sapa Fizah. Tas tangannya di letakkan di meja. Dia kemudian mengekori Anizan ke pantri.
Anizan langsung tidak menjawab. Walaupun dia tahu Fizah sudah dapat mencium perhubungannya dengan Izham. Namun dia masih mahu menafikan. Tidak mahu makan sindiran Fizah setiap kali dia dimarah Izham. Mujur kak Zaharah sedang cuti bersalin. Kalau tidak pasti perkara itu lebih kecoh. Dulu mungkin kak Zaharah selalu menyebelahinya. Tapi kalau dia sudah tahu hubungan Anizan dengan Izham, masih mahukah Zaharah menyebelahi Anizan?

“Sejak jadi setiausaha Bos ni, kau dah menyombong dengan aku ye Ijan!” bentak Fizah.

Fizah bercekak pinggang. Merenung Anizan dengan wajah jelik. Memang dia cemburu dengan gadis itu. Dari seorang despatch tomboy yang kasar dan selalu kena marah tiba-tiba jadi setiausaha cantik yang disayangi.

Cantik? Tidaklah secantik mana, cuma gaya penampilan tu sudah bertukar. Pakai pakaian perempuan, berjalan lenggang lengguk. Berkasut tumit tinggi. Dan yang menjelikkan semua pakaian dan aksesori memang berjenama dan mahal. Haih! Kopak lah poket si Izham dibomohkan dek perempuan tomboy ni.

“Siapa yang menyombong ni?” satu suara datang dari pintu pantri. Izham menghantar mug kosong ke situ. Terdengar suara Fizah.
“Err, tak ada sesiapa!” Fizah terus keluar dari pantri.

Terkejut melihat majikannya terjengul di muka pintu. Anizan yang sedang membasuh pinggan dan mug menoleh. Kemudian tersenyum sumbing.

“Sayang merajuk ye!” Izham meletakkan mug di sinki.

Kemudian tangannya menjalar ke pinggang gadis itu. Anizan menggeleng. Kemudian meleraikan tangan Izham.

“Awak jangan buat macam ni, nanti Fizah nampak!” gumam Anizan. Takut dilihat Fizah kelakuan Izham itu. Apa pula yang akan disindirnya nanti.

“Sorry!” ucap Izham.

Sambil tangannya pantas mengelus jemari Anizan. Gadis itu memang tidak selesa diperlakukan begitu. Dia menarik tangannya.

“Mana ada saya merajuk!” nafinya perlahan.

Kemudian senyum nipis. Memang dia tidak merajuk. Tapi dia malu dengan kata-kata Izham tadi. Malu kerana dia seorang perempuan. Dia harus malu dengan kata-kata itu. Dia tidak mahu kelihatan seperti dia yang terhegeh-hegeh menghantar perasaan terhadap lelaki itu. Tidak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Aku Bukan Untukmu - 37

“Saya bukan minta awak beli saya!” tegas Anizan.

Tidak sangka, dengan cara itu Izham mahu membeli cintanya. Dia bukannya gadis yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Memang dia terima tawaran Izham untuk menjadi kekasih palsu. Bayarannya juga dia ambil. Untuk membiayai pengajian. Dan dia buat kerja itu bukan semata-mata kerana dia kelabu mata. Dan sekarang Izham mengganggapnya begitu. Menganggap yang Anizan boleh dibeli cintanya jika dia belikan sebuah kereta. Jijik sungguh cara Izham.

“Sayang salah faham!”

Izham menghela nafas. Cara ini salah, cara itu salah. Apa lagi yang mahu dia buktikan untuk memberitahu kasih sayangnya yang suci murni. Izham menekan pelipis. Pening dengan tingkah Anizan. Dia tahu kelihatan agak melampau kerana membelikan gadis itu kereta, tetapi dia buat begitu bukan kerana dia fikir Anizan metarialistik. Dia bimbangkan keselamatan gadis itu. Itu saja. Dia tidak mahu gadis itu menunggang motorsikal, boleh mengundang bahaya.

“Salah faham? Memang saya terima tawaran lima ribu tu untuk jadi kekasih palsu awak. Tapi tak bermakna saya ni pengikis… jangan anggap saya begitu!” lirih suaranya memberitahu.

Sedih bila mengingatkan lelaki yang menyatakan sayang dan cinta kepadanya menganggap dia perempuan pisau cukur. Sudah cukup sindiran rakan sepejabat menyatakan dia membomohkan Izham. Kalau mereka tahu tentang pembelian kereta ini, sudah pasti dia kenyang dengan sindiran tajam mereka setiap hari. Lelaki memang menyakitkan hati.

“Abang risaukan keselamatan awak. Itu je, bukan abang sangka awak materialistik. Abang tak pernah beranggapan begitu!” Izham menggaru-garu keningnya yang tidak gatal. Tidak tahu bagaimana mahu memberitahu gadis itu.
Cara halus sudah, cara beli barang sudah, takkan nak buat cara kasar. Naik bangunan enam belas tingkat dan ugut untuk terjun, semata-mata nak membuktikan cinta dan kasih sayangnya, begitu? Atau ambil kapak belahlah dada? Aduh memang payah mahu yakinkan Anizan. Segala usahanya gagal. Nyatakan cara romantik sudah. Berterus terang pun sudah. Takkan tak nampak lagi kejujuran aku?

“Encik Izham… kalau awak nak tunjukkan kasih sayang awak, tak semestinya dengan membeli kereta… lebih baik awak je yang jemput dan ambil saya setiap hari!” Anizan merenung tepat ke mata lelaki itu. Hah! Ini baru di namakan risaukan keselamatan. Pergi diambil pulang dijemput.

“Tapi kalau saya ke Mahkamah macam mana? Saya kena pergi awal pagi!” kali ini Izham pula bercekak pinggang sambil merenung tepat ke anak mata Anizan. Ketara kebudak-budakan cara mereka. Namun mereka tidak perduli lagi.

“Okey, kalau macam tu begini saja, awak bayarkan deposit, bulanannya saya bayar sendiri!” tegas Anizan, membalas kata-kata Izham.

“Habis, awak ingat saya nak bayarkan installment? Tolong sikit! Memang saya nak bayar deposit pun!” Izham tersenyum sinis.
Sambil matanya mengerling Anizan. Kala itu dapat dilihatnya Anizan menarik muka. Aduh! Comel sungguh kalau Anizan menarik muka empat belas begitu. Macam kanak-kanak umur empat tahun merajuk.

-Ceh! Aku mati-mati ingat dia nak bayar cash kereta yang nak dibeli nanti. Kalau aku tahu, payah aku nak bertekak membela diri. Gumamnya sendirian. Geram dengan kelakuan Izham yang keterlaluan.

“Hah, tu cakap sorang-sorang tu mengata abang le tu!” sergah Izham. Terkejut bukan kepalang lagi Anizan dengan sergahan itu.

Dia terus menuju ke barisan kereta yang dipamerkan. Malas mahu melayan lelaki itu. Makin di layan makin menjadi-jadi. Pada masa yang sama seorang jurujual berskirt singkat datang ke arah Izham. Menunjukkan beberapa kereta. Izham pula sibuk melayani jurujual yang seksi menggoda. Anizan buat tidak perduli. Sedangkan hatinya kini bagai dicengkam sesuatu. Dia pun tidak tahu apakah perasaan itu.

*******************

“Wah! Memang betul kau dapat durian runtuh!” Asma terlopong melihat Anizan pulang berkereta.
Tidak sangka rezeki kawannya itu teramat murah. Bermula saat Anizan pulang bersama majikan kacaknya itu, Asma sudah dapat lihat perubahan pada kawannya itu. Apatah lagi, masa Anizan menyalami Izham, siap tunduk cium tangan. Takkanlah, dah sampai rumah pun nak berlakonkan. Agak-agakla jugakkan. Namun, sehingga sekarang Anizan langsung tidak buka mulut untuk bercerita tentang hal itu. Bila di tanya ada sahaja topik yang dialihkan.

“Aku beli dengan duit akulah! Kereta terpakai!” tutur Anizan. Sambil menekan alarm kereta Wira Aeroback 1.6 nya itu.

“Kau kata, kau nak bayar duit kolej lumpsum! Kan lagi dua semester je…” Asma merenung ke dalam kereta.

Kagum dengan kusyen yang disalut sarung kulit bewarna hitam. Hebat benar rasanya bila kawannya yang dulu hanya punya motorsikal kapcai, sekarang sudah mampu bekereta.

“Izham akan bayarkan yuran kolej untuk aku!” ujarnya, sambil membuka kasut.

Memang pada mulanya Izham mahu membayar wang pendahuluan untuk kereta itu. Namun kerana dia menolak dan mahu menggunakan wang hadiah yang Izham berikan. Itu pun puas juga dia memujuk.
Akhirnya Izham setuju, bila dia juga setuju untuk menerima wang Izham untuk pembayaran kolej.

Semasa pulang petang tadi dia sempat menukar dulu pakaiannya di kolej. Tak mahu Asma terkena sakit jantung bila nampak dia pulang ke rumah dengan berbaju kurung sutera dan berkasut tumit tinggi. Semasa di kolej juga mujur tiada siapa yang perasan dengan kedatangannya yang memakai baju kurung. Sepantas kilat juga dia menyelinap masuk ke tandas untuk menukar baju. Hari ini juga hari pertama dia lewat.

Kalau selalunya, dia menunggang kapcainya, namun kerana hari ini dia sudah mula berkereta, dia terpaksa bersama-sama menghadapi masalah orang Kuala Lumpur.

Tuesday, February 3, 2009

Maafkan saya kalau entri ABU amat pendek. Saya sibuk tentang perkara lain, harap kawan2 bersabar. Terima kasih.

Aku Bukan Untukmu - 36

“Aniz, ikut saya,” arah Izham dengan suara tegas. Fizah yang sedang mengajar Aniz tentang job-scopenya menoleh. Hairan melihat majikan kacak itu tiba-tiba macam berselera dengan Anizan. Sedangkan selama ini budak tomboy itu macam tiada harga di mata Izham. Anizan bangun dari kerusi. Merenung Fizah sambil mengangkat kening sebagai isyarat ‘kenapa’. Fizah hanya menjungkit bahu. Anizan terus saja mengekori Izham keluar pejabat.
“Pergi mana Bos?” soal Anizan. Hatinya cuak bila mereka terus ke tempat letak kereta. Izham diam sahaja. Mungkin kerana geram dengan panggilan ‘bos’ yang terpacul dari bibir Anizan.
“Masuk!” arah Izham keras.
Dia membuka pintu kereta. Selepas Anizan masuk pintu kereta ditutup kuat. Kereta hitam itu terus keluar dari tempat letak kereta. Membelah jalanraya yang agak sesak. Anizan merenung wajah lelaki di sebelahnya. Hatinya masih berdebar, mahu kemana pula lelaki ini.
“Kita nak ke mana?” Anizan mengangkat kedua kening.
“Awak jangan risau, saya nak bawa awak beli barang je. Cantik awak pakai baju kurung ni ye sayang!” Izham senyum meleret. Tangannya mula menjalar mencari tangan Anizan. Dia mahu Anizan mengerti perasaannya. Kini segalanya hanya untuk gadis itu.
“Ish, jangan nak meraba-raba… saya jerit karang!” ugut Anizan. Tidak selesa dengan perlakuan Izham. Sejak mula lelaki itu mengaku menyintainya, tangan lelaki itu amat tidak beradab. Sering saja mencari jemarinya untuk dipaut. Sungguh tidak menyenangkan. Dia tidak selesa langsung dengan kelakuan itu. Sepertinya lelaki itu sekadar mahu mengambil kesempatan.
“Jeritlah! Ada abang kisah?” Izham ketawa.
“Ingat kelakar ke nak ketawa-ketawa?” Anizan menarik muka.
“Awak masih tak percayakan cinta saya? Apa lagi yang boleh saya buktikan yang saya cintakan awak Anizan? Saya betul-betul kalah dengan perasaan saya, sejak kenal awak!” terang lelaki itu.
Suaranya bertukar nada. Lebih serius. Anizan melemparkan pandangan keluar tingkap. Telinganya terasa panas mendengar luahan Izham. Alat penghawa dingin yang ada di dalam kereta Izham itu juga dirasakan seperti bara. Panas membahang. Entah mengapa setiap kali Izham menyuarakan perasaan cinta terhadapnya, badannya akan panas tiba-tiba. Mukanya akan terasa membahang dahulu. Malu dan marah. Tidak dinafikan adakalanya hatinya berbunga harapan tatkala Izham menelefon menyatakan rindu. Tapi selebihnya dia terasa tidak ketahuan. Tidak tahu sama ada suka atau marah atau menyampah.
“Awak tipu diri sendiri!” gumam Anizan tiba-tiba. Dia tidak mahu tertipu dengan perasaan Izham. Dia tidak pernah berasa dicintai apa lagi menyintai. Maka dia harus berhati-hati. Tidak semestinya suka membuahkan cinta, itu pandangannya.
“Sumpah sayang! Abang tak tipu, pertama kali abang melihat Aniz dalam pakaian perempuan, abang terpesona!” ikrar Izham. Tidak tahu lagi bagaimana caranya mahu membuatkan gadis itu percaya kata-katanya. Sungguh apa yang keluar dari bibirnya adalah sebenar-benarnya dari hati yang ikhlas. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan anugerah itu.
“Bos, susah saya mahu menerima ucapan cinta kalau perkara tu hanya bermula kerana perubahan saya. Cinta itu dari perasaan Bos, bukannya dari paras rupa!” tegas Anizan. Dia tidak mahu Izham terbelenggu dengan rasa yang bukan-bukan.
“Awak tak percaya dari mata turun ke hati? Dari kerana mata… yang mempunyai kuasa… ooohh!! Aku tergoda, aku tergoda terkecewa!” Izham menyanyi ala-ala R. Azmi. Anizan tergelak kecil. Kelakar juga majikannya itu. Selalunya dia jarang nampak Izham bergurau senda begitu. Muka lelaki itu selalu nampak ketat. Macam banyak sangat masalah negara yang di fikirkannya.
Walau apa pun pandangannya terhadap Izham, namun lelaki itu banyak alasan dan pendiriannya tetap. Anizan sedar, adakalanya manusia jatuh cinta melalui rupa. Tapi baginya, biarlah cinta yang dibina itu disulami kasih sayang yang ikhlas dari dalam hati. Bukan semata-mata kerana kecantikan atau kekacakan seseorang.
Kereta Izham berhenti di satu tempat. Banyak kereta yang di letakkan di situ. Anizan terpandang kontena yang dijadikan pejabat jualan. MZ penjual kenderaan terpakai. Dahi Anizan berkerut memikirkan apa yang mereka buat di situ.
“Sayang, awak pilih je kereta mana yang awak mahu. Saya bayarkan,” Izham tersenyum. Anizan terlopong. Tidak tahu bagaimana mahu bereaksi lagi.
-Pilih kereta? Kerja gila. Takkan Izham mahu menghabiskan wang semata-mata kerana dispatch tomboy macam aku? Opss, terlupa, sekarang kan aku ni secretary.
Anizan tersenyum sendiri. Memang kata orang kalau dah rezeki datang bergolek jangan sesekali dilepaskan. Tak baik menolak rezeki.
“Tapi-” kata-kata itu bagai tiada penyambungnya bila Izham memintas.
“Tak ada tapi-tapinya. Abang tak mahu Aniz bawa motor pergi office. Bahaya, jadi Aniz dah boleh ukur sejauh mana Abang sayangkan awakkan?” Izham merenung tepat ke wajah Anizan. Dia tahu cara itu sudah kuat untuk mengambil hati Anizan.