Aryssa menggalas beg di bahu dan kaki mula melangkah menuju ke arah Wani yang sedang duduk bersendirian di tepi padang. Wani selalunya datang lebih awal kerana dihantar ayahnya. Bila habis kuliah pula, biasanya Aryssa akan menghantar Wani pulang ke rumah.
“Berangan je kerja kau! Dah tak ada kerja lain?” sergah Aryssa.
Dia merampas majalah hiburan di tangan Wani. Tertera gambar Mawi, juara AF3 yang amat diminati ramai.
“Handsome ye, Ry… kalaulah aku dapat jadi awek dia. Gempak satu Malaysia!” Wani tersengih menatap wajah lelaki idaman Malaya itu.
“Banyaklah kau punya Mawi… Zastri yang tak berapa glamour tu pun tak dapat nak tackle… ada hati nak tackle Mawi…” ejek Aryssa.
Wani ni bukannya tidak cantik, tetapi terlalu memilih. Bukannya tidak pernah ada lelaki yang suka padanya, tetapi dia yang suka jual mahal. Dulu, semasa di sekolah menengah, pernah ada seorang budak lelaki meminati Wani. Haikal namanya.
Mulanya Wani jual mahal, selalu mengelak bila setiap kali Haikal hendak berjumpa. Entah macam mana pada pertengahan tingkatan lima, Haikal mengikut keluarganya berpindah ke Johor sebab bapanya tu bertugas sebagai tentera. Selepas itu, Wani juga yang kecewa tertonggeng bila Haikal pindah. Mungkin sejak itulah Wani tidak berminat dengan orang lain.
“Kau tak risau ke nak exam ni. Masih lagi baca majalah?”
Aryssa melipat majalah hiburan itu dan meletakkannya ke tepi. Dibukanya nota kecil bagi menghafal nota yang bakal disoal dalam kertas peperiksaan. Minggu lepas ujian praktikal. Minggu depan pula ujian teori akan dijalankan. Dia tidak mahu gagal. Semester pertama dahulu Aryssa lulus cemerlang. Dia juga perlu mendapat keputusan yang cemerlang sebegitu.
“Eleh, Mengata aku konon! Aku dah prepare awal-awal. Ni, dalam otak aku ni…dah penuh dah jawapan yang bakal disoal,” Wani menghalakan telunjuknya kea rah kepala sendiri.
“Kalau soalanpun kau belum tengok, macam mana jawapan boleh penuh dalam kepala otak kau ni? Jangan cakap besar, kena tulah aku tak tau!” balas Aryssa.
“Eh…janganlah macam tu, kau ni. Mulut tu jangan cabul sangat!” Wani tergagap.
“Haaa…tau pun takut!” Aryssa ketawa kecil.
Wani terdiam seketika. Memandang wajah Aryssa dan cuba mencari makna disebalik wajah tenang itu.
“Kau pergi birthday Danny ya? Tak ajak aku! Apa kau buat dengan Linda malam tu? Cerita panas ni…” giat Wani.
Dia telah mendengar macam-macam cerita daripada kawan-kawan mereka yang hadir dalam majlis itu. Macam-macam cerita keluar tentang Aryssa dan Linda. Tetapi dia memang tidak mudah untuk mempercayainya.
Wani kenal sangat siapa Aryssa. Dia bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Hanya luarannya sahaja nampak macam lelaki, tetapi jauh di sudut hati, Aryssa sebenarnya perempuan sejati. Seperti perempuan yang lain juga. Bukannya perempuan songsang.
“Apa yang kau dengar?” soal Aryssa, seperti mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran Wani.
“Kau dan Linda… ehem!” tawa Wani semakin lama semakin kuat.
Cepat benar cerita itu menjadi bualan. Nasib baiklah mereka bukan Kolej yang sama. Danny dan Linda hanyalah kawan mereka semasa di luar kolej sahaja. Jika tidak, pasti cerita itu menjadi bualan hangat. Kaki gossip di kolej ini pasti akan menokok tambah perisa bagi menyedapkan cerita. Sungguh memalukan!
“Hiee yer!” ucap Aryssa bila tiba-tiba dia teringatkan pipinya dijamah rakus oleh bibir mungil Linda.
Dia benar-benar kegelian. Alangkah jijiknya bila diingatkan semula tentang Linda yang ingin mengucup bibirnya. Yerkh!!! Tidak dapat dibayangkan lagi.
“Tu lah, kau juga yang salah. Cuba kau datang pakai skirt ke, baju kurung ke..baru le tak kena cabul dengan kaum sejenis!” ulas Wani.
Kasihan juga Wani dengan Aryssa. Kalau tidak kerana dia perlu menemani neneknya di rumah, pasti dia dapat menyelamatkan Aryssa daripada digoda Linda.
“Cabul? Dia cium pipi gebu aku ni je lah! Pandai-pandai je kata aku kena cabul!” kata Aryssa sambil menepuk-nepuk pipinya.
Wani ketawa lagi. Memang dia tahu orang lain suka menambah cerita. Sengaja dia menyakat Aryssa dengan perkataan cabul itu.
“Aku tau, takkan sampai ke bilikkan? Tapi pedulikanlah! Aku tahu kau bukan macam tu. Tapi…tak tau pulak kalau kau dah tukar selera,” giat Wani. Ketawanya meledak-ledak menyakat Aryssa.
“Banyaklah kau punya tukar? Nak mampus! Aku ni masih ingat lagi nak mati tau…” sergah Aryssa.
Wani ketawa lagi. Kedua pipinya memerah bunga raya. Lucu benarkah gurauan begitu?
“Apa jadi dengan mamat selenga tu? Dia dah tangkap feeling dengan kau tak?” Wani mengubah topik.
Perbincangan tentang Linda tidak mahu dipanjangkan bila melihat wajah jengkel Aryssa. Jelas benar Aryssa cuak dengan gadis itu.
“Wani, please! Lepas habis kelas aku cerita, tapi bukan di sini. Nanti terbocor rahsia lagi parah berdarah. Mamat selenga tu bukan betul sangat!” Aryssa mengelak.
Memang dia tidak mahu membincangkan tentang projek mematahkan hati mamat selenga itu di kolej. Dia tidak mahu nanti rahsianya terbongkar. Dia juga yang akan susah nanti.
“Ary, Panjang umur betul mamat tu. Kau tengok mamat tu… duduk seorang-seorang pula, dah tak ada awek nak teman ke? Tak pun dah insaf?” bisik Wani, dia memuncungkan bibirnya ke arah Fizal yang sedang keseorangan.
Aryssa menoleh ke arah lelaki yang Wani maksudkan. Sedang dia menoleh itu, lelaki itu juga memandang ke arahnya. Mata mereka bertemu. Aryssa terkaku seketika bila dengan tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang.
Sungguh, Aryssa tidak tahu apakah perasaan itu. Dia dapat rasakan betapa gementar hatinya bila pandangan mereka bertaut. Walaupun dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi, tapi Aryssa tahu ada sesuatu yang berlaku dalam dirinya kini.
“Apasal kau berpeluh, Ary? Alah, janganlah takut sangat. Dia takkan tahu siapa Syarina tu…” bisikan Wani mengejutkan lamunannya.
Berpeluh? Cepat-cepat disekanya peluh yang hampir menitik di dahinya. Dia tidak mahu reaksi gementar itu dapat dikesan oleh Wani.
“Eh, Tak adalah. Panas kat sini. Jom, kita blah! Kejap lagi class nak mula…” ajaknya.
Aryssa menarik tangan Wani untuk terus bangun meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu reaksi berpeluhnya itu dikesan Fizal. Kalau lelaki itu tahu siapa dia sebenarnya, sudah tentu perkara itu menjadi isu. Sudahlah selama ini, dia dan Fizal selalu bertengkar. Lagipun dia tidak mahu lelaki itu membahasakannya dengan macam-macam gelaran. Cukuplah gelaran betina-jantan yang diterimanya, dan padanya itu adalah gelaran yang cukup mengaibkan.
Kalau dia tahu aku yang call dia tiap-tiap malam, mampus! Mahunya dia maki aku sesedap rasa depan public. Mamat ni bukannya betul sangatpun urat saraf kepala dia.
“Okey, Ry…pukul 12 kau tunggu di cafĂ©…” pesan Wani bila dia sudah memasuki Blok Mentari untuk ke bilik kuliahnya.
Aryssa cuma mengangguk dan berlalu menuju ke Blok Bintang. Sedang dia bernyanyi kecil membelok ke Blok Bintang, langkahnya terhenti seketika apabila terserempak dengan Fizal yang sedang berjalan bersama seorang gadis disebelahnya. Lelaki itu terus berlalu tanpa menoleh ke arahnya. Namun jantungnya sekali lagi berdegup kencang. Dan sekali lagi dia tidak faham dengan perasaan itu. Mungkin kerana dia terlalu takut andai lelaki itu mengetahui rahsianya ataupun dia sudah jatuh cinta.
Ah! Tak mungkin aku jatuh cinta pada lelaki seperti itu. He is just not my type! Tak ada kualiti langsung untuk jadi lelaki idaman. Harapkan muka jelah… lain-lain tu dah out! Lelaki macam tu, tak sesuai nak buat laki. Attitude dahlah teruk, kalau buat balak pun, main-main bolehlah. Kena bersiap-sedia untuk terima ‘madu-madu’ yang bakal di bawa balik.
Hie, tolonglah! Daripada makan hati berulam jantung sendiri, lebih baik makan nasi daripada berkahwin dengan jantan yang tak tentu hari tu. Hari ni perempuan lain, esok perempuan lain. Lusa, tulat, tunggeng… minta simpang malaikat 44!
Aduss! Kenapa dia boleh terfikir sehingga ke arah itu. Tidak mungkin dia dan Fizal bersatu. Dia lebih rela mati daripada tinggal bersama lelaki yang amat menyakitkan itu. Mulut lelaki itu begitu berbisa. Walaupun hakikatnya Aryssa sendiri tidak mengenali Fizal dengan rapat, namun banyak cerita yang didengarnya tentang lelaki idaman Malaya itu.
No comments:
Post a Comment