Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 13

BAB TIGA BELAS

Hari ini bermula cuti semester selama sebulan. Perkenalannya dengan Fizal pula sudah memasuki bulan kedua. Aryssa tidak punyai apa-apa akiviti untuk cuti semester ini. Dia hanya boleh bercuti bersama keluarga. Emak dan ayahnya tidak pernah membenarkannya mengikuti program di kolej. Dia juga tidak pernah membantah, kerana baginya setiap larangan ayah dan emaknya adalah kebaikan untuknya.

Wani pula mengikuti program bersama Kelab Pencinta Alam ke Gunung Senyum di Pahang. Wani memang meminati aktiviti lasak. Setiap tahun Wani akan mendaki gunung dan berkayak. Berpuluh kali Wani mengajaknya, namun Aryssa hanya memberi satu alasan untuk setiap ajakan Wani. Tidak berminat, walaupun hatinya sering memberontak untuk bersama-sama menyertai Wani.

Aryssa memetik gitar Kapoknya sambil bernyanyi kecil. Jeritan ibunya membuatkan dia berhenti menyanyi. Kala pintu dibuka, terjengul wajah ibunya.
“Yes, madam!” guraunya sambil berlagak seperti seorang anggota polis menghadap ketua.
“Elok lah, sehari suntuk terperuk dalam bilik… Mak dengan ayah nak ke hospital. Fizal, anak mak cik Salina, accident semalam. Tak sedarkan diri lagi. Kau nak ikut tak?” Zakiah memberitahu.
“Tak nak… mak sajalah yang pergi! Kirim salam pada mak cik Salina dengan anaknya.”

Aryssa menggeleng. Memang dia malas nak ke mana-mana hari ni. Moodnya selalu hilang bila Wani tiada.
“Kalau nak makan, lauk dan nasi bawah tudung saji. Lepas tu jangan lupa makan ubat. Kalau ada apa-apa ke, nak keluar ke…beritahu! Telefon ayah, beritahu mak, jangan terus keluar je, jadi apa-apa nanti susah!” pesan Zakiah bernada leteran.

Belakang tangan kanannya meraba-raba dahi Aryssa, risau kalau-kalau anak tunggalnya itu ditinggalkan ketika dia sedang demam. Semalam dia baru sahaja ke hospital mengambil beberapa jenis ubat untuk anak gadisnya itu.
“Ary okey, mak. Tak apa-apa. Mak pergi je lah…” Aryssa menarik tangan ibunya.

Kadangkala dia rimas dengan perhatian yang keterlaluan daripada emaknya.

Aryssa hanya tersenyum melihat kerisauan di wajah emaknya. Wanita itu sentiasa bimbang kalau-kalau dia keluar tanpa pengetahuan mereka. Emaknya agak cerewet dan sentiasa mahu menjaganya supaya tidak ada perkara buruk yang terjadi. Andai Aryssa terjatuh dan luka sedikit, sudah cukup untuk membuat wanita itu menangis sepanjang malam.

Aryssa tahu emaknya itu amat menyayanginya, tetapi kadangkala kerana kasih sayang itu, dia lemas. Namun dia bersyukur kerana Tuhan mengurniakan wanita itu sebagai emaknya.
“Oi, Cik Yah. Cepatlah! Nanti habis waktu melawat. Ary tu dah besar, pandai-pandailah dia tu nanti,”

Ayahnya datang menarik emaknya. Aryssa mengangkat ibu jari menunjukkan pada ayahnya. Alias tersenyum, sambil mengangkat tangan menyuruhnya masuk ke bilik semula.

Ayahnya pula berbeza berbanding emaknya. Ayahnya cukup sporting dan kadangkala melayannya bagaikan seorang anak lelaki. Mungkin kerana dia anak tunggal. Mengajaknya pergi memancing dan bermain bola keranjang. Walaupun dia tidak boleh bermain lama, tetapi dia puas jika dapat bersama ayah. Mereka akan bercerita tentang segala-galanya daripada cerita tentang motorsikal hingga sukan kerana dia begitu meminati bidang sukan, dan ayah sentiasa menyokongnya.

Setelah kedua ibu bapanya hilang dari pandangan, fikiran Aryssa tiba-tiba teringatkan sesuatu. Fizal, anak mak cik Salina accident? Fizal accident?

Pantas jemarinya mendail nombor telefon rumah Fizal. Dia berbual dengan Nurul, adik perempuan bongsu Fizal. Melalui adiknya, Aryssa mendapat tahu Fizal mendapat kemalangan semasa pergi berkelah bersama kawan-kawannya.

Semasa dia berbual dengan Fizal semalam, lelaki itu memberitahunya yang mereka akan berkonvoi ke pantai untuk berkelah. Kata Fizal, inilah kali pertama dia berkonvoi dengan motorsikal. Tidak sangka pula hari ini dia dapat berita kemalangan lelaki itu.

Menurut Nurul, motorsikalnya bertembung dengan lori trailer yang hilang kawalan kerana tayarnya pancit. Fizal terseret sejauh lima puluh meter dan motorsikalnya rosak teruk. Dia pula tidak sedarkan diri lagi. Sempat Aryssa meminta alamat rumah daripada Nurul.

Sejurus itu, dia keluar. Entah kenapa, hatinya tidak tenang bila mendengar keadaan lelaki itu. Ya Allah, Panjangkanlah umur Fizal!

Aku tidak mahu perkara yang sama berlaku lagi. Aku tak mampu hadapi semula apa yang pernah berlaku. Aku tak sekuat mana. Tolonglah, ya Allah!

“Ary, ada berita tak baik,” suara lirih Acid membuatkan hatinya tidak keruan.

Sejak pulang dari sekolah tengah hari tadi, dia menunggu panggilan telefon daripada Acid. Hampir pukul 3 petang baru telefonya berbunyi.
“Cid, kenapa Cid? Kau jangan nak main-mainkan aku!” soal Aryssa.

Dia memang tidak sabar untuk mengetahui apa yang terjadi. Cemas hatinya.
“Am… accident. Dia koma!”

Terasa bagaikan mahu luruh jantung Aryssa saat mendengar berita itu. Hatinya tiba-tiba terasa remuk sehingga airmatanya menitis tidak tertahan lagi. Dia menangis teresak-esak.

Petang itu juga dia mengajak Wani untuk sama-sama ke hospital melawat Amir. Tidak sanggup dia melihat keadaan lelaki itu kala itu. Berselirat wayar dan tiub di badannya.

Menurut abangnya, Amir kemalangan sewaktu keluar dari kawasan perumahannya untuk mengambil keputusan SPM. Sebuah kereta tiba-tiba membelok tanpa signal dan terus menyeret Amir. Kemungkinan harapan untuk Amir hidup hanya tinggal 50/50.

Aryssa menahan sendu bila melihat keluarga lelaki itu juga bagaikan tidak dapat menerima kenyataan. Menurut Acid, pengetua sekolahnya datang ke hospital untuk memberi keputusan SPM. Dan yang pasti Amir Hizam bakal dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM tahun itu. Dia berjaya memperolehi A bagi kesemua 10 mata pelajaran yang diambil.

Sebulan Amir koma. Selama sebulan itu juga Aryssa tidak pernah mungkir untuk bertemu lelaki itu. Namun penantian sebulan untuk melihat Amir sedar hanya sia-sia. Selepas dia sedarkan diri, lelaki itu langsung tidak mahu menemui sesiapa kecuali si kembar Acid dan Meor. Aryssa sebak bila mengenangkan bagaimana dia diherdik di dalam telefon oleh Amir kerana berkali-kali menelifon dan mahu berbual dengan lelaki itu.

Pernah Acid membawa Aryssa ke rumah Amir untuk bertemu dengannya. Namun lelaki itu langsung tidak keluar dari bilik sehingga Aryssa meminta diri untuk pulang. Namun segala yang berlaku itu bagai tidak menjadi kudis padanya. Dia tetap menanti lelaki itu. Dia tetap bertanyakan perkhabaran tentang Amir dari Acid dan Meor. Padanya, Amir adalah segala-galanya.

Dia tahu Amir tidak menyalahkan sesiapa kerana kemalangan itu. Aryssa faham mengapa Amir tidak mahu menunjukkan kecacatannya kepada Aryssa. Bukan senang untuk lelaki itu menerima kenyataan yang dia telah lumpuh separuh anggota badannya dari pinggang ke kaki. Dia tidak dapat menerima keadaan itu dan sebagai manusia Aryssa amat memahami keadaan itu.

Walaupun puas dipujuknya Amir untuk memberi sokongan dan semangat namun lelaki itu tetap berdegil. Alasannya, dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia boleh berdikari.

Akhirnya Aryssa mengalah. Mujurlah semua itu tidak pernah membuatkannya terleka walau sesaat terhadap pelajarannya. Dia sentiasa ingat tentang janjinya. Dan Aryssa pasti akan mengotakannya. Itu janji seorang Aryssa terhadap lelaki kesayangannya.

Dan kini, akan berulangkah perkara yang sama?

No comments: